Friday 31 January 2014

RAHSIA SUJUD DALAM SOLAT



Salam sejahtera buat pembaca yang dikasihi.

Setiap umat Islam pasti akan mendirikan SOLAT. Bukankah solat itu tiang agama? Barangsiapa mendirikan solat bermakna dia mendirikan agama dan barangsiapa meninggalkan solat bermakna dia meruntuhkan agama.

Kita lihat bahawa begitu besar ibadah solat yang telah difadhukan ke atas umat Islam. Bahkan ibadah solat ini diterima secara khusus oleh Baginda Rasulullah saw sewaktu peristiwa Isra’ dan Mi’raj. Tentunya kita percaya bahawa apa-apa sahaja yang dibawa oleh Rasul kita pasti membawa hikmah yang besar dalam kehidupan kita di dunia dan juga di akhirat.

Perkara utama ialah solat itu merupakan ibadah yang wajid dikerjakan sebanyak LIMA kali sehari semalam. Setiap perlakuan dalam solat itu mempunyai hikmah tersembunyi yang hanya Allah sahaja yang mengetahui. Setiap perlakuan solat tersebut sebenarnya telahpun dilakukan oleh para malaikat yang meliputi dari Berdiri lurus, Rukuk, Sujud dan sebagainya.

Rahsia Sujud dalam Solat

Sujud hanya kepada Allah

Seorang Doktor di Amerika (Dr. Fidelma) telah memeluk Islam kerana beberapa keajaiban yang di temuinya di dalam penyelidikannya. Beliau amat kagum dengan penemuan tersebut sehingga tidak dapat diterima oleh akal fikiran. Beliau adalah seorang Doktor Neurologi. Setelah memeluk Islam, dia amat yakin pengobatan secara Islam dan oleh sebab itu telah membuka sebuah klinik yang bernama "Pengobatan Melalui Al Qur'an" Kajian pengobatan melalui Al-Quran menggunakan ubat-ubatan yang digunakan seperti yang terdapat didalam Al-Quran. Di antaranya seperti berpuasa, madu, biji hitam (Jintan hitam) dan sebagainya.

Ketika ditanya bagaimana dia tertarik untuk memeluk Islam? Maka Doktor tersebut memberitahu bahwa sewaktu kajian saraf yang dilakukan, terdapat beberapa urat saraf di dalam otak manusia ini tidak dimasuki oleh darah. Padahal setiap inci otak manusia memerlukan darah yang cukup untuk berfungsi secara yang lebih normal.

Setelah membuat kajian yang memakan waktu akkhirnya dia menemukan bahawa darah tidak akan memasuki urat saraf di dalam otak tersebut melainkan ketika seseorang tersebut bersolat iaitu ketika sujud. Urat tersebut memerlukan darah untuk beberapa saat tertentu saja. Ini bererti bahawa darah akan memasuki bahagian urat tersebut mengikut kadar solat lima waktu yang diwajibkan oleh Islam. Begitulah keagungan ciptaan Allah.

Jadi barang siapa yang tidak menunaikan solat, maka otak tidak dapat menerima darah yang secukupnya untuk berfungsi secara normal. Oleh karena itu kejadian manusia ini sebenarnya adalah untuk menganut agama Islam "sepenuhnya" karena Sifat fitrah kejadiannya memang telah dikaitkan oleh Allah dengan agamanya yang indah ini.

Kesimpulan :



Makhluk Allah yang bergelar manusia yang tidak mendirikan solat walaupun akal mereka berfungsi secara normal tetapi sebenarnya di dalam sesuatu keadaan, mereka akan hilang pertimbangan di dalam membuat keputusan secara rasional. Justeru, kita dapat lihat bahawa terdapat pelbagai masalah / gejala sosial yang melanda masyarakat sekarang ini. Yakinlah bahawa dengan mendirikan solat yang betul serta kusyuk, akan dapat mencegah daripada melakukan perbuatan keji dan mungkar. Ini mungkin berkaitan dengan aliran darah yang mengalir di otak ketika sujud yang dapat membuatkan kita berfikir secara rasional akan baik atau buruk sesuatu perkara. Wallahu’aklam.

Sekian, mudah-mudahan info ini menyedarkan kita.

Sumber : National Geographic 2002 Road to Mecca
 







Thursday 30 January 2014

JANGAN TINGGALKAN WIRID



Salam sejahtera buat pembaca yang terus mengikuti blog saya. Mudah-mudahan kita semua dirahmati oleh Allah...

Dalam tulisan terdahulu, saya ada menukilkan mengenai tajuk “Ciri-ciri Wirid Mengundang Jin”. Tentunya para pembaca sedar akan bahayanya wirid yang diamalkan tanpa disiplin ilmu yang betul mengikut kehendak sebenar dalam Islam.

Namun begitu, janganlah pula kita terus meninggalkan amalan wirid kerana takut akan adanya kehadiran jin... Hal semacam ini berlaku jika kita beramal tidak kena pada maksudnya.

Tulisan kali ini membicarakan hal wirid yang dianjurkan terutama dalam ilmu tasauf untuk mencari redha Allah. Sememangnya wirid adalah sangat dituntut oleh para salik untuk kebaikan di dunia dan di akhirat kelak.

Bila kita belajar, guru akan memberikan wirid yang perlu kita diamalkan. Wirid ini berupa ayat-ayat suci al-Quran, zikir-zikir asma ul husna, hizib, selawat dan sebagainya. Dalam hal ini janganlah kita meremehkan wirid.  Wirid yang bersanad sehingga kepada Rasulullah saw melalui baiah ijazah tariqah adalah terlebih afdhal.

Membaca Al-Quran antara wirid yang sangat dituntut


Telah berkata Syaikh Ahmad Ibn “Athaillah dalam kitab Hikam:

“Tidak akan meremehkan wirid kecuali orang yang sangat bodoh.  Warid itu akan didapatkan sampai di akhirat, sedang wirid itu akan terlipat (habis) dengan terlipatnya (habisnya) dunia.  Dan sesuatu yang lebih utama diperhatikan adalah apa yang tidak terganti wujudnya. Wirid adalah yang dituntut Allah dari kamu, sedang warid adalah kamu yang menuntutnya daripada-Nya. Maka dimanakah perbedaan antara wirid yang Allah telah menuntut dari kamu dengan warid yang kamu menuntutnya dari Allah”

Penjelasan :

Wirid adalah pekerjaan rutin yang berupa ibadat lahir mahupun batin.

Warid  adalah sesuatu yang berjalan di dalam hati manusia sebagai pemberian dari Allah, yang berupa ketenangan, cahaya Ilahi, kesenangan beribadah, taufik dan hidayah-Nya.

Janganlah meremehkan wirid. Kerana wirid ini merupakan cara pengabdian kepada Allah, menghadirkan hati kepada-Nya, dan mencari kenikmatan dengan berzikir kepada-Nya.  Dengan wirid orang boleh membersihkan batinnya dan menarik cahaya untuk menerangi hati.  Hanya orang yang sangat bodoh yang meremehkan wirid.

Wirid itu mempunyai dua keistimewaan dibanding dengan warid, iaitu:


  1. Wirid waktunya terbatas, iaitu ketika masih di dunia. Terlewat tidak mengerjakan wirid di dunia, maka tidak akan boleh menggantikannya. Musnahnya dunia bererti habisnya masa wirid.  Matinya seseorang bererti terputusnya masa untuk menjalankan wirid. 
  2. Wirid itu hak Allah yang diwajibkan kepada manusia. Sedang warid adalah hakmu yang kamu ajukan kepada Allah.

Kerana keistimewaan wirid itu, maka sebaiknya setiap orang selalu menjalankan wiridnya. Wirid hanya berlaku di dunia sedangkan warid berlanjut sampai di akhirat.

Bersabda Rasulullah saw. (maksudnya):
“ Amal-amal yang paling dicintai oleh Allah adalah yang (dikerjakan) terus menerus, meskipun sedikit”

Abu Thalib Al- Makki berkata:
“Terus-menerus mengerjakan beberapa wirid termasuk akhlak orang-orang mukmin, jalannya orang-orang yang ahli ibadah, dan dia dapat menambah iman serta tanda keyakinan”

Selanjutnya kita mengharapkan Allah akan menganugerahkan kepada kita warid imdadi.  Warid imdadi adalah pertolongan Allah kepada orang beriman yang dapat menyebabkan kekuatan roh kerana terisinya hati oleh iman, ilmu dan makrifat.

Warid imdadi akan datang meresap ke  dalam hati setiap orang, bilamana orang itu mahu membersihkan hatinya dan mahu menjalankan wiridnya terus menerus. Banyak sedikitnya  warid imdadi di dalam hati seseorang, tergantung dari persiapan orang itu di dalam membersihkan hatinya dan mengamalkan wiridnya. 

Jadi jelasnya warid itu selalu mengikuti wirid.  Kalau wiridnya berjalan sempurna, maka hatinya menjadi bersih dan bercahaya.  Hati yang bersih dan bercahaya merupakan tempat warid.


Telah berkata Syeikh Ahmad Ibnu Athaillah dalam Kitab Hikam;

“ Sewaktu datang warid Ilahi (Kurnia Allah) kepadamu, maka DIA akan melenyapkan kebiasaan-kebiasaan yang ada pada kamu.  Diumpamakan seperti dalam firman Allah yang ertinya: “Sesungguhnya raja-raja apabila memasuki suatu negeri, nescaya mereka membinasakannya”.

Ertinya;

Apabila kurnia Allah yang berupa iman itu masuk ke dalam hati seseorang, maka lenyaplah kebiasaan-kebiasaan yang berlaku padanya.  Diumpamakan warid Ilahi itu seperti bala tentera raja, dimana kalau telah masuk ke dalam hati yang penuh dengan kebodohan dan kelalaian kerana masih kuatnya penglihatan kepada keduniaan, maka segeralah kebodohan dan kelalaian yang menjadi kebiasaan manusia itu akan binasa lalu diganti dengan tingkah laku yang luhur dan diredhai oleh Allah.

Kemudian  Syeikh Ahmad Ibnu Athaillah berkata lagi;

“Warid (kurnia iman) itu datang dari Allah yang Maha Perkasa.  Oleh kerana itu tidak ada sesuatupun yang dapat melawannya melainkan warid itu akan memusnahkannya. (Firman Allah yang ertinya) : “Sebenarnya Kami melontarkan yang hak kepada yang batil, lalu yang hak itu menghancurkannya, maka dengan serta merta yang batil itu lenyap”.

Pembaca yang dihormati,

Mari kita merenung sejenak dengan mutu wirid kita seharian.. saya percaya, dengan keadaan zaman sekarang yang menuntut kita bergerak pantas, maka tidak ramai yang dapat beristiqamah dengan wirid.  Pesan saya...”Kalau tidak dapat beramal semua, janganlah tinggal semua”.

Mudah-mudahan kita semua akan beroleh warid daripada Allah Taala..Tapi janganlah pula mendapat warid daripada jin (kalau tidak kena dengan caranya).


Sekian, jumpa lagi..





Wednesday 8 January 2014

CIRI-CIRI WIRID PENGUNDANG JIN



Assalamu’alaikum wwt.
Saudara pembaca yang dihormati, selamat berjumpa lagi dalam tahun 2014 ini. Mudah-mudahan kita semua dirahmati oleh Allah.

Tulisan pada kali ini ialah menyentuh tentang wirid yang kita amalkan yang boleh mengundang kehadiran jin tanpa kita sedari.  Memanglah tujuan asal kita berwirid contohnya, beramal dengan membaca doa, berzikir dengan zikir khusus, atau membaca ayat-ayat al Quran  adalah untuk mendapat keredhaan Allah  tetapi dengan tanpa kita sedari wirid yang kita lakukan itu boleh mengundang kehadiran jin jika sekiranya tidak kena caranya. Sifat jin ini pula suka memperdayakan manusia agar jauh daripada Allah. Itulah sebabnya ada orang yang beramal wirid menjadi gila isim, panas baran dan sebagainya...

Sedang berwirid

Sebenarnya antara ciri-ciri wirid yang boleh mengundang kehadiran jin dan sihir adalah seperti berikut:


  • Niat mengamalkan wirid untuk mendapatkan ilmu ghaib atau kesaktian tertentu. Contohnya untuk kebal, boleh terbang, boleh menghilang dan sebagainya.

  • Wiridnya harus dengan bilangan tertentu iaitu tidak boleh kurang atau lebih. Jika bacaanya tidak sesuai dengan syarat yang ditetapkan, maka harus mengulang dari awal atau jika bacaanya tidak sesuai bilangan maka kekuatannya tidak dapat diperolehi. Contohnya membaca “Ya Latif” sebanyak 99999 setiap malam untuk mendapatkan ilmu terawangan.


  • Wiridnya disertai dengan ritual bid’ah. Contohnya wirid “Ya Qowiyyu” 1000 kali disertai ritual puasa mutih 40 hari untuk mendapatkan ilmu kekebalan.

  • Wiridnya memanggil nama-nama waliyullah yang sudah meninggal. Contohnya memanggil nama Syeikh Abdul Qadir Jailai dan meminta bantuannya untuk hajat tertentu. Atau menyeru dengan nama-nama jin, malaikat dan makhluk halus lainnya. Hakikatnya, Allah jua yang berkuasa. Jika memohon dengan keberkatan waliyullah tidak mengapa.

  • Membaca wirid disertai pantangan tertentu yang tidak masuk akal yang jika dilanggar akan hilang atau tawar ilmunya. Contohnya, membaca wirid untuk kekebalan namun jika lalu dibawah jemuran atau ampaian kain, maka ilmunya akan luntur.

  • Wiridnya wajib diijazahkan oleh mursyid atau gurunya.  Jika mengamalkan sendiri nescaya tidak dapat kekuatannnya atau dikhuatiri akan menjadi gila.

  • Wiridnya jika dibaca sudah sampai bilangannya, maka akan ada ujian dari makhluk-makhluk ghaib dan jika lulus ujian maka baru dapat ilmunya. Contohnya setelah 7 hari puasa dan membaca wirid, maka pada hari ke 7 melakukan pati geni dan pada jam 12 malam diuji didatangi ular yang membelit tubuhnya, atau didatangi wanita telanjang yang menggoda, atau didatangi makhluk menyeramkan dan sebagainya. jika semua ujian tersebut berjaya dihadapi, maka ilmu kesaktian akan diperolehi.

  • Wiridnya khusus meminta bantuan malaikat atau raja jin untuk hajat  tertentu. Contohnya mengamalkan wirid untuk mendatangkan malaikat pembawa rezeki yang akan datang membawa emas setelah wirid berhasil dibaca dengan ritual tertentu.


  • Wiridnya tidak diketahui artinya, atau digabung bacaan Al-Qur’an dengan mentera-mentera, jampi serapah dan sebagainya.


Kesimpulan:

Marilah kita memurnikan ibadah dan wirid kita hanya semata-mata kerana Allah Taala. Janganlah beramal kerana ada maksud yang tersembunyi atau mencari kesaktian. Jika wiridnya sudah ada jin pendamping, maka jin tersebut kemudianya akan menjadi saka kepada anak cucu.

Mudah-mudahan info ini memberi panduan kepada diri saya sendiri dan kepada pembaca yang disayangi..