Assalamu’alaikum wwt..
Ada satu peristiwa yang masih terpahat dalam memori
saya yang tidak akan saya lupa sampai bila-bila. Kalau tidak silap saya, kisah
ini terjadi pada tahun 2013, namun ketika itu tidak sampai hati untuk saya menceritakan
kepada umum. Apa yang hendak saya kongsikan di sini ialah betapa kejamnya
perbuatan seseorang yang sanggup mengkhianati rakannya sendiri dengan
menggunakan ilmu hitam atau sihir. Nama dan tempatnya biarlah saya rahsiakan
kerana kejadiannya mengaibkan. Kisah ini berkisar akan perbuatan mengenakan
ilmu hitam atau sihir kepada keluarga pesakit. Si penyihir yang saya namakan A telah
mengenakan sihir kepada rakan sekerja perempuan yang telah bersuami. Akibat
serangan sihir ini, hubungan suami isteri pesakit sentiasa bermasalah dan
hampir-hampir berlaku perceraian. Akhirnya
si isteri telah berhenti kerja dan membantu perniagaan suaminya. Namun
mesej yang hendak saya sampaikan ialah kita hendaklah menjauhi ilmu hitam dan
kita hendaklah bersikap tabah dalam menempuh ujian hidup bahana ilmu hitam.
Meruqyah Pesakit
Pada suatu hari saya mendapat panggilan telefon
daripada seseorang yang saya kenali yang juga berjiran dengan tempat kediaman
saya di Bandar Jengka. Dia berhajat untuk mendapatkan pertolongan saya dalam
usaha mengubati penyakit dirinya dan terutama sekali isterinya. Sayapun
berkunjung ke rumahnya dan sebelum proses merawat, sedikit sesi soal selidik
saya lakukan untuk memahami permasalahan mereka secara sepintas lalu. Saya kira
agak berat juga masalah mereka dan saya hanya berserah kepada Allah. Rumah
tangga yang dibina sekian lama dan dikurniakan dua orang cahaya mata telah bergolak akibat gangguan ilmu hitam.
Seperti biasa, saya meminta sepasang suami isteri
tersebut mengucapkan ikrar pemutus sihir dengan sepenuh hati dan memohon kepada
Allah agar diberi pertolongan. Saya mulakan proses ruqyah dengan surah
al-Fatihan dan diikuti dengan ayat-ayat suci al-Quran yang terpilih. Dengan
izin Allah, isterinya telah bereaksi dan muntah. Saya juga memeriksa di setiap
bilik dan ruang di dalam rumahnya sambil membaca doa-doa pengusir syaitan.
Pada hari yang lain pula, sekali lagi saya dijemput ke
rumahnya untuk rawatan ulangan kali kedua. Kali ini saya tidak memberi ruang
kepada gangguan (jin) untuk berdolak-dalik lagi. Dengan izin Allah, saya
memerintahkan gangguan (jin) yang berada di dalam badan pesakit untuk
mengeluarkan semua barangan sihir yang terdapat dalam badan pesakit. Kelihatan,
tangan si pesakit membuat gerakan seolah-olah menarik sesuatu dari beberapa
bahagian tertentu dari badannya. Saya juga memberi amaran supaya gangguan (jin)
tersebut segera keluar dan tidak kembali lagi kepada pesakit. Sejauh mana jin
tersebut mematuhi arahan saya itu, hanya Allah jua yang mengetahui. Hal ini
kerana, mungkin jin pengganggu itu telah keluar tetapi tidak mustahil ada lagi
jin lain yang mengambil alih tempatnya. Pergerakan keluar dan masuk jin ke
dalam badan manusia tidaklah dapat dilihat dengan mata kasar manusia. Sebab
itulah para perawat tidak boleh mendabik dada kononya dia telah berjaya
mengusir keluar jin.
Memerangkap Si Penyihir
Selang beberapa lama masa berlalu, satu strategi telah
diatur untuk menyelesaikan masalah ini daripada berlarutan. Si suami telah menghubungi
keluarga A supaya datang bersemuka
dengan kedua-dua belah pihak bagi mendengar sendiri pengakuan daripada mulut A.
Pada hari yang dipilih itu, A sebenarnya bercuti di luar negara dan saya
bersama-sama kedua-dua pihak keluarga tersebut telah menunggu kepulangan A.
Seperti dijangka, setelah diasak dengan pelbagai
soalan dan beberapa bukti, akhirnya A mengakui telah melakukan perbuatan yang
diluar batasan kepada isteri sahabat saya ini. Astagfirullahal ‘azim... Apa
yang mengagumkan saya ialah, kesabaran tinggi yang dimiliki oleh sahabat saya
itu. Sebelum itu, dia telah memohon kepada Allah agar mengurniakan kesabaran
dan dapat menerima apa sahaja berita yang bakal didengar. Semoga Allah
menolongnya dan memberinya kekuatan.
Nasihat saya,
Berhati-hatilah dalam setiap tindakan. Jangan sampai
kita terkena musibah ilmu hitam atau sihir. Kalau bukan terkena kepada kita,
mungkin terkena kepada isteri atau anak-anak kita. Ingat...sihir tidak mengenal
sesiapa. Bujur lalu, melintang patah. Cegah sebelum parah.
Sekian coretan daripada hamba yang fakir..
No comments:
Post a Comment