Thursday, 30 January 2014

JANGAN TINGGALKAN WIRID



Salam sejahtera buat pembaca yang terus mengikuti blog saya. Mudah-mudahan kita semua dirahmati oleh Allah...

Dalam tulisan terdahulu, saya ada menukilkan mengenai tajuk “Ciri-ciri Wirid Mengundang Jin”. Tentunya para pembaca sedar akan bahayanya wirid yang diamalkan tanpa disiplin ilmu yang betul mengikut kehendak sebenar dalam Islam.

Namun begitu, janganlah pula kita terus meninggalkan amalan wirid kerana takut akan adanya kehadiran jin... Hal semacam ini berlaku jika kita beramal tidak kena pada maksudnya.

Tulisan kali ini membicarakan hal wirid yang dianjurkan terutama dalam ilmu tasauf untuk mencari redha Allah. Sememangnya wirid adalah sangat dituntut oleh para salik untuk kebaikan di dunia dan di akhirat kelak.

Bila kita belajar, guru akan memberikan wirid yang perlu kita diamalkan. Wirid ini berupa ayat-ayat suci al-Quran, zikir-zikir asma ul husna, hizib, selawat dan sebagainya. Dalam hal ini janganlah kita meremehkan wirid.  Wirid yang bersanad sehingga kepada Rasulullah saw melalui baiah ijazah tariqah adalah terlebih afdhal.

Membaca Al-Quran antara wirid yang sangat dituntut


Telah berkata Syaikh Ahmad Ibn “Athaillah dalam kitab Hikam:

“Tidak akan meremehkan wirid kecuali orang yang sangat bodoh.  Warid itu akan didapatkan sampai di akhirat, sedang wirid itu akan terlipat (habis) dengan terlipatnya (habisnya) dunia.  Dan sesuatu yang lebih utama diperhatikan adalah apa yang tidak terganti wujudnya. Wirid adalah yang dituntut Allah dari kamu, sedang warid adalah kamu yang menuntutnya daripada-Nya. Maka dimanakah perbedaan antara wirid yang Allah telah menuntut dari kamu dengan warid yang kamu menuntutnya dari Allah”

Penjelasan :

Wirid adalah pekerjaan rutin yang berupa ibadat lahir mahupun batin.

Warid  adalah sesuatu yang berjalan di dalam hati manusia sebagai pemberian dari Allah, yang berupa ketenangan, cahaya Ilahi, kesenangan beribadah, taufik dan hidayah-Nya.

Janganlah meremehkan wirid. Kerana wirid ini merupakan cara pengabdian kepada Allah, menghadirkan hati kepada-Nya, dan mencari kenikmatan dengan berzikir kepada-Nya.  Dengan wirid orang boleh membersihkan batinnya dan menarik cahaya untuk menerangi hati.  Hanya orang yang sangat bodoh yang meremehkan wirid.

Wirid itu mempunyai dua keistimewaan dibanding dengan warid, iaitu:


  1. Wirid waktunya terbatas, iaitu ketika masih di dunia. Terlewat tidak mengerjakan wirid di dunia, maka tidak akan boleh menggantikannya. Musnahnya dunia bererti habisnya masa wirid.  Matinya seseorang bererti terputusnya masa untuk menjalankan wirid. 
  2. Wirid itu hak Allah yang diwajibkan kepada manusia. Sedang warid adalah hakmu yang kamu ajukan kepada Allah.

Kerana keistimewaan wirid itu, maka sebaiknya setiap orang selalu menjalankan wiridnya. Wirid hanya berlaku di dunia sedangkan warid berlanjut sampai di akhirat.

Bersabda Rasulullah saw. (maksudnya):
“ Amal-amal yang paling dicintai oleh Allah adalah yang (dikerjakan) terus menerus, meskipun sedikit”

Abu Thalib Al- Makki berkata:
“Terus-menerus mengerjakan beberapa wirid termasuk akhlak orang-orang mukmin, jalannya orang-orang yang ahli ibadah, dan dia dapat menambah iman serta tanda keyakinan”

Selanjutnya kita mengharapkan Allah akan menganugerahkan kepada kita warid imdadi.  Warid imdadi adalah pertolongan Allah kepada orang beriman yang dapat menyebabkan kekuatan roh kerana terisinya hati oleh iman, ilmu dan makrifat.

Warid imdadi akan datang meresap ke  dalam hati setiap orang, bilamana orang itu mahu membersihkan hatinya dan mahu menjalankan wiridnya terus menerus. Banyak sedikitnya  warid imdadi di dalam hati seseorang, tergantung dari persiapan orang itu di dalam membersihkan hatinya dan mengamalkan wiridnya. 

Jadi jelasnya warid itu selalu mengikuti wirid.  Kalau wiridnya berjalan sempurna, maka hatinya menjadi bersih dan bercahaya.  Hati yang bersih dan bercahaya merupakan tempat warid.


Telah berkata Syeikh Ahmad Ibnu Athaillah dalam Kitab Hikam;

“ Sewaktu datang warid Ilahi (Kurnia Allah) kepadamu, maka DIA akan melenyapkan kebiasaan-kebiasaan yang ada pada kamu.  Diumpamakan seperti dalam firman Allah yang ertinya: “Sesungguhnya raja-raja apabila memasuki suatu negeri, nescaya mereka membinasakannya”.

Ertinya;

Apabila kurnia Allah yang berupa iman itu masuk ke dalam hati seseorang, maka lenyaplah kebiasaan-kebiasaan yang berlaku padanya.  Diumpamakan warid Ilahi itu seperti bala tentera raja, dimana kalau telah masuk ke dalam hati yang penuh dengan kebodohan dan kelalaian kerana masih kuatnya penglihatan kepada keduniaan, maka segeralah kebodohan dan kelalaian yang menjadi kebiasaan manusia itu akan binasa lalu diganti dengan tingkah laku yang luhur dan diredhai oleh Allah.

Kemudian  Syeikh Ahmad Ibnu Athaillah berkata lagi;

“Warid (kurnia iman) itu datang dari Allah yang Maha Perkasa.  Oleh kerana itu tidak ada sesuatupun yang dapat melawannya melainkan warid itu akan memusnahkannya. (Firman Allah yang ertinya) : “Sebenarnya Kami melontarkan yang hak kepada yang batil, lalu yang hak itu menghancurkannya, maka dengan serta merta yang batil itu lenyap”.

Pembaca yang dihormati,

Mari kita merenung sejenak dengan mutu wirid kita seharian.. saya percaya, dengan keadaan zaman sekarang yang menuntut kita bergerak pantas, maka tidak ramai yang dapat beristiqamah dengan wirid.  Pesan saya...”Kalau tidak dapat beramal semua, janganlah tinggal semua”.

Mudah-mudahan kita semua akan beroleh warid daripada Allah Taala..Tapi janganlah pula mendapat warid daripada jin (kalau tidak kena dengan caranya).


Sekian, jumpa lagi..





No comments: