Sunday, 22 December 2013

ADAKAH JIN SAKA ITU BAIK ?



Assalamu’alaikum wwt..

Pengenalan

Masyarakat Melayu umumnya tidak terlepas daripada mewarisi jin saka. Hal ini berpunca daripada banyak sebab.  Antara sebab utamanya ialah adanya perjanjian  yang disedari atau tidak disedari  antara datuk nenek moyang kita terdahulu dengan segolongan jin. Jin saka ini banyak kategorinya seperti digunakan untuk menjaga rumah atau kebun, untuk tujuan rawatan perbomohan, untuk membantu menjadi bidan dan sebagainya.  Kita janganlah menyalahkan 100% kepada datuk nenek moyang kita atas keterlibatan perbuatan tersebut kerana perbuatan tersebut adalah perlu pada waktu itu.  Semoga Allah mengampuni mereka.

Namun seiring dengan perkembangan zaman sehinggalah pada zaman sekarang, nampaknya khidmat jin saka tersebut tidak diperlukan lagi. Ramai anak cucu yang tidak mahu mewarisi jin saka tersebut, namun hal tersebut tidak bagi jin saka. Bagi tanggapan jin saka, tugas mereka adalah untuk memberikan khidmat kepada anak cucu tersebut biarpun khidmatnya tidak diperlukan lagi. Jin saka akan terus mencari darah pertalian yang rapat untuk terus bersarang dalam tubuh manusia. Jin saka ini umpama parasit yang akan terus mendiami jasad anak cucu Adam.

Persoalannya apakah jin saka itu baik? Jika ada kebaikannya, dari sisi mana untuk dinilai kebaikan tersebut?

Tiada jin saka yang baik

Saya berpendapat tidak ada jin saka yang baik. Jin-jin saka biasanya mengaku sebagai saka yang baik bagi tujuan rawatan, perbidanan, urut-mengurut, membantu dalam kerja perladangan dan menjaga kebun. Ini semua adalah penipuan jin-jin jahat yang berpura-pura membantu manusia, tetapi pada akhirnya menuntut balasan kepada pemilik asalnya dengan menyebabkan sakit, nyanyuk ataupun dikuasai oleh jin ketika umur tuanya..kasihan

Jin-jin saka yang baik, mereka mengaku kononya beragama Islam dan atas dasar itu, mereka berlaku baik kononya demi menolong manusia ataupun mengajar manusia.  Hakikat yang sebenarnya, jin-jin saka ini hanya menyamar sebagai jin-jin Islam.

Ya... jin-jin saka ini adalah jin-jin kafir tetapi mengaku Islam dan menipu orang Islam. Hal ini tidaklah menghairankan kerana misi dan visi utama mereka adalah untuk menyesatkan serta menimbulkan elemen syirik dalam amalan seperti memohon bantuan daripada jin-jin...bukan kepada Allah (syirik khafi).

Petunjuk daripada al-Quran sememangnya melarang manusia meminta pertolongan daripada jin-jin bagi melaksanakan tugas-tugas harian atau sebarang hajat. Allah berfirman, maksudnya;

“Dan sesungguhnya ada beberapa orang lelaki dalam kalangan manusia, menjaga dan melindungi dirinya dengan meminta pertolongan daripada ketua-ketua golongan jin, kerana permintaan itu, golongan jin menjadikan mereka bertambah sesat.” (Surah Jin , ayat 6)

Jin-jin kafir yang mengaku Islam ini selalunya berselindung di sebalik gelaran seperti khadam,khadam ayat, rijalulghaib, wali-wali Allah, syeikh-syeikh, malaikat penjaga dan sebagainya yang mengelirukan. Semuanya ini mampu merosakkan akidah seseorang kerana penipuan halus ini dapat memperdayakan manusia termasuklah dari kalangan orang-orang alim dalam agama.  Bukankah Allah memerintahkan supaya kita semua meminta dan berdoa terus kepadaNya tanpa apa-apa perantaraan?  Sekiranya individu itu bersetuju dengan konsep perantara bagi merapatkan hubungan denga Allah, apakah pula bezanya orang itu dengan penyembah berhala yang menyakini berhala itu bukan tuhan tetapi hanya sebagai perantara mendekatkan diri dengan Tuhan?

Jin-jin saka yang menyamar sebagai penganut agama Islam dan jin-jin saka yang kononnya baik ini akan memastikan hidup pemilik-pemiliknya susah ketika tua.  Tujuan terakhir mereka sama seperti tujuan asal permusuhan iblis dan manusia, iaitu menghalang manusia daripada bertauhid kepada Allah dan Rasul dengan sebenar-benarnya.  Pada ketika itu, pemiliknya akan berada dalam keadaan nazak, jin-jin itu akan menyusahkan dan menghalang habis-habisan pemilik-pemilik asal mereka mengucap Dua Kalimah Syahadah...

Jin Islam tidak mengganggu

Sebenarnya, jin-jin Islam tidak bercampur dengan orang Islam.  Sekiranya ada hubungan sekalipun, hubungan tersebut adalah bersifat minimun dan bukan disengajakan.  Jin-jin Islam haram memasuki rumah orang Islam apatah lagi masuk ke dalam tubuh badan manusia. Sekiranya ada jin yang mengaku Islam masuk ke dalam tubuh manusia, rumah, membuat kekacauan ataupun mendatangkan penyakit ke  atas manusia, sebenarnya mereka adalah golongan jin kafir yang mengaku beragama Islam..  

Kesimpulan

Jelaslah daripada perbahasan yang ringkas tersebut, saya berharap dapat membuka mata kita akan kepalsuan dan penipuan jin-jin saka.  Sekali lagi ditegaskan bahawa tiada ada jin saka yang baik kerana mereka semua pada hakikatnya adalah jin kafir yang menunggu masa menyesatkan manusia secara sepenuhnya, iaitu pada ketika akhir kalam waktu tibanya sakaratulmat (mati).  Jika anda atau keluarga anda disyakki mempunyai jin saka, maka cepatlah-cepatlah anda membuangnya  Mintalah bantuan daripada mereka yang ahli dalam kalangan perawat islam untuk membuang jin saka. Ingat,  cegah sebelum parah!!!

Saya sayang anda....jumpa lagi.

Rujukan:
Perangi Sihir, oleh Engku Ansaruddin Agus dan Dr. Mohd Azlee A. Mutalib.
 PTS Minennia Sdn. Bhd. (2012)

No comments: