Assalamualaikum wwt.
Sidang pembaca yang saya hormati
sekalian.
Post pada kali membicarakan
mengenai satu dimensi ilmu ghaib yang seringkali memerangkap seseorang.
Walaupun pada asalnya ilmu ini kelihatan baik dan bermanfaat, namun tanpa
disedari ada bahaya yang menanti si pengamalnya. Ilmu tesebut digelar ilmu
isim. Ikutilah soal jawab mengenai persoalan ilmu isim yang saya petik daripada
lawan sesawang Utusan Malaysia (M) Bhd. ARKIB : 15/04/2001
SOALAN:
Saya ada mempelajari ilmu isim. Ia menyeru nama
syeikh-syeikh tertentu yang digabungkan dengan ayat-ayat al-Quran. Setelah
diamalkan memang ada sesuatu yang menggerakkan badan, menyebabkan saya boleh
bersilat dan sebagainya. Saya juga boleh mengubati orang sakit. Ilmu ini
mengandungi pantang-pantang tertentu yang tidak boleh dilanggar. Ada kawan yang
melanggar pantang dan menjadi gila. Saya juga ada melanggar, tetapi tidak ada
apa-apa terjadi. Saya menjadi celaru dan begitu bimbang dengan amalan ini.
- SALLEH NOR, Negeri Sembilan.
JAWAPAN:
Islam menyuruh umatnya agar sentiasa mengingati Allah
dalam keadaan apa keadaan sekalipun. Ketika berdiri, duduk dan sebagainya. Di
antara tanda-tanda kebahagiaan ialah apabila seseorang itu berupaya mengingati
Allah ketika dalam keadaan senang, juga dalam keadaan susah. Kerana itulah
zikir itu dianggap penting dalam usaha mengingati Allah s.w.t .
Atas keyakinan dan ajaran seumpama inilah maka
masyarakat Melayu pada umumnya menganggap bahawa sesuatu amalan yang terangkum
dalamnya zikir sama ada yang terdiri daripada ayat-ayat al-Quran, doa-doa dan
sebagainya adalah amalan yang baik. Keyakinan seumpama ini dipergunakan atau
diperalatkan oleh iblis dan syaitan yang jelas tidak dapat dilihat mata,
ataupun oleh manusia yang bersifat jahat seperti iblis dan syaitan untuk menipu
manusia, iaitu dengan cara menggunakan kalimah-kalimah yang mengandungi
nama-nama Allah, nama-nama rasul atau nabi, nama-nama malaikat, ataupun
nama-nama pahlawan Islam terbilang dalam usaha atau amalan yang menyesatkan.
Pada hakikatnya, zikir-zikir yang tersebut dalam
amalan kebatinan termasuk ilmu isim seperti yang saudara pelajari tidak
membuktikan atau memastikan bahawa amalan yang dilakukan itu benar tidak
menyalahi ajaran Islam. Hal seumpama inilah ada kalanya melahirkan kekeliruan
mereka yang mengamalkan, juga mereka yang cuba membanteras amalan ajaran sesat.
Dalam masa yang sama, tidak semua mereka yang
menurunkan atau memberi ijazah amalan kebatinan tersebut, yang terdiri daripada
guru-guru itu sendiri menyedari bahawa amalan yang diperturunkan itu melibatkan
makhluk-makhluk halus, yang terdiri daripada jin-jin.
Terdapat pelbagai nama yang diberi, kaedah-kaedah
pembelajaran yang dilalui yang melibatkan ilmu kebatinan, tetapi hakikat
amalannya adalah sama.
Seorang pemuda yang saya temui telah menerima ijazah
ilmu kebatinan mempertahankan diri daripada sepupunya yang berasal dari tanah
seberang.
Setelah diijazahkan, dia diminta membaca syahadah
seberapa banyak mungkin. Tidak lama selepas itu, iaitu dalam masa lebih kurang
empat atau lima minit, ia merasakan tangannya bergerak ke hadapan dengan
sendiri. Rasa denyutan berlaku di hujung-hujung jari, lalu ia dengan sendirinya
mendepa ke kanan dan mengangkatnya ke atas. Begitu juga yang dialaminya pada
kakinya, menyebabkannya menjadi kaku menegak.
Ketika mula beramal, gurunya berpesan agar menurut apa
yang berlaku pada dirinya. Dia hendaklah membisikkannya dalam hati agar menurut
sahaja apa yang terjadi, jangan gunakan akal. Ketika menghadapi masalah ataupun
didatangi oleh seseorang yang sakit, jari-jari tangan kanannya akan tergenggam
sendiri.
Seorang pelajar di sebuah pusat pengajian tinggi di
Kuala Lumpur yang mempelajari satu jenis silat ketika di kampung telah disuruh
membaca al-Fatihah dan selawat oleh gurunya. Setelah belakangnya ditepuk, yang
disertakan dengan bacaan-bacaan yang tidak kedengaran jelas olehnya, ia
merasakan kaki dan tangannya bergerak dengan sendiri, seolah-olah ada satu
tenaga luar masuk bergerak perlahan mengalir dalam anggota menyebabkan
berlakunya demikian.
Pesan daripada gurunya ialah supaya membiarkan segala
pergerakan yang berlaku dalam tubuh, jangan ditahan.
Masalah yang dihadapi oleh pelajar ini setelah
mempelajari ilmu tadi ialah berlakunya pergerakan yang terus-menerus terjadi
pada tangannya biarpun ketika sedang tidur. Ia merasakan seolah-olah bangun dan
bersilat tanpa berhenti. Ketika membuka mata, ia mendapati badannya tidak
bergerak, hanya perasaannya sahaja yang mengalami pergerakan tadi.
Tidak lama selepas itu ia mengalami mimpi-mimpi ngeri,
mimpi dikejar oleh makhluk-makhluk yang menakutkan, menyebabkannya terasa
gementar. Terasa seolah-olah nyawa sentiasa dalam bahaya. Di waktu siang ia
terasa mengantuk dan terpaksa tidur antara tiga hingga empat jam tetapi
badannya tetap letih.
Satu perkara yang paling membimbangkan ialah kesukaran
hendak tidur malam. Kerana itu badannya sentiasa terasa letih, mengantuk dalam
kuliah, menyebabkannya tertidur, dan tidak terjaga kecuali setelah habis
kuliah. Ia juga sering menguap ketika bermain bola sepak dengan kawan-kawan di
padang.
Pelajar ini merasa hairan bagaimana peristiwa buruk
yang sama sekali tidak disangka boleh terjadi, pada hal zikir-zikir yang
diamalkan dirasakan tidak bertentangan dengan ajaran Islam, yang terdiri
daripada syahadah, subhanallah, alhamdulillah, Allahu Akbar.
Punca penyakit ataupun masalah yang dihadapi olehnya
sukar dipastikan. Tidak ada tanda-tanda menunjukkan yang ia mengalami gangguan
fizikal, kerana doktor-doktor pakar mengesahkan yang dia tidak menghadapi
apa-apa masalah. Mereka yang terlibat dengan rawatan tradisional memberi
pendapat yang berlainan, ada yang menyatakan kerana gangguan saka, kena santau
dan sebagainya.
Seorang pemuda yang tinggal di Keramat mengakui
mengamalkan satu jenis zikir tertentu. Semenjak mengamalkan ilmu yang telah
diijazahkan itu, beliau mengalami kesukaran yang teruk untuk mendirikan
sembahyang. Beliau bukan sahaja merasa sukar untuk melafazkan kalimah ``Allahu
Akbar'' tetapi juga sukar untuk membaca al-Fatihah, juga lain-lain bacaan.
Terasa seolah-olah ada sesuatu yang menekan hatinya manakala lidah terasa keras
untuk melafazkannya.
Dalam hatinya sentiasa wujud bisikan-bisikan yang
membimbangkan sama ada ketika sembahyang atau di luar sembahyang. Sejak
berlakunya peristiwa-peristiwa tersebut, beliau semakin jauh daripada masjid,
kecuali untuk sembahyang Jumaat, tetapi ia tidak berdaya mendirikan sembahyang
sunat. Ibadat-ibadat lain, seperti membaca al-Quran dan zikir terus
ditinggalkan.
Pemuda ini menyatakan amalan yang pernah diamalkan
terdiri daripada zikir-zikir dan amalan seperti istighfar, dua kalimah
syahadah, selawat, al-Fatihah kepada Nabi s.a.w, ibu bapa, semua wali Allah,
rijalul ghaib, syeikh-syeikh, guru-guru juga kaum muslimin dan muslimat.
Ketika beramal pelajar perlu bertafakur. Ingat dalam
hati dan mengaku dosa yang dilakukan (ikrar), takut kepada Allah akan azab-Nya
(khauf), mengharap rahmat-Nya di dunia dan akhirat (raja') dan mengetahui ilmu
Allah terlalu luas (ilm). Banyak lagi bacaan yang perlu diamalkan. Akhir sekali
baru memberi salam dengan memalingkan muka ke kanan dan ke kiri dan berdoa
dengan apa-apa doa yang disukai, yang diakhiri dengan bacaan al-Fatihah sekali
dan diakhiri dengan doa Fatihah sebagai penutup doa.
Niat seseorang itu mempelajari ilmu seperti ini
mungkin benar untuk menghampirkan diri kepada Allah atau menuntut ilmu
kebatinan, yang termasuk dalamnya ilmu isim iaitu untuk rawatan, mempertahankan
diri dan sebagainya, manakala bacaan iaitu wirid-wirid yang diamalkan itu benar
tidak salah dan tidak menyeleweng, tetapi apabila amalan seperti ini
digabungkan dalamnya dengan penglibatan makhluk-makhluk halus, akhirnya
berlakulah pelbagai masalah yang di luar dugaan.
Tidak mudah akal berfikir bagaimana orang yang tidak
pernah mempelajari ilmu persilatan, boleh bersilat hebat, menumbuk kanan kiri,
lompat sana sini hanya dengan berzikir dan ``ijazah'' daripada guru
semata-mata, pada hal pada masa yang lain, sekiranya ``objek'' luaran itu tidak
meresap dalam badan, orang yang berkenaan langsung tidak boleh bersilat, juga
tidak boleh melakukan rawatan.
Allah s.w.t menjelaskan seperti yang tersebut jelas
dalam ayat-ayat al-Quran bahawa syaitan itu musuh yang nyata. Allah menyuruh
setiap orang itu menjauhinya.
Orang yang mengamalkan amalan seperti yang dijelaskan
hakikatnya telah memanggil, membiarkan makhluk ini masuk meresap dalam
tubuhnya. Makhluk ini sentiasa menunggu manusia memanggil dan memujanya agar
manusia itu sesat. Apabila ini berlaku, dipanggil tanpa disedari supaya meresap
dalam tubuh, makhluk ini akan menjadi mudah masuk meresap dalam tubuh manusia.
Sasaran utama makhluk ini ialah pada otak, dan apabila
ini berlaku, ia boleh menyebabkan kehilangan fungsi normal otak yang boleh
menyebabkan apa yang dikenali sebagai ``gila isim'' oleh masyarakat Melayu.
Apabila ia mengganggu hati, seseorang itu akan merasa bimbang, risau, waswas,
rasa terlalu gembira dan murung silih berganti tanpa sebab yang jelas.
Mengenai resapan makhluk-makhluk halus dalam tubuh
manusia, Rasulullah s.a.w. ada bersabda seperti yang tersebut dalam sebuah
hadis daripada Safiyyah binti Huyai r.a. yang bermaksud: Sesungguhnya syaitan
itu boleh berjalan dalam tubuh anak Adam menurut pembuluh darah.
SUMBER ASAL
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment