Assalamu'alaikum wwt..
Kisah kali ini berkisar tentang penyakit misteri yang
dialami oleh seorang wanita. Penyakit yang dideritainya sudah agak lama dan
puas berubat katanya, namun takdir Allah telah tersurat bahawa penyakitnya agak
lambat sembuh. Tentu ada hikmah disebaliknya. Kisah ini masih baru lagi berlaku
iaitu selepas saya pulang berhari raya aidil fitri baru-baru ini.
Kisahnya begini,
Ada seorang pesakit dari Bandar Jengka telah datang
berjumpa saya untuk mendapatkan rawatan akan penyakit misteri yang dialaminya.
Pesakit ini seorang wanita yang berstatus janda dan merupakan anak seorang yang
terkenal di Bandar Jengka. Pada mula bicaranya, beliau tidak tahupun akan
adanya perawat yang mengamalkan kaedah pengubatan Islam di Bandar Jengka ini.
Beliau hanya tahu apabila ada orang yang menyarankanya supaya datang berjumpa
saya. Dalam bidang rawatan pengubatan Islam ini, saya mengambil sikap tidak
menonjolkan diri. Tiada papan tanda dan tiada kad nama yang mempromosikan akan
khidmat saya ini. Sebab itulah ada orang terdekat yang tidak tahu akan rawatan
Islam yang saya jalankan. Lagipun saya
mempunyai kerja tetap dan khidmat rawatan Islam ini hanya sampingan sahaja dan
merawat jika ada kelapangan masa.
Berbalik kepada kisah pesakit wanita tadi,
Dalam penceritaannya kepada saya, beliau mengatakan
bahawa dia selalu sakit-sakit badan selepas waktu asar dan berlarutan dalam
waktu yang lama. Kata beliau lagi bahawa ada semacam ‘benda’ yang tidak
diketahui bentuknya yang bergerak-gerak di dalam badannya. ‘Benda’ tersebut
selalu bergerak di sekitar perut, bahu dan di bahagian belakang badan. Beliau
perasan bahawa sakitnya akan tiba apabila kakinya terasa sejuk selepas waktu
asar dan selepas itu bermulalah sakitnya. Apabila sakitnya datang, beliau
berasa sungguh tidak selesa kerana kerap sendawa mengeluarkan angin yang banyak
di dalam badan. Kadang-kala tidurnya tidak lena dan terasa nak demam. Bahkan beliau
mengatakan bahawa beliau kerap bermimpi yang menakutkan dan berada di tempat
kotor.
Saya bertanyakannya sama ada beliau telah mendapatkan
rawatan di hospital dan berjumpa dengan doktor pakar. Dengan perasaan hampa,
beliau mengatakan bahawa sudah puas mendapatkan rawatan dan pemeriksaan namun
doktor mendapati beliau tidak mengalami sebarang sakit. Dalam hati saya sudah
mengagak bahawa pasti ada sesuatu yang tidak kena dan berkemungkinan sakit
beliau ini angkara perbuatan jahat jin. Saya tidak berani menuduh bahawa sakit tersebut
angkara perbuatan jin, namun melalui tanda-tanda sakit tersebut berkemungkinan
besar ada campur tangan jin. Wallahu’aklam..
Seperti biasa, saya bacakan doa-doa ruqyah ringkas
kepada air. Kombinasi ayat-ayat tersebut terdiri daripada Surah AlFatihah,
AyatulKursi, Surah Al Ikhlas, Surah Al Falaq dan Surah Annas. Jikalau kita
yakin, memadailah kombinasi surah-surah ini sahaja yang perlu kita amalkan. Saya
lihat pesakit tersandar keletihan di kerusi. Langkah seterusnya ialah, saya
menyuruh pesakit mengikut saya membaca ikrar pemutus saka dan ikrar pemutus
sihir. Lafaz ikrar tersebut diucapkan dengan suara yang agak berat oleh pesakit
tersebut.
Gambar hiasan : Letih dan penat |
Seterusnya, saya lanjutkan pula dengan bacaan ruqyah
Nabawiyah yang saya terima daripada Al-Fadhil Syeikh Muhamad Rajab Akmal bin
Abdul Halim AlIdrisi sambil tangan saya sesekali diletakkan di atas kepalanya. Pesakit
terus sendawa angin tetapi tidak sampai muntah. Pesakit mengatakan bahawa ada
sesuatu benda yang tersekat di kerongkongya tetapi tidak mahu keluar. Lanjutnya
lagi, ‘benda’ atau gangguan di dalam
badannya terasa bergerak turun ke kaki dan kakinya terasa kebas terutama di
sebelah kiri. Pesakit masih lagi kelihatan tidak bermaya.
Seperti biasa, saya akhiri rawatan dengan memohon
kepada Allah agar mengizinkan saya menarik keluar semua penyakit dan punca
penyakit yang zahir dan yang batin termasuk gangguan jin.
Pada malamnya, pesakit menelefon saya mengatakan ada
perubahan mendadak pada dirinya. Terasa perutnya semakin sakit dan tekanan
darahnya naik mendadak. Saya kira, ini adalah simpton tindak balas dan
menyuruhnya bertahan sambil terus meminum air yang telah saya doakan. Mudah-mudahan
sakit beliau segera sembuh. Insya Allah...
Sekian sahaja coretan buat kali ini...
No comments:
Post a Comment