Nampaknya ada banyak gelaran
bagi jin atau hantu. Salah satu gelaran tersebut ialah ‘Pelesit’. Umum mengetahui bahawa keberadaan jin pelesit ini memang
terkenal dalam kalangan masyarakat Melayu. Orang tua dulu-dulu ada yang membela
jin pelesit ini bagi kegunaan tertentukhususnya bagi wanita. Seiring dengan
arus permodenan, khidmat jin pelesit tidak mahu digunakan lagi. Waris-waris
yang ada pun sudah takut untuk berkawan dengan jin pelesit ini. Apabila pelesit
ini tidak bertuan, maka dia akan mencari sesiapa sahaja yang dirasakan berkenan
di hatinya. Hal inilah yang menjadi fokus dalam post kali ini.
Sedikit Info tentang Pelesit
Menurut maklumat dalam wikipedia.org., hantu pelesit
adalah sejenis makhluk halus yang dipelihara oleh manusia. Pelesit ini perlu
diberi makanan menurut tempoh tertentu, biasanya dengan darah tuannya. Dengan itu hantu pelesit tersebut
perlu diwariskan kepada seseorang penganti sebelum tuannya mati sebagai saka. Sekiranya tuannya mati sebelum sempat mencari
pengganti, hantu pelesit akan hidup liar dan mengganggu penduduk berdekatan.
Hantu Pelesit dikatakan akan dipelihara oleh wanita bagi tujuan membinasa musuh
atau orang yang dibenci pemiliknya. Selain itu hantu pelesit juga digunakan
bagi mendapatkan wang. Hantu pelesit akan menyerang seseorang mangsa dan hanya
keluar apabila tuannya datang datang membantu menghalaunya keluar, dengan itu
mendapat bayaran kerana membantu mengubati mangsa.
Belalang Pelesit |
Hantu pelesit dikatakan mampu
menjelma sebagai sejenis belalang pelesit, belalang kecil yang mempunyai kepala
berbentuk tajam dan tirus, dan masuk kerumah mangsa. Pelesit ini kemudiannya
akan mengambil peluang untuk menyerang dan menghisap darah mangsa apabila
mangsa leka. Hantu pelesit
biasanya dikatakan disimpan dalam botol kecil dan diberi makan darah yang dititik daripada hujung jari tuannya
setiap kali bulan mengambang.
Hantu pelesit akan membuat tuannya susah hendak mati
kerana tiada tuan baru untuk menjaga dia kelak, kecuali ada anak yang sanggup
menjaga hantu itu. Dia akan menjaga tuannya sehingga dia dimusnahkan oleh
tuannya sendiri. Wallahu’aklam...
Rawatan dan Reaksi
Saya ada satu kes dalam
menangani gangguan jin pelesit ini..
Dua minggu yang lepas, saya mendapat panggilan telefon
daripada seseorang yang ingin mengajak ke Felda Jengka 18 bagi mengubati ibu
mertuanya yang sakit. Saya tidaklah berapa suka datang ke rumah pesakit kerana
sebab-sebab tertentu. Oleh itu saya mensyaratkan agar dia membawa ibu mertuanya
ke rumah saya. Lainlah kalau pesakit itu terlalu uzur tidak boleh berjalan atau
terlalu tua tidak berdaya untuk bangun.
Setelah temu janji ditetapkan, dia membawa ibu mertuanya ke rumah saya.
Dilihat dari aspek fizikal, ibu mertuanya itu masih lagi sihat dan boleh
berjalan. Saya bertanya serba sedikit tentang simpton penyakit yang dialaminya.
Beliau menceritakan bahawa kerap diganggu dan sukar tidur pada waktu malam.
Tanpa membuang masa, saya menyuruhnya duduk berlunjur
dengan kaki menghala ke pintu. Saya menyentuh tapak tangan kanan ke kepala
pesakit dan membaca istighfar dan selawat serta doa pengusir syaitan. Tiba-tiba
kedengaran suara pesakit (jin) memarahi saya kerana menganggunya. Ketika itu
saya tersenyum kerana dari pengalaman yang lepas-lepas, jika pesakit bereaksi
dengan pantas, maka mudahlah kes tersebut ditangani dengan izin Allah.
“Mengapa ganggu aku” bentaknya keras. Saya tidak melayan soalannya
.
“Hai jin, siapa kamu dan mengapa
kamu ganggu pesakit ini?”,
soal saya dengan keras.
“Aku pelesitlah. Aku suka kat
orang ni” jawab pelesit
tersebut.
“Siapa tuan kau?” tanya saya lagi. Biasanya saya tidak mahu
melayan perbualan jin yang berada dalam badan pesakit. Tetapi entah macam mana
saya ingin tahu dengan lebih lanjut lagi.
“Tuan aku dah mati”, jawabnya.
“Habis, mengapa kau masuk dalam
badan orang ini”, soal saya.
Dan banyaklah lagi dialog yang malas saya tulis di
sini. Biarlah saya bercerita secara ringkas sahaja.
Pelesit tersebut mengatakan bahawa dia suka kepada
pesakit itu dan makan darah manusia. Katanya darah manusia manis. Hal ini
kerana sepanjang pelesit tesebut dibela oleh tuannya, dia diberi makan darah.
Saya memberi pilihan kepada pelesit tersebut untuk
dipindahkan ke tempat lain. Saya diberi ilham untuk memindahkannya ke Amerika.
Sambil memohon kepada Allah, saya memperlihatkan tapak tangan kiri saya ke
matanya. Pelesit itu terkejut kerana dia
melihat orang-orang di sana ramai berkulit hitam. Dia tidak mahu pergi ke sana.
Saya cuba mengusulkan untuk dia pergi pula ke hutan untuk makan darah binatang.
Dengan izin Allah saya memperlihatkan gambaran hutan di depan matanya. Saya
cuba mengusiknya dengan menyuruh dia memakan darah harimau. Dengan reaksi yang
sangat takut dia mengelupur ketakutan kerana takut akan harimau tersebut.
Tambahan pula saya mengarahkan harimau tersebut untuk mengejar dan memakan
dirinya. Lagilah dia takut dan menjerit. Pesakit yang kerasukan pelesit
tersebut menyorok di sebalik kerusi.
Lucu pun ada melihat reaksi pelesit tersebut. Isteri
saya yang turut menyaksikan adengan itu pun turut ketawa. Saya pun turut ketawa
tetapi tetap berlagak selamba sahaja.
Akhirnya saya membuat pilihan untuk ‘menamatkan’
sahaja riwayat pelesit tersebut. Saya bimbang jika dia terlepas, akan ada orang
lain pula yang menjadi mangsanya. Dengan doa dan iktikad yang jelas, saya
memohon kepada Allah untuk memenggal leher pelesit tersebut dengan pedang
makrifat. Mudah-mudahan dia ‘mati di alam manusia’ dan tidak mengganggu manusia
lagi.
Sekian sahaja buat kali ini..
Terpulang kepada pembaca untuk mempercayainya..
Rujukan :
No comments:
Post a Comment