Monday, 12 December 2016

HANYA USTAZ SAJA YANG BOLEH BANTU

Assalamu’alaikum wwt.

Merawat pesakit merupakan rutin harian bagi seseorang yang bergelar perawat.  Dalam konteks ini, perawat yang dimaksudkan bukanlah bergelar doktor yang bertauliah, tetapi perawat yang ada peranannnya yang tersendiri dalam kehidupan manusia. Itulah perawat yang mengamalkan ilmu perubatan Islam. Ada kalanya tugas ini agak mencabar yang memerlukan pengorbanan masa dan tenaga.

Ada satu kisah yang agak menarik dalam kerjaya saya sebagai perawat. Kisah ini terjadi baru-baru ini iaitu pada hari Jumaat lepas bersamaan 9 Disember 2016. Masih segar dalam memori. Kisah ini dapat dijadikan teladan kepada diri saya dan para pembaca sekalian. Bukanlah niat saya untuk memaparkan kisah ini bagi tujuan membangga diri dan bukan juga bagi membuka cerita keluarga pesakit. Tidak sama sekali. Saya harap pembaca faham dan menerima dengan hati yang positif.

Merawat pesakit di Sungai Koyan

Pagi jumaat itu saya menerima panggilan telefon daripada seorang kenalan. Saya bertanyakan hajatnya itu dan nampaknya dia semacam berat untuk menyatakannya takut-takut saya menolak. Dalam nadanya yang semacam mengharap, dia meminta saya mengikutnya ke Sungai Koyan, Raub untuk merawat neneknya yang sedang sakit. “Jauh tempat tu”, ujar saya agak keberatan. Namun begitu saya tidak sampai hati menghampakan permintaannya. Lagipun saya tidak ada apa-apa program pada hari itu  tetapi saya memintanya menelefon semula selepas solat Jumaat. Selepas solat Jumaat, dia menelefon semula dan saya bersetuju untuk mengikutnya ke Sungai Koyan.

Agak jauh juga perjalanan dari Bandar Jengka ke Sungai Koyan. Hampir dua jam juga saya menghabiskan masa di dalam kereta yang menempuhi Jerantut, Kuala Lipis dan Raub. Sungai Koyan sekarang menjadi sibuk dengan kenderaan yang pergi balik ke Cameron Hinghland. Sebenarnya saya pernah sekali melalui Sungai Koyan ini dalam perjalanan pergi ke Cameron Highland tahun lepas.

Sesampainya saya ke sana, badan terasa agak letih sedikit. Jadi saya mengambil masa untuk merehatkan badan sebelum merawat neneknya yang terlantar di atas katil. Saya meminta rakan saya itu untuk menyediakan TUJUH helai daun yang berlainan pokok bagi tujuan mandian bilas penyakit. Disamping itu, saya juga meminta agar disediakan botol kaca bagi tujuan ‘memindah’ penyakit dan gangguan makhluk halus. Pada kesempatan berehat itu, saya bertanya sedikit sebanyak tentang penyakit nenek tersebut. Pihak keluarga pesakit memaklumkan bahawa, sakit nenek ini sudah lama dan asyik meracau sahaja. Umurnya pula dalam lingkungan 70-an. Diceritakan juga bahawa pada masa mudanya, nenek itu pernah memasang susuk di bebeberapa tempat di mukanya.

Setelah badan saya terasa sedikit segar, maka saya memulakan rawatan. Ucapan syahadah, istighfar dan selawat atas nabi saya dahulukan sehingga hati saya benar-benar khyusuk dan tenang. Kelihatan nenek itu memejamkan mata sambil sesekali mulutnya mengaduh kesakitan. Ruqyah Nabawiyah saya bacakan dengan khusyuk sambil mengenang kebesaran Allah. Pada saya ayat-ayat al-Quran menceritakan tentang DIRI dan semuanya berbalik kepada Diri kita sendiri. Ayat-ayat al-Quran bukanlah penyembuh tetapi Allahlah yang menyembuh. Tidak perlulah saya jelaskan semua sekali tentang kaedah rawatan saya ini, namun kaedah yang saya praktikkan adalah kombinasi daripada pelbagai perguruan yang saya pelajari. Walaupun begitu, AKIDAH perlu dijaga agar tidak menyeleweng daripada agama Islam yang suci.

Pesakit nenek itu akhirnya mencelikkan mata dan bertanyakan siapa saya. Anaknya menjelaskan bahawa saya datang untuk merawatnya. Nenek itu pasrah dan meminta saya merawat penyakitnya dan ‘membuang’ apa-apa yang patut di badannya.  Saya hanya tersenyum dan memberikan harapan bahawa Allah pasti akan memberikan yang terbaik buatnya. Botol yang didoakan saya jadikan sebagai ‘transit’ untuk memindakah penyakit nenek tersebut.

Rawatan mengambil masa hampir 45 minit dan setelah berbual-bual seketika, saya meminta izin untuk mengundur diri. Saya serahkan usaha saya itu kepada Allah.  Siapalah saya untuk menyembuhkan penyakit.....

Hajat Kedua

Pada pagi Ahad, sekali lagi saya menerima panggilan daripada kenalan saya itu yang meminta saya sekali lagi pergi ke Sungai Koyan. Kenalan saya mengatakan bahawa neneknya begitu berhajat untuk berjumpa dengan saya. Katanya, “hanya ustaz sahaja yang boleh bantu”.  Maksudnya hanya saya yang diharapkan untuk merawatnya dan tidak mahu orang lain. Memikirkan ini hajat nenek yang sedang sakit, saya dengan agak berat terpaksa juga ke Sungai Koyan buat kali kedua. Dalam kereta, saya lebih banyak berdiam diri dan merasakan ada sesuatu yang tidak kena.

Setelah menempuh perjalanan hampir dua jam, saya akhirnya tiba ke rumah pesakit pada jam 2.20 petang. Ketika kaki melangkah ke pintu rumah nenek, saya disapa oleh salah seorang anaknya bahawa nenek baru sahaja menhembuskan nafas terakhir iaitu lebih kurang 15 minit lepas. Terkedu seketika saya mendengar perkhabaran tersebut. Nampaknya hajat nenek tersebut untuk berjumpa dengan saya semasa hidup tidak kesampaian dan usaha saya untuk merawatnya buat kali kedua juga tidak berhasil.  Allah lebuh dahulu menjemputnya dan lebih sayang akannya.

Saya dipersilakan naik ke rumah sambil memandang sekujur jenazah nenek di atas katil. Dalam esak tangis anaknya (emak mertua kenalan saya), diceritakan bahawa nenek beria-ia mahu berjumpa dengan saya. Selepas rawatan pertama dahulu, badan nenek terasa ringan dan selalu menyebut nama saya. Saya hanya mampu mendengar sahaja. Hanya Allah sahaja yang mengetahui dan apabila tiba ajal seseorang maka tidak akan lambat atau cepat walau sesaat.  Saya menghampiri jenazah nenek dan menghadiahkan alFatihah seraya memberi salam buat kali terakhir.

Jenazah disemadikan selepas solat asar. Semoga kehidupan nenek di alam barzah merupakan kehidupan yang bahagia.


Sekian sahaja coretan pengalaman daripada saya. Nasihat saya, isikanlah setiap masa yang berharga diatas muka bumi ini dengan melakukan amal soleh. Carilah ilmu AKIDAH agar selamat di dunia dan akhirat.