Salam sejahtera buat pembaca
yang dikasihi sekalian..
Post pada kali ini adalah
sambungan daripada post terdahulu di bawah tajuk “Orang Bunian”. Saya percaya
tentu ada di antara para pembaca pernah menempuh pengalaman dengan alam bunian.
Dalam hubungan yang paling akrab misalnya melalui ikatan perkahwinan antara
manusia biasa dengan orang bunian diberitakan pernah berlaku dan tidak mustahil
perkara ini terjadi.
Marilah kita melihat akan permaslahan
perkahwinan di antara manusia biasa dengan orang bunian. Ikuti pandangan
daripada Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din di dalam lamam sesawang Darussyifa. Mudah-mudahan
penjelasan ini dapat merungkai misteri perkahwinan antara manusia dengan orang bunian.
Soalan
Ustaz, saya ingin bertanya perihal yang
berkaitan dengan bunian. Perkara ini timbul dalam keluarga saya sendiri, iaitu
mengenai adik perempuan saya yang berperangai agak aneh. Kami sekeluarga amat
musykil apabila beliau menolak pinangan orang, sebaliknya mengaku sudah
berkahwin dengan makhluk halus atau bunian.
1. Soalan saya, apakah perkahwinan antara
manusia dengan jin boleh berlaku?
2. Apakah hukumnya perkahwinan tersebut, sah atau tidak dari sisi Islam?
2. Apakah hukumnya perkahwinan tersebut, sah atau tidak dari sisi Islam?
Halimatussaadiah
Bota, Perak
Bota, Perak
Jawapan 1
Puan,
Perkahwinan dalam erti kata yang kita fahami hari ini,
tidur bersama selepas perkahwinan yang sah, memang berlaku di antara manusia
dengan manusia sahaja seperti yang disebut oleh Allah S.W.T dalam Surah ar-Rum,
ayat 21 (mahfumnya);
"Dan di antara tanda-tanda kebesaran Allah S.W.T, dijadikan
bagi kamu (manusia) untuk pasanganmu dari jenis kamu juga (manusia), supaya
kamu mendapat ketenangan dengannya dan dianugerahkan kepada kamu kasih sayang
dan rahmat dari Allah S.w.T."
Ayat ini menjelaskan bahawa pasangan hidup manusia
dalam rumahtangga yang dirahmati Allah, adalah di antara manusia dengan
manusia.
Mengenai dakwaan adik puan yang menyatakan bahawa dia
telah berkahwin dengan jin. Pada saya hal ini memang boleh
berlaku pada suatu kemungkinan (possibility).
Dalam sejarah sebagai contoh, berlaku kisah Puteri
Balqis, Raja Perempuan di negeri Saba' (Yaman). Ada pendapat yang mengatakan
bahawa, salah seorang daripada ibu bapanya adalah jin. Sama ada bapanya jin,
ibunya manusia atau sebaliknya.
Hal ini saya dapati ada tercatat dalam Tafsir
al-Qurtubi, juzuk yang kesepuluh halaman 289, ketika membuat tafsiran kepada
Surah al-Isra' ayat 64, yang menyebut firman Allah bahawasanya jin akan berusaha
keras memperdayakan manusia untuk menderhaka kepada Allah dengan berbagai-bagai
cara.
Mereka menggunakan seni suara (nyanyian),
tentera-tentera mereka digunakan, sehingga boleh bermusyarakah bersama untuk
mendapatkan harta benda dan anak-anak milik bersama manusia hasil perkongsian
dengan makhluk-makhluk halus ini. Disebut di antaranya, berlakulah perkahwinan
tadi (ibu bapa Puteri Balqis).
Dalam suatu hadis yang diriwayatkan oleh Aishah r.ha,
Nabi pernah bersabda yang bermaksud, "Bahawasanya ada kalangan manusia ini
yang akan menjadi mugharribeen, maka Aishah bertanya Nabi maksud mugharribuun
itu? Maka Nabi bersabda yang bermaksud ialah mereka-mereka yang telah
bermusyarakah dalam kehidupan rumahtangga dengan jin."
Daripada rujukan ini menunjukkan bahawasanya ada kemungkinan
manusia itu mengahwini jin sama seperti apa yang didakwakan. Kerana makhluk
ini, seperti disebut dalam beberapa hadis, mereka boleh menyerupai dengan
rupa-rupa yang diizinkan Allah kepada mereka menyerupainya. Tetapi dalam
keadaan-keadaan yang amat sempit atau peluang yang mereka ada amat terhad, demi
menjaga kemaslahatan anak Adam tidak terdedah dengan luas untuk ditanggung oleh
makhluk-makhluk halus.
Penjelmaan mereka menjadi makhluk seperti manusia,
disabitkan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah, iaitu kejadian
pencurian harta zakat yang dikawal selia oleh Abu Hurairah, sehingga Abu
Hurairah boleh menangkapnya dan dibawa kepada Rasulullah s.a.w untuk
pendakwaan. Walaupun akhirnya jin tersebut dilepaskan tetapi Nabi telah
menyatakan bahawasanya yang mencuri itu adalah syaitan.
Disabitkan juga bahawa penjelmaan jin itu wujud dalam
bentuk yang jelas menyerupai manusia dalam peristiwa peperangan Badar seperti
yang disebut dalam Surah al-Anfaal ayat 87 (mahfumnya);
"Dan ketika dihiasi oleh syaitan kepada mereka, tentera
Islam dengan katanya kepada mereka, kamu tidak dikalahkan oleh musuhmu oleh
manusia dan saya adalah jiran kepada kamu yang akan membantu dalam peperangan
ini. Maka apabila kedua-dua kumpulan (Islam dengan Kafir Jahilliyah) bersemuka
untuk peperangan yang berjanji untuk menolong mereka orang-orang kuffar itu
telah cabut lari mengatakan saya tidak
lagi boleh bersama-sama
dengan kamu kerana saya dapat melihat apa yang
kamu tidak boleh lihat dan saya sesungguhnya amat takut kepada
Allah
dan Allah itu amat dahsyat keseksaan-Nya".
Ayat ini merujuk kepada adanya kepada satu makhluk
yang menjelma sebagai manusia kononnya untuk membantu askar-askar musuh
(kuffar) menentang Islam dan sabit bahawa makhluk itu bukan manusia, tetapi
jelas mereka adalah syaitan.
Dengan demikian, jelaslah bahawasanya syaitan ini
boleh menyerupai manusia dan dengan sendirinya boleh menjadi suami atau isteri
kepada manusia.
Jawapan 2
Hukumnya adalah jelas, jumhurnya ulama sudah berijma'
bahawa hukumnya (mengahwini jin) tidak sah! Tidak
boleh perkahwinan manusia dengan jin dilakukan. Melainkan ada seorang ulama
yang bernama Qamuli yang menyatakan perkahwinan tersebut boleh.
Namun saya berpegang kepada pandangan jumhur ulama
bahawa hukum perkahwinan tersebut adalah tidak sah, kerana ianya menyalahi
dengan ayat Surah ar-Rum yang disebut di atas. Perkahwinan antara manusia
dengan jin tidak akan melahirkan ketenangan, kebahagiaan ataupun mendapat
rahmat Allah S.W.T.
Perkahwinan yang tidak sah pada hukum syarak tidak
mungkin dirahmati Allah dan tidak mendapat restu Allah. Tidak mungkin
kebahagian dan ketenangan berlaku! Kita dapat merasakan jika berlaku suatu
krisis rumahtangga dengan mereka (golongan jin), bagaimana rumahtangga boleh
aman daripada gangguan mereka?
Malahan anak-anak yang mungkin lahir dari hubungan
itu, akan menjadikan masalah kepada manusia, mereka tidak boleh bergaul dalam
alam manusia dengan sanak saudara. Jika berlaku pula masalah dengan anak-anak
jiran, maka ianya akan mengundang berbagai kecelakaan. Nasihat saya kepada
keluarga puan, hindarilah hal-hal ini daripada berlaku.
Wallahu a'lam.
Kredit buat : http://www.darussyifa.org/SJ002.php
No comments:
Post a Comment