Assalamu’alaikum wwt.
Janganlah kita
lalai daripada berzikir (ingat) kepada Allah. Zikir itu ada dua kategori
iaitu Zikir
Hasanah dan Zikir Darajat. Zikir Hasanah
contohnya berzikir Laa illaha ilaaah dengan tiada syarat dan tiada kaedahnya.
Manakala zikir darajat pula iaitu zikir-zikir yang mempunyai kaedah pengamalan
dan petua daripada ilmu tareqat yang diterima daripada guru.
Berzikir Selepas Solat |
Bicara pada kali ini bukanlah untuk membahas tentang
Zikir Hasanah mahupun Zikir Darajah tetapi saya ingin memetik sebuah hadis Nabi
berkenaan dengan Empat Zikir Agung yang besar faedahnya kepada kita.
Maksud Hadis yang
diriwayatkan oleh Ahmad dari Samurah bin Jundab’
“Ucapan yang paling disukai Allah Taala ialah empat.
Subhanallah, Alhamdulillah. Laaillahaillah dan AllahuAkbar. Tidak mengapa anda
mulakan ucapan itu dengan
mana-mana satu darinya.”
Tujuannya:
Allah telah memilih empat jenis zikir yang amat luas
hikmatnya dan amat kaya pengertiannya sebagai zikir-zikir utama yang mengatasi
seluruh zikir-zikir yang lain. Zikir
yang empat itu merupakan seolah-olah
cogan kata lengkap yang diterapkan di dalamnya seluruh konsep tauhid yang
menjadi tiang seri sistem hidup Islam yang murni.
Pertama : Subhanallah
Subhanallah bermaksud “Maha
Suci Allah” atau “Allah itu Maha
Suci”. Konsep Subhanallah ialah membersihkan zat Allah daripada
segala rupa bentuk dan segala sifat yang tidak layak dengan-Nya sebagai khaliq
(pencipta) yang wajib bersifat dengan segala kesempurnaan dan kemuliaan yang
tiada tanding dan sekutu bagi-Nya baik di alam nyata mahupun di luar alam
nyata. Selaian itu, zikir Subhanallah
adalah untuk membersihkan Allah dari segala anggapan yang salah ingatan dan
sangkaan yang bukan-bukan, perasaan-perasaan kecewa dan kecil hati terhadap
Allah. Kerana itu zikir Subhanallah merupakan ungkapan pembersih untuk menyapu
segala fikiran dan segala ingatan yang kotor terhadap Allah Yang Maha Suci.
Kedua : Alhamdulillah
Alhamdulillah bermaksud “Segala
Kepujian kembali kepada Allah”.
Konsep Alhamdulillah ialah memulangkan seluruh sanjungan, puji-pujian,
syukur dan terima kasih hanya kepada Allah sahaja yang menjadi sumber seluruh
kenikmatan, kebesaran, keadilan, kealiman, kepakaran dan sebagainya. Tiada satu
pun makhluk pun yang layak menerima sanjungan dan terima kasih yang hakiki,
sebab apa yang ada pada makhluk itu hanya merupakan pinjaman dan kurniaan
daripada Allah belaka. Demikian juga, apa yang diberi oleh seseorang manusia
kepada manusia yang lain tidak lebih
dari penyaluran nikmat dan rezeki dari Allah yang diberikan menerusinya. Jelaslah, ucapan Alhamdulillah adalah
merupakan ungkapan penyedar, agar setiap manusia tidak terlalu terpesona dengan
darjah-darjah kebesaran, kekayaan, kealiman dan sebagainya yang ada pada
manusia, kerana kepesonaan itu akan menurunkan manusia ke darjah abdi-abdi yang
hina kepada sesama makhluk.
Ketiga : Laaillahaillahah
Kalimah ucapan tauhid Laaillahaillah ini bermaksud “Tiada Tuhan yang sebenar melainkan Allah”.
Konsep Laaillahillah ialah menegakkan tauhid dalam seluruh bidang kehidupan
manusia. Tauhid dalam aqidah berupaya
menolak segala kepercayaan berbilang Tuhan dan segala rupa kepercayaan syirik.
Hanya Allah sahaja yang wajib disembah, bukan bertuhankan yang lain. Ucapan ini
merupakan ungkapan dasar bagi setiap muslim untuk selamat dan mendapat
keredhaan hidup di dunia dan di akhirat. Para rasul dan nabi diutus oleh Allah
untuk menyampaikan tauhid yang agung ini kepada seluruh umat manusia. Hanya
kepada Allah sahaja kita wajib menyembah dan berserah.
Keempat : Allahu Akbar
Ucapan AllahuAkbar bermaksud “Allah
itu Maha Besar”. Konsep
AllahuAkbar adalah untuk membangunkan semangat dan kehormatan diri setiap
mukmin supaya tidak terpesona dan tunduk hina kepada segala kebesaran,
kemuliaan dan kekuatan yang lain daripada Allah. Ini kerana, hanya kebesarabn
Allah sahaja merupakan satu-satunya kebesarabn hakiki yang mengatasi seluruh
kebesaran yang wujud di dunia ini.
Apabila konsep Allah Yang Maha Besar itu telah diterima dan diimani
dengan jujur, maka pasti pula diterima bahawa agama atau undang-undang yang
diturunkan kepada manusia adalah satu-satunya agama atau panduan hidup yang
paling besar, paling tinggi dan paling baik dari seluruh agama atau panduan
hidup ciptaan manusia. Ucapan AllahuAkbar
dijadikan ucapan yang diulang-ulang dalam setiap gerak pindah sembahyang, dalam
azan, dan seterusnya dikumandangkan beramai-ramai di dalam upacara-upacara dua
hari raya Islam agar konsep AllauAkbar itu benar-benar menjadi darah daging dan
penggerak umat Islam ke arah kemuliaan dan kemajuan yang diredhai Allah.
Kesimpulan:
Apabila lidah kita sentiasa berzikir dengan zikir Subahnallah,
Alhamdulillah, Laaillahaillah dan AllahuAkbar maka sertakan dan mesrakan sekali
fikiran dan perasaan kita bersama-sama pengertian dan tujuan-tujuan yang
terkandung di dalam zikir-zikir yang agung itu agar fikiran kita benar-benar
dapat menghayati faedah-faedah ruhaniah yang tersembunyi. Zikir tanpa penyertaan akal dan perasaan
(hati) hanya merupakan kumat-kamit dan laungan-laungan yang tidak bererti.
Ayuh, janganlah kita melupakan
zikir kepada Allah. Amalkan 4 zikir agung ini pada setiap waktu dan setiap
tempat serentah melalui lidah, anggota dan hati...
Rujukan:
Pedoman Hidup dari Hadith-hadith
Rasulullah S.A.W. Dikumpul oleh As-Sayyid Ahmad Al-Hasyimi dan
Al-Imam An-Nawawi. Di ulas oleh Hj. Yusoff Zaky Hj. Yacob. (1989)
No comments:
Post a Comment