Tuesday, 21 October 2014

PUASA ASSYURA PADA BULAN MUHARAM



Assalamu’alaikum wwt.

Dalam hal menyampaikan sesuatu yang berkaitan dengan agama Islam terutamanya tentang fadhilat atau kelebihan, saya mengambil langkah berhati-hati kerana bimbang memetik sumber palsu terutama dalam bab hadis. Oleh hal yang demikian, saya merujuk kepada sumber-sumber yang diyakini benar dan berkelayakan seperti  Portal Rasmi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Bersempena dengan kedatangan bulan Muharam 1436 Hijrah ini, kita sering dikhabarkan akan kelebihan berpuasa pada 10 Muharam. Hasrat saya, marilah kita semua melaksanakan ibadah yang datang khusus dalam bulan Muharam ini.  Tulisan pada kali berfokus tentang sejarah dan fadhilat Puasa Assyura pada Bulan Muharam.  

Puasa Sunat 9 dan 10 Muharam


SEJARAH PUASA ASSYURA

Hadith (Riwayat Muslim)
Dari Aisyah r.a. katanya "Biasanya orang Quraisy pada masa jahiliah berpuasa pada hari asyura dan Nabi s.a.w. pun berpuasa. Ketika Baginda tiba di Madinah, baginda juga berpuasa pada hari asyura dan menyuruh orang lain berpuasa juga".

Huraian Hadis: 
Hari 'Asyura merupakan hari yang kesepuluh daripada bulan Muharram. Rasulullah saw. telah menggalakkan umat Islam agar berpuasa pada hari terseut kerana ia mempunyai kelebihan yang tersendiri di samping kelebihan bulan Muharram itu sendiri. 10 Muharram juga telah mencatatkan beberapa peristiwa penting untuk renungan kita bersama sepertimana yang dicatatkan oleh Imam al-Ghazali dalam kitabnya Mukasyafatul Qulub ialah bahawa pada tarikh tersebut:

(1) Terbunuhnya Sayyidina Hussain (cucu Nabi) di Karbala'.
(2) Diterima taubat Nabi Adam a.s.
(3) Dicipta Adam a.s.
(4) Dimasukkan Adam a.s ke dalam syurga.
(5) Dicipta arasy, Kursi, langit, matahari, bulan, bintang-bintang.
(6) Dilahirkan Nabi Ibrahim a.s.
(7) Selamat Nabi Ibrahin daripada api Namrud.
(8) Selamatnya Musa dan pengikutnya.
(9) Lemasnya Firaun.
(10) Dilahirkan Nabi Isa a.s.
(11) Diangkat Nabi Isa ke langit.
(12) Diangkat Nabi Idris ke langit.
(13) Mendaratnya kapal Nabi Nuh dengan selamat di atas bukit Judy.
(14) Nabi Sulaiman diberi kerajaan yang besar.
(15) Dikeluarkan Nabi Yunus dari perut ikan Nun.
(16) Nabi Ya'kub dapat melihat kembali selepas daripada menjadi buta.
(17) Dikeluarkan Nabi Yusuf daripada telaga buta.
(18) Disembuhkan Nabi Ayyub daripada penyakitnya.
(19) Hujan yang pertama turun dari langit ke bumi.


FADHILAT PUASA ASSYURA

Hadis (Riwayat Muslim)
Dari Abu Qatadah al-Anshari r.a. katanya:Rasulullah s.a.w. ditanya orang tentang puasa hari Arafah (9 Zulhijjah). Jawab baginda, "Semoga dapat menghapus dosa tahun yang lalu dan yang akan datang". Kemudian Nabi ditanya pula tentang puasa hari asyura (10 Muharram). Jawab baginda, "Semoga dapat menghapuskan dosa tahun yang lalu".

Huraian Hadis: 
Allah memberikan kita nikmat yang tidak terbilang banyaknya. Hal ini termasuklah peluang-peluang melakukan amal ibadat yang diganjari dengan pahala yang berlipat kali ganda berbanding dengan amalan-amalan yang dilakukan pada waktu-waktu biasa. Contohnya Allah memuliakan bulan Muharram dan menggalakkan kita berpuasa sunat. Peluang ini mungkin dipandang remeh bagi orang yang tidak mengetahui akan kelebihan yang ada padanya tetapi hakikatnya itulah nilai yang menentukan sejauh manakah kepekaan seseorang Muslim itu dalam mencari keredhaan Allah SWT dengan cara yang terbaik iaitu ia tidak mensia-siakan nikmat sihat dan kelapangan waktu yang dikurniakan padanya kerana apabila seseorang itu sudah ditimpa sakit ataupun sibuk barulah mereka terasa akan kekurangan diri dalam mempersiapkan bekalan di hari akhirat kelak. Oleh itu marilah kita bersama-sama menyahut seruan Rasulullah ini mudah-mudahan ketaqwaan kita kepada Allah SWT semakin meningkat.

ALLAHU AKBAR

Sumber:

Monday, 20 October 2014

BULAN MUHARAM : CABARAN DAN AMALAN



1 Muharam 1436 Hijrah (25 Oktober 2014 Masihi)

Assalamu’alaikum wwt
Saudara pembaca yang dihormati,

Tidak berapa lama lagi umat Islam akan menyambut Bulan Muharam atau dikenali juga dengan nama Bulan Hijrah. Bulan ini membawa erti yang besar kepada sejarah Islam dan pembinaan kekuatan umat Islam. Tulisan pada kali ini ingin mengajak kita merenung akan cabaran dan amalan dalam Bulan Muharam

CABARAN

Awal Muharram sekali lagi menyingkap tirai dan mengimbau perjuangan agung Rasulullah s.a.w. menghadapi kebejatan jahiliah dan kemelut permasalahan yang tidak berkesudahan. Hal ini  sekaligus membuka satu lembaran baru dalam sejarah kemerdekaan sejati bagi umat Islam daripada belenggu jahiliah dalam pelbagai aspek kehidupan.

Penggunaan Takwim Hijrah yang digunakan pada masa sekarang telah bermula pada tahun ke 17 Hijrah, iaitu pada zaman pemerintahan Khalifah Umar al-Khattab. Penetapan permulaan tarikh bagi Takwim Hijriyah ini, diambil sempena peristiwa penghijrahan Rasulullah s.a.w. yang bermula pada tanggal 2 Rabiulawal bersamaan 14 September 622 Masihi. Baginda sampai di Quba' pada tanggal 8 Rabiulawal bersamaan 20 September 622 Masihi pada hari Isnin. Jika dihitungkan kembali, maka 1 Muharram bagi tahun pertama Hijrah jatuh pada 16 Julai 622 Masihi iaitu pada hari Jumaat berdasarkan kiraan rukyah.

Peristiwa hijrah perlu dikenang oleh umat Islam setiap tahun apatah lagi ketika menyambut sambutan awal Muharram, untuk menjadi pengajaran dan peringatan tentang pengorbanan Rasulullah s.a.w. dan sahabat-sahabatnya menegakkan Islam. Mudah-mudahan dengan kenangan itu dapat menimbulkan kesedaran di kalangan umat Islam bahawa kemuliaan Islam dan kewujudan negara Islam bukanlah diperoleh dengan mudah. Sebaliknya perkara ini perlu melalui perjuangan yang gigih dan pengorbanan yang tinggi.

Kini umat Islam hidup di dalam pelbagai cubaan dan dugaan yang amat mencabar. Lebih-lebih lagi pada saat dunia sedang menghadapi ledakan kemajuan yang tidak berhenti-henti. Paling mencabar, dakwah Islamiah hari ini memasuki era siber serta memerlukan kepakaran di dalam bidang sains komputer dan multimedia yang tinggi. Dunia tanpa sempadan, konsep langit terbuka, kerajaan elektronik, perdagangan elektronik, munculnya penyakit-penyakit yang kronik, budaya-budaya Barat yang semakin banyak didedahkan kepada masyarakat dunia, penerokaan pelbagai jenis disiplin ilmu dan sebagainya, merupakan sebahagian daripada cabaran yang mesti disahut oleh umat Islam hari ini.

Cabaran Ilmu

Umat Islam yang mengambil sikap tunggu dan lihat akan tertinggal jauh di belakang. Akhirnya mereka akan menjadi pengkagum kehebatan yang dicapai oleh orang lain. Dalam masa yang sama jika umat Islam ingin turut sama mengejar kehebatan tersebut, maka mereka perlulah mempersiapkan ilmu pengetahuan yang tinggi dan mestilah sanggup mengorbankan masa, tenaga dan belanja yang banyak demi kemajuan hidup mereka sendiri. Namun begitu, persoalannya berapa keratkah di kalangan kita yang sanggup berusaha bermati-matian untuk tujuan tersebut? Sebaliknya masih ramai lagi yang hanya duduk menghabiskan masa tanpa berusaha menuntut ilmu pada tahap yang sewajarnya.

Jika direnung betapa hebatnya persiapan Rasulullah s.a.w. dan para sahabat r.a. bersedia sebelum menjayakan hijrah dari Mekah ke Madinah suatu masa dahulu, maka sudah tentu kita akan menitiskan air mata mengenangkan hebatnya pengorbanan yang telah dilakukan. Kita bersyukur kerana hasil titik peluh, darah dan air mata merekalah, maka kita berpeluang untuk menikmati nikmat iman dan Islam pada hari ini. Barangkali tidak pernah terdetik di lubuk hati para sahabat r.a. ketika itu bahawa seruan dakwah yang mereka usahakan di celah-celah kezaliman kuffar Quraisy di tengah padang pasir dahulu kala, kini menjadi bahan perbincangan hebat antara ulama’ dengan penduduk dunia melalui internet. Bersama kecanggihan ini juga ayat-ayat al-Quran yang mereka hafaz di dalam dada dan menjadi amalan hidup dahulu, kini banyak yang hanya menjadi hiasan di dinding rumah-rumah umat Islam. Masjid yang menjadi tempat penyebaran ilmu dan bersyura dahulu, kini hanya menjadi bahan kebanggaan dan kemegahan binaan dan ukiran indah tetapi sepi daripada jemaah yang keluar masuk untuk beribadat dan beri’tikaf di dalamnya. Kalau dahulu penyebaran dakwah bergelumang dengan cacian kuffar, penindasan, maksiat dan berhala.

Kekuatan Rohani dan Jasmani

Sesungguhnya persiapan utama yang disediakan oleh Rasulullah s.a.w. bersama para sahabat r.a. sebelum bermulanya misi hijrah ialah memberi kekuatan rohani dan jasmani. Perkara asas yang ditekankan oleh baginda ialah persoalan akidah. Akidah yang mantap dan keyakinan yang jitu terutama terhadap ganjaran selepas mati menjadi pendorong kuat kepada kejayaan hijrah agung itu. Di samping kekuatan rohani yang utuh maka keteguhan ekonomi, kekuatan ketenteraan, ketinggian disiplin, kesempurnaan fizikal atau jasmani juga amat ditekankan oleh baginda sebelum berhijrah. Walau bagaimanapun, Rasulullah s.a.w. sekali-kali tidak pernah mengabaikan pra syarat utamanya iaitu pegangan akidah, iman dan akhlak yang tinggi pada diri para sahabat r.a. Ini kerana tanpa syarat utama tersebut, maka semua kekuatan lain tidak berguna untuk menghadapi cabaran dan ujian yang amat hebat.

Lihatlah sendiri betapa kuatnya iman Abu Bakar as-Siddiq r.a. yang terkenal sebagai seorang hartawan dan dermawan. Begitu juga dengan iman Saidina Umar al-Khattab r.a. yang terkenal dengan keberaniannya menghunus pedang dan mematahkan kelancangan musuh. Demikian juga dengan para sahabat baginda yang lain yang nama-nama mereka disenaraikan oleh Rasulullah s.a.w. menjadi kumpulan terawal diterima masuk sebagai tetamu syurga. Tanpa kekuatan iman nescaya ilmu yang banyak akan membawa seseorang itu menjadi angkuh dan kufur. Begitulah juga orang yang berharta akan menjadi bakhil dan tamak haloba manakala orang yang kuat perkasa pula menuntut upah yang banyak sebelum turun ke medan jihad dan sebagainya. Kelemahan iman juga akan menjerumuskan mereka kepada cintakan dunia, takutkan mati, suka menabur fitnah, berbangga-bangga dan suka mengampu demi mendapat habuan dunia yang fana ini.

Sesungguhnya peristiwa hijrah yang dicatatkan sebagai proses terpenting dalam pembentukan sesebuah negara Islam pertama di Madinah, tidak dicapai dengan cakap-cakap mulut sahaja. Ia bukan hanya slogan retorik semata-mata. Ia juga bukan hasil daripada pemerasan kuasa ke atas kaum yang lemah, penipuan, taktik kotor, menindas sesuatu kumpulan atau kekerasan yang tidak berhati perut. Malah ia sebenarnya bertitik tolak berkat daripada kesabaran yang tinggi, keikhlasan yang lahir dari hati yang murni dan pengorbanan para pencinta keadilan yang terdiri daripada para sahabat r.a.

Umat Islam hari ini wajib mempersiapkan diri untuk melakukan hijrah menuju ke alaf baru. Dunia tidak akan menunggu sesuatu umat untuk sama-sama mencapai kecemerlangan. Kita juga perlu sedar bahawa kita tidak disuruh duduk menunggu sehingga dijemput kematian lalu kita keluar daripada alam ini tanpa melakukan apa-apa perubahan. Sebaliknya kita disuruh dan diwajibkan berusaha sedaya upaya mencapai kejayaan di dunia sehingga ajal tiba. Cuma satu, kita dilarang daripada mengejar dunia sampai melupakan akhirat.

Golongan yang mundur biasanya sengaja mewujudkan halangan untuk cemerlang di dalam hidupnya. Manakala golongan yang maju sentiasa bersedia berhadapan dan mengatasi hambatan dan halangan-halangan seperti perasaan takut gagal untuk bersaing, sikap suka bertangguh, malas, banyak dalih dan banyak angan-angan. Golongan yang pesimis juga mempunyai banyak prasangka buruk terhadap sesuatu perkara, banyak cakap daripada bertindak, banyak helah dan suka menjadi 'pak turut' kepada orang lain.

Memperbaiki Kelemahan

Kebanyakan daripada umat Islam amat suka menumpukan kekurangan yang ada pada diri sehingga segala kekuatan dan kelebihan yang dikurniakan oleh Allah pada setiap diri mereka menjadi terlalu halus dan tidak mampu kelihatan langsung. Akhirnya mereka menyenaraikan satu persatu kelemahan diri dan halangan demi halangan sehingga tidak berdaya melakukan apa-apa anjakan paradigma. Di samping itu, manusia seperti ini suka menyalahkan orang lain, masa dan keadaan persekitaran. Golongan ini seterusnya menjadi kelompok yang tidak percaya kepada diri sendiri dan terlalu bergantung kepada orang lain. Mereka hidup tanpa perlu berusaha lebih daripada biasa. Sikapnya sentiasa berpada dengan apa yang ada dan kerap kali mengharapkan rezeki datang bergolek dengan hanya bertawakal tanpa usaha.

Sudah sampai masanya umat Islam menghapuskan segala halangan untuk menang di dalam perlumbaan mencapai apa yang diusahakan. Mereka perlu tahu dengan jelas apakah keutamaan yang sebenarnya dan seterusnya bertindak melaksanakan prinsip-prinsip yang menyokong kemenangan dalam semua persaingan. Umat Islam kini wajib melakukan persiapan untuk berhijrah. Persiapan pertama adalah memperteguhkan iman menerusi ilmu dan amal soleh. Mempertingkatkan disiplin diri terhadap ketepatan masa, kejelasan matlamat dan segera bertindak adalah juga menjadi prinsip kejayaan yang utama. Dalam masa yang sama, umat Islam mesti bersedia menceburi semua bidang ilmu yang ada dan yang lebih mencabar. Dengan cara ini sahajalah, umat Islam akan mampu menguasai dunia ini tanpa dikongkong oleh orang lain. Jika tidak maka selama itulah umat Islam asyik merungut dan menyalahkan orang lain dan suasana. Sedangkan sebenarnya diri mereka sendirilah yang menyebabkan umat Islam di pandang hina dan diperlekehkan.

Di dalam al-Quran, Allah Taala berulang kali menegaskan supaya orang yang berakal iaitu 'Ulul Albab' sentiasa peka dan mengambil iktibar daripada umat-umat terdahulu dan peristiwa sirah yang berlaku. Justeru sewajarnyalah kita mempelajari falsafah hijrah dan segala persiapannya sebagai persediaan untuk kita menghijrahkan diri menuju ke alaf baru.

AMALAN

Doa Akhir Tahun dan Doa Awal Tahun

Amalan yang biasa dilakukan sempena menyambut bulan muharram ialah bacaan doa akhir tahun dan doa awal tahun. Walaupun terdapat perbincangan dan kekhilafan tentang bacaan doa ini, namun selagi ia merupakan doa yang tidak bercanggah dengan al-Quran dan al-Sunnah, maka ianya baik untuk umat islam. 


Doa Akhir Tahun Hijrah
Doa Akhir Tahun dibaca 3 kali pada akhir waktu Asar atau sebelum masuk waktu Maghrib  pada akhir bulan Zulhijjah.
 





Doa Awal  Tahun Hijrah
Doa Awal Tahun dibaca 3 kali selepas maghrib pada malam satu Muharram.





Berpuasa

Antara kemulian bulan-bulan haram ini ialah disunatkan berpuasa. Daripada Abu Hurairah dalam hadis marfu' telah berkata : Nabi ditanya : “Apakah solat yang lebih afdhal selepas solat fardhu? dan apakah puasa yang lebih afdhal selepas bulan Ramadhan?. Maka jawab nabi s.a.w. : Sebaik-baik solat selepas solat yang telah difardhukan ialah solat pada pertengahan malam dan sebaik-baik puasa selepas bulan Ramadhan adalah puasa pada bulan-bulan Allah al-Muharram (bulan-bulan haram)”. Hadis diriwayatkan oleh Imam Muslim, Abu Daud, al-Tirmidhi, al-Nasai'e dan Ibnu Majah.

Di samping itu, disunatkan juga kepada umat Islam untuk berpuasa pada 9 dan 10 Muharram. Ini kerana tarikh 10 Muharram (atau dinamakan hari ‘asyura yang bermaksud sepuluh) mempunyai nilai sejarahnya yang tersendiri. Manakala disunatkan juga berpuasa pada 9 Muharram sebagai mukhalafah (membezakan) di antara kaum Yahudi yang turut berpuasa pada 10 Muharram.

Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas r.a katanya: Sewaktu Rasulullah s.a.w tiba di Madinah, baginda mendapati orang Yahudi berpuasa pada hari Asyura. Ketika ditanya tentang puasa itu, mereka menjawab: Hari ini adalah hari kemenangan yang telah diberikan oleh Allah kepada Nabi Musa a.s dan kaum Bani Israel dari Firaun. Kami merasa perlu untuk berpuasa pada hari ini sebagai suatu pengagungan kami padaNya. Lalu Rasulullah s.a.w bersabda: Kami lebih berhak daripada kamu terhadap Nabi Musa dalam hal ini. Kemudian baginda memerintahkan para Sahabat supaya berpuasa pada hari tersebut. – Hadis diriwayatkan oleh Imam Bukhari, Muslim, Abu Daud, Ibnu Majah dan al-Tirmidhi.   

Dalam hadis yang lain, Ibnu Abbas berkata : Apabila Rasulullah s.a.w. berpuasa pada hari ‘asyura dan memerintahkan para sahabat berpuasa padanya, mereka berkata : Wahai Rasulullah, ini ialah hari yang dimuliakan oleh Yahudi dan Nasrani. Maka Rasulullah s.a.w. berkata, “Pada tahun hadapan – Insya Allah- kita berpuasa pada hari kesembilan.” Maka tidak tibanya tahun hadapan itu sehingga wafatlah Rasulullah s.a.w.. – Diriwayatkan oleh Muslim dan Abu Daud.  

Mungkin timbul persoalan, mengapakah Nabi s.a.w mencontohi kaum Yahudi berpuasa pada 10 Muharram padahal baginda sendiri melarangnya di dalam sabdanya yang bermaksud: '… Berbezalah kamu dengan Yahudi serta Nasrani… berbezalah dengan Musyrikin'.?  

Sebenarnya amalan berpuasa pada hari asyura' (10 Muharram) telah dilaksanakan oleh Rasulullah sebelum baginda berhijrah ke Madinah lagi. Ini berdasarkan hadis yang dinyatakan oleh Saidatina Aisyah yang bermaksud: 'Sesungguhnya hari ‘asyura merupakan hari yang berpuasa padanya kaum Quraisy di zaman Jahiliyyah.  Rasulullah s.a.w. juga berpuasa padanya. Apabila baginda memasuki Madinah, baginda terus berpuasa dan memerintahkan manusia berpuasa. Apabila diwajibkan puasa Ramadhan, baginda bersabda, “Sesiapa yang ingin berpuasa, teruskan, Sesiapa yang ingin meninggalkan (juga dibolehkan)'. – Muttafaq ‘Alaih

Bubur Asyura

Selain itu, bagaimana pula dengan program membuat bubur asyura yang sering diadakan oleh masyarakat Melayu? Perlulah dijelaskan bahawa program membuat bubur tersebut  tidak lebih dari program gotong-royong dan jamuan makan yang sememangnya digalakkan di dalam Islam. Sebaliknya menjadi suatu kesalahan sekiranya menganggap bahawa membuat bubur tersebut adalah sebagai suatu sunnah daripada nabi. Begitu juga dakwaan yang menyatakan bahawa Nabi Nuh a.s. membuat bubur tersebut apabila turun dari kapal.  Ia adalah satu dakwaan yang tidak bersandarkan kepada hujah yang jelas daripada agama.  


KESIMPULAN

Sesungguhnya sifat pengorbanan yang dimiliki dan diperlihatkan oleh Rasulullah s.a.w. dan umat Islam pada zaman baginda merupakan bukti kesungguhan dan kecintaan mereka yang mendalam terhadap akidah Islam dan ketaatan yang tidak berbelah bahagi terhadap perintah Allah s.w.t. Sifat seperti inilah yang sepatutnya ada dan diikuti oleh generasi umat Islam hari ini.  Oleh yang demikian,  apakah yang harus dilakukan oleh umat Islam ketika menyambut tahun baru hijrah ini?  Adakah sudah memadai disambut dengan hanya mengirimkan ucapan selamat tahun baru, melalui sms atau email?  

Sambutan awal Muharram dan tahun baru hijrah ini hendaklah diikuti dengan usaha melakukan perubahan pada diri dan masyarakat agar penyelewengan akidah dan keruntuhan akhlak dapat diperbetulkan dan Islam sebagai agama yang mulia dan tinggi dapat didaulatkan dan diletakkan di tempat yang sewajarnya.  Sehubungan dengan itu, sambutan Tahun Baru Hijrah tahun ini hendaklah  disambut dengan lebih meriah dan bermakna, agar kecemerlangan dan kegemilangan Islam dapat dihayati dan dikembalikan kepada umat zaman ini.

Sumber: