Saturday, 29 November 2014

PENYAKIT KAYAP : RAWATAN DOA DAN BAHAN



Pengenalan

Kayap tergolong dalam keluarga penyakit herpes yang disebabkan oleh sejenis virus yang dikenali sebagai Varicella Zoster. Virus ini mula menghuni badan seseorang pesakit apabila dia menghidapi penyakit cacar air (chickenpox). Selepas cacar air sembuh, virus ini berhibernasi di dalam pusat saraf (ganglion). Apabila sistem imun menjadi lemah, virus ini menjadi aktif semula. Virus ini akan menyerang urat saraf dan menyebakan keradangan saraf tersebut.

Risiko-risiko utama penyakit ini adalah disebabkan oleh umur yang semakin meningkat (lebih daripada 50 tahun)  ketika ketahanan sistem imun berkurangan dan kelemahan sistem imun (pertahanan badan) kerana pelbagai sebab seperti jangkitan kuman  HIV dan kesan ubat-ubatan (seperti ubat steroid). Sepanjang hayat seseorang, lebih kurang 10% hingga 30% akan menghidapi penyakit ini.

Contoh Kayap
Gejala  Penyakit Kayap

Kayap selalunya menyebabkan keradangan satu urat saraf (dermatome) pada satu bahagian badan sahaja. Ia lazimnya melibatkan bahagian dada (thoracic) dan muka (trigeminal). Tanda terawal penyakit ini adalah rasa sakit, kebas dan panas di bahagian urat saraf yang terlibat, demam, keletihan dan sakit kepala. Simptom tersebut dialami sebelum tanda-tanda kulit timbul. Ia lazimnya dialami oleh 80% pesakit. Ia akan berterusan untuk 3 hingga 5 hari.

Pada bahagian urat saraf yang terlibat, tanda pertama adalah tompok-tompok kemerahan yang menyakitkan. Selepas 1 hingga 2 hari, timbul gelembong-gelembong air yang kecil. Air di dalam gelembong-gelembong tersebut berwarna kekuningan. Dua hari kemudian, air tersebut akan menjadi semakin keruh dan akhirnya gelembong-gelembong tersebut akan kering. Kulit kering (crusts) tersebut akan jatuh dengan sendiri dalam masa 1 hingga 2 minggu yang berikutnya.

Selalunya doktor akan dapat mengenali penyakit kayap sekiranya pesakit datang dengan tanda-tanda yang lazim bagi penyakit ini termasuk gelembong-gelembong air pada urat saraf di satu bahagian badan. Namun demikian, jikalau pesakit datang dengan tanda terawal tanpa tanda-tanda pada kulit, doktor mungkin mengalami kesulitan untuk membuat diagnosa penyakit ini.

Komplikasi

Komplikasi awal semasa adanya tanda-tanda kulit termasuk jangkitan kuman bakteria pada gelembong-gelembong air pada kulit dan pendarahan di dalam gelembong-gelembong tersebut. Kadang-kadang gelembong-gelembong tersebut mungkin merebak ke kawasan yang lain. Ini selalunya berlaku pada pesakit-pesakit yang mengalami kelemahan sistem imun. Pesakit-pesakit tersebut juga mungkin mengalami tanda-tanda kulit untuk jangka masa berpanjangan.

Jika kayap melibatkan bahagian muka, ia mungkin menyebabkan komplikasi kepada mata termasuk menjadi buta dan kepada saraf facial menyebabkan paralisis otot-otot muka (facial palsy). Kadang-kadang, kayap akan menyebabkan keradangan organ dalaman termasuk otak (meningoencephalitis), jantung (carditis), paru-paru (pneumomitis) and usus (enterocolitis).

Setelah tanda-tanda kulit sembuh, bahagian kulit tersebut mungkin akan menjadi parut. Komplikasi kronik yang lain lazimnya adalah post herpetic neuralgia (kesakitan pada bahagian urat saraf yang terlibat untuk jangka masa yang panjang). Komplikasi tersebut selalunya dialami oleh pesakit-pesakit yang lebih tua (lebih daripada 65 tahun). Kesakitan berterusan ini akan menjejaskan kualiti hidup pesakit. Komplikasi kronik yang lain termasuk komplikasi mata (keradangan mata dan menjadi buta) dan komplikasi urat saraf (keradangan urat saraf dan saraf tunjang).

Rawatan Moden : Menerusi Vaksin

Pemvaksinan ialah satu-satunya cara mengurangkan risiko menghidap kayap dan rasa sakit jangka panjang berikutannya. Apabila seseorang itu terdedah kepada organisme penyebab penyakit, sistem imunnya akan cuba melawan virus berkenaan. Hasil barisan pertahanan badan yang berjaya biasanya ialah keimunan. Bagi vaksin kayap, pemvaksinan menguatkan keimunan semula jadi yang mula-mula diperoleh oleh pesakit semasa menghidapi cacar air sewaktu kecil. Keimunan yang diperkuat oleh vaksin ini menghalang virus cacar air menjadi aktif semula apabila keimunan semula jadi pesakit itu beransur lemah dengan usia yang meningkat.

Rawatan Islam : Menerusi Doa dan Bahan

Ada banyak kaedah untuk merawat penyakit kayap. Apa yang ingin saya kongsikan di sini ialah kaedah yang pernah saya pelajari suatu ketika dahulu melalui Darussyifa dan pernah saya gunakan untuk merawat penyakit kayap.  Paparan ini bukanlah bermakna saya ingin mengajar para pembaca akan cara rawatan ini. Hal ini kerana adab berguru mestilah diutamakan. Belajar biarlah berguru. Sekurang-kurangnya kaedah ini berguna pada saat kecemasan apabila di tempat saudara tiada orang yang mahir mengubati penyakit kayap menerusi doa dan bahan rawatan. Saya tidak menyertakan secara penuh akan doa tersebut tetapi biarlah saudara mencarinya atau bertanya dengan orang yang ahli dalam bidangnya..

Doa yang dianjurkan:
  • Surah al-Fatihah 
  • Doa Bismillah 5 
  • Ayat Pemecah Kebuntuan (Surah al-Hasyr ayat 21 – 24) 
  • Selawat Syifa’ 
  • Surah al-Qalam ayat 1
  
Bahan untuk Rawatan Kayap:
  • Rumput sambau beserta akarnya 
  • Bedak sejuk asli (dibuat daripada beras yang direndam selama 6 bulan) 
  • Sebiji mangkuk putih yang tidak bercorak

Cara Penyediaan dan Penggunaan Bahan
  • Ambil rumput sambau beserta akarnya. Pilih yang segar kemudian dibersihkan. 
  • Bancuhkan bedak sejuk dengan air (kepekatan sederhana) di dalam mangkuk putih yang tidak bercorak. 
  • Pegang batang rumput sambau kemudian kacau bancuhan bedak sejuk dan air dalam mangkuk mengikut arah pusingan lawan jam (arah pusingan tawaf) dengan menggunakan akarnya. Sambil mengacau, bacakan doa. (Perhatian: selepas baca doa jangan sentuh dengan jari akar rumput sambau dan bedak sejuk) 
  • Sapu pada tempat kayap dengan menyentuhkan akar rumput sambau pada tempat yang sakit. 
  • Kayap mempunyai kepala dan ekor. Tempat mula tumbuh kayap dipanggil ekor manakala tempat akhir tumbuh kayap dipanggil kepala. 
  • Cara merawat ialah dengan menyapu secara memotong di bahagian depan kepala. Sapuan kemudiannya bermula di kepada dan berakhir di ekor.

Rawatan Alternatif Lain

Berikut dipaparkan juga beberapa petua untuk merawat kayap. Perhatian: Petua ini tidak pernah saya cuba. Saya cuma memetik daripada blog yang lain. Jika ada kesan sampingan, janganlah salahkan saya pula. Kalau anda ragu-ragu maka janganlah dicuba.

Petua 1 :
Asah kulit pokok kerayong dan disapukan di tempat yang dijangkiti . Kayap tersebut akan kering dan boleh dikoyakkan . 

Petua 2 :
Potong batang keladi candik (keladi merbah) dan ambil airnya lalu disapukan ke tempat sakit. Besoknya  kayap boleh dikoyakkan dan pulih. 

Petua 3 :
Ambilkan 10 duri pokok kekabu dan asahkan duri itu sehingga keluar cecair yang agak pekat. Tadahkan dalam satu bekas, kemudian sapukan cecair duri kekabu ini dan sapukan pada bahagian anggota badan anda yang ada kayap itu. Amalkan petua ini berulangkali sehingga kayap anda kering dan sembuh. 

Petua 4 :
Daun cili boleh mengubati penyakit kayap . Ambil beberapa daun cili dan kapur makan dan kemudian tumbuk dan ramaskan daun cili serta campurkan dengan sedikit kapur makan. Sapukan di bahagia yang terkena kayap . Lakukan sehari 2 kali . Kayap akan pudar dan baik dalam masa beberapa hari. 

Kesimpulan

Setiap penyakit ada ubatnya. Kadang-kala penyakit merupakan kifarah atas dosa-dosa kita yang lalu atau untuk meninggikan darjat kita di sisi Allah. Namun begitu, kita wajib berikhtiar untuk mengubati penyakit. Kesembuhan penyakit adalah dengan izin Allah

Rujukan:
Rawatan Penyakit Jasmani (1) oleh Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din. Darussyifa’, 2011


No comments: