Assalamu’alaikum
wwt
Penyakit barah atau kanser merupakan sejenis penyakit
yang berbahaya. Terdapat pelbagai jenis barah seperti barah pangkal rahim,
barah payu dara, barah otak, barah prostat dan sebagainya. Penyakit barah ini
semakin ditakuti kerana jika dibiarkan atau tidak mendapatkan rawatan akan
membawa maut.
Paparan pada kali ini akan membicarakan sedikit sebanyak
berkenaan dengan penyakit barah. Bagi rawatan moden, berjumpalah dengan doktor
untuk mendapatkan nasihat dan rawatan. Bagi saya yang bukan bertaraf doktor,
kaedah rawatan berteraskan doa dan bahan merupakan kaedah rawatan Islami yang
perlu diketengahkan.
Ikuti seterusnya..
Pendahuluan
Barah atau dikenali juga dengan kanser adalah sejenis penyakit yang berkaitan dengan
ketidakseimbangan replikasi dan tindak balas sel dalam badan. Biasanya, sel ini
akan bertambah (replikasi) mengikut aturannya bagi membolehkan tumbesaran badan
dan pemulihan selepas berlakunya kecederaan. Namun ada kalanya sel ini
bertambah secara tidak normal menyebabkan berlakunya ketumbuhan tidak normal
atau juga dikenali sebagai tumor. Tumor boleh dikategorikan sebagai bukan barah (benign) ataupun barah (malignant). Tumor bukan barah
tidak merebak ke bahagian tubuh badan atau organ yang lain. Barah pula terdiri
daripada sel-sel barah yang sekiranya tidak dirawat boleh merebak ke bahagian
tubuh badan yang lain. Sel barah boleh merebak ke organ yang lain menyebabkan
komplikasi sistemik. Komplikasi dan kehilangan fungsi multi organ akan
menyebabkan kematian.
Apabila sel ini sampai ke bahagian tubuh badan yang
lain, ketumbuhan baru boleh terjadi di organ tersebut. Keadaan barah merebak
ini adalah dikenali sebagai barah
sekunder atau metastasis.
Perkataan barah juga boleh digunakan dalam keadaan pertambahan sel yang tidak
normal tetapi tidak diikuti dengan ketumbuhan atau tumor. Ini adalah seperti
yang berlaku dalam penyakit yang melibatkan sel penghasilan darah iaitu
penyakit leukimia.
Barah telah menjadi masalah utama akibat peningkatan
tempoh jangka hayat. Ini disebabkan kadar mutasi semakin meningkat selaras
dengan tempoh hayat yang semakin berpanjangan. Walaupun kemajuan yang besar
telah dicapai dalam cara rawatan, kebanyakan rawatan hanya berkesan bagi
penyakit barah awal. Bagi kebanyakan barah yang telah mencapai tahap lanjut
masih tiada rawatan yang berkesan wujud dan dalam kebanyakan kes akhirnya
membawa maut. Oleh itu bolehlah dianggap, mereka yang melewatkan mendapat
rawatan seolah-olah membunuh diri.
Rawatan barah biasanya dikendalikan oleh onkologi, doktor yang khusus dalam rawatan penyakit malignant.
Rawatan barah perlu dilakukan dengan serta merta sebaik sahaja ia dikesan.
Kelewatan mendapatkan rawatan mengurangkan peluang untuk sembuh. Barah yang
dikesan pada peringkat awal mempunyai peluang yang baik untuk dirawat secara
berkesan. Anda perlu faham bahawa kos untuk rawatan barah sangat mahal.
Kos yang tinggi untuk rawatan barah |
Tanda-tanda Awal
Barah atau Kanser
- Kanser pangkal rahim - sebarang lelehan atau pendarahan yang luarbiasa, sakit selepas bersenggama dan turun berat badan.
- Kanser payudara - bengkak atau gumpalan di buah dada, keluar cairan berdarah dari puting, pembesaran kelenjar di ketiak, kedutan pada kulit di buah dada.
- Kanser usus besar - perubahan tabiat membuang air, hilang berat badan, sakit dalam perut dan usus, berlaku pendarahan semasa membuang air.
- Kanser paru-paru - batuk kuat berterusan, batuk berdarah, nafas termengah-mengah, sakit dada dan hilang berat badan.
- Kanser perut - hilang berat badan, muntah berdarah, sistem pencernaan yg tidak teratur, cepat kenyang walaupun makan sedikit.
- Kanser limpa - sakit di bahagian abdomen, hilang selera makan, turun berat badan, kulit dan mata menjadi kuning dan bahagian abdomen membengkak.
- Kanser ovari - haid tidak teratur, tumbuhan keras di bahagian abdomen, sakit semasa bersenggama, ketumbuhan bulu rambut yg melampau, suara menjadi lebih mendalam.
- Kanser otak - sakit kepala, muntah-muntah, gangguan penglihatan, lemah atau lumpuh, pening/pitam, pelupa, perubahan personaliti.
- Kanser prostat - sukar dan sakit semasa kencing yang berpanjangan.
- Kanser darah (leukimia) -letih, pucat, mudah lebam dan mudah mendapat jangkitan (infection).
- Kanser tekak - suara garau/serak, ada ketumbuhan di tekak, sukar menelan dan kelenjar membengkak di leher.
Petua Mudah
Mengelakkan Penyakit Barah
- Minumlah air rendaman daun teh (hijau atau hitam, tetapi bukan herba) kerana teh hijau mengandungi antioksidan. Cara ini boleh mencegah sel kanser daripada berkembang.
- Makanlah tomato kerana tomato penuh dengan vitamin C, yang boleh membantu mencegah kerosakan sel.
- Makan kacang soya, kerana phytoestrogen di dalam kacang soya mungkin menolong melindungi daripada kanser payu dara dan prostat.
- Makan sayur brokoli, kobis, dan bunga kobis kerana sayur-sayuran ini mengandungi bahan melawan kanser. Juga mengandungi pelbagai zat yang lain.
- Campurkan halia dan bawang di dalam makanan kerana campuran ini mengandungi bahan-bahan melawan kanser.
- Jangan ketinggalan memakan oren, lemon dan lain-lain buah sitrus yang mengandungi bahan-bahan meransang sel-sel kebal membunuh kanser. Mengandungi vitamin C yang banyak.
- Jangan ketinggalan juga memakan buah anggur merah kerana buah ini mengandungi bahan yang menghalang pengeluaran enzim oleh badan yang digunakan oleh sel kanser.
- Makan makanan tinggi serat seperti beras yang boleh menolong mengurangkan risiko beberapa jenis kanser.
- Dapatkan omega – 3 asid lemak yang terdapat di dalam minyak ikan kerana boleh membantu melawan kanser payu dara, prostat dan pankreas.
- Juga dapatkan hasil tenusu rendah lemak yang boleh mengurangkan risiko kanser payu dara, bawah usus, prostat, rahim dan pankreas.
Ikhtiar Rawatan
Berasaskan Doa dan Bahan Rawatan
Ikhtiar penyembuhan dalam rawatan terhadap penyakit
barah atau kanser ialah menerusi kombinasi bacaan doa dan bahan rawatan
terpilih. Cara ini telah saya pelajari semasa belajar di Darussyifa suatu
ketika dahulu. Niat saya bukanlah untuk mengajar atau untuk menunjuk pandai
tetapi adalah untuk membuka minda masyarakat akan seni pengubatan Islam yang
semakin terpinggir.
Doa:
- Surah Al-Fatihah ( lebih baik dibaca 1 kali senafas)
- Surah Al-Ikhlas (dibaca 4 kali senafas)
- Doa Pengecil Bengkak
- Surah Al Qalam ayat 1-3 (lebih baik dibaca senafas)
Bahan Rawatan:
- Air
- Mangkuk putih yang tidak mempunyai sebarang corak dan tulisan.
- Rumput sambau keseluruhannya, termasuk daun, batang dan akar yang telah dibersihkan daripada kotoran.
- Kapur kulit kerang (kapur yang diperbuat daripada kulit kerang).
- Bacakan kombinasi doa rawatan penyakit barah pada bahan-bahan di atas kecuali mangkuk putih. (Peringatan: Jangan sentuh akar rumput sambau dengan tangan setelah doa di atas dibacakan)
- Masukkan kapur kulit kerang ke dalam mangkuk putih kemudian tuangkan air. Pastikan kuantiti air tersebut tidak menyebabkan kapur menjadi terlalu cair atau terlalu pekat.
- Bancuhan air dan kapur hendaklah dikacau dengan akar rumput sambau iaitu dengan tangan memegang batang rumput sambau manakala akarnya mengacau kapur (seperti mengacau ca dengan berus cat).
- Semasa mengacau kapur, bacalah doa seperti di atas.
- Sapukan bancuhan tersebut di tempat yang sakit dengan menggunakan akar rumput sambau.
- Sapu bancuhan tersebut berulang-ulang. Lakukan selama TIGA HARI dengan rumput sambau dan kapur yang sama. Selepas tiga hari,hendaklah dibancuh dengan bahan yang baru.
Peringatan Semasa Penyediaan
Bahan:
- Rumput sambau dan kapur kerang terlebih dahulu hendaklah didoakan.
- Mangkuk yang digunakan ialah yang berwarna putih tanpa sebarang corak atau tulisan.
- Rumput sambau yang diambil hendaklah beserta dengan akarnya, muda dan masih baik serta tiada tanda-tanda dipijak orang ataupun diragut binatang.
- Kapur kulit kerang dibuat daripada kulit kerang yang telah dibakar dengan api yang kuat.
Perhatian:
Menurut pemerhatian dan rawatan yang dilakukan,
ternyatan kebarangkalian pesakit barah dapat disembuhkan melalui kaedah ini,
asalkan tempat barah tersebut tidak terkena besi. Maksudnya, pesakit barah
belum lagi menjalani pembedahan. Seelok-eloknya, sebelum dibuat pembedahan,
ikhtiarlah dahulu dengan rawatan doa dan bahan. InsyaAllah sembuh.
Andainya tidak sembuh juga, itu adalah diluar
kemampuan perawat. Siapalah perawat untuk
menyembuhkan penyakit barah atau kanser?
Kesimpulan
Cegahlah barah atau kanser sebelum parah. Jagalah
pemakanan dan amalkan cara hidup sihat. Rawatan Islam diutamakan dan rawatan
moden jangan ditinggalkan. Kesembuhan penyakit adalah dengan izin Allah.
Buku:
Tuan
Guru Dato’ Dr. Haron Din, Rawatan
Penyakit Jasmani (1),
Darussyifa’, 2011
No comments:
Post a Comment