Adakah orang bunian benar-benar wujud? Adakah mereka termasuk
dalam kategori manusia atau golongan makhluk halus?
Assalamu’alaikum wwt.
Persoalan mengenai orang bunian
memang tidak asing dalam kalangan masyarakat Melayu. Boleh dikatakan bahawa ada
sahaja cerita mengenai masyarakat orang bunian diperkatakan sejak dahulu hingga
kini. Oleh sebab kehidupan mereka tersembunyi daripada mata kasar manusia
biasa, maka kehidupan mereka tetap menjadi misteri..
Post pada kali ini dipetik
daripada laman sesawang
Darussyifa bagi merungkai permasalahan kehidupan orang bunian.. Ikuti pandangan Tuan Guru Dato’
Ustaz Haron Din.
Soalan
Saya adalah salah seorang peminat yang sentiasa
mengikuti jawapan dan penjelasan Dato' dalam ruangan ini. Dalam jawapan
terdahulu tentang makhluk halus, Dato' tidak menyentuh tentang orang bunian,
soalan saya adakah orang bunian ini wujud? Adakah mereka termasuk dalam
kategori manusia kerana disebut orang atau ianya termasuk dalam golongan
makhluk halus?
Jawapan
Memang pernah saya menyebut dan mengulas tentang
mahkluk halus, tetapi saya tidak menyebut secara mendalam mengenai orang
bunian. Oleh kerana saudara berminat, maka saya cuba menjelaskannya.
Makhluk halus yang dikenali dengan jin, syaitan,
iblis, ifrit dan sebagainya jelas terpapar dalam al-Quran dan hadis sahih yang
boleh dirujuk dalam jawapan terdahulu.
Adapun istilah orang bunian ataupun bunian sahaja,
dalam masyarakat Melayu pernah difilemkan oleh allahayarham P. Ramlee yang
menceritakan perihal masyarakat makhluk bunian.
Pada saya, makhluk ini wujud, ia tergolong dalam
makhluk halus. Ianya dikaitkan dengan suatu perkampungan atau penempatan yang
mereka berumahtangga, beranak pinak dan bermasyarakat.
Ada yang mendakwa melihat bunian dan ada juga dakwaan
manusia berkomunikasi dengan bunian sehingga boleh berjiran tetangga termasuk
meminjam barang-barang harian. Betul atau tidak cerita itu saya pulangkan
kepada Allah S.W.T lebih mengetahui.
Saya yakin bunian tergolong dalam makhluk halus kerana
hadis Nabi s.a.w menyebut bahawa ada makhluk halus ini yang suka tinggal
bersama manusia dalam rumah manusia, malah mereka suka mencari tempat yang
tidak berjauhan dari perkampungan manusia.
Golongan bunian ini disebut Rasulullah sebagai 'aamir
atau ummar' yang tinggal berhampiran dengan manusia.
Dalam suatu kisah yang diriwayatkan, kejadian berlaku
di zaman Rasulullah s.a.w, ada seorang sahabat yang bernama Khurafah tiba-tiba
hilang daripada masyarakat. Lalu keluarganya bertemu dengan Nabi s.a.w
menceritakan kehilangan Khurafah.
Tidak berapa lama kemudian Khurafah muncul semula dan
menceritakan pengalamannya. Dia telah membunuh seekor ular hitam, tiba-tiba
beliau tidak sedar diri dan apabila sedar dia berada dalam masyarakat seperti
manusia, tetapi penuh dengan keganjilan.
Ringkasnya dia dituduh membunuh salah seorang daripada
orang penting dalam masyarakat itu. Mereka menuntut supaya dia dibunuh balas.
Dibicarakan dalam mahkamah yang telus, mempunyai sistem keadilan yang hampir
sama dengan manusia, dengan menggunakan peguambela dan sebagainya. Khurafah
dibela oleh seorang peguam dan mengemukakan hujah dengan berkata,
"Khurafah tidak boleh dipersalahkan kerana dia membunuh satu anggota
daripada masyarakat kita (bunian) yang menyerupai ular, sedangkan ular adalah
musuh utama kepada manusia. Maka Khurafah membunuh ular, bukan berniat membunuh
orang kita, tetapi membunuh musuh di alamnya."
Maka dengan itu Khurafah dibebaskan dan dihantar balik
ke alamnya.
Apabila dikisahkan hal ini kepada Nabi s.a.w, maka
ramai sahabat mempertikaikannya. Maka Nabi s.a.w menyebut (maksudnya),
"Dengarlah cerita Khurafah, ianya ganjil tapi betul."
Bagaimanapun dalam masyarakat kita, apabila dirujuk
tentang cerita-cerita ganjil dan tidak masuk akal, kita menggelarnya khurafat.
Tetapi asalnya adalah cerita benar orang yang bernama Khurafah.
Saya sebut kisah ini kerana saya lihat seolah-olahnya
yang berlaku ini, mungkin boleh disamakan dengan masyarakat bunian. Ertinya
mereka boleh melakukan sama seperti manusia seperti dalam kisah Khurafah tersebut.
Masyarakat bunian adalah satu daripada kelompok yang
banyak dari masyarakat jin atau syaitan. Daripada cerita-cerita rakyat yang
menyentuh soal orang bunian, menjadi suatu lagenda masyarakat Melayu sehingga
kini, bunia dikaitkan dengan masyarakat beragama yang mempunyai masjid, surau
dan bunyi azan, termasuk orang mengaji al-Quran dan sebagainya. Orang Melayu
lebih percaya ianya dikaitkan dengan jin Islam.
Sememangnya Islam mengakui adanya jin Islam
sebagaimana yang disebut dalam Suratul Jin. Dalam surah itu menyebut bahawa jin
mengakui telah mendengar al-Quran yang penuh dengan keajaiban, menunjuk ke
jalan yang lurus, maka kami beriman (kata jin). Jin juga mengaku di kalangan
mereka ada yang Islam dan ada yang kafir.
Oleh itu memang ada kemungkinan, masyarakat bunian ini
jika betul seperti yang didakwa merupakan sebuah masyarakat beragama.
Dalam masyarakat manusia contohnya ada yang tidak
Islam. Hatta dalam masyarakat Islam awal di zaman Rasulullah s.a.w di Madinah,
dalam masyarakat ideal itupun wujud golongan munafik dari kalangan Islam.
Seperti dalam masyarakat kita hari ini juga wujud golongan tidak Islam, Islam
fasik dan Islam munafik dan sebagainya.
Oleh itu apakah tidak mungkin dalam masyarakat
bunian, berlaku sama seperti masyarakat manusia? Waalahu a'lam.
Mungkin inilah Puteri Bunian? |
Kredit buat http://www.darussyifa.org/SJ007.php
No comments:
Post a Comment