Assalamu’alaikum wwt.
Kisah ini berlaku dalam bulan Ramadan baru-baru ini.
Petang Ahad itu, saya menghadiri majlis jamuan berbuka
puasa bersama ahli-ahli Persatuan Seni
Silat Seri Pendeta Alam Langkah Tiga Kelantan, Malaysia (SPALTKM) cawangan
Negeri Pahang. Majlis itu diadakan di gelanggang utama yang bertempat di
kampung Gintong, Jerantut, Pahang.
Selesai berbuka puasa, saya berborak-borak sebentar
sementara menanti waktu Isyak. Banyak hal yang dibicarakan, maklumlah saya ini
bukanlah kerap sangat turun ke gelanggang silat. Sedikit sebanyak majlis
seumpama ini dapat mengeratkan tali silaturrahim sesama ahli. Tiba-tiba ada
satu mesej masuk di dalam telefon bimbit saya dan ternyata ada hal penting yang
perlu saya bantu. Sebenarnya mesej tersebut daripada isteri saya yang
mengatakan bahawa ada orang yang sangat berhajat meminta pertolongan saya bagi
berikhtiar merawat ayahnya yang sakit tenat. Sakit tenat? Dalam fikiran saya,
kalau sakit tenat bawalah segera ke hospital.
Saya meminta izin daripada rakan-rakan untuk beredar
segera demi memenuhi hajat orang tersebut. Sesampainya saya di rumah, isteri mengatakan
bahawa orang itu akan datang mengambil saya untuk dibawa ke Jengka 12. “Tak apalah,
jika itu hajatnya apa boleh buat”, ujar saya perlahan sambil menunggu
kedatangan orang tersebut. Ketika itu jam hampir menunjukkan pukul sebelas
malam. Paling tidak proses rawatan ini memakan masa yang lama. Letih memanglah letih, tetapi amanah ilmu
Perubatan Islam terpaksa saya pikul.
Tidak berapa lama kemudian terdengar bunyi kereta dan diikuti
dengan suara orang memberi salam. Ternyata itulah orangnya yang akan membawa
saya merawat bapanya yang sakit tenat itu. Sepanjang perjalanan menuju ke
rumahnya, saya bertanyakan sedikit sebanyak latar belakang penyakit bapanya. Secara
ringkasnya, bapanya sudah terlantar sakit salam masa yang agak lama. Saya dikhabrkan
juga bahawa ayahnya memang ada menuntut beberapa ilmu kebatinan dan ini tidak
menghairankan saya kerana memang lumrah orang Melayu suka menuntut ilmu
kebatinan. Bukanlah saya mengatakan salah menuntut ilmu sebegini, tetapi
bimbang takut tersalah tuntut maka akibatnya akan dirasai ketika usia tua dan
hampir menemui ajal (susah untuk mati). Wallahu’aklam..hanya Tuhan saja yang
tahu. Anaknya tidak tahu banyak sangat fasal ilmu yang dituntut oleh bapanya
itu, sekadar apa yang diberitahu secara ringkas sahaja. Apa yang anaknya
perasan, bapanya itu memang kuat bekerja dan tidak mengenal erti penat ketika masa
sihatnya. Sudah ramai juga orang yang berikhtiar merawat bapanya tetapi Allah
belum mengizinkan untuk sembuh. Bapanya akan tahu setakat mana kemampuan (ilmu)
orang yang merawatnya. Malah bapanya juga tahu jika ada orang yang akan datang
merawatnya.
Sesampainya saya di rumahnya, kelihatan sekujur tubuh
tua yang terbaring lemah. Ternyata si pesakit tidak bermaya untuk bergerak. Tersentuh
hati saya melihat keadaannya. Saya menuntunnya mengucapkan dua kalimah
syahadah, istighfar dan selawat atas nabi. Memohon kepada Allah agar diampuni
segala dosa-dosa yang lalu dan mengharapkan kesembuhan. Tidak lupa juga, saya
menyuruhnya mengikut saya mengucapkan “Ikrar Pemutus Saka”. Maksudnya, jika
mana-mana ada amalannya selama ini yang mengundang kehadiran jin saka, maka
terputuslah ikatan dan perjanjian selama ini. Memohon kepada Allah agar saka
itu akan pergi buat selama-lamanya dan tidak kembali lagi kepad si pesakit dan
mana-mana manusia sekalipun. Jikalau jin saka itu degil atau engkar, maka
jin-jin tersebut akan diazab oleh Allah dan menerima siksaan yang pedih.
Proses ruqyah syariah dimulakan dengan bacaan surah
al-Fatihan dan diikuti dengan rangkaian potongan ayat-ayat suci al-Quran. Pesakit
kelihatan sedikit terkesan dan sesekali tangannya menepis tangan saya. Saya tetap
meneruskan ruqyah sambil mengharapkan pertolongan Allah sama ada
menyembuhkannya atau sebaliknya menurut kehendakNya. Proses rawatan diakhiri
dengan teknik menarik paksa penyakit dan gangguan jin-jin (jika ada di dalam
tubuhnya atau yang mengganggunya). Teknik menarik menggunakan kain saya lakukan
yang bermula di bahagian dadanya dan menarik sehingga ke pergelangan kaki. Tiga
kali proses tersebut saya lakukan dan ternyata pesakit sedikit letih.
Jam hampir menunjukkan pukul satu pagi dan saya memberhentikan
dahulu proses rawatan. Kasihan saya melihat kesengsaraan pesakit tersebut. Pesakit
seolah-olah tidak mahu memandang muka saya dan kelihatan air mata mengalir
dipelupuk matanya. Saya dihantar pulang oleh anaknya dan membuat temu janji
akan mengambil saya untuk rawatan ulangan sakit ayahnya pada hari selasa.
Saya menunggu juga pada hari selasa itu, tetapi tiada
pun panggilan yang diterima. Mungkin ada hal agaknya, fikir saya.
Pada petang Rabu ketika saya membeli bahan-bahan
keprluan dapur, saya disapa oleh seorang pakcik yang tinggal di Jengka 12. Dalam
perbualan singkat itu tiba-tiba terpacul ungkapan yang tidak disangka-sangka
daripada mulutnya mengatakan bahawa ada orang meninggal dunia di Jengka 12 pada
hari Isnin. MasyaAllah, Ternyata orang yang dimaksudkan itu ialah si pesakit
yang saya rawat pada hari Ahad malamnya. Subhanallah...
Sesungguhnya ajal maut di tangan Tuhan..
Sekian sahaja coretan pengalaman daripada saya.
Jumpa lagi.
No comments:
Post a Comment