Assalamu’alaikum
wwt
Apakah anda tahu apakah yang dikatakan sihat
(kesihatan) dan apakah yang dikatakan penyakit? Dua konsep ini selalu
dibicarakan oleh setiap orang. Saya percaya semua orang mahukan sihat dan tidak
mahu penyakit menimpa mereka.
"Kesihatan" masih ditakrifkan dengan
takrif yang negatif iaitu "tanpa
penyakit" sehinggalah pihak pertubuhan Kesihatan Sedunia (1948)
memberikan takrifannya untuk kesihatan. Kesihatan yang sempurna ialah, sihat jasmani, akal dan sosial.
Maksudnya, kesihatan bukanlah hanya sekadar ketidakhadiran penyakit. Takrif ini
memberikan satu dimensi kemanusiaan kepada kesihatan iaitu takrif yang timbul
dari kepercayaan, tradisi dan nilai-nilai yang menjadi pegangan sesuatu masyarakat.
Takrif ini juga mempunyai hubungan dengan gambaran dan konsep-konsep lain
seperti politik, kemasyarakatan, kebudayaan atau moral, dan berkaitan juga
dengan keperluan-keperluan yang ditentukan oleh undang-undang, tanggungjawab
dan tugas-tugas sosial. Takrif ini adalah lebih menyeluruh.
Namun begitu takrif ini tidak lengkap, kerana
yang dipentingkan dalam konsep kesihatan hanyalah konsep kebendaan iaitu hanya menekankan tentang kesihatan jasmani
manusia sahaja. Takrif ini tidak membicarakan kesihatan keagamaan atas dasar
bahawa apa yang dinamakan spiritual atau roh. Roh itu seolah-olah tidak wujud
dan tidak diberikan perhatian. Itulah konsep yang wujud di dalam ilmu sains
moden sekarang. Dalam hal ini, roh itu tidak tunduk di bawah ujian dan percubaan-percubaan
makmal.
Konsep Kesihatan di dalam Islam
Konsep kesihatan di dalam Islam adalah amat
berbeza sekali daripada konsep yang tersebut. Islam memberikan pengertian yang
suci kepada kesihatan dan kesakitan. Islam adalah agama yang mementingkan roh dan jasad. Kesihatan adalah
merangkumi kesihatan di dunia dan di akhirat. Sihat dalam kehidupan dunia ialah
bersih dari segala penyakit dunia yang ada hubungan dengan hati dan badan.
Sihat di akhirat pula ialah terselamat dari seksaan di akhirat kelak.
Jadi konsep kesihatan menurut pandangan Islam
adalah merangkumi kesihatan badan dan kesihatan hati, sedangkan penyakit pula
adalah merupakan dua jenis penyakit iaitu penyakit hati dan penyakit badan.
Tiap-tiap satu daripada penyakit ini terdapat
doktor yang khusus bagi merawatnya. Rawatan hati mempunyai hubungan dengian
keselamatan dan kesejahteraan hati, iaitu merupakan rawatan kerohanian. Rawatan
penyakit jasmani pula adalah tertumpu kepada rawatan penyakit yang menimpa
jasmani dan cara mengawal penyakit-penyakit tersebut. Tugas ini adalah terserah
kepada para doktor penyakit jasmani. Manakala bagi penyakit rohani (hati), maka
memerlukan kepada kepakaran yang berlainan pula.
Pada pendapat saya, perawatan bagi penyakit
rohani (hati) tidak banyak dititikberatkan oleh manusia. Antara contoh penyakit
rohani ialah sombong, takbur, riak dan sebagainya. Hanya segelintir manusia
sahaja yang peka dan mengambil berat akan penyakit yang tidak nampak dek mata
kasar ini. Banyak manusia yang tidak sedar bahawa mereka telah ditimpa penyakit
rohani tetapi cubalah kalau manusia itu ditimpa oleh penyakit jasmani seperti
demam, luka dan sebagainya, maka cepat-cepat mereka mendapatkan rawatan yang
banyak tumbuh di dalam masyarakat. Manusia yang terkena penyakit rohani (hati)
perlu segera mendapatkan rawatan daripada pakar-pakar yang mahir dan
berkebolehan
Kesihatan Rohani (Hati)
Hati di sini
tidaklah dimaksudkan hati jasmani yang boleh dirawati oleh doktor jasmani,
tetapi yang dimaksudkan ialah roh dan jiwa.
Penyakit
hati adalah muncul di dalam berbagai-bagai jenis sama seperti penyakit jasmani.
Di antara penyakit hati ialah penyelewengan daripada konsep perhambaan kepada
Allah seperti berlaku zalim dan aniaya, penyakit syak wasangka seperti munafik,
dan penyakit syahwat seperti syahwat zina dan memakan harta benda orang lain
dengan cara yang salah, penyakit jiwa seperti sombong dan hasad dengki. Punca
penyakit-penyakit ini ialah penguasaan syaitan ke atas roh yang cemar dan jiwa
yang sakit kerana kelemahan agama dan perhubungan yang renggang dengan Allah,
malah jauh sekali dari mengingati-Nya.
Maka syaitan
itu tidak akan dapat menguasai seseorang kecuali yang benar-benar bersedia dan
mahu mengikutinya dan menurut jejak langkahnya. Kesejahteraan hati adalah terletak
di atas mentauhidkan Allah dan ketaqwaan serta keredaan-Nya, juga di atas sifat
tawakal dan sentiasa mengingati-Nya; bertaubat, memohon ampun dan meninggalkan
segala dosa. Hawa nafsu adalah merupakan penyakit jiwa yang terbesar sekali,
dan ubatnya yang paling mujarab ialah melawan hawa nafsu dan berjuang
melawannya.
Merawat
penyakit hati adalah merupakan tugas para ‘doktor
agama’. Tujuan rawatannya ialah mengubat hati yang sakit dengan cara
membimbingnya kembali kepada Tuhan semesta alam. Cara pengubatan kerohanian ini
adalah berasaskan kerohanian ketuhanan yang terdiri dari zikrullah, istighfar,
membaca al-Qur'an, mujahadah
atau melawan nafsu, supaya dengan itu hati akan mendapat tiupan suci ketuhanan
dan roh dapat meningkat tinggi. Disamping itu dapat menekan jiwa syaitan yang
mungkar dan menolak keburukannya.
Gangguan
Makhluk Halus
Salah satu
aspek pengubatan yang diajarkan oleh Nabi ialah kaedah menjaga diri daripada
hasutan dan gangguan makhluk halus (jin
dan syaitan). Ada banyak cara yang dianjurkan untuk membenteng diri
daripada terkena gangguan makhluk halus yang jahat ini. Perkara pokoknya ialah
kita perlu kembali kepada al-Quran dan sunnah Nabi. Namun begitu, bukan semua
orang mampu mempraktikkan amalan tersebut. Jika dipraktik sekalipun, masih ada
juga ruang yang mampu dibolosi oleh jin dan syaitan ini untuk menyesatkan hidup
manusia. Maka tidak hairanlah semakin ramai manusia yang datang mendapatkan
rawatan kepada tokoh-tokoh perawat Islam untuk merawat gangguan makhluk halus
tersebut. Pada pendapat saya, ada perkaitan yang erat tentang cara merawat
gangguan makhluk halus ini dengan cara merawat penyakit hati.
Sekian
sahaja coretan perkongsian daripada saya buat kali ini..
Semoga
bermanfaat kepada semua.
Rujukan:
Ahmad Taha : Kedoktoran Islam. Penterjemah : Ismail Ibrahim. Dewan Bahasa dan Pustaka, 1992