Wednesday, 19 August 2015

MENGAMUK LAGI

Assalamu’alaikum wwt

Ada kalanya pesakit yang dirawat menunjukkan simpton yang agresif dan tidak terkawal. Dalam hal ini, perawat tidak perlu bimbang kerana tindakan agresif tersebut bukanlah lahir daripada jasad pesakit tetapi pergerakan tersebut hasil daripada pengaruh gangguan jin. Ada kalanya lucu juga berhadapan dengan jin-jin ‘tingkat rendah’ ini kerana dia hanya menunjukkan berani sahaja dan suka mengertak perawat sedangkan hakikatnya tipu daya jin dan syaitan amatlah lemah. Percayalah, janganlah takut dengan sikap agresif yang ditunjukkan oleh pesakit yang kerasukan jin kerana dia tidak mampu berbuat apa-apa. Perawat sebenarnya mempunyai sejumlah besar senjata pemusnah (ayat-ayat al-Quran) yang dapat digunakan untuk menentang amukan jin yang degil ini. Namun begitu, persediaan dan amalan perawat perlulah dibuat secara istiqamah.

Kisah kali ini adalah rentetan daripada kisah yang pernah saya paparkan dalam post terdahulu iaitu mengenai pesakit yang mengamuk secara tiba-tiba apabila berhadapan dengan saya. Pesakit itu merupakan seorang pelajar perempuan yang masih menuntut di UiTM Cawangan Jengka dan akan menyambung pengajiannya pada bulan September 2015. Selepas saya  merawat di rumahnya, ibunya membawa anaknya yang sakit itu ke rumah saya. Kali ini si pesakit masih lagi di bawah pengaruh gangguan jin. Pesakit itu mengamuk dan mengingkari arahan saya. Kali ini saya tidak memberinya peluang kerana jin tersebut masih berdegil. Kadang-kadang dijelir lidahnya kepada saya sambil ketawa. Kadang-kadang dia buat bodoh saja,macam perangai budak-budak. Ada satu kali dia membuat gaya ‘Ultraman’ kononnya untuk membuat pancaran api. Saya pun membuat juga gaya tersebut dengan niat untuk menetaknya dan pesakit itu rebah tiba-tiba. Adakah ini yang dikatakan jurus? Entahlah.. saya hanya memusatkan niat sahaja dan memukul secara jauh. Guru saya, Syeikh Muhammad Rajab melarang anak muridnya mengamalkan jurus. Mungkin yang dimaksudkan oleh tuan guru saya itu ialah jurus yang melibatkan penggunaan jin.

Menarik Penyakit dan Gangguan Jin

Bila keadaan agak reda setelah pesakit terbaring, saya meneruskan rawatan sambil memusatkan niat mengaut penyakit termasuk jin-jin pengganggu. Dengan membaca rangkaian ‘Ayat Penakluk’ dan ‘Ayat Pengumpul’, saya bermohon kepada Allah untuk menarik keluar segala penyakit dan gangguan jin. Saya letakkan tangan di atas ubun-ubun kepala pesakit dan meniatkan untuk mengumpulkan penyakit dan gangguan jin di tapak tangan kanan  dan menariknya dengan kekuatan makrifat lalu melontarkan ke destinasi tertentu. Kelihatan pesakit seakan-akan tercabut nyawa mengelupur apabila saya berbuat begitu. Pesakit juga mengadu rasa sakit yang amat sangat di bahagian perutnya. Menurut kata ibunya, sudah agak lama anaknya itu tidak datang bulan (haid). Saya lantas teringat untuk menggunakan kaedah transfer menarik gangguan penyakit dan jin menggunakan balang kaca. Kaedah ini saya pelajari daripada Ustaz Majid suatu ketika dahulu. Saya kira kaedah ini sesuai untuk digunakan di bahagian perut pesakit perempuan.

Sebenarnya kaedah menarik gangguan jin menggunakan botol atau balang kaca bukanlah bermakna kita mengurung jin-jin tersebut. Tidak sama sekali. Apa yang berlaku ialah kita bermohon kepada Allah untuk mengeluarkan penyakit dan gangguan jin di tempat-tempat tertentu. Mungkin di tempat itu adalah tempat utama berkumpulnya jin dan dengan menggunakan botol atau balang kaca tersebut, kita berniat menariknya keluar dan mengumpulkan di dalam botol atau balang kaca tersebut. Selepas itu, kita mengisyaratkan membuangnya dengan melemparkan ke destinasi tertentu. Jadi tidak timbul kaedah mengurung jin di dalam botol. Botol atau balang kaca itu bertindak sebagai medium sahaja. Wallahu’aklam....

Ketika saya menarik penyakit dan gangguan jin tersebut, kelihatan pesakit meraung kesakitan. Nampak sangat seperti ada benda yang berada di bahagian perutnya itu.  Saya berharap agar Allah memperkenankan ikhtiar saya itu. Mudah-mudahan sakitnya segera sembuh.

Selang beberapa hari

Sudah agak lama tidak mendengar khabar tentang pesakit remaja perempuan itu, tiba-tiba pada satu malam satu mendapat panggilan telefon daripada ibu pesakit itu mengatakan anaknya itu telah mengamuk lagi. Jelas kedengaran suara bertempik daripada anaknya itu melalui telefon bimbit saya itu. Ibunya mengharapkan agar saya datang ke rumahnya dengan segera. “La, ada lagi jin bedebah ini”, bisik saya perlahan. Saya tidak dapat pergi ke rumahnya pada waktu itu, kerana saya sedang merawat seorang pesakit. Saya menyuruh ibunya membawa anaknya itu ke rumah saya. Untuk meredakan keadaan, saya membaca beberap ayat pengusir syaitan di telefon untuk didengar oleh anaknya yang sedang mengamuk itu.

Tidak berapa lama kemudian, datanglah si pesakit ke rumah saya walaupun pada mulanya dia agak keberatan.  Sesampainya di hadapan pintu rumah, wajahnya mula menunjukkan rasa benci dan terus bertindak agresif.  Nampaknya gangguan ini bersifat ‘on off’ iaitu datang dan pergi. Saya percaya ada titik kelemahan yang perlu saya cari agar gangguan jin ini tidak berulang lagi. Pada kali ini, saya cuba pula kaedah rawatan dengan meminum air ‘daun bidara’. Daun bidara yang berjumlah tujuh helai yang telah didoakan, saya tumbuk di dalam lesung batu. Campuran air dan daun bidara ini saya berikan si pesakit ini minum dan kesannya pesakit terus muntah. Namun masih ada lagi helah jin ini untuk terus berada di dalam badan pesakit dan tidak mahu keluar. Seterusnya saya cuba pula dengan kaedah meminum larutan air ‘garam bukit’ yang telah diruqyah. Nampaknya usaha ini berhasil untuk memaksa jin ini keluar. Sebelum jin ini keluar, saya bimbingnya untuk mengucapkan ikrar perjanjian untuk keluar buat selama-lamanya dan tidak akan masuk lagi ke dalam badan pesakit ini dan sesiapa sahaja dengan izin Allah.  Jikalau jin ini degil dan ingkar, maka jin tesebut akan hancur dengan kuasa Allah.

Garam bukit

Saya berharap agar gangguan jin yang menguasai gadis muda ini akan berakhir dan dia dapat menyambung pelajarannya di UiTM tanpa sebarang halangan. Insya Allah..

Sekian sahaja coretan daripada saya.

IKHLAS. YAKIN. REDHA
01132280112

No comments: