Tuesday 10 February 2015

RAWATAN MENGGUNAKAN DOA DAN AL-QURAN (RUQYAH SYARIYAH)



Selayang Pandang

RUQYAH SYARIYAH merupakan kumpulan ayat-ayat al-Quran dan hadis Rasulullah saw yang menjadi doa-doa perlindungan yang perlu dibaca dan diamalkan oleh setiap muslim ke atas dirinya sendiri, keluarga dan umat Islam sebagai perlindungan diri daripada sebarang bentuk kejahatan manusia dan jin, histeria dan kerasukan, sihir ataupun penyakit fizikal yang lain.

Ruqyah merupakan amalan yang dilakukan oleh Rasulullah, para sahabat dan salafus soleh bagi menjaga kesihatan fizikal dan jiwa. Terdapat banyak hadis sahih dan hasan yang melaporkan berkenaan ruqyah dan perkara yang berkaitan dengannya. Rasulullah pernah diruqyah oleh Malaikat Jibrail. Rasulullah sendiri pernah meruqyah sahabat beliau iaitu Saad bin Abi Waqas dan isterinya Hafsah binti Umar. Ada banyak lagi contoh amalan ruqyah ini dipraktikkan sehinggalah sekarang ini.

Sesungguhnya  rawatan yang menggunakan doa yang dan ayat-ayat suci al-Quran sebagai satu kaedah pengubatan untuk merawat penyakit ataupun mengatasi masalah spiritual bukan sesuatu yang mudah, yang dapat diterima oleh masyarakat biarpun kaedah ini telah diamalkan sejak zaman Rasulullah saw.  Sukar rasanya hendak menerima kenyataan bagaimana mungkin sakit boleh sembuh hanya dengan berdoa. 

Pengetahuan yang berkaitan dengan doa yang dikaitkan dengan usaha-usaha penyembuhan penyakit merupakan satu bidang khusus, yang terpisah dengan ilmu Fekah, Usuluddin, Ilmu Tafsir dan sebagainya, biarpun tidak dinafikan doa-doa yang dibaca untuk tujuan rawatan itu sebahagian daripadanya dipelajari oleh mereka yang mempelajari agama.  Kerana itu, mereka yang mempelajari agama tidak semestinya arif tentang konsep dan kaedah-kaedah doa yang digunakan dalam rawatan.  Begitulah sebaliknya, mereka yang mempelajari kaedah-kaedah rawatan yang menggunkan doa, tidak semestinya arif mengenai hukum-hukum fekah, Usuluddin dan sebagainya, kecuali mereka yang mempelajarinya secara khusus ilmu-ilmu tersebut. Kerana itu, sekiranya ada dikalangan mereka yang mempunyai latar belakang agama menafikan doa itu boleh digunakan sebagai satu usaha rawatan bukanlah sesuatu yang memeranjatkan.


Doa adalah Otak Ibadah

Pada manusia, otak adalah penggerak segala-galanya.  Otak yang dikaitkan dengan akal adalah faktor pembeza antara manusia dan binatang.  Tanpa doa, ibadah seseorang tidak ubah seperti manusia yang hidup tanpa otak. Allah menyuruh setiap hamba-hambaNya agar selalu berdoa.  Allah berjanji akan memperkenankan doa seseorang, sama ada diberi cepat ataupun lambat, di dunia ataupun di akhirat, bergantung kepada qada’ dan qadar Allah.  Semakin hampir seseorang hamba itu kepada Allah, maka semakin mudahlah doa yang dipohon itu diperkenankan. Dengan kata lain, untuk meraih kemakbulanm doa, seseorang itu perlu mempunyai sifat-sifat terpuji di sisi Allah, bukan mereka yang banyak melakukan maksiat. Orang-orang yang melakukan rawatan menggunkan doa perlu sentiasa terus menerus bertaqarub kepada Allah. Berdoalah dengan penuh harapan, khyusuk dan jiwa tenang. Manusia tidak berupaya meraih ketenangan jiwa kecuali dengan mengingati Allah.

Doa bukan jampi mantera atau serapah, biarpun hal ini sering dikelirukan oleh kebanyakan orang. Dalam keadaan tertentu, masyarakat mengharapkan agar orang yang melakukan rawatan menggunakan doa itu memastikan jenis dan punca penyakit yang dialami. Istilah yang popular ialah meminta ‘scan’ penyakit mereka. Kalau tidak kena gaya dan caranya, ‘scan’ ini menggunakan khidmat jin sebagai perantara. Saya tidak menafikan ada manusia yang diberi kelebihan oleh Allah untuk ‘scan’ penyakit atau digelar ‘kasyaf’.

Amalan berdoa adakalanya dimomok-momokkan dan diperli. Kononnya kaedah doa ini ketinggalan zaman.  Zaman sekarang sudah moden dan adanya kepakaran daripada mereka yang profesional untuk merawat penyakit. Betulkah begitu?

Keutamaan Membaca al-Quran

Sesungguhnya membaca al-Quran itu adalah salah satu usaha membina iman (al-Baqarah: 121). Al-Quran mengandungi keberkatan yang perlu difikiri (Sad:29). Kandungannya begitu kukuh, tersusun rapi dan jelas yang diturunkan dari Allah saw yang maha bijaksana lagi mengetahui (Hud:1). Al-Quran juga menjadi penawar dan rahmat bagi mereka yang beriman (al-Isra’:82)

Rasulullah saw ada bersabda menyatakan bahawa ibadah umatnya yang paling utama ialah membaca al-Quran. Pada hari kiamat nanti, al-Quran akan dapat memberi syafaat kepada orang yang membacanya.  Al-Quran memberi syafaat dan diterima syafaatnya, dan petunjuk yang diakui kebenarannya.  Barang siapa menjadikan al-Quran itu sebagai pemimpin, ia akan menuntun orang yang berkenaan masuk syurga. Sebaliknya, barang siapa menafikannya, al-Quran itu akan menghelanya ke neraka. Orang yang membaca al-Quran, mendirikan sembahyang dan membelanjakan sebahagian daripada rezeki yang diberi oleh Allah dengan berterangan atau secara sulit, serta mengharapkan perniagaan yang tidak pernah rugi akan diberi pahala, juga kurnia Allah.  sesungguhnya Allah maha pengampun lagi mengasihi.

Kesimpulan

Tidak syak lagi bahawa ikhtiar pengubatan melalui ruqyah syariyah merupakan salah satu ikhtiar untuk penyembuhan daripada penyakit rohani dan jasmani. Pembacaannya mendapat pahala dan menjadi santapan rohani kepada jiwa. Malah, amalan ruqyah syariyah merupakan benteng ampuh untuk melawan ilmu hitam, sihir, guna-guna, iri hati dan sebagainya yang bersifat mistik. Jangan kita ingat bahawa pada zaman moden ini amalan mistik yang jahat sudah tidak diamalkan..anda silap. Hal ini kerana selagi manusia hidup bertopeng kepada nafsu dan hasutan syaitan, maka amalan mistik dan ilmu hitam yang bersekongkol dengan jin semakin subur. Jika terkena kepada diri sendiri barulah anda yakin..

Nasihat saya, marilah kita belajar kaedah pengubatan Islam berteraskan ruqyah syariyah ini. Janganlah mengharapkan ada orang lain yang boleh merawat diri kita. Rawat diri sendiri dan rawatlah  keluarga sendiri dahulu. Jangan berharap sangat dengan orang lain jika kita sendiri mampu mempelajari ruqyah syariyah.

Kasihan dan simpati

Keberkesanan amalan ruqyah ini bukanlah boleh dicapai dalam masa yang singkat. Istiqamah itu yang penting. Amalkan doa-doa dan ayat-ayat ruqyah yang dipelajari secara ansur maju. Buat sedikit-sedikit dahulu, kemudian barulah ditambah mengikut kesesuaian masa dan tenaga. Yang penting ISTIQAMAH. Bila wirid amalan ini dibuat secara istiqamah, maka akan lahirlah pertolongan daripada Allah. Wirid amalan tersebut menjadi NUR yang bertindak mengikut niat kita...cubalah.