Assalamu’alaikum wwt.
Info pada kali ini mengajak kita
menyorot sedikit sebanyak tentang permasalahan SAKA dan QARIN.
Seringkali kita agak terkeliru tentang dua istilah ini. Info ini sebenarnya
dipetik daripada ruangan soal jawab “Koleksi
Jawapan Kemusykilan Agama Bersama Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din” (http://www.darussyifa.org)
Mudah-mudahan maklumat daripada
info ini berguna kepada kita.
Soalan
Saya banyak
mendengar perkataan saka yang dirujuk kepada gangguan makhluk harus atas
seseorang yang berpunca daripada keturunan seseorang yang mendampinginya
sentiasa meminta berbagai permintaan atau mengenakan berbagai keburukan. Adakah
ini sama dengan istilah qareen yang pernah Dato' sentuh dalam jawapan
terdahulu. Samakah antara saka dengan qarin? Bagaimana hendak mengatasi hal
ini apabila ianya berlaku?
SAMIHAH MANSOR
Batu Gajah
Jawapan
Saka adalah suatu istilah yang biasanya digunakan oleh
tukang ubat atau bomoh tradisional yang merujuk kepada suatu fenomena gangguan
spiritual yang berlaku ke atas manusia kebanyakannya kaum wanita dan ada juga
lelaki, yang mengaitkannnya dengan makhluk yang kononnya diamanahkan menjaga
seseorang. Bagi tujuan menjaga tersebut maka berbagai-bagai gangguan spiritual
berlaku. Gangguan seperti ini dikenali sebagai gangguan makhluk halus.
Saka dikaitkan dengan kononnya ada makhluk yang
berdampingan dengan keturunan bapa, ibu, datuk atau nenek seseorang yang
menjaga atau bersahabat dengan makhluk ini dan dipesan kepada makhluk tersebut
selepas kematiannya untuk menjaga dan mengawal anak cucu mereka.Hasil daripada
itu maka berlaku kawalan, sebenarnya gangguan ke atas orang berkenaan sehingga
menimbulkan masalah yang diistilahkan sebagai saka.
Saya tidak dapat menentukan apa sebenarnya saka. Betul
atau tidak ia makhluk yang mendampingi manusia dan keturunan mereka diganggu
sehingga mendatangkan kemudaratan kepada mereka. Jika benar ianya (makhluk
halus) sebagai sahabat, kawan atau dampingan orang-orang terdahulu, maka
sepatutnya ia tidak berubah sekadar hanya menjaga dan melindungi anak cucu
seseorang, tiba-tiba berlaku sebaliknya sehingga menyakiti dan menganggu sampai
menjadi separuh gila atau separuh sedar.
Saya tidak nampak hal ini sebagai saka yang digunakan
untuk menjaga dan mengawal seseorang untuk kebaikan. Jika berlaku begini, maka
tidaklah menimbulkan masalah walaupun hukum asalnya bersahabat, berbuat baik,
berdampingan dengan makhluk halus dilarang oleh syariat Islam.
Banyak ayat al-Quran yang menggesa manusia
menjauhi dan berlindung diri daripada syaitan. Malah manusia wajib menjadikan
syaitan sebagai musuh dan sebagainya.
Berbalik kepada seseorang yang diganggu oleh makhluk
halus, maka jelas ia adalah musuh kerana makhluk halus ini menyakiti manusia, menganggu
manusia dan melakukan perkara yang tidak dingini oleh manusia, ianya memberikan
kesan negatif.
Kita mesti menjauhi mereka, benda yang dinamakan saka
ini tidak menjadi sesuatu yang baik kepada manusia. Dirawatlah dengan cara-cara
yang diharuskan oleh syarak bagi mengelakkan saka ini terus menerus menganggu
manusia.
Adapun Qarin adalah istilah al-Quranul karim yang
jelas Allah S.W.T menyebut dalam beberapa ayat seperti dalam Surah Qaf (ayat
23), Surah al-Fussilat (ayat 25) dan lain-lain.
Di antara makna-maknanya, Allah menyebut (mafhumnya), "Dan kami
tetapkan bagi mereka, teman-teman yang menjadikan mereka memandang bagus apa
yang ada di hadapan dan di belakang mereka. Dan tetaplah atas mereka keputusan
azab pada umat yang terdahulu dari jin dan manusia. Sesungguhnya mereka adalah
orang-orang yang meragui."
Istilah teman-teman dalam al-Quran adalah pada asal
perkataan Qurana atau kawan-kawan setia. Maksudnya adalah dari suku sakat
syaitan atau iblis ini menjadikan manusia sebagai teman mereka.
Firman Allah (mafhumnya), "Dan berkatalah Qarinnya, inilah
catatan amalan yang tersedia pada sisiku." (Surah Qaf, ayat
23).
Dan Surah Qaf, ayat 27 bermaksud, "Yang menyertai dia, Qarinnya berkata
pula,"Wahai Tuhan kami, aku tidak menyesatkannya, tapi dialah yang berada
dalam kesesatan yang jauh."
Ini merujuk kepada perkataan Qarin. Allah S.W.T
menyifatkannya sebagai kawan rapat bukan kerana manusia hendak sangat berkawan
dengan mereka, tetapi pada pandangan sesetengah ulama, sejak manusia dilahirkan
ada makhluk halus yang mendampinginya, mengajak, memandu serta mempengaruhinya
melakukan kejahatan. Itulah yang dimaksudkan sebagai Qarin.
Dalam hadis daripada Ibnu Mas'ud r.a, bahawasanya Nabi
Muhammad s.a.w bersabda (maksudnya), "Setiap orang daripada kamu, ada bersama dengannya
qarin (syaitan) daripada jin. Sahabat bertanya, apakah Rasulullah juga
mempunyai qarin, baginda menjawab, ya, saya pun ada qarin itu, cuma Allah
S.W.T membantu saya, dapat mempengaruhi qarin itu sehingga dia telahpun Islam
dan dia berdamping dengan saya, dia tidak mendorong saya membuat sesuatu
melainkan semuanya untuk kebaikan."
(Riwayat Muslim).
Hiasan: Gambaran jin Qarin manusia |
Hadis daripada Ai'shah r.ha berkata,"Suatu
ketika Rasulullah s.a.w berada bersama dengan saya, lalu keluar meninggalkan
saya kerana ada suatu urusan pada malam hari, tiba-tiba timbul cemburu dalam
diri saya, apabila Rasulullah s.a.w kembali menemui saya, baginda mengetahui
perasaan saya itu, maka baginda bertanya, apakah gerangan mu wahai Ai'shah?
apakah kamu cemburu? Maka saya menjawab, manalah orang seperti saya ini tidak
cemburu ke atas mu wahai Rasulullah s.a.w. Maka Nabi menyebut kepada saya,
apakah kamu telah dikuasai oleh syaitanmu wahai Ai'shah. Maka saya menjawab, ya
Rasulullah, apakah bersama saya ada syaitan? Rasulullah menjawab, ya, malah
pada tiap-tiap insan ada syaitannya. Saya bertanya kepada Rasulullah, apakah
kamu juga ada syaitan? Jawab baginda, ya, tetapi Allah S.W.T telah membantuku,
aku Islamkan dia dan tidak menyuruhku melainkan untuk kebaikan."
Hadis-hadis sebegini adalah hadis sahih, ia
menunjukkan memang berlaku bahawa qarin, ia adalah syaitan, mendampingi semua
manusia. Kalau Rasulullah s.a.w pun didampingi oleh qarin ini, inikan pula
insan biasa.
Oleh yang demikian, jelas bahawa qarin ini ada pada
setiap orang dan bergantung kepada seseorang insan itu, jika ia belum boleh
menguasai dirinya dengan kerja-kerja ketaatan sehingga tidak ada ruang untuk
melakukan kemaksiatan maka qarin ini seolah-olahnya putus asa untuk
mengajaknya melakukan kejahatan, melainkan sekali sekala sahaja.
Adapun orang-orang yang mudah mendedahkan dirinya
kepada melakukan perkara yang tidak baik, khasnya melakukan kemaksiatan, maka
qarin inilah yang menjadi pendorong utama. Pada pandangan saya qarn adalah
makhluk halus yang jahat.
Jika hendak dikatakan saka, hanya sekadar mengatakan
ianya wujud ada, maka tidak salah mengatakan kita semuanya ada saka, tetapi
saka yang saya maksudkan adalah saya yang sedia ada, bukan kerana dipelihara
oleh keturunan, bukan disuruh oleh seseorang melakukannya tetapi kerana tabiat
makhluk ini memang sentiasa berusaha menjerumuskan manusia kepada kejahatan.
Wallahua'lam.
No comments:
Post a Comment