Mungkin para pembaca merasakan tajuk
tersebut agak kelakar tetapi itulah realiti yang pernah saya tempuhi dalam
merawat pesakit.
Kisah ini terjadi pada tahun
2014. Ketika itu saya berada di negeri
Kelantan bersama beberapa orang rakan mengunjungi seorang guru tua. Guru tua
itu banyak memberikan beberapa petua dan ilmu yang berguna dalam kehidupan ini.
Ilmu tersebut sangat diburu oleh kebanyakkan peminat ilmu kebatinan dan sufi
iaitu ilmu Nazoriah.
Pagi itu sewaktu saya ingin
berkemas untuk pulang ke Pahang, satu panggilan telefon telah saya terima
daripada seorang wanita pertengahan umur. Agak pelik dan rasa lucu pun ada
ketika mendengar keluhan penyakitnya yang agak misteri. Dia agak risau kerana
merasakan ada gangguan yang menyebabkan peristiwa itu terjadi yang antara
lainnya tahinya berbau wangi. Saya
berseloroh kepadanya bahawa baguslah begitu. Tak perlulah membeli minyak wangi lagi. Namun wanita itu
agak serius dengan ceritanya dan meminta saya merawatnya. Saya katakan bahawa saya masih lagi berada di
Kelantan dan akan balik pada hari itu.
Agak lama juga wanita itu menyepi diri dan saya pun
sudah agak lupa sehinggalah saya mendapat panggilan telefon daripadanya. Dia
yang tinggal di Felda lepar Utara berhasrat untuk datang mendapatkan rawatan
bagi penyakit misteri yang dialaminya itu.
Sesi
rawatan
Sesi rawatan dimulakan dengan
bacaan ikrar pemutus saka dan sihir. Nampaknya ada sedikit reaksi yang
ditunjukkan. Seterusnya saya meminta pesakit berisgfar dan berselawat mohon
kesembuhan daripada Allah. Tangan kanan saya letakkan di atas kepalanya sambil
membaca kombinasi ayat-ayat ruqyah Nabawiyah. Tiba-tiba pesakit bertindak agresif
dan ingin menyerang saya. “aku kuat, aku kuat”, jeritnya berulang kali sambil
tangannya ingin menumbuk saya. Pada ketika itu saya berada dibelakang pesakit,
jadi tangannya hanya menyapu angin sahaja. Perawat sepatutnya mengambil langkah
berwaspada untuk mengelakkan tindakan agresif pesakit (gangguan jin). Salah
satunya ialah meruqyah pesakit di bahagian belakang badannya.
Sesi dialog tercetus antara saya
dan pesakit (jin) tetapi saya sudah lupa ulas butir bicaranya. Lagipun saya memang tidak suka melayan
gangguan (jin) berdialog. Kadang-kadang bicaranya banyak yang tidak betul
daripada betul. Malah yang lebih parah lagi jika pesakit (jin) memfitnah
orang-orang tertentu yang melakukan atau
menghantar sakit (sihir) kepadanya.
Apabila hal ini didengari oleh ahli keluarganya yang hadir ketika itu,
maka akan timbulkan permusuhan sedangnya kebenarannya masih samar-samar. Saya masih ingat lagi pesanan daripada tuan
guru saya iaitu Ustaz Haron Din supaya jangan melayan bicara dengan pesakit
(jin) dan jangan pandai-pandai memberi ramalan andaian yang bukan-bukan.
Sesi rawatan ditamatkan dengan
kaedah menarik penyakit menggunakan serban. Saya ingatkan kepada pesakit agar
meneruskan lagi sesi rawatan kerana bukan mudah untuk menghilangkan seratus
peratus kesan gangguan (jin) tersebut. Saya juga menasihatinya agar tidak mudah
berputus asa dan perbanyakkan mengingati Allah.
Seterusnya pada hari-hari yang
lain sesi rawatan dilakukan dan sedikit-demi sedikit gangguan (jin) tersebut semakin beransur baik. Saya
juga membekalkan amalan untuk diamalkan. Jangan mengharapkan seratus-peratus
usaha daripada perawat. Pada pendapat saya, perawat hanya memudahkan cara untuk
mengeluarkan ganngguan (jin). Selebihnya adalah usaha daripada pesakit sendiri.
Jika pesakit malas beramal atau leka dengan keduniaan maka tidak mustahil
gangguan (jin) akan menyerang semula.
Sehinggalah pada suatu hari saya mendapat
penggilan telefon daripada wanita itu (pesakit) bahawa dirinya kini sudah pulih
dan tahinya pun sudah berbau busuk.
Aduhai, macam ini pun ada juga.
Sekian sahaja catatan daripada
hamba. Selamat berpuasa.
No comments:
Post a Comment