Sunday, 16 March 2014

CARA TUKANG SIHIR MENDATANGI JIN DAN SYAITAN (1)



Assalamu’alaikum wwt.

Ada pelbagai cara atau kaedah seseorang itu memperoleh sesuatu yang dihajati walaupun cara tersebut bertentangan dengan syarak. Hal itu sebenarnya tidak menjadi masalah bagi seseorang yang buta mata hatinya dan jauh dari petunjuk Ilahi.  Bagi penyihir atau kita panggil TUKANG SIHIR, ada banyak cara untuk bersekongkol dengan makhluk jin dan syaitan ini. Marilah kita menyelusuri akan pelbagai cara ahli sihir mendatangi jin dan syaitan. Mudah-mudahan kita tidak terjebak dengan amalan khurafat ini.

Pertama: Melalui Sumpahan Atas Nama Jin dan Syaitan

Caranya ialah tukang sihir (bomoh, dukun atau pawang) tersebut masuk ke dalam bilik gelap yang tertutup. Kadang-kadang bilik tersebut diselubungi dengan kain hitam, kuning atau sebagainya yang menjadi syarat pemujaan terhadap jin dan syaitan. Kemudian tukang sihir akan menyediakan bara api dan meletakkan sejenis kemenyan di atas bara api tersebut sesuai dengan tujuan jahat yang diinginkannya. Jika bermaksud untuk menceraikan seseorang atau ingin menimbulkan permusuhan dan kebencian diantara dua pihak, ia akan meletakkan dan membakar kemenyan yang berbau busuk (kemenyan hitam).

Jika tukang sihir tersebut ingin merapatkan dua pihak yang bermusuhan atau melepaskan ikatan seorang suami yang terikat dengan sihir sehingga tidak dapat menggauli isterinya atau membuang sihir orang lain, maka tukang sihir itu meletakkan kemenyan yang berbau harum semerbak (kemenyan putih). Seterusnya tukang sihir itu memulakan jampi mentera yang berupa kalimah tertentu yang mengandungi sumpah kesetiaan dan pujaan kepada jin atas nama pemimpin mereka dan meminta dengan menyebut nama syaitan serta melafazkan (istighatsah) pertolongan daripada jin dan seumpamnya.

Hal ini dilakukan oleh tukang sihir dalam keadaan diri mereka tidak suci atau dalam berjunub atau memakai pakaian yang kotor dan bernajis.  Setelah itu, bagi mencapai tujuan jahatnya, tukang sihir memulakan jampi serapahnya, maka muncullah lembaga (bayangan) dalam bentuk yang berbeza-beza seperti berupa burung, anjing, ular, kala jengking atau bentuk-bentuk lain yang hodoh dan menakutkan.

Kadang-kadang lembaga tersebut tidak muncul tetapi dapat didengari suaranya sahaja dan kadang kala tidak didengari apa-apa pun, kemungkinan hanya didengari oleh tukang sihir sahaja. Berkemungkinan juga tukang sihir berpura-pura mendengar dan berkata-kata dengan jin syaitan tersebut tetapi pada hakikatnya bohong belaka.  Kemudian tukang sihir itu mengambil sesuatu yang telah digunakan atau dipakai oleh pesakit seperti rambut, cebisan kain atau lain-lain yang berkaitan dengan pesakit dan mengikatkannya. Setelah itu tukang sihir akan memerintahkan jin syaitan tersebut melaksanakan permintaan-permintaan yang dikehendakinya.

Dengan cara ini jelaslah kepada kita bahawa jin syaitan menyukai tempat-tempat  gelap atau tempat yang diwarnai dengan warna yang tertentu seperti hitam atau kuning. Jin juga mendapat makanan daripada bau-bauan asap busuk dan tidak disebutkan nama Allah padanya. Jin juga sangat suka akan perkara yang berkaitan dengan najis dan sangat suka mendekati serta menghampiri mereka yang kotor dan tidak bersuci.

Insya-Allah...bersambung

Rujukan:
Thibb Al-Idrisi Al-Ansari (Suatu Kaedah pengubatan & Rawatan Menurut Islam)
oleh Syeikh Muhammad Rajab Akmal bin Abdul Halim Al Idrisi.

No comments: