Pada bulan lepas, saya telah dihubungi
oleh seorang sahabat saya di Temerloh.
Sebenarnya sahabat saya ini mengesyorkan agar saya membantu salah
seorang kenalannya. Kenalannya itu mengajar di SMA Al Khairiah, Temerloh. Saya
bersetuju membantunya dan menunggu panggilan telefon daripadanya.
Selang beberapa lama kenalan
sahabat saya menelefon saya. Secara ringkas dia menyatakan bahawa ayahnya yang
berada di Felda Jengka 8 sedang sakit. Sakit yang dideritai oleh ayahnya sudah
agak lama dan dia begitu mengharapkan agar saya dapat meringankan sedikit sakit
bapanya itu. Saya terdorong untuk
membantunya dan menetapkan hari untuk sesi rawatan (ruqyah).
Pada hari yang dijanjikan, dia
membawa saya ke rumah orang tuanya di Felda Jengka 8. Sesampainya saya di
rumahnya saya melihat keadaan ayahnya yang terbaring uzur. Kasihan saya melihat
penderitaan orang tua itu. Badannya kurus kering dan muka yang cengkung. Saya
meminta izin merawatnya.. pesakit hanya menggangguk lemah.
Saya mulakan rawatan dengan
selawat atas Nabi dan ucapan syahadah memohon Allah membantu usaha saya yang
kerdil ini. Tangan kanan saya letakkan di kepala pesakit dan mula membaca
ayat-ayat ruqyah Nabawiyyah. Semakin lama hati saya semakin syahdu mengenang
kebesaran Allah. Beberapa ketika kemudian, pesakit mula menunjukkan reaksi
tidak senang dengan kehadiran saya dan beberapa kali menyuruh saya menghentikan
rawatan. Saya tidak menghiraukan permintaannya kerana proses mengeluarkan
penyakit melalui tarikan serban belum saya lakukan. Saya mengucapkan beberapa
kalimat yang mengisyaratkan agar segala penyakit yang zahir atau yang batin
mahupun akibat campurtangan jin (saka/bukan saka) segera keluar melalui kaedah
menarik paksa penyakit terutama yang melibatkan gangguan jin. Nampaknya pesakit benar-benar
marah dan tidak mahu memandang muka saya. Saya pasrah dan tidak berkecil hati.
Saya pulang ke rumah dan
meletakkan ketentuan Allah yang bersifat Ar Rahman dan Ar Rahim. DIA yang
menurunkan penyakit dan DIA yang menyembuhkan penyakit. Yang penting hambaNya
wajib berikhtiar dan berdoa. Pada pagi
esoknya saya mendapat berita bahawa ayahnya telah kembali ke Rahmatullah.
Innalillahhiwainnahiroji’un.
Sebenarnya saya ada beberapa kes
seperti ini. Ada satu peristiwa, saya dipanggil oleh rakan sekerja saya untuk
berikhtiar mengubati kakak iparnya yang sedang sakit. Kakak iparnya itu sebenarnya telah lama sakit
dan tidak disangkal, memang ada sedikit gangguan. Pada petang yang dijanjikan,
saya dibawa oleh sahabat itu ke Hospital Temerloh (HOSAS Temerloh). Di wad itu
kakak iparnya terlantar sakit dan agak kritikal. Dengan bertawakkal kepada
Allah, rawatan ruqyah saya mulakan. Saya sudahi sesi rawatan dengan kaedah
menarik penyakit dan gangguan jin melalui teknik tarik dengan kain. Apa yang
pasti kita kena yakin dengan kaedah dan ilmu yang dipelajari. Selebihnya, kita
serahkan ketentuannya kepada Allah. Keesokan harinya, saya diberitahu bahawa
kakak ipar sahabat saya itu telah dipanggil mengadap Ilahi.
Apapun yang berlaku semuanya
sudah tersurat sejak azali lagi. Ajal maut
seseorang manusia itu adalah hak mutlak Allah.
Jika sampai masa ajalnya, maka tidak akan tertangguh walau sesaat atau tercepat
walau sesaat jua.
Sekian daripada saya..jumpa lagi.
No comments:
Post a Comment