Assalamu’alaikum wwt..
Beberapa hari yang lalu saya telah mendapat panggilan
telefon daripada seorang yang meminta bantuan atau rawatan bagi penyakit
ayahnya. Saya telah bertanya sepintas lalu tentang simpton penyakit ayahnya itu
dan telah menetapkan hari untuk rawatan tersebut.
Petang sabtu tersebut sebagaimana yang telah
dijanjikan, maka datanglah pesakit tersebut
ditemani isterinya dan seorang anak lelakinya ke rumah saya. Seperti
biasa, saya meluangkan sedikit masa untuk mendengar apa masalah sebenarnya. Isteri
pesakit tersebut yang menjadi juru cakap suaminya telah menceritakan perkara
sebenarnya. Menurutnya, suaminya telah sebulan lebih tidak berselera untuk
makan. Badannya telah menjadi kurus dan kelihatan tidak bermaya. Sering juga
pesakit meracau-racau kerana ada gangguan yang sering mengganggunya.Saya hanya tersenyum sahaja mendengarnya.
Sesi Rawatan
Saya meminta pesakit duduk berlunjur dan membimbingnya
membaca ikrar pemutus gangguan jin. Kelihatan pesakit agak marah dan bacaan
ikrar tersebut sering tersangkut-sangkut. Sampai satu ketika, pesakit mendengus
marah dan menepis tangan saya. Kaki kiri dan kaki kanannya bergerak-gerak tidak
dapat ditahan-tahan. Apabila saya memicit sedikit hujung ibu jari kakinya,
pesakit mengaduh kesakitan.
Seterusnya, saya duduk di belakang pesakit dan mula
membaca ayat-ayat ruqyah. Tujuannya adalah untuk melemahkan gangguan jin yang
berada di dalam badan pesakit. Sesekali, pesakit mengeluarkan suara marah-marah
atas tindakan yang saya lakukan. Saya berkata, “kalau nak main kasar, kita main
kasar dan kalau nak berunding, silakan”. Namun, kata-kata saya tidak
diendahkan dan terus membebel dengan sesekali terkeluar bahasa dialek Siam.
Sambil meruqyah, saya melakukan serentak teknik
tikaman dan tepukan di beberapa poin badan pesakit. Sebagai perawat, kita harus
tahu titik kelemahan jin yang berada di dalam badan pesakit. Titik kelemahan
inilah yang perlu kita cari agar gangguan jin menjadi lemah dan mengikut
perintah kita. Seterusnya, saya lanjutkan dengan mengumpul gangguan jin di
bahagian perut dan menolaknya melepasi dada dan terus ke kerongkong pesakit. Ketika
inilah, pesakit muntah dengan hebat. Beberapa kali saya melakukan teknik
tersebut sehingga pesakit keletihan, maklumlah pesakit sebelum ini lemah
fizikalnya kerana kurang makan.
Sesekali saya membentak keras menyuruh jin yang berada
di dalam badan pesakit agar keluar. Keluar bukan sebarang keluar tetapi keluar
dengan bersyarat. Tidak mudah untuk saya melepaskan begitu sahaja gangguan jin
tersebut tetapi harus dengan sumpah agar keluar buat selama-lamanya dan tidak
akan masuk lagi ke dalam badan pesakit atau mana-mana manusia sekalipun.
Saya agak ada banyak lapis gangguan jin di dalam badan
pesakit dan perlu untuk saya menariknya secara borong melalui teknik tarikan
serban. Apabila sampai ke bahagian kaki pesakit, terjadi perlawanan dan agak
sukar untuk membuangnya. “Bismillahhi Masya Allah Allahu Akbar. Hasbunallah
hiwani’mal wakil, nikmal maula wanik’mannasir”. Ulang saya beberapa
kali. Semoga Allah mempermudahkan.
Saya akhiri proses rawatan dengan menumbuk tujuh helai
daun bidara dan menyuruh pesakit meminum air daun bidara. Tujuannya, agar dapat
membersihkan anggota dalaman pesakit daripada kesan-kesan gangguan jin. Insya
Allah...
No comments:
Post a Comment