Wednesday, 5 August 2015

PERUT BUSUNG

Assalamu’alaikum wwt..

Sakit fizikal yang nampak dek mata kasar memang mudah diubati terutamanya apabila kita berikhtiar merawatnya di pusat-pusat rawatan moden seperti di hospital. Kepakaran dan peralatan moden yang dimiliki oleh pihak hospital kerajaan atau swasta memang tidak dapat dinafikan. Saya sendiri pun akan berjumpa dengan doktor jika saya sakit. Penyakit gout yang saya hidapi kadang-kala terasa menyucuk dan bisa-bisa jika tersalah makan. Jalan penyelesaian terbaik ialah mendapatkan rawatan di klinik dan memakan ubat. Alhamdulillah, sakit tersebut sembuh. Ada orang kata ubat-ubatan moden ini hanya menghilangkan rasa sakit sahaja tetapi tidak sampai menyembuh dan ada kesan sampingan jika selalu diamalkan.

Begitu juga jika ada orang yang sakit perutnya besar atau dipanggil ‘busung’, maka rawatan moden adalah pilihan terbaik. Saya ada satu kes yang sedang saya tangani sekarang ini iaitu sakit busung. Inilah kali pertama saya berhadapan dengan kes seumpama ini.  Agak berdebar juga hati saya untuk merawatnya kerana apalah sangat dengan kemampuan dan ilmu saya yang sedikit ini untuk merawatnya. Namun, apabila pesakit datang untuk mendapatkan rawatan daripada saya, maka saya terpaksa menerimanya. Sekurang-kurangnya pengalaman merawat penyakit ini berguna kepada saya di kemudian hari nanti.

Pagi itu saya menerima satu panggilan telefon daripada seorang lelaki yang meminta pertolongan daripada saya untuk merawat penyakit isterinya. Saya tidaklah bertanya dengan lebih lanjut akan penyakit isterinya itu kerana kebiasaanya orang menghubungi saya bagi menangani kes-kes yang berkaitan dengan gangguan makhluk halus. Satu temu janji telah ditetapkan untuk mengadakan sesi rawatan.

Petang itu, seperti yang dijanjikan, pasangan suami isteri tersebut telah berkunjung ke rumah saya. Langkah isterinya kelihatan lemah dengan perutnya yang besar seperti sarat sedang mengandung. Umurnya saya kira dalam lingkungan 50-an dan raut wajahnya menampakkan sedang menahan sakit. Saya telah berbual-bual dengan pasangan suami isteri ini untuk mengetahui hal yang sebenar. Menurutnya, sakit dalam perutnya ini terjadi secara tiba-tiba lebih kurang sebulan yang lalu. Masa itu, perutnya terasa memulas-mulas dan sukar untuk bernafas. Beliau telah dikejarkan ke hospital dan menjalani pemeriksaan dan rawatan oleh para doktor. Beliau telah ditahan di dalam wad untuk mendapatkan rawatan secara menyeluruh. Agak lucu juga apabila beliau mengatakan bahawa doktor telah memasukkan wayar ke dalam mulutnya dan juga di lubang duburnya untuk memeriksa bahagian dalam perutnya. Namun, doktor mengatakan bahawa tiada apa-apa yang sakit. Hanya ada cecair sahaja di dalam bahagian perutnya yang besar itu.

Gambar hiasan : Perut Busung

Dahulu saya pernah terbaca tentang fenomena penyakit seperti ini. Kalau di dalam perut wanita yang tiba-tiba membesar dan bukan diakibatkan oleh mengandung, berkemungkinan besar ada ketumbuhan di dalam perut atau di dalam rahim. Ketumbuhan ini dipanggil ‘fibroid’. Ketumbuhan ini jika dibiarkan akan terus membesar dan mengganggu kehidupan seharian. Jadi, ketumbuhan ini perlu dibedah dan dibuang oleh doktor pakar.

Ketumbuhan di dalam rahim atau dikenali sebagai Fibroid dalam rahim merupakan sejenis ketumbuhan yang berlaku pada dinding rahim terutamanya pada lapisan otot. Fibroid ini kebiasaannya bukanlah sejenis kanser dan ia tidak akan berubah menjadi kanser rahim. Ia boleh bersaizkan sekecil biji benih epal sehinggalah sebesar buah oren. Dalam kes yang lain, ia mampu membesar sehingga wanita yang mengalaminya akan kelihatan seperti mengandung.

Fibroid boleh tumbuh sebiji atau beberapa biji sekaligus. Kadar ketumbuhan juga berbeza –beza dan boleh tumbuh dengan cepat ataupun lambat. Terdapat fibroid yang tumbuh semasa mengandung tetapi kebiasaanya ia akan mengecut atau hilang selepas bersalin apabila rahim kembali kepada saiz yang normal. Fibroid boleh tumbuh di ruang dalam rahim (Fibroid Submukosa), di dalam tisu rahim (Fibroid Intramural) atau di luar rahim (Fibroid Subserosa). Terdapat juga fibroid yang tumbuh keluar daripada permukaan dalam atau luar rahim. Ia kelihatan seperti cendawan yand dikenali sebagai fibroid yang bertangkai.

Dalam kes wanita ini, jika pemeriksaan doktor mendapati tiada apa-apa ketumbuhan maka apakah sebenarnya punca penyakit tersebut?  Hanya Allah Taala sahaja yang mengetahui.

Kaedah Rawatan

Dalam kepala saya memikirkan apa kaedah dan teknik yang sesuai digunakan bagi merawat penyakit tersebut. Memanglah  kaedah bacaan ruqyah Nabawiyah meliputi semua usaha perawatan penyakit, tetapi perlu ada satu kaedah khusus untuk menjadikan rawatan lebih berkesan dan seterusnya sembuh dengan izin Allah. Dalam kepala saya terlintas untuk melakukan kaedah ‘Bedah Makrifat’ yang pernah saya pelajari daripada Ustaz Wan Asrul (TIAF) suatu ketika dahulu. Perlu diingat bahawa kaedah bedah makrifat ini tidak sama dengan kaedah Bedah Batin yang pernah menjadi kontroversi dalam rawatan alternatif.

Seperti biasa, saya meyuruh pesakit beristighfar memohon keampunan Allah atas segala dosa-dosa dan berselawat atas Nabi memohon syafaat baginda. Saya juga menyuruh pesakit berniat di dalam hati mohon kepada Allah agar diberi kesembuhan. Saya mulakan dengan bacaan surah al- Fatehah sambil diulang beberapa kali dan dilanjutkan dengan ayat-ayat ruqyah yang lain. Sambil itu saya memerhatikan reaksi di tubuh badan pesakit untuk diognosis awal. Jika sakitnya berpunca daripada gangguan jin, biasanya dada pesakit akan berdebar-debar dan kaki kiri atau kanan begerak-gerak dengan sendiri. Jika pesakit muntah, maka itu lebih baik sebagai tanda pemulihan awal. Dalam situasi ini, pesakit memberitahu hanya dadanya yang terasa berdebar-debar.

Setelah selesai membacakan ruqyah, saya meminta pesakit berbaring dan menutup bahagian badannya dengan sehelai kain. Saya meminta suaminya duduk berhampiran isterinya  dan meletakkan tangan diatas perut isterinya. Dalam bidang rawatan, adab perawat perlu dijaga. Jangan sembarangan menyentuh bahagian-bahagian badan pesakit dikhuatiri mendatangkan fitnah. Bagi perawat lelaki, sentuhan yang dibenarkan kepada pesakit perempuan ialah di bahagian kepala dan belakang sahaja. Dengan berlapikkan tangan suaminya, saya melakukan gerakan bedah makrifat disertai bacaan ayat al-Quran terpilih. Setelah itu, saya mengisyaratkan menutup semula bahagian tersebut. Dalam hal ini, keyakinan dan keikhlasan amat perlu untuk mendapat redha Allah. Kesembuhan mutlak adalah dengan izin Allah semata-mata. Sesi rawatan ditamatkan dan saya sarankan agar pesakit membuat rawatan ulangan jika perlu.

Selang beberapa hari, sekali lagi permintaan dibuat untuk menyambung semula rawatan. Dalam pertemuan kedua ini, respons yang baik ditunjukkan walaupun perut pesakit itu tetap membesar seperti dahulu. Maksudnya ada sedikit perubahan positif. Sekali lagi saya melakukan rawatan yang sama. Saya berdoa agar usaha kami ini diberkati oleh Allah. Jikalau tidak sembuh juga, pesakit ini bolehkah mendapatkan rawatan dengan orang lain pula. Adalah lebih baik, jika pesakit ini sentiasa membuat pemeriksaan di hospital atau berjumpa dengan pakar perubatan moden.

Kita hanya berusaha, Allah yang menentukan.


Sekian sahaja coretan buat kali ini...

No comments: