Wednesday, 8 January 2014

CIRI-CIRI WIRID PENGUNDANG JIN



Assalamu’alaikum wwt.
Saudara pembaca yang dihormati, selamat berjumpa lagi dalam tahun 2014 ini. Mudah-mudahan kita semua dirahmati oleh Allah.

Tulisan pada kali ini ialah menyentuh tentang wirid yang kita amalkan yang boleh mengundang kehadiran jin tanpa kita sedari.  Memanglah tujuan asal kita berwirid contohnya, beramal dengan membaca doa, berzikir dengan zikir khusus, atau membaca ayat-ayat al Quran  adalah untuk mendapat keredhaan Allah  tetapi dengan tanpa kita sedari wirid yang kita lakukan itu boleh mengundang kehadiran jin jika sekiranya tidak kena caranya. Sifat jin ini pula suka memperdayakan manusia agar jauh daripada Allah. Itulah sebabnya ada orang yang beramal wirid menjadi gila isim, panas baran dan sebagainya...

Sedang berwirid

Sebenarnya antara ciri-ciri wirid yang boleh mengundang kehadiran jin dan sihir adalah seperti berikut:


  • Niat mengamalkan wirid untuk mendapatkan ilmu ghaib atau kesaktian tertentu. Contohnya untuk kebal, boleh terbang, boleh menghilang dan sebagainya.

  • Wiridnya harus dengan bilangan tertentu iaitu tidak boleh kurang atau lebih. Jika bacaanya tidak sesuai dengan syarat yang ditetapkan, maka harus mengulang dari awal atau jika bacaanya tidak sesuai bilangan maka kekuatannya tidak dapat diperolehi. Contohnya membaca “Ya Latif” sebanyak 99999 setiap malam untuk mendapatkan ilmu terawangan.


  • Wiridnya disertai dengan ritual bid’ah. Contohnya wirid “Ya Qowiyyu” 1000 kali disertai ritual puasa mutih 40 hari untuk mendapatkan ilmu kekebalan.

  • Wiridnya memanggil nama-nama waliyullah yang sudah meninggal. Contohnya memanggil nama Syeikh Abdul Qadir Jailai dan meminta bantuannya untuk hajat tertentu. Atau menyeru dengan nama-nama jin, malaikat dan makhluk halus lainnya. Hakikatnya, Allah jua yang berkuasa. Jika memohon dengan keberkatan waliyullah tidak mengapa.

  • Membaca wirid disertai pantangan tertentu yang tidak masuk akal yang jika dilanggar akan hilang atau tawar ilmunya. Contohnya, membaca wirid untuk kekebalan namun jika lalu dibawah jemuran atau ampaian kain, maka ilmunya akan luntur.

  • Wiridnya wajib diijazahkan oleh mursyid atau gurunya.  Jika mengamalkan sendiri nescaya tidak dapat kekuatannnya atau dikhuatiri akan menjadi gila.

  • Wiridnya jika dibaca sudah sampai bilangannya, maka akan ada ujian dari makhluk-makhluk ghaib dan jika lulus ujian maka baru dapat ilmunya. Contohnya setelah 7 hari puasa dan membaca wirid, maka pada hari ke 7 melakukan pati geni dan pada jam 12 malam diuji didatangi ular yang membelit tubuhnya, atau didatangi wanita telanjang yang menggoda, atau didatangi makhluk menyeramkan dan sebagainya. jika semua ujian tersebut berjaya dihadapi, maka ilmu kesaktian akan diperolehi.

  • Wiridnya khusus meminta bantuan malaikat atau raja jin untuk hajat  tertentu. Contohnya mengamalkan wirid untuk mendatangkan malaikat pembawa rezeki yang akan datang membawa emas setelah wirid berhasil dibaca dengan ritual tertentu.


  • Wiridnya tidak diketahui artinya, atau digabung bacaan Al-Qur’an dengan mentera-mentera, jampi serapah dan sebagainya.


Kesimpulan:

Marilah kita memurnikan ibadah dan wirid kita hanya semata-mata kerana Allah Taala. Janganlah beramal kerana ada maksud yang tersembunyi atau mencari kesaktian. Jika wiridnya sudah ada jin pendamping, maka jin tersebut kemudianya akan menjadi saka kepada anak cucu.

Mudah-mudahan info ini memberi panduan kepada diri saya sendiri dan kepada pembaca yang disayangi..

No comments: