Tuesday, 10 September 2013

HAKIKAT WUDHU' dari sudut Ilmu Tasauf



Saudara pembaca yang dihormati,
Terima kasih kerana masih setia bersama blog saya...

Dalam tulisan terdahulu, saya ada menyentuh berkenaan dengan rahsia wudhu' dari segi sains dan kesihatan. Rasanya agak tidak lengkap jika kita tidak meninjau hakikat wudhu' dari kacamata ilmu tasauf. Ini kerana syariat wudhu' dan hakikat wuduk mestilah seiring sejalan. Zahir tanpa batin apalah ertinya... batin tanpa zahir pun tidak berguna.

Wudhu' mesti selari antara syariat dan hakikat

Adapun yang dikatakan WUDHU' adalah mengambil air sembahyang, dan wudhu' juga  boleh dikatakan membersihkan diri sebelum menunaikan solat. Adapun perkara-perkara wajib yang harus dilakukan oleh kita ketika mengambil air sembahyang adalah pertama niat, kedua basuh muka ketiga membasuh tangan, keempat menyapu kepala, dan kelima basuh kaki dan keenam tertib. Hal ini adalah  sesuai mengikut firman Allah dalam Quran:-
“WAHAI ORANG-ORANG YANG BERIMAN, APABILA KAMU HENDAK MENGERJAKAN SOLAT, MAKA HENDAKLAH KAMU BASUH MUKA KAMU DAN BASUH KEDUA TANGAN KAMU HINGGA KE SIKU DAN SAPULAH KEPALA KAMU DAN BASUHLAH KAKI KAMU HINGGA KE MATA KAKIMU”.

Hakikat wudhu' yang dapat diertikan daripada niat, basuh muka, basuh tangan, sapu kepala, dan basuh kaki.

Hakikat Niat:
Adapun hakikat niat wudhu' itu adalah membawa kepada ketetapan makna hujung jatuh kepada:
LA HAYUN,
LA ALIMUN,
LA SAMIUUN,
LA BASIRUN,
LA KADIRUN,
LA MURIDUN,
LA MUTAKALLIMUN BIL HAQ IL LALLAH. 
iaitu sebelum kita menunaikan sembahyang kita haruslah terlebih dahulu menafikan hak kita tetapi sebaliknya hendaklah mengisbatkan sepenuhnya haq itu kepada Allah semata-mata. Ini adalah bersesuaian dengan firman Allah:-  TIADA YANG WUJUD HANYA ZATNYA SEMATA-MATA MAKA TIAP-TIAP SESUATU (YANG ZAHIR) KECUALI SEMUA YANG ZAHIR ITU ADALAH WAJAHNYA SEMATA-MATA, DIALAH YANG BERHAK DAN KEPADANYA HARUS DIKEMBALIKAN....( Al qisass ayat 88)

Iaitu:
Hidup kita, ilmu kita, pendengaran kita, pandangan kita, kuasa kita, dan kata-kata kita adalah semuanya haq Allah semata-mata dan bukan sekali-kali haq kita, dan sesungguhnya konsep diatas inilah pengertian hakikat wuduk yang sebenar pada pandangan ahli tasauf.

Hakikat membasuh muka:
Adapun hakikat membasuh muka adalah membawa erti bahawa sebelum menunaikan sembahyang kita terlebih dahulu membuang sifat takbur, megah , sombong, kemuliaan, kebesaran  dan sebagainya pada diri kita sebelum dan ketika menunaikan sembahyang. Dan sesungguhnya muka adalah simbul maruah kepada manusia. 

Hakikat membasuh tangan:
Adapun hakikat membasuh tangan adalah membawa erti bahawa sebelum kita menunaikan sembahyang kita haruslah terlebih dahulu membersihkan atau membuang daripada diri kita segala sifat-sifat aku berkuasa, aku kuat, aku besar dan sebagainya. Sesungguhnya tangan dimaksudkan sebagai simbul kekuasaan dan kekuatan sesorang manusia.

Hakikat menyapu kepala:
Adapun hakikat menyapu sedikit kepala adalah sebelum kita menunaikan sembahyang kita harus membersihkan segala fikiran kita dengan sifat-sifat syirik dan sifat-sifat mazmumah pada diri kita dan kita harus pula membersihkan segala fikiran kita dan tumpuan segala-galanyanya kepada Allah semata-mata.

Hakikat membasuh kaki:
Adapun hakikat membasuh kaki adalah membawa kepada pengertian hakikat bererti haruslah membetulkan jalan, perjalanan kita hanya satu tujuan iaitu Allah semata-mata. Kita harus menghala cara perjalanan kita hanya kepada Allah semata-mata dan  tidak lagi ke jalan lain sebelum kita menunaikan sembahyang.

Kesimpulan:
Wudhu' yang sempurna dari segi syariat dan hakikat akan membuahkan hasil yang sungguh menakjubkan. Apa yang penting ialah dari segi hakikatnya, iaitu kita memohon kepada Allah agar  mengurniakan air mutlak yang suci lagi menyucikan yang terpancari lubuk hati nurani. Air mutlak ini akan dapat membersihkan segala kekotoran hinggakan dapat menyuci najis di dalam perut sekalipun. Intipatinya ialah kita memulangkan semua hak kita kepada Allah sehingga tiada lagi tersisa hak kita..Mati sebelum mati.

Sekian. Kalau ada salah dan silap dalam tulisan ini, harap dapat berikan komen.
Saya juga berharap agar ada penambahan maklumat daripada pembaca.. jumpa lagi.

No comments: