Monday, 6 July 2015

KAEDAH PAGAR RUMAH

Assalamu’alaikum wwt.

Sebenarnya ada banyak kaedah untuk memagar rumah. Pagar rumah yang dimaksudkan bukanlah melibatkan bahan-bahan konkrit yang dapat dilihat dengan mata kasar. Kalau pagar ini yang ingin dibicarakan, maka bukan blog ini yang anda cari. Kalau pagar konkrit, ada pakar binaan yang mampu membuatnya. Carilah tukang-tukang rumah yang berpengalaman untuk menghasilkan pagar rumah yang kemas, cantik dan selamat.

Pagar rumah yang dimaksudkan di sini ialah kaedah pagar rumah yang bersifat ghaib iaitu tidak nampak dek mata kasar. Malah tujuan khususnya adalah untuk memohon kepada Allah Taala akan keselamatan penghuni rumah tersebut daripada gangguan jin dan syaitan. Malah lebih jauh daripada itu adalah untuk menjauhkan mara bahaya daripada dimasuki pencuri atau kuasa pukau. Hal yang semacam inilah yang memerlukan kemahiran khusus bagi memagar rumah.

Pagar rumah melibatkan penggunaan makhluk halus

Jangan pula kita mudah percaya kepada sebarangan orang untuk melakukan ikhtiar memagar rumah. Ada beberapa orang yang melakukan kaedah pagar rumah yang melibatkan penggunaan makhluk halus seperti jin. Biasanya, orang yang beraliran ilmu hitam selalu menggunakan kaedah memagar rumah seperti ini. Ilmu hitam pula merujuk kepada sejenis ilmu yang melibatkan bantuan atau dampingan makhluk halus seperti jin untuk melaksanakan hajat mereka secara  mudah dan cepat.

Biasanya dalam masyarakat Melayu dahulu bahkan masih ada lagi sekarang ini individu yang memelihara hantu raya bagi tujuan pagar rumah. Apabila tuannya tiada, hantu raya ini akan menjaga rumah tuannya dari diceroboh oleh pencuri atau hantu-hantu yang lain. Hantu raya ini terkenal dengan kekuatan yang berlipat kali ganda dan ditakuti dengan sifat bengisnya. Pada pendapat saya hantu raya ini sejenis jin dari bangsa ifrit (wallahu’aklam). Hantu raya ini juga terkenal dengan ketaatan yang membuta tuli. Sebab itulah jika kita tidak sengaja memetik bunga atau mengambil buah-buahan di kawasan rumah pemilik hantu raya ini, musibah akan terkena serta-merta. Perbuatan berdamping dengan makhluk halus ini sudah terang-terang merosakkan akidah kerana meminta pertolongan daripada makhluk halus

Ada juga kaedah pagar rumah yang melibatkan penggunaan bahan-bahan tertentu yang juga berisi kekuatan makhluk halus. Biasanya bahan-bahan ini ditanam  pada empat penjuru rumah. Melalui medium bahan-bahan ini seperi teras kayu, tahi besi dan azimat akan menjadikan rumah tersebut seolah-olah dikawal oleh suatu kuasa ghaib. Penggunaan wafak dan azimat yang diletakkan pada bahagian tertentu di dalam rumah juga berisi kekuatan ghaib yang kononya dapat memagar rumah. Penghuni rumah ini dkhuatiri akan meletakkan kepercayaan kepada bahan-bahan tersebut yang dapat menjaga rumah mereka. Apabila hal ini berlaku maka akan rosaklah akidah kita yang mengajar supaya meletakkan pergantungan mutlah kepada Allah Taala. Fikirkanlah..
Pagar rumah menurut kaedah Islam

Ajaran Islam sebenarnya sudah lengkap zahir dan batin dan mencakupi semua urusan kehidupan manusia termasuklah dalam ikhtiar pagar rumah.  Ajaran Islam menitikberakan akidah yang teguh kepada Allah. Yakinlah bahawa Allah maha berkuasa ke atas setiap sesuatu. Doa dan pengharapan yang dipohon kepada Allah dalam usaha pagar rumah lebih diutamakan. Inilah akidah dan inilah pegangan kita yang beragama Islam. Baginda Rasulullah saw telah mengajar kita akan kaedah memagar rumah dan kaedah ini silih berganti diajarkan oleh ulama sehinggalah kini.

Ada banyak kaedah untuk memagar rumah menurut ajaran Islam. Ayat-ayat suci al-Quran merupakan mukjizat yang terus mengalir dan penuh berkat dalam usaha memagar rumah. Ada ayat-ayat terpilih yang sudah disusun oleh ulama bagi tujuan pagar rumah. Carilah guru-guru yang ahli dalam bidang pagar rumah ini. Dengan izin Allah, ikhtiar yang dilakukan dengan redha Allah ini penuh keberkatan dan mengandungi kekuatan yang luar biasa.

Dalam ruangan ini saya tidaklah berhasrat untuk mengajar pembaca tentang kaedah pagar rumah.  Tidak molek rasanya saya memberikan petua kaedah pagar di sini.  Apa yang saya ingin bicarakan ialah berkenaan kaedah pagar rumah secara umum sahaja. Ada bahan-bahan tertentu dan pemilihan ayat-ayat tertentu yang digunakan.

Secara amnya, semua orang boleh membuat sendiri pagar rumah ini. Tidak perlu meminta pertolongan daripada orang lain untuk membuatnya. Ada banyak ayat-ayat al-Quran yang boleh digunakan untuk tujuan pagar rumah ini. Ada kombinasi ayat-ayat pilihan yang bersesuaian yang boleh digunakan. Contohnya, kombinasi Surah Al-Fatehah, ayatul Qursi, Al-Ikhlas, al-Falaq dan an-Nas. Ada juga hizib-hizib tertentu yang pernah digunakan seperti Hizib Bahar.

Antara bahan-bahan yang biasa digunakan dalam usaha memagar rumah ialah air, garam kasar dan lada hitam yang telah didoakan. Air digunakan untuk dipercikkan pada setiap penjuru rumah. Lada hitam pula digunakan untuk bahagian dalam rumah dengan kaedah rejaman di setiap bahagian dalam rumah. Campuran lada hitam dan garam kasar pula digunakan untuk memagar di kawasan luar rumah. Penggunan bahan-bahan ini didapati lebih berkesan untuk menghalau penghuni ghaib (jin) yang berada di dalam rumah. Mengikut pandangan orang yang kasyaf, lada hitam dan garam kasar ini dapat menyakiti tubuh jin yang  bersifat halus ini (Wallahua’lam).

Lada hitam antara salah satu bahan untuk 'pagar rumah'

Adalah lebih baik sebelum bahan-bahan tersebut digunakan, berilah amaran terlebih dahulu kepada penghuni ghaib (jin) yang mendiami rumah tersebut agar keluar terlebih dahulu. Janganlah pula kita bersifat kejam dengan tidak memberi amaran kepada mereka. Lakukan usaha pemagaran rumah ini dimulakan di dalam rumah dahulu kemudian barulah diikuti di kawasan luar rumah. Semasa menggunakan bahan-bahan tersebut, dimulakan mengikut pusingan tawaf dan jangan berkata-kata melainkan mulut membaca ayatul Qursi.

Sekian sahaja perkongsian daripada hamba yang jahil ini..
Selamat menjalani ibadah puasa..

Semoga berjumpa lagi.

No comments: