Tuesday 31 December 2013

KEJAHATAN BOMOH DAN PENGKHIANATANNYA



Salam  sejahtera buat pembaca sekalian,

Beberapa minit lagi tahun 2013 akan melabuhkan tirainya. Segala suka dan duka akan dibawa bersama dalam lipatan sejarah. Apa yang penting ialah yang baik jadikanlah teladan dan yang buruk jadikanlah sempadan. Mudah-mudahan tahun baru 2014 yang bakal menjenguk kita akan membawa seribu keazaman dan harapan dalam kehidupan kita.. Apa yang pasti, bekalan kita untuk menuju ke negeri akhirat yang kekal abadi sudah dipersiapkan. Kita tidak tahu, apakah tahun 2014 merupakan tahun terakhir kita menghirup udara di dunia ini? Sesungguhnya ajal dan maut merupakan ketentuan daripada Tuhan Yang Maha Esa..

 
Antara ritual perbomohan
Tulisan kali ini ingin mengajak pembaca merenung sejenak akan profesion perbomohan yang menjadi darah daging dalam kehidupan manusia. Kerjaya bomoh memang terkenal di alam Melayu sejak dahulu lagi. Tidak dinafikan bahawa tugas bomoh ini memang mulia kerana sanggup membantu manusia yang berada dalam kesusahan terutama membantu menyembuhkan penyakit dan sebagainya. Namun, yang menjadi persoalannya ialah mengenai amalan perbomohan yang menyalahi kehendak agama.

Telah menjadi kebiasaan dan lumrah bagi sesetengah bomoh yang mengubati pesakit tidak menggunakan ayat-ayat suci Al-Quran dan doa-doan yang masyhur dan ma’tsur. Lebih jauh daripada itu, bomoh ini menggunakan jin atau khadam di dalam merawat pesakit. Bentuk penghianatannya ialah menyesatkan manusia dengan aqidah dan ma’rifat mereka. Dari segi istilah syaraknya, mereka ini disebut sebagai "Ahli Sihir"

Apabila pesakit mengunjungi bomoh (termasuk dukun atau pawang), mereka ini sanggup menunaikan segala permintaan pesakitnya walaupun permintaan tersebut bertentangan dengan kehendak syarak. Ada bomoh yang sanggup melakukan supaya suami boleh menceraikan isterinya, pengasih dan pelalau kepada seseorang, boleh membuatkan seseorang itu jatuh sakit, memecahbelahkan keluarga, saling benci membenci, pelaris, azimat, tangkal, guna-guna dan sebagainya. Hal-hal yang semacam ini memang jelas merupakan satu pengkhianatan dan kita mestilah mengawasi dan menjauhkan diri daripada tipu daya mereka. Mudah-mudahan kita terselamat di dunia dan di akhirat.

Bomoh (Ahli Sihir) dalam Pandangan Syariat

Al-Imam Malik bin Anas di dalalam kitabAl Muwattho’ katanya:

“Ahli Sihir yang mengerjakan sihir pada halnya orang lain tidak mengerjakan, bahawa harus dibunuh apabila dia sendiri yang mengerjakannya.”

Al-Imam Ibnu Qudamah Al Muqaddisi berpendapat katanya:

“Hukuman terhadap tukang sihir ialah dibunuh.  Hal ini diriwayatkan daripada Asyaduna Umar bin Al Khattab, Uthman bin Affan, Hafsah binti Umar, Jundub bin Ka’ab, Qais bin Saad dan Umar bin Abdul Aziz iaitu dengan satu riwayat daripada Imam Abu Hanifah dan Imam Malik.”

Menurut Al Imam Al Syafi’e  katanya:

“Tidak dibunuh ahli sihir melainkan jika ia (ahli sihir) mengakui bahawa
dia membunuh dengan sihirnya.”

 Kesimpulan

Jelaslah daripada huraian yang ringkas tersebut dapat menyedarkan kita akan bahayanya bomoh yang boleh dilabel sebagai ahli sihir. Janganlah kita mudah terpedaya akan kehebatan seseorang itu (bomoh) yang berupaya menyembuhkan pelbagai penyakit atau menunaikan hajat dengan ritual yang pelik-pelik yang menyalahi syarak. Kebanyakkan bomoh menggunakan khidmat jin atau khadam untuk menjayakan misinya. Marilah kita berpegang teguh kepada ajaran Nabi Muhammad saw yang meninggalkan dua pusaka berharga  kepada kita  iaitu Al-Quran dan Hadisnya.  

Rujukan:
Muhammad Rajab Akmal bin Abdul Halim Al-Idrisi, Thibb Al-Idrisi Al-Ansari
Darul Ansar, 2011.

No comments: