Assalamu’alaikum wwt..
Kejadian pesakit mengamuk
apabila didatangi perawat memang biasa berlaku. Hal ini tidaklah menghairankan
kerana yang marah itu sebenarnya bukan diri pesakit itu tetapi gangguan (jin)
yang berada di dalam badan pesakit itu sendiri. Mungkin gangguan (jin) itu
sudah terasa bahang dan akibat buruk jika
berhadapan dengan perawat. Saya percaya, hal ini berlaku disebabkan
keberkatan wirid dan amalan istiqamah perawat itu sendiri. Fenomena inilah yang
saya cuba paparkan dalam coretan kali ini.
Petang itu saya sedang berehat-rehat di rumah
sementara menunggu masuknya waktu maghrib. Saya bersiap-siap untuk pergi ke
surau yang berdekatan dengan rumah bagi menunaikan solat maghrib berjemaah.
Tiba-tiba saya dikejutkan dengan suara seorang wanita memberi salam di luar
rumah. Saya ingatkan salam itu diberi kepada penghuni rumah jiran sebelah,
maklumlah rumah yang saya diami ini rumah teres. Jadi saya tidak mahulah
tergesa-gesa menyahut salam. Namun rupanya ada dua orang wanita itu terjongol
di depan pintu rumah dalam keadaan yang tergesa-gesa sambil memastikan adakah
betul saya orang yang mahu dicarinya.
Apabila saya mengiyakan, maka terus dia meminta saya
menurutinya untuk pergi ke sebuah rumah kenalannya di Taman Jengka Impian.
Serba ringkas dia menyatakan bahawa ada gangguan histeria di rumah rakannya
itu. Saya serba-salah untuk memenuhi permintaan mereka kerana waktu itu hampir
masuk maghrib. Namun, melihat akan kesungguhan mereka, saya pun mengikutnya
dengan menaiki motosikal.
Disambut dengan Amarah
Dalam perjalanan untuk sampai ke rumah pesakit itu,
saya mempersiapkan benteng pertahanan diri dengan amalan yang dipelajari. Guru
saya ada berpesan, agar selalu berwaspada dan berjaga-jaga apabila melangkah
keluar dari rumah untuk merawat. Mantapkan lidah dan hati dengan zikrullah
sambil memohon perlindungan daripada Allah. Sebaik-baiknya, amalan ini perlulah
dilakukan secara istiqamah sehingga sebati dan menjadi automatik sahaja tanpa
perlu kita berusaha untuk mengerahnya. Apabila amalan menjadi sebati dan serasi
dengan kita, maka mudahlah jadinya seperti kata peribahasa ‘alah
bisa tegal biasa’.Perjalanan menuju ke rumah pesakit mengambil masa yang
singkat sahaja kerana jarak yang dekat.
Sesampai sahaja saya ke rumah pesakit, tiba-tiba anak
remaja perempuan tuan rumah yang sakit itu terus mengamuk dan menghalau saya
keluar. Saya tidak menghiraukan perlakuan agresifnya itu tetapi tetap
berwaspada. Namun, tanpa diduga, dia terus menolak saya hingga saya
hampir-hampir hilang keseimbangan. “Main kasar nampaknya”, bisik saya perlahan.
Saya pun perlu ‘bermain kasar’ juga supaya
dia menghormati saya. Dalam keadaan kritikal
begini, bacaan ruqyah tidak banyak membantu. Jadi saya terpaksa menggunakan
teknik serangan ringkas untuk melemahkannya. Gerakan ‘pancung’ menggunakan pedang ghaib saya gunakan sambil
bertakbir beberapa kali. Alhamdulillah, pesakit kelihatan lemah dan terbaring.
Saya tidak percaya akan ‘lakonan bodoh’
tersebut. Masih ada lagi sisa-sisa gangguan jin di dalam badan pesakit
tersebut. Nampaknya, saya terpaksa menangguhkan rawatan untuk menunaikan solat
maghrib. Biarlah pesakit itu terbaring sambil dikawal oleh ahli keluarganya.
Sesi Ruqyah
Sebelum memulakan sesi ruqyah, emak pesakit
menceritakan serba sedikit punca gangguan yang menimpa anaknnya itu. Sakit
anaknya itu telah lama terjadi iaitu sejak anaknya itu bersekolah di Sekolah
Menengah Agama di Jerantut. Nampaknya gangguan tersebut terus berlanjutan
sehingga anaknya itu melanjutkan pelajaran di UiTM, Jengka. Sesi pengajian
terpaksa ditangguhkan akibat penyakit yang dialami oleh anaknya itu. Soal
berubat dan mendapatkan rawatan usah ceritalah. Sebut sahaja mana ada perawat
yang boleh merawat nescaya akan dibawanya ke situ. Wang ringgit , masa dan
tenaga sudah banyak terbuang, namun kesembuhan yang diharapkan belum kunjung
sembuh. Kata orang tua-tua, ‘tidak rasi’ lagi untuk sembuh.
Apabila keadaan sedikit tenang, saya memulakan dengan
sesi ruqyah Nabawiyah. Bacaan
ayat-ayat suci al-Quran saya alunkan dengan tenang dan jelas hingga jiwa terasa
sebak mengenang kebesaran Allah. Harus diingat, bukan ayat-ayat suci al-Quran
yang menjadi sebab penyembuh sesuatu penyakit tetapi Allah jua yang
menyembuhnya. Pesakit kelihatan gelisah dan menjerit-jerit namun saya tidak
menghiraukan semua itu. Sesekali pesakit muntah-muntah dan kesakitan. Saya
membentak gangguan jin supaya keluar dari tubuh badan pesakit itu. Saya percaya
ada banyak lapis gangguan jin di
dalam badan pesakit itu. Usaha penyembuhan akan memakan masa dan proses rawatan
ulangan perlu dilakukan supaya benar-benar sembuh dengan Izin Allah.
Keluarga pesakit menaruh harapan yang tinggi kepada
saya untuk membantu merawat anaknya itu. Saya mengatakan kepadanya, janganlah
menaruh harapan kepada saya, tetapi taruhlah harapan kepada Allah.
Rawatan Ulangan
Tiga hari berselang, keluarga pesakit membawa anak
remaja perempuannya yang sakit itu ke rumah saya. Seperti biasa, saya
menyuruhnya membaca ikrar pemutus jin saka dan sihir supaya tiada lagi
pertalian dan hubungan dengan pesakit. Nampaknya ada jin yang menyukai remaja
perempuan ini dan tidak mahu melepaskannya. Saya bermohon kepada Allah agar
mendatangkan pasangan yang sesuai dengan jin ini. Tiba-tiba jin tersebut
bersetuju untuk keluar, mungkin dia nampak akan pasangannya itu. Subhanallah...
Semoga remaja perempuan itu sembuh dan dapat
meneruskan kembali pengajiannya di UiTM yang telah tertangguh. Amin..
Sekian sahaja coretan saya pada
kali ini.
Moga berjumpa lagi.
Hp. 01132280112
No comments:
Post a Comment