Assalamu’alaikum wwt
Sering kali juga saya diminta oleh pesakit untuk
berikhtiar memagar rumah. Selalunya saya akan berseloroh terlebih dahulu iaitu
meminta pesakit membelikan barang-barang bagi tujuan tersebut seperti simen,
batu, pasir dan sebagainya. Yalah..tiba-tiba
saja minta saya membuat pagar rumah. Memang itulah barang-barang yang perlu
disediakan. Saya faham maksud mereka tetapi saja suka mengenakan mereka. Pagar rumah
yang dimaksudkan ialah memagar kawasan rumah di bahagian dalam dan luar rumah
daripada gangguan makhluk halus (jin dan syaitan).
Punca Gangguan Di Rumah
Dalam kehidupan seharian, alam nyata ini sebenarnya
berkongsi dengan alam ghaib. Batas perkongsian itu hanya dipisahkan oleh tabir
yang dapat diumpamakan senipis kulit bawang sahaja. Itulah kebesaran Allah yang
mencipta dan mentadbir alam ini. Maha Suci Allah yang sangat berkuasa atas
tiap-tiap sesuatu. Atas nama perkongsian itulah kadang-kadang ada antara
beberapa perbuatan manusia yang menyakiti makhluk halus tersebut. Kadang-kadang
kita tidak tahupun telah memijak anak-anak mereka (jin) yang sedang
bermain-main atau melukakan badan mereka dengan menyiram air panas dan
sebagainya lagi. Apa boleh buat kerana memang manusia tidak nampak akan
kewujudan mereka (jin) tetapi mereka (jin) nampak manusia. Hal ini umum kita
mengetahuinya, malah telahpun diperingatkan sejak dahulu lagi oleh Baginda
Rasulullah saw.
Tidak mustahil makhluk halus (jin) ini menumpang sama
tinggal di dalam rumah kita. Mana kita nampak akan kewujudan mereka. Sudah menjadi
sifat mereka yang suka mengganggu manusia, maka selalunya manusia yang leka dan
lalai selalu menjadi mengsa mereka. Tahap gangguan itu bergantung kepada sejauh
mana kuat dan lemahnya ketakwaan kita kepada Allah. Rumah yang penghuninya
selalu mendekatkan diri kepada Allah dan mengamalkan suruhan agama, maka tahap
gangguan jin ini tidak terasa malah rumahnya aman tenteram. Hal ini kerana
rahmat Allah sentiasa memayungi penghuni rumah tersebut. Bukankan nabi kita
pernah berpesan, janganlah jadikan rumah sebagai kuburan. Maksudnya, sinarilah
rumah itu dengan cahaya solat, cahaya zikrullah dan membaca al-quran. Sebaliknya,
bagi penghuni rumah yang menjauhkan diri daripada Allah dan mengabaikan suruhan
agama, maka mudahlah bagi gangguan makhluk halus (jin) berdamping dengan
penghuni rumah tersebut. Apatah lagi,
penghuni rumah menjadikan rumah mereka sarang maksiat seperti berjudi, berzina
dan sebagainya. Mana ada keberkatan di dalam rumah tersebut. Bila ini terjadi,
maka berlakulah gangguan makhluk halus (jin) tersebut. Hal ini menyebabkan
wujudnya suasana yang tidak tenteram, panas semacam sahaja dan sebagainya.
Fokus perbicaraan ini ialah gangguan (jin) yang
berlaku di rumah penghuninya yang menjauhkan diri daripada Allah dan
mengabaikan suruhan agama. Mereka tidak faham mengapa berlakunya gangguan (jin)
di dalam rumah mereka? Sebenarnya,
perlakuan merekalah yang mengundang kehadiran jin pengganggu tersebut. Kadang-kadang
ada juga penyebab gangguan jin di dalam rumah disebabkan amalan ilmu kebatinan
yang sesat yang melibatkan pendamping atau khadam. Sebagai contoh, amalan sesat
dan berkhadam dengan jin menjadi antara penyebab utama gangguan jin di dalam
rumah seperti memelihara hantu raya (jin) untuk membantu dalam urusan seharian.
Hantu raya yang menjadi pendamping mereka akan mengganggu pula seluruh penghuni
rumah. Kontrak khidmat hantu raya ini pula akan berlanjutan sehingga ke
beberapa generasi keturunan kononya untuk menjaga anak cucu. Inilah dinamakan
JIN SAKA.
Sebenarnya ada banyak ilmu-ilmu kebatinan yang
mengelirukan yang mengundang kehadiran jin dalam diri pengamalnya dan
kemudiannya akan mengganggu pula keharmonian rumah tangga si pengamalnya. Warisan
jin-jin saka seperti saka ilmu kebal, ilmu persilatan, ilmu perbomohan, ilmu
perbidanan dan sebagainya umum diketahui dalam masyarakat Melayu. Jin-jin saka
inilah yang banyak menimbulkan gangguan di dalam rumah sehingga terpaksa
ditangani dengan kaedah pagar rumah.
Rumah yang dipagar memang selamat |
Pada pendapat saya, kaedah pagar rumah sahaja tidak
berkesan sekiranya kualiti amalan manusia tidak dijaga. Buangkanlah segala
ilmu-ilmu sesat dan berkhadam lalu kembalilah ke jalan yang benar dengan
bertauhid kepada Allah dan mengamalkan suruhan agama. InsyaAllah.
Sekian untuk bicara pada kali ini.
Bersambung....
No comments:
Post a Comment