Wednesday, 26 August 2015

JIN YAHUDI

Assalamu’alaikum wwt..

Saudara pembaca yang dihormati,

Keberadaan jin dalam kalangan manusia amat erat sekali. Dalam hal ini, manusia ditutup hijab pandangan untuk melihat alam jin tetapi makhluk jin dapat melihat alam manusia. Apabila kehidupan manusia sentiasa diperhatikan oleh jin, maka mudahlah manusia diserang dalam segenap segi. Apabila manusia lalai dan tidak membuat apa-apa persiapan pertahanan diri, maka pintu untuk jin menguasai manusia terbuka luas. Namun begitu, harus diingat bahawa manusia diutuskan oleh Allah sebagai ‘khalifah’ untuk mentadbir dunia ini. Selayaknya, status khalifah ini dapat dimanfaatkan sebaik mungkin. Janganlah pula kita dijadikan tunggangan jin dan syaitan yang sentiasa berusaha menyesatkan kehidupan manusia. Syaitan dalam kalangan jin sentiasa mencari ruang dan peluang untuk menyesatkan hidup manusia. Dalam hal ini, bukanlah bermakna saya menuduh semua jin itu berbuat jahat kepada manusia. Ada jin yang baik dan ada juga jin yang jahat. Jin-jin yang baik biasanya beragama Islam dan tidak akan mengganggu kehidupan manusia Islam. Hanya jin-jin kafir sahaja yang suka mengganggu manusia beragama Islam termasuklah jin yang beragama Yahudi.  Paparan kisah pada kali ini ialah mengenai gangguan jin Yahudi kepada manusia.

Diserang Histeria

Pada malam itu, ketika saya berbaring dia atas katil untuk melelapkan mata, tiba-tiba telefon bimbit saya berbunyi. “Ah, siapa pula yang menelefon ni!, bisik saya perlahan. Saya mencapai telefon bimbit dan menjawab panggilan. Kedengaran suara dalam keadaan yang panik meminta saya membantunya untuk merawat anaknya yang bersekolah agama di Kuala Krau telah diserang histeria atau gangguan jin. Dalam keadaan ini, mahu tidak mahu saya terpaksa menolong  juga kerana merasakan amanah yang perlu dipikul sebagai perawat Islam. Tambahan pula, si pemanggil ini saya kenali kerana pernah bertugas sebagai guru pengawas peperiksaan SPM dua tahun yang lepas. “Baiklah, bawalah anak awak ke sini”, balas saya.

Kira-kira setengah jam, maka sampailah sahabat saya itu ke rumah saya bersama anaknya yang diserang histeria itu.  Pada awalnya, anaknya itu tidak mahu turun daripada kereta kerana takut. Saya membacakan beberapa potongan  doa ringkas untuk melemahkan gangguan jin tersebut. Anaknya itu dipapah untuk dibawa ke dalam rumah saya.

Dalam keadaan kritikal begini, iaitu ketika pesakit menunjukkan reaksi ganas, perawat pun terpaksa bertindak ganas juga. Maksudnya, tunjukkan ketegasan dan sifat garang untuk membuatkan jin-jin pengganggu itu tunduk kepada kita. Suara hendaklah dikeraskan dan bacaan ayat-ayat pembatal sihir dan jin perlu diucapkan dengan jelas dan lantang. Janganlah pula berlembut dan membaca ayat-ayat yang panjang berjela, hanya membuang masa sahaja. Teruskan kepada perintah supaya jin-jin pengganggu itu keluar.

“Wahai jin, keluar sekarang”, bentak saya. “Ana khalifatullah”, sambung saya seterusnya. Pesakit kelihatan mengeliat dan kedua-dua kaki dan tangannya bergetar.
“Siapa kamu dan di mana kamu tinggal?”, soal saya keras.
“Aku tinggal di asrama budak itu. Aku jin Yahudi” jawabnya.
“Mengapa kamu ganggu dia?”, soal saya.
“Aku perhatikan dia dan dia suka bersendirian, sebab itulah aku masuk”, jawabnya.

“Oh, jin Yahudi rupanya!”. Bisik saya perlahan. Pada ketika itu timbul ilham dalam benak saya untuk berdakwah kepada jin yahudi tersebut akan agama Islam. Saya tidak pasti  sama ada jin itu berbangsa Yahudi atau beragama Yahudi. Saya jelaskan kepadanya akan keesaaan Allah dan Muhammad Rasulullah saw. Juga saya tegaskan akan balasan di akhirat nanti bagi jin atau manusia yang berbuat kejahatan dan ingkar kepada Allah. Namun begitu, saya tidak memaksa jin itu memeluk Islam kerana tiada paksaan dalam agama. Saya mengharapkan agar jin tersebut faham dan terbuka hatinya tentang Islam.

Memeluk Islam

Dengan izin Allah yang maha pemurah lagi maha mengasihani, jin Yahudi tersebut bersetuju untuk memeluk agama Islam dan sanggup dihantar ke Serambi Madinah. Lokasi Serambi Madinah dipilih adalah bertujuan supaya jin-jin yang baru memeluk agama Islam dapat belajar dan mendalami agama Islam di sana. Apabila berada dalam suasana beragama, maka sudah tentu penghayatan dalam agam Islam semakin kukuh. Saya mengharapkan begitu. Semoga Allah membantu saya.

Seterusnya saya membimbing jin Yahudi tersebut agar mengikut saya mengucapkan dua kalimah syahadah. Suaranya bergetar mengikut bacaan dua kalimah syahadah tersebut. Saya juga menasihatinya supaya jangan masuk lagi dalam badan mana-mana manusia selepas ini. Dengan izin Allah saya menariknya keluar melalui kaki dan memakrifatkan dihantar ke Serambi Madinah. Semoga usaha ini diberkati Allah. Amin..

Nasihat dan Pengajaran

Alhamdulillah, saya mengambil masa yang agak singkat untuk menguruskan kes kerasukan ini. Semuanya atas bantuan Allah jua. Biasalah, ada kes yang berat dan ada juga kes yang ringan. Berat atau ringannya kes yang kita tangani, bukanlah bergantung atas ilmu yang kita ada tetapi atas izin Allah jua. Jangan riak atau takbur. Jangan sombng dan jangan ego, kelak memakan diri. Jadikah seperti resmi padi, semakin tunduk, semakin berisi.

Pelajar yang kerasukan jin Yahudi tersebut belajar di sekolah agama. Sudah menjadi lumrah, pelajar yang mendalami agama Islam sentiasa ada cabaran termasuklah jin-jin jahat. Dari penceritaannya, pelajar keluar seorang diri pada waktu senja untuk mengambil kain bajunya di ampaian. Ketika itulah dia dimasuki jin dan kerasukan. Pada waktu senja, elakkan berkeliaran di luar rumah atau di asrama.

Jika ada ruang dan peluang berdakwah, laksanakan dengan segera walaupun kepada bangsa jin. Cakaplah apa saja berkaitan dengan Islam, nescaya Allah akan memberi hidayah dengan sebab nasihat kita itu.

Sekian sahaja perkongsian buat kali ini.

Selamat mengikuti blog saya..

No comments: