Assalamu’alaikum wwt..
Saudara pembaca yang dihormati,
Tulisan
pada kali ini ingin mengajak pembaca merenung sebentar akan satu bidang yang
sangat penting iaitu perubatan yang pernah diajar dan dipraktikkan oleh Nabi
Muhammad saw. Saya berasa terpanggil untuk mengungkapkan sedikit bicara
mengenai perubatan ini, apatah lagi saya telah membaca sebuah buku yang menarik
mengenainya bertajuk “Kedoktoran Islam” yang ditulis oleh Ahmad Taha dan
diterjemah oleh Ismail Ibrahim.
Terdapat
hadith-hadith yang mengandungi beberapa
isyarat dan pendekatan tertentu terhadap perubatan, dan hal ini dikenali sebagai
"Perubatan Nabi". Ada para ulama' di antaranya Ibn al-Qayyim (691-751 H/I291 1330 M), Hafiz al-Zahari (673-748/1274 1348 M) dan Jalal al-Din al-Sayuti (849-911 H) yang menulis beberapa buah buku
mengandungi kajian tentang Hadith-hadith tersebut. Salah seorang ulama yang
paling terkenal ialah Ibn
al-Qayyim yang telah menulis Kitab al-Tib al-Nabawi oleh, iaitu yang merupakan satu bahagian daripada bukunya Zad al-Ma'ad.
Bagaimanapun,
terdapat juga orang yang mempertikaikan tentang Hadith-hadith Rasulullah s.a.w.
tentang bidang perubatan ini, iaitu adalah merupakan wahyu Allah atau ijtihad
Rasul sendiri. Hal ini samalah seperti satu peristiwa di mana Rasulullah s.a.w.
menyuruh supaya dicantumkan pokok kurma, maka hasilnya tidak menjadi. Maka
dalam hal ini Rasulullah s.a.w. bersabda bahawa; “Sekiranya sesuatu itu mempunyai hubungan dengan duni kamu, maka itu
adalah urusan kamu sendiri, dan sekiranya sesuatu itu mempunyaoi hubungan
dengan agama kau, maka itu adalah urusanku” (Riwayat Ahmad dan Muslim).
Konsep Perubatan Nabi
Sesungguhnya perubatan Nabi adalah perubatan yang timbul daripada wahyu Allah, dan
perubatan Nabi adalah perubatan
ketuhanan berasaskan kepada keyakinan dan kesempurnaan kenabian serta
kesempurnaan akal. Perubatan manusia lain kebanyakannya adalah merupakan
ramalan, prasangka dan percubaan-percubaan. Namun begitu tidaklah dapat
dinafikan bahawa terdapat para pesakit yang tidak mendapat manfaat daripada perubatan
Nabi, kerana yang dapat memanfaatkannya ialah orang-orang yang mahu menerimanya
dan yakin terhadap kesembuhan penyakit serta beriman penuh bahawa al-Qur'an
adalah penyembuh segala penyakit di dalam dada manusia. Jadi sekiranya seseorang
itu tidak beriman dan tidak yakin maka ia tidak akan dapat disembuhkan, terutamanya
penyakit-penyakit dalam diri manusia. maka dengan ini orang-orang yang munafik
akan bertambah sifat buruknya dan orang-orang yang sakit akan bertambah
sakitnya.
Dengan kata lain, perubatan Nabi ini hanyalah sesuai
untuk jasmani yang suci dan baik sama juga seperti penyembuhan al-Qur'an
hanyalah sesuai untuk rohani yang bersih dan hati yang hidup. Maka manusia yang
menjauhkan diri daripada perubatan Nabi adalah merupakan manusia yang
menjauhkan diri daripada mendapatkan rawatan daripada al-Qur'an yang merupakan
ubat yang paling mujarab. Mereka berbuat demikian bukanlah kerana kelemahan
rawatan al-Qur'an dan Hadith, tetapi kerana keburukan tabiat dan ketidaksediaan
badan yang rosak untuk menerimanya.
Dalam hal ini, kami lebih cenderung kepada Ibn al-Qayyim
kerana maksud perubatan ialah menjaga kesihatan dan memelihara jiwa yang merupakan
satu daripada matlamat syariah. Oleh itu tidaklah boleh dikatakan bahawa perubatan
merupakan satu perkara ijtihad semata-mata. Penyembuh sebenarnya ialah Allah s.w.t. Para tabib dan ubat-ubatan
hanyalah merupakan jalan-jalan dan ikhtiar sahaja. Maka, sekiranya diberkati Allah dalam sesuatu
keadaan yang tertentu, nescaya Allah akan memberikan kesembuhan tanpa memerlukan
sesuatu ubat kimia yang diproses di dalam makmal untuk menyembuhkannya.
Bagaimanapun, penggunaan ubat-ubatan seperti yang
terdapat di dalam perubatan Nabi itu tidak pula menghalang pesakit daripada menggunakan
ubat-ubatan yang ternyata berkesan bagi menyembuhkan sesuatu penyakit yang
tertentu. Malah Nabi Muhammad s.a.w. sendiri menyuruh kita berusaha mengubat
penyakit dan baginda menerangkan bahawa cara perubatan pada masa yang akan
datang, dan baginda selalu mengingatkan para sahabatnya supaya mendapatkan
rawatan daripada para tabib yang paling mahir dan paling baik.
Hadith-hadith Nabi Muhammad s.a.w. yang merupakan
panduan sejati untuk orang-orang Islam, sungguhpun tidak mengemukakan satu
sistem perubatan yang tertentu, tetapi Hadith-hadith itu adalah memainkan
peranan yang penting untuk menyediakan persekitaran dan iklim yang sesuai untuk
perubatan Islam. Hadith-hadith itu juga meletakkan asas pemakanan yang betul
dan peraturan-peraturan kesihatan umum yang diikuti oleh generasi Muslim di
sepanjang zaman. Di samping itu, perubatan Nabi adalah merupakan kisah pertama
yang dipelajari oleh pelajar kedoktoran sebelum melakukan tugas kerjayanya.
Oleh yang demikian, sesungguhnya perubatan Nabi telah
dapat menolong menyediakan pemikiran yang terbuka yang sentiasa bersedia untuk
menerima dan mengamalkan ilmu perubatan pada masa yang akan datang. Perubatan
Nabi iuga sebenarnva telah meletakkan sempadan-sempadan dan garis panduan yang
tertentu yang sewajarnya dihormati dalam bidang perubatan.
Perubatan Pencegahan
Perubatan Nabi mementingkan
pencegahan, kebersihan badan, tempat dan jalan-jalan, dan memerangi adat-adat
cemar seperti membuang air kecil dan air besar di tali-tali air, atau
menggunakan air kotor, mengotorkan tempat duduk orang serta tempat-tempat
laluan mereka.
Perubatan Nabi juga mengenakan
hukuman kuarantin apabila lahir tanda-tanda wabak sesuatu penyakit. Di bawah
ini diperturunkan beberapa hadith yang membicarakan hal-hal di atas
"Jagalah
kebersihan, sesungguhnya Islam itu adalah bersih". (Riwayat Ibn Habban).
"Sesungguhnya
Allah itu mulia. Ia sukakan kemuliaan, bersih. Ia sukakan kebersihan, pemurah.
Ia sukakan kemurahan. Maka jagalah kebersihan halaman kamu dan janganlah menyerupai
orang-orang Yahudi. mereka mengumpulkan sampah-sampah di rumah mereka".
(Masnad al-Bazzaar).
"Peliharalah
kamu daripada tiga laknat, buang air besar di tali air, di tengah jalan dan di
bawah naungan". (Riwayat Abu Dawud).
"Sesungguhnya
Rasulullah s.a.w. mencegah buang air di dalam air yang mengalir".
"Sesungguhnya
Rasulullah s.a.w. mencegah buang air di dalam air yang tidak mengalir".
(Diriwayatkan oleh limat riwayat).
"Janganlah
seseorang di antara kamu membuang air kecil dalam air mandi, kemudian mandi
atau berwudu' di dalamnya". (muttafaq 'alaihi).
"Penyakit
taun itu adalah wabak cemar, dihantarkan oleh Allah kepada segolongan
orang-orang Bani Israel atau kepada orang-orang sebelum kamu. Apabila kamu
mendengar tentangnya di satu tempat maka janganlah kamu pergi ke sana, dan
apabila terjadi di tempat yang kamu berada di dalamnya, maka janganlah kamu keluar
melarikan diri daripadanya". (Riwayat al-Bukhari).
Perubatan Rawatan
"Penyembuhan
berlaku melalui tiga perkara; minuman manisan lebah, berbekam dan berdiang di
api, dan aku mencegah umatku daripada berdiang".
Dalam satu riwayat lain
disebutkan:
"dan
aku tidak suka berdiang".
Di samping itu terdapat
juga beberapa jenis rawatan yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w. yang
sehingga ke hari ini masih digunakan, diantaranya ialah merawat penyakit demam
dengan air. Seperti
yang disebutkan di dalam hadith sahih:
"Sesungguhnya demam atau terlalu
tinggi suhu panas itu adalah merupakan percikan-percikan neraka, maka
sejukkanlah dengan air".
Rujukan :
Ahmad Taha : Kedoktoran Islam. Penterjemah: Ismail Ibrahim, Dewan Bahasa
dan Pustaka, 1992
No comments:
Post a Comment