Assalamu’alaikum wwt..
Saudara pembaca yang dihormati,
Keberadaan jin dalam kalangan
manusia amat erat sekali. Dalam hal ini, manusia ditutup hijab pandangan untuk
melihat alam jin tetapi makhluk jin dapat melihat alam manusia. Apabila
kehidupan manusia sentiasa diperhatikan oleh jin, maka mudahlah manusia diserang
dalam segenap segi. Apabila manusia lalai dan tidak membuat apa-apa persiapan
pertahanan diri, maka pintu untuk jin menguasai manusia terbuka luas. Namun
begitu, harus diingat bahawa manusia diutuskan oleh Allah sebagai ‘khalifah’ untuk mentadbir dunia ini.
Selayaknya, status khalifah ini dapat dimanfaatkan sebaik mungkin. Janganlah pula
kita dijadikan tunggangan jin dan syaitan yang sentiasa berusaha menyesatkan
kehidupan manusia. Syaitan dalam
kalangan jin sentiasa mencari ruang dan peluang untuk menyesatkan hidup
manusia. Dalam hal ini, bukanlah bermakna saya menuduh semua jin itu berbuat
jahat kepada manusia. Ada jin yang baik dan ada juga jin yang jahat. Jin-jin
yang baik biasanya beragama Islam dan tidak akan mengganggu kehidupan manusia
Islam. Hanya jin-jin kafir sahaja yang suka mengganggu manusia beragama Islam
termasuklah jin yang beragama Yahudi.
Paparan kisah pada kali ini ialah mengenai gangguan jin Yahudi kepada
manusia.
Diserang Histeria
Pada malam itu, ketika saya berbaring dia atas katil
untuk melelapkan mata, tiba-tiba telefon bimbit saya berbunyi. “Ah, siapa pula yang menelefon ni!,
bisik saya perlahan. Saya mencapai telefon bimbit dan menjawab panggilan.
Kedengaran suara dalam keadaan yang panik meminta saya membantunya untuk merawat
anaknya yang bersekolah agama di Kuala Krau telah diserang histeria atau
gangguan jin. Dalam keadaan ini, mahu tidak mahu saya terpaksa menolong juga kerana merasakan amanah yang perlu
dipikul sebagai perawat Islam. Tambahan pula, si pemanggil ini saya kenali
kerana pernah bertugas sebagai guru pengawas peperiksaan SPM dua tahun yang
lepas. “Baiklah, bawalah anak awak ke
sini”, balas saya.
Kira-kira setengah jam, maka sampailah sahabat saya
itu ke rumah saya bersama anaknya yang diserang histeria itu. Pada awalnya, anaknya itu tidak mahu turun
daripada kereta kerana takut. Saya membacakan beberapa potongan doa ringkas untuk melemahkan gangguan jin
tersebut. Anaknya itu dipapah untuk dibawa ke dalam rumah saya.
Dalam keadaan kritikal begini, iaitu ketika pesakit
menunjukkan reaksi ganas, perawat pun terpaksa bertindak ganas juga. Maksudnya,
tunjukkan ketegasan dan sifat garang untuk membuatkan jin-jin pengganggu itu
tunduk kepada kita. Suara hendaklah dikeraskan dan bacaan ayat-ayat pembatal
sihir dan jin perlu diucapkan dengan jelas dan lantang. Janganlah pula
berlembut dan membaca ayat-ayat yang panjang berjela, hanya membuang masa
sahaja. Teruskan kepada perintah supaya jin-jin pengganggu itu keluar.
“Wahai jin, keluar sekarang”, bentak saya. “Ana khalifatullah”, sambung saya seterusnya. Pesakit kelihatan
mengeliat dan kedua-dua kaki dan tangannya bergetar.
“Siapa kamu dan di mana kamu
tinggal?”, soal saya keras.
“Aku tinggal di asrama budak
itu. Aku jin Yahudi”
jawabnya.
“Mengapa kamu ganggu dia?”, soal saya.
“Aku perhatikan dia dan dia suka
bersendirian, sebab itulah aku masuk”, jawabnya.
“Oh, jin Yahudi rupanya!”. Bisik saya perlahan. Pada ketika itu timbul
ilham dalam benak saya untuk berdakwah kepada jin yahudi tersebut akan agama
Islam. Saya tidak pasti sama ada jin itu
berbangsa Yahudi atau beragama Yahudi. Saya jelaskan kepadanya akan keesaaan Allah
dan Muhammad Rasulullah saw. Juga saya tegaskan akan balasan di akhirat nanti
bagi jin atau manusia yang berbuat kejahatan dan ingkar kepada Allah. Namun
begitu, saya tidak memaksa jin itu memeluk Islam kerana tiada paksaan dalam
agama. Saya mengharapkan agar jin tersebut faham dan terbuka hatinya tentang
Islam.
Memeluk Islam
Dengan izin Allah yang maha pemurah lagi maha
mengasihani, jin Yahudi tersebut bersetuju untuk memeluk agama Islam dan
sanggup dihantar ke Serambi Madinah. Lokasi Serambi Madinah dipilih adalah
bertujuan supaya jin-jin yang baru memeluk agama Islam dapat belajar dan
mendalami agama Islam di sana. Apabila berada dalam suasana beragama, maka
sudah tentu penghayatan dalam agam Islam semakin kukuh. Saya mengharapkan
begitu. Semoga Allah membantu saya.
Seterusnya saya membimbing jin Yahudi tersebut agar
mengikut saya mengucapkan dua kalimah syahadah. Suaranya bergetar mengikut
bacaan dua kalimah syahadah tersebut. Saya juga menasihatinya supaya jangan
masuk lagi dalam badan mana-mana manusia selepas ini. Dengan izin Allah saya
menariknya keluar melalui kaki dan memakrifatkan dihantar ke Serambi Madinah.
Semoga usaha ini diberkati Allah. Amin..
Nasihat dan Pengajaran
Alhamdulillah, saya mengambil masa yang agak singkat untuk
menguruskan kes kerasukan ini. Semuanya atas bantuan Allah jua. Biasalah, ada
kes yang berat dan ada juga kes yang ringan. Berat atau ringannya kes yang kita
tangani, bukanlah bergantung atas ilmu yang kita ada tetapi atas izin Allah
jua. Jangan riak atau takbur. Jangan sombng dan jangan ego, kelak memakan diri.
Jadikah seperti resmi padi, semakin tunduk, semakin berisi.
Pelajar yang kerasukan jin Yahudi tersebut belajar di
sekolah agama. Sudah menjadi lumrah, pelajar yang mendalami agama Islam
sentiasa ada cabaran termasuklah jin-jin jahat. Dari penceritaannya, pelajar
keluar seorang diri pada waktu senja untuk mengambil kain bajunya di ampaian.
Ketika itulah dia dimasuki jin dan kerasukan. Pada waktu senja, elakkan
berkeliaran di luar rumah atau di asrama.
Jika ada ruang dan peluang berdakwah, laksanakan
dengan segera walaupun kepada bangsa jin. Cakaplah apa saja berkaitan dengan
Islam, nescaya Allah akan memberi hidayah dengan sebab nasihat kita itu.
Sekian sahaja perkongsian buat kali ini.
Selamat mengikuti blog saya..