Assalamu’alaikum wwt..
Seperti diduga, kerjaya sebagai
Perawat Islam tidak sunyi daripada menerima seribu macam masalah daripada
pesakit. Saya ingatkan apabila saya
belajar ilmu perubatan Islam ini dahulu, lebih cenderung kepada merawat pesakit-pesakit
yang mengalami masalah gangguan jin sahaja, namun ternyata skop rawatan yang
diberi lebih daripada itu. Hal ini termasuklah memberi kata-kata nasihat dan
semangat kepada pesakit. Lebih tepat lagi, saya terpaksa menjadi pendengar yang
setia dan cuba merungkai masalah yang dihadapi oleh pesakit. Pesakit kadang
kala tidak dapat membezakan sakit mereka adakah berpunca daripada emosi yang
terganggu atau adanya campurtangan makhluk halus (jin).
Ada beberapa peristiwa yang menjurus kepada kemahiran
seperti kaunselor. Walaupun saya tidak menerima latihan dan ilmu dalam bidang
kaunseling secara formal, namun saya percaya matlamatnya hanya satu iaitu
memberi nasihat dan jalan keluar daripada masalah yang dihadapi. Pesakit perlu
mempunyai keimanan yang kuat dan pergantungan yang tinggi kepada Allah. Namun,
apabila kita ditimpa musibah, kadang-kala sikap ini tidak dapat kita
praktikkan. Kita mudah menuduh pihak lain yang menjadi punca masalah tersebut
tanpa menuduh diri sendiri.
Punca Tidak Mahu Ke Sekolah
Ada saya menerima kes
pesakit (pelajar) yang tidak mahu pergi ke sekolah. Ibu bapanya datang
membawa anaknya yang tidak mahu datang ke sekolah itu berjumpa dengan saya.
Yalah, ibu bapa mana yang tidak risau apabila anaknya yang bersekolah menengah
dalam Tingkatan 4 tiba-tiba tidak mahu pergi ke sekolah. Saya bertanya dengan
lebih lanjut masalah pelajar itu mengapa terjadinnya sebab tersebut. “Setiap
sesuatu yang berlaku mesti ada sebabnya”, kata saya.
Ayahnya yang banyak bertindak selaku pemberi maklumat
berkenaan dengan kes anaknya itu. Kes berpunca daripada perasaan tidak puas
hati anaknya terhadap tindakan seorang ustaz di sekolahnya. Dikatakan ustaz
tersebut telah menamparnya kerana dikatakan cuba berpeluk dengan seorang
pelajar lelaki, walhal bukan begitu sebenarnya. Oleh kerana tindakan tanpa usul
periksa oleh ustaz tersebut menamparnya di hadapan rakan-rakannya, membuatkan
pelajar perempuan tersebuk merajuk dan menyimpan perasaan marah. Apabila
menyebut nama ustaz tersebut sahaja, membuatkan mukanya berubah menjadi marah
dan berdendam.
Pelajar perempuan tersebut banyak berkurung di dalam
rumah dan memberi pelbagai alasan supaya tidak datang ke sekolah. Walaupun
pelajar perempuan itu datang ke sekolah, namun apabila masa ustaz tersebut
mengajar, dia akan keluar daripada kelas. Usaha penyelesaian dengan merujuk
kepada guru kaunseling sekolah pun sudah dilakukan, namun tidak berkesan.
Begitu juga diadukan kepada Guru Penolong Kanan HEM pun tidak berjaya mengubah
sikap anaknya itu. Saya mencadangkan agar anaknya itu bertukar sekolah sahaja,
namun ibu bapanya agak keberatan. Ibu bapanya masih mengharapkan anaknya
berubah sikap dan meminta bantuan saya meruqyahnya. “Takut-takut ada gangguan
jin”, katanya lagi. Saya tersenyum dan
tidak keberatan membantunya.
Saya meminta pelajar perempuan tersebut duduk berlunjur
dan saya mulakan dengan bacaan ruqyah Nabawiyah dengan penuh khusyuk. Ternyata,
tiada tindak balas yang agresif menandakan tiadanya gangguan jin. Cuma, apabila
selesai meruqyahnya, pelajar perempun itu menyatakan sedikit tenang.
Saya mengambil kesempatan menasihati pelajar perempuan
tersebut supaya melupakan peristiwa yang lalu dan menumpukan sepenuh perhatian
kepada pelajaran. “Datanglah ke sekolah, dan anggaplah tiada apa-apa yang
berlaku”, kata saya selanjutnya.
Dalam hal ini, saya hanya mendengar cerita satu pihak
sahaja. Jadi, saya tidak dapat membuat rumusan yang tepat. Mungkin ada betulnya
cerita tersebut dan mungkin juga sebaliknya. Jika berdasarkan ceritanya,
memanglah tindakan ustaz tersebut tidak wajar dilakukan lebih-lebih lagi terhadap
seorang pelajar perempun yang mudah tersentuh hatinya.
Mudah-mudahan pelajar tersebut akan kembali ceria dan
mahu datang ke sekolah seperti biasa. Amin.
Sekian sahaja coretan saya buat kali ini..
01132280112
No comments:
Post a Comment