Assalamu’alaikum wwt..
Terima kasih saya ucapkan kepada
para pembaca yang terus setia mengikuti blog saya ini.
Info yang ingin saya kongsikan
pada kali ini ialah berkenaan dengan satu ilmu batin iaitu yang dipanggil ILMU
ISIM. Pernahkah saudara pembaca mendengar atau belajar ilmu isim ini? Ada orang
berkata ilmu ini bersifat ‘panas’ sehingga membuatkan pengamalnya berasa tidak
senang duduk atau yang lebih parahnya hingga menjadi GILA ISIM. Benarkah begitu?
Marilah kita menghayati artikel
asal yang ditulis oleh DR. AMRAN KASIMIN yang pernah disiarkan dalam akkhbar Utusan
Melayu (M) Bhd. ARKIB : 06/05/2001.
Adakah ini salah satu ajaran Ilmu Isim? |
SOALAN:
SAYA terlalu berkeinginan untuk belajar ilmu isim
dengan seorang guru di pinggiran ibu kota tidak jauh dari tempat saya tinggal
tetapi menjadi sangsi apabila membaca artikel ustaz dalam ruangan ini beberapa
minggu lalu.
Soalan saya ialah bagaimana zikir-zikir boleh
mengundang makhluk-makhluk halus meresap dalam tubuh manusia. Adakah semua
perguruan ilmu isim itu sesat? Bagaimana hendak membezakan ilmu isim yang sesat
dengan yang tidak sesat? Apakah ilmu-ilmu itu memberi kesan pada iman
seseorang? - Azman Ahmad, Beranang.
JAWAPAN:
Persoalan utama yang perlu difahami ialah tentang nama
``ilmu isim'' itu sendiri. Tidak ada satu definisi khusus yang dapat difahami
oleh umum untuk dijadikan panduan ataupun kayu pengukur. Apabila pemahaman
mengenainya tidak jelas, ilmu yang dipelajari, amalan yang dilakukan, tatacara,
kaedah, tujuan serta kebaikan ataupun keburukan juga tidak dapat dijangka.
Isim bererti nama. Isim-isim bererti mantera yang
mengandungi nama Tuhan. Definisi atau pemahaman mengenai kalimah ``isim-isim''
seperti yang dijelaskan ini hakikatnya tidak banyak dimaklumi oleh orang Melayu
Malaysia.
Perkataan ``isim'' selalunya digabungkan dengan ``gila
isim'' yang difahami sebagai gila yang disebabkan menuntut (ilmu agama dan
lain-lain).
Biarpun pemahaman seperti ini begitu meluas di
kalangan masyarakat Melayu, namun ia begitu mengelirukan. Tidak jelas apa yang
dimaksudkan dengan ``menuntut.'' Mungkin yang dimaksudkan dengannya ialah
menuntut ilmu isim ataupun ilmu kebatinan itu sendiri.
Orang Melayu adakalanya memahami bahawa gila isim itu
boleh berlaku akibat mempelajari ilmu agama di mana individu yang terlibat itu
tidak berupaya menanggung ilmu yang dipelajari.
Yakinilah bahawa tidak terdapat bukti memperlihatkan
wujudnya manusia yang mempelajari ilmu agama sama ada ilmu fikah, tauhid,
falsafah, ilmu tafsir dan sebagainya, termasuk mereka yang menghafal al-Quran,
menjadi gila atau sasau.
Walaupun demikian, tidak dinafikan wujudnya mereka yang
mempelajari ilmu sesat, yang diselit-selitkan di dalamnya unsur-unsur pengaruh
Islam, lalu mereka menjadi gila. Apabila kecelaruan itu berlaku, maka orang
yang terlibat dikatakan sebagai gila kerana mempelajari agama.
Gila atau sasau yang berlaku itu lumrahnya terjadi
akibat rasukan pada otak yang melibatkan makhluk-makhluk halus yang terdiri
daripada iblis dan syaitan. Apabila makhluk ini mengganggu otak, maka ia akan
melahirkan gejala-gejala yang memperlihatkan ketidaknormalan otak. Situasi
seperti inilah yang dikenali sebagai ``gila isim.''
Ilmu isim adalah sebahagian daripada ilmu kebatinan
yang melibatkan sama ada ilmu mempertahankan diri ataupun ilmu perubatan. Ilmu
kebatinan mempertahankan diri ini merangkumi ilmu kebal, ilmu persilatan dan
sebagainya, manakala ilmu perubatan pula selalunya dikaitkan dengan amalan
menurun, menilik dan lain-lainnya.
Termasuk dalam kategori ilmu kebatinan ialah amalan
menggunakan susuk, tangkal azimat dan sebagainya.
Mereka yang mempelajari ilmu mempertahankan diri yang
semata-mata bergantung kepada kekuatan fizikal, mempelajari langkah, bunga,
kungfu, karate, gusti tidak termasuk dalam kategori mempelajari ilmu kebatinan.
Begitu juga dengan mereka yang melakukan amalan
mengurut secara fizikal. Jelas apa yang dimaksudkan dengan ``ilmu kebatinan''
itu ialah amalan ataupun ilmu yang disokong oleh sesuatu yang ``batin'' ataupun
tersembunyi, yang membantu perilaku yang dilakukan.
Termasuk dalam amalan kebatinan ialah kegiatan yang
melibatkan teater tradisional yang selalunya melibatkan pelbagai upacara
seperti upacara menyembah pentas, pantang larang dan lain-lain upacara yang
mesti dipatuhi.
Dalam amalan kebatinan yang dipelajari dan diamalkan
itu selalunya ia disertai dengan pelbagai unsur Islam seperti penggunaan
perkataan bismillah, salam, nama-nama malaikat, nama-nama nabi, rasul,
kalimah-kalimah tertentu, yang selalunya diakhiri dengan kalimah syahadah.
Dalam amalan kebatinan mempertahankan diri,
nasihat-nasihat agama sering diselitkan. Murid-murid dinasihatkan supaya jangan
meninggalkan sembahyang, jangan berzina, jangan menunjuk-nunjuk dengan ilmu
yang dimiliki, jangan riak, perbanyakkan amalan sunat, bersedekah, berbaik
sesama teman seperguruan dan sebagainya.
Biarpun terdapat unsur-unsur agama di dalamnya namun
ia selalunya tidak melibatkan pembelajaran ilmu-ilmu tertentu secara khusus
seperti ilmu fikah, tauhid, tajuid, tafsir, usul fikah dan sebagainya.
Ilmu kebatinan ini sering melibatkan tokoh-tokoh
tertentu yang dipanggil sebagai pawang, bomoh, dukun, poyang, ustaz, kiai dan
mahaguru. Tutur kata yang dilafazkan selalunya melibatkan apa yang disebut
sebagai jampi, mantera, serapah dan doa.
Nama-nama yang dilibatkan dengan ilmu kebatinan ini
dan juga lafaz-lafaz yang dituturkan tidak membuktikan bahawa amalan yang
dilakukan itu semestinya diharuskan oleh syarak atau ditegah.
Andainya amalan dan lafaz yang dituturkan itu
bertentangan dengan ajaran Islam, ia tetap ditegah biarpun ia dilakukan oleh
seorang yang dipanggil kiai ataupun ustaz. Begitu juga dengan nama atau gelaran
pawang ataupun bomoh yang diberi. Andainya amalan yang dilakukan tidak
bertentangan, maka ia adalah diharuskan.
Lafaz-lafaz yang dituturkan yang terdiri daripada
ayat-ayat al-Quran, hadis-hadis, doa-doa al-ma'thurat ataupun doa biasa yang
tidak menyalahi syarak harus digunakan.
Namun, penggunaan ayat yang diubah, yang diselewengkan
sama ada dengan sengaja atau tidak adalah dilarang. Seseorang itu mungkin boleh
tetap hidup biarpun berjam-jam ditanam dalam tanah, diselamkan dalam air, tidak
lut oleh pisau, pada hal tabiat pisau tajam itu melukakan. Hal demikian
diistilahkan sebagai mencarik adat.
Selain itu, natijah amalan tersebut tidak dapat
difikiri oleh akal bagaimana ia boleh terjadi. Contohnya seseorang manusia
boleh jatuh melayang, terpelanting, senjata yang dipegang terlepas tangan hanya
dengan hembusan hidung.
Mata ditutup kain atau dipejamkan tetapi individu yang
terlibat boleh tahu kandungan dalam poket seseorang, ataupun nombor kereta yang
sedang bergerak di jalan raya.
Selain itu, amalan seperti ini juga melahirkan sesuatu
yang bukan hakikat. Seperti orang yang dicucuk dengan pisau tajam yang
menembusi leher, mengeluarkan darah berbau hanyir. Lebih kurang setengah jam
kemudian, orang yang ditikam tadi bangun dan berjalan seperti sediakala.
Contoh-contoh di atas adalah di antara unsur-unsur
yang terdapat dalam amalan ilmu kebatinan, yang merangkumi di dalamnya ilmu
isim. Hakikat ilmu ini terlalu luas, wujud di kalangan semua masyarakat di
seluruh dunia dan masih tetap dilakukan terutama di kalangan mereka yang masih
terpengaruh oleh kepercayaan animisme dan bukan hanya berlaku di kalangan
masyarakat Melayu. Walaupun demikian istilah ``gila isim'' wujud dalam
masyarakat Melayu sahaja.
Merujuk kepada soalan saudara, zikir-zikir hakikatnya
tidak mengundang makhluk-makhluk halus. Walaupun demikian ada kewujudan
pelbagai unsur-unsur Islam dalam jampi mantera, termasuk zikir yang mengandungi
kalimah yang memuja nama-nama jin, berhala ataupun sembahan bukan Islam, atau
kalimah yang menyebabkan syirik, seperti berlindung selain daripada Allah.
Penggunaaan ayat-ayat al-Quran, hadis-hadis, doa-doa
al-ma'thurat ataupun doa biasa diharuskan, namun andainya ia disertai dengan
pemujaan terhadap iblis dan syaitan, orang yang berbuat demikian adalah
terlibat dengan amalan sihir. Amalan tersebut tetap dilarang. Sihir tidak
berlaku tanpa penglibatan iblis dan syaitan. Ia termasuk dalam golongan
dosa-dosa besar.
Istilah ``ilmu isim'' begitu kabur dan luas, oleh itu
tidak mudah untuk dijelaskan ketentuan keharusan ataupun tegahannya, kecuali ia
dirujuk pada kes-kes tertentu, berdasarkan kepada ciri-ciri yang dijelaskan.
Memanglah amalan kebatinan atau ilmu isim itu boleh
menjejaskan iman. Andainya ia sesat yang melibatkan amalan menyekutukan Allah,
ia boleh menyebabkan seseorang itu syirik.
Ia akan menjadi satu dosa yang tidak diampuni Allah.
Namun demikian andainya ilmu itu tidak bertentangan dengan ajaran Islam tidak
mustahil ia boleh memperkuatkan iman atau memperbaiki iman. Semuanya bergantung
kepada hakikat atau kebatilan ilmu yang diistilahkan sebagai ``ilmu isim''
tadi.
Artikel Penuh:
© Utusan Melayu (M) Bhd
ARKIB : 06/05/2001 Oleh DR. AMRAN KASIMIN
No comments:
Post a Comment