Saturday, 3 August 2013

KONSEP PENGUBATAN ISLAM


Saudara pembaca yang dihormati,
Allah menciptakan sesuatu itu secara berpasangan. Hal ini termasuklah dalam bab sakit dan sihat. Apabila kita sakit, pasti kita akan mencari ubat untuk mendapatkan kesembuhan dan seterusnya sihat. Dunia perubatan hari ini sangat luas konsepnya dan terserahlah kepada kita untuk menentukan apakah jenis pengubatan yang ingin kita dapatkan.

Artikel kali ini ingin mengenengahkan satu konsep pengubatan Islam yang semakin mendapat tempat dalam hati masyarakat kini. Marilah kita sama-sama mendaulatkan pengubatan Islam ditempat yang sewajarnya.


Pengenalan


Al Quran Sumber Utama Pengubatan Islam
Pengubatan Islam adalah suatu ikhtiar penyembuhan penyakit jasmani dan spiritual berdasarkan hukum syarak oleh orang yang mahir dengan kaedah rawatan yang dilakukan semata-mata kerana Allah SWT. Konsep pengubatan Islam sebenarnya amat luas. Pelbagai penyakit fizikal ataupun spiritual boleh dirawat melalui kaedah pengubatan Islam. Kaedah ini termasuklah menggunakan doa-doa tertentu yang diambil daripada al-Qur’an dan hadith serta amalan al-Salaf al-Soleh. Bahan-bahan tertentu yang halal di sisi syarak boleh juga digunakan dalam rawatan ini. Walau bagaimanapun al-Qur’an tetap dijadikan rujukan utama pengubatan Islam. Firman Allah SWT :

Terjemahannya: “Dan Kami menurunkan daripada al-Qur’an yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman”
(Surah al-Isra’ 17 : 82)

Ayat di atas menerangkan kepada kita bahawa pengubatan Islam adalah berpaksikan kepada wahyu Ilahi yang diambil daripada petunjuk al-Qur’an dan sunnah. Ia juga dikenali sebagai al-Tibb al-Nabawi (Pengubatan Rasulullah SAW). Apabila berteraskan wahyu Allah SWT, maka pelaksanaannya sudah tentu merupakan suatu bentuk ibadat yang dilakukan bagi mencari keredaaan Allah SWT. Oleh itu, apabila kita mendapat penyakit, Allah SWT menyuruh kita memohon penyembuhan kepada-Nya. Firman Allah SWT :

Terjemahannya: Dan apabila aku sakit, maka Dia lah yang menyembuhkan penyakitku”
(Surah al-Syu`ara’ 26 : 80)

Rasulullah SAW juga menyarankan kepada umat baginda agar mencari penawar atau ubat apabila ditimpa suatu penyakit. Hakikatnya Allah SWT yang menurunkan penyakit dan Dialah juga yang menciptakan penawar untuk penyakit tersebut. Oleh itu, janganlah sesekali berputus asa untuk terus berusaha dan berikhtiar mencari penawar penyakit yang dihidapi. Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Usamah bin Syarik r.a.:

Maksudnya: “Berubatlah kalian wahai hamba-hamba Allah,kerana Allah SWT tidak menciptakan penyakit kecuali diciptakan juga bersama ubatnya, melainkan satu penyakit sahaja, iaitu penyakit tua.”

Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Jabir r.a.:
Maksudnya: Setiap penyakit itu ada ubatnya. Maka apabila dijumpai ubat kepada suatu penyakit itu, nescaya disembuhkan dengan izin Allah Azza wa Jalla.”

Oleh yang demikian, usaha yang bersungguh-sungguh seperti menjalankan penyelidikan untuk mencari penawar penyakit dalam mentaati perintah Allah SWT dan Rasul-Nya, sudah pasti merupakan suatu ibadat. Usaha ini merupakan suatu amalan murni sebagai merealisasikan makna ibadat. Sebenarnya ubat bukanlah yang menyembuhkan sesuatu penyakit, tetapi penyembuhan adalah milik hakiki Allah SWT. Ubat hanyalah sebagai wasilah (hubungan) untuk mendapat penyembuhan daripada Allah SWT. Oleh yang demikian, seseorang itu hendaklah akur dengan qada’ dan qadar Allah SWT. Seseorang yang melibatkan diri dalam pengubatan Islam hendaklah mentaati perintah Allah SWT serta mengharapkan keredaan-Nya. Individu tersebut sebenarnya telah mengamalkan prinsip pengubatan Islam selagi mana pelaksanaannya tidak menyalahi syarak, syirik serta melibatkan perkara yang diharamkan Allah SWT.

Muhaddithun (ulama Hadith) telah mengumpulkan segala amalan dan tunjuk ajar Rasulullah SAW dalam penulisan mereka. Imam al-Bukhari, Muslim, Abu Daud, al-Nasa’i, Ibn Majah dan al-Tirmidhi adalah antara pengumpul hadith yang menggunakan pendekatan pengumpulan hadith mengikut tajuk utama atau disebutkan sebagai kitab

Manakala bab-bab yang khusus penjelaskan amalan dan tunjuk ajar Rasulullah SAW dalam perubatan dinamakan Kitab al-Tibb (Kitab Perubatan atau Pengubatan Penyakit). Terdapat juga golongan ulama yang mengarang secara khusus tentang pengubatan Rasulullah SAW dengan meletakkan tajuk khusus kitab mereka berjudul “al-Tibb al-Nabawi”. Antara ratusan pengarang kitab tersebut ialah Abu Bakar al-Sunni (m.364H), Abu Nuaim al-Asbahani (m.430H), Jalal al-Din al-Suyuti (m.911H), ‹Ali ‹Abd al-Karim al-Hamawi (m.720H), al-Hafiz Shams al-Din al-Dhahabi (m.748H) dan ramai lagi.

Sumber Rujukan Pengubatan Islam

Sumber rujukan utama pengubatan Islam diambil daripada al-Qur’an, Sunnah dan juga pengalaman al-Salaf al-Soleh yang terdiri daripada al-Salaf dan al-Khalaf. (Al-Salaf terdiri daripada ulama tiga kurun awal, iaitu sahabat Rasulullah, tabi’in dan atba` tabi`in). Amalan mereka dijadikan rujukan berdasarkan ilmu, keikhlasan dan kekuatan ingatan yang jarang didapati pada zaman sekarang. (Ini dapat dirujuk kepada hadith Rasulullah SAW yang menyebutkan tiga kurun yang terbaik). Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Malik bin Anas r.a.:
Maksudnya: Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, kamu tidak akan sesat selama mana kamu teguh berpegang dengan keduanya, iaitu kitab Allah (al-Qur’an) dan sunnah Nabi-Nya.”

Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh ‹Imran bin Husain ra:
Maksudnya: “Sebaik-baik umat ku adalah pada kurun ini (zaman Nabi SAW), kemudian umat selepas itu (zaman sahabat), dan kemudian zaman selepas itu (zaman tabi’in)”.

Perkara ini dikukuhkan lagi dengan hadith Rasulullah SAW yang menyuruhkan kita selaku umat Islam berpegang dengan sunnah baginda SAW dan para sahabat. Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh al-›Irbad bin Sariyah:

Maksudnya: “Maka berpeganglah kamu dengan sunnahku dan sunnah Khulafa’ al-Rasyidin al-Mahdiyyin. Genggamlah ia seperti menggunakan genggaman pada geraham kamu”.

Oleh yang demikian, Allah SWT menyeru hamba-Nya agar sentiasa berdoa memohon sebarang hajat asalkan ia bukan perkara maksiat dan mungkar. Memandangkan rahmat Allah SWT itu luas, maka sesiapa yang enggan berdoa dan beribadat dianggap sebagai sombong dan takbur. Firman Allah SWT :

Terjemahannya: “Dan tuhan kamu berfirman «Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu.Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat kepada-Ku, akan masuk neraka Jahanam dalam keadaan hina.”(Surah Ghafir 40 : 60)

Hidayah daripada al-Qur’an

Sumber pengubatan Islam merujuk kepada al-Qur’an, hadith dan al-Salaf al-Soleh. Oleh itu, al-Qur’an adalah sebuah kitab yang menjadi petunjuk atau hidayah kepada semua umat manusia.

Al-Qur’an juga bukan sahaja merupakan buku pengubatan, malah al-Qur’an ialah kitab hidayah yang terkandung di dalamnya semua perkara dan sesuai dengan apa jua keadaan, tempat, dan masa. Firman Allah SWT:

Terjemahannya: Itulah al-Kitab (al-Qur’an), tiada keraguan padanya sebagai petunjuk bagi orang-orang yang bertakwa.” (Surah al-Baqarah 2: 2)

Oleh itu, petunjuk atau hidayah al-Qur’an meliputi kesemua hal bukan sahaja yang berkaitan dengan dasar keimanan sematamata, tetapi ia merangkumi petunjuk daripada sekecil-kecil perkara sehingga sebesar-besar perkara. Dalam ajaran al-Qur’an, membuang halangan atau batu di tengah jalan juga termasuk dalam keimanan kerana telah membantu menghilangkan kemudaratan kepada umum. Begitu juga urusan pemerintahan dan pentadbiran sesebuah negara bagi membentuk masyarakat yang sejahtera. Sepanjang jalan itulah al-Qur’an menjadi hidayah dan petunjuk kepada manusia. Maka, pengubatan Islam adalah salah satu cabang hidayah yang dianugerahkan oleh Allah SWT melalui al-Qur’an.

Setiap Penyakit Pasti Ada Ubatnya

Islam telah menggariskan bahawa dalam konteks pengubatan Islam, setiap penyakit pasti ada ubatnya. Hal ini adalah berlawanan dengan pandangan pengubatan alopati moden yang mengandaikan bahawa terdapat sesetengah penyakit yang tidak dapat dirawat seperti nazak (sakit hendak mati), AIDS atau penyakit mulut dan kuku bagi binatang ternakan seperti lembu. Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Usamah bin Syarik r.a.:
Maksudnya: Berubatlah kalian wahai hamba-hamba Allah, kerana Allah SWT tidak menciptakan penyakit kecuali diciptakan juga bersama ubatnya, melainkan satu penyakit sahaja, iaitu penyakit tua.”

Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Jabir ra :
Maksudnya: “Setiap penyakit itu ada ubatnya. Maka apabila dijumpai ubat kepada suatu penyakit itu, nescaya disembuhkan dengan izin Allah ‘Azza wa Jalla.” 

Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Mas‘ud r.a..:
Maksudnya: Allah tidak menurunkan suatu penyakit kecuali diturunkan bersamanya ubat.”

Perbezaan ini membuktikan Islam mengajar umatnya untuk terus berikhtiar mencari kaedah rawatan yang dapat menyembuhkan penyakit yang dihidapi. Rawatan alopati moden hanya bergantung kepada kekuatan ubat-ubatan drug semata-mata. Apabila kaedah alopati moden ini tidak berjaya membantu memberi penyembuhan, maka rawatan alternatif menjadi pilihan utama seperti pengubatan Islam yang diamalkan di Darussyifa’ atau rawatan tradisional yang lain. Air yang dibacakan doa menjadi penawar utama dalam pengubatan Islam. Rawatan pengubatan Islam juga dikuatkan lagi dengan amalan zikir dan solat hajat sama ada secara bersendirian atau berjemaah. Bagi pesakit yang sedang nazak, bacaan surah YaSin adalah menjadi amalan utama.

Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Ma’qal bin Yasar r.a.:
Maksudnya: “Bacalah kamu surah Ya Sin ke atas orang yang hampir mati (atau orang yang telah mati)”

Hal ini berbeza dengan kaedah di hospital yang tidak melakukan apa-apa rawatan kepada pesakit yang sedang nazak. Sebenarnya bacaan tersebut boleh memudahkan keluarnya roh daripada badan pesakit diikuti dengan mengajarnya menyebut kalimah 'Laailahaillallah' . Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abu Sa`id al-Khudri :

Maksudnya: Telah memberitahu kepada kami Yahya ibn ‘Umarah beliau berkata: Aku mendengar Abu Sa`id al-Khudri berkata: Rasulullah SAW bersabda: “Talkinkan (ajarkan) orang yang hampir mati dalam kalangan kamu dengan 10 ''Laailahaillallah'. 

Terdapat banyak kes yang dilaporkan mengenai kesan bacaan surah Ya Sin dalam merawat pesakit yang sedang nazak. Sebagai contoh apa yang pernah berlaku kepada seorang wanita yang telah dinafikan oleh doktor akan keupayaannya untuk sembuh, akan tetapi setelah dirawat melalui kaedah pengubatan Islam, wanita itu sembuh seperti sedia kala. Justeru itu, Islam mengarahkan umat manusia untuk mencari penawar bagi segala penyakit yang dialami dan tidak terbatas kepada satu-satu cara tertentu sahaja.

Saranan Mendapatkan Rawatan

Islam menggalakkan umatnya supaya berusaha dan berikhtiar bersungguh-sungguh untuk mencari penawar kepada penyakit yang dihidapi. Hadith-hadith yang disebutkan sebelum ini dengan jelas bukan sekadar menyatakan bahawa setiap penyakit itu ada ubat, tetapi juga mendorong umat Islam supaya berikhtiar untuk mencari ubat tersebut. Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Usamah bin Syarik r.a.:

Maksudnya: ”Aku berjumpa dengan Rasulullah SAW dan para sahabat baginda sedang mereka dalam keadaan (diam) seolah-olah burung berada di atas kepala-kepala mereka, lalu aku memberi salam kemudian duduk maka datang orang Arab (orang Arab Badawi) daripada sana dan sini lalu mereka berkata: Ya Rasulullah SAW adakah kami boleh berubat (mendapatkan rawatan) maka jawab Rasulullah SAW: Berubatlah kamu kerana sesungguhnya Allah ‘Azza wa Jalla tidak menjadikan sesuatu penyakit melainkan menjadikan ubat baginya melainkan satu penyakit sahaja, (yang tiada ubat) iaitu tua.

Adalah sangat tidak wajar membiarkan kesakitan atau penyakit yang dialami berlarutan sehingga memudaratkan kesihatan dan tubuh badan sendiri. Sedangkan amal ibadat kita masih kurang dan belum mencukupi untuk menempuh hari akhirat. Oleh itu, seseorang itu hendaklah sentiasa berdoa dan berusaha untuk mencari ikhtiar rawatan dengan segera di samping bersabar dengan musibah yang dihadapi itu. Usaha tersebut perlu dilakukan dengan bersungguh-sungguh tanpa rasa putus asa. Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh `A’isyah r.a. :

Maksudnya: Sesungguhnya Allah SWT kasih kepada seseorang yang apabila bekerja (berusaha melakukan) sesuatu amalan (pekerjaan), dilakukan dengan bersungguh-sungguh”.

Konsep Penyembuhan Penyakit

Penyembuhan sesuatu penyakit hanya merujuk kepada Allah SWT sahaja. Manusia digalakkan berikhtiar untuk mencari ubat sebagai wasilah yang membawa kepada penyembuhan. Hakikatnya, penyembuhan itu hanya milik Allah diberikan kepada sesiapa sahaja yang berikhtiar dan sentiasa memohon penyembuhan daripada-Nya. Firman Allah SWT :
Terjemahannya: “Dan apabila aku sakit, maka Dialah Yang menyembuhkan penyakit itu.”
(Surah al-Syu`ara’ 26 : 80)

Berdasarkan ayat di atas, Dialah (Allah) yang menyembuhkan « Allahu Yasyfi » segala penyakit. Hal ini kerana seluruh alam sama ada di langit dan di bumi adalah hak dan milik Allah SWT. Firman Allah SWT :

Terjemahannya: “Dialah yang memiliki segala apa yang ada di langit dan di bumi serta yang ada di antara keduanya dan juga yang ada di bawah tanah yang basah di perut bumi.”(Surah Ta Ha 20 : 6)

Oleh itu, sebagai muslim hendaklah beriktikad dan berikhtiar dengan berdoa agar Allah SWT menyembuhkan penyakit yang dihidapi dan dideritai. Namun, hak untuk menentukan sama ada sembuh atau tidak terletak di bawah kuasa Allah SWT kerana ia adalah suatu perkara yang mudah bagi-Nya. Hanya menyebutkan kun (jadilah), maka jadilah perkara yang dikehendaki-Nya itu. Firman Allah SWT :

Terjemahannya: “Sesungguhnya keadaan kekuasaan-Nya apabila Dia menghendaki sesuatu, hanyalah Dia berfirman kepadanya: “ Jadilah engkau! . Maka ia terus menjadi.”
(Surah Ya Sin 36 : 82)

Penyakit Sebagai Ujian daripada Allah SWT

Penyakit atau masalah yang menimpa seseorang merupakan ujian Allah SWT terhadap hamba-hamba-Nya. Ujian ini dapat mengukuhkan lagi keimanan dan ketakwaan seseorang kepada Allah SWT seperti mana ujian penyakit yang menimpa Nabi Ayub a.s. Penyakit juga kadangkala untuk menginsafkan manusia yang lalai supaya kembali mentaati perintah Allah SWT. Apabila ujian ini dihadapi dengan tabah dan sabar, nescaya ganjaran yang baik dijanjikan Allah. Dari itu ia mampu dihadapi oleh manusia atau hamba-hamba-Nya yang sabar dan tabah mengharunginya. Firman Allah SWT :

Terjemahannya: “Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: «Kami beriman», sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?”
(Surah al-`Ankabut 29 : 2)

Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh `A›isyah r.a.:
Maksudnyanya: “Tidak ada suatu musibah pun yang menimpa seseorang muslim, kecuali dihapuskan Allah segala dosanya sekalipun kerana tercucuk duri.”

Dalam konteks lain, penyakit juga merupakan bala dan musibah yang diturunkan oleh Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya akibat daripada perlakuan buruk mereka sendiri. Apabila banyak manusia yang melakukan fahisyah (kejahatan atau kemungkaran), terjebak kepada perkara-perkara keji, syirik, banyak melakukan tipu daya dan sebagainya, adalah menjadi faktor Allah SWT menurunkan bala kepada manusia tersebut. Penyakit seperti AIDS, selsema babi dan burung, penyakit kuku dan mulut adalah antara penyakit yang melanda masyarakat dunia pada hari ini dan belum ditemui penawarnya lagi. Perkara inilah yang dimaksudkan dengan bala akibat keingkaran dan penderhakaan manusia kepada Allah SWT. Firman Allah SWT :
Terjemahannya: Dan jagalah diri kamu daripada bala bencana (akibat dosa perbuatan kamu) yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum). Dan ketahuilah bahawa Allah Maha Berat azab seksa-Nya.”(Surah al-Anfal 8: 25)

Maksud fitnah dalam ayat di atas ialah dosa dan kejahatan yang dilakukan oleh manusia yang boleh mengundang bala Allah SWT. Bala tersebut tidak ditimpa kepada kaum yang ingkar semata-mata, tetapi juga menimpa kepada semua makhluk-Nya sama ada yang berdosa atau tidak. Contoh yang jelas adalah seperti taufan, banjir besar, wabak penyakit dan lain-lain kemusnahan yang tidak mampu ditanggung oleh manusia.

Penyakit dan Penyembuhan Anugerah Allah SWT

Kesihatan adalah nikmat yang dianugerahkan Allah SWT kepada manusia apabila disyukuri. Begitu juga penyakit merupakan nikmat sekiranya seseorang itu berserah dan berdoa kepada Allah memohon penyembuhan. 

Ketika sakit manusia berdoa agar disembuhkan daripada penyakit tersebut dan diberikan kesihatan, manakala ketika sihat doa berfungsi sebagai wiqayah (pelindung atau pencegahan) daripada segala bala dan penyakit, di samping mengekal, menambah serta memantapkan keimanan seseorang itu kepada Allah SWT. Penderitaan Nabi Ayub a.s. menanggung kesakitan kudis yang kronik dan tidak pernah dihidapi manusia lain merupakan contoh ketabahan dan kesabaran yang tinggi seorang Nabi. Baginda menganggap penyakit tersebut sebagai satu anugerah kurniaan Allah SWT sehingga tidak sanggup untuk berdoa agar disembuhkan oleh Allah SWT walaupun boleh berbuat demikian. Penderitaan ini ditanggung kerana baginda meletakkan penyakit itu sebagai satu anugerah sehingga apa yang dialami mendapat simpati daripada para malaikat sehingga menyuruh agar berdoa memohon penyembuhan. Oleh kerana bimbang penyakit yang dideritai itu akan menyebabkan keuzurannya dan tidak boleh lagi berzikir kepada Allah SWT, maka baginda hanya merintih dan mengadu seperti diceritakan oleh Allah SWT dalam al-Qur’an. Firman Allah SWT :

Terjemahannya: Dan (sebutkanlah peristiwa) Nabi Ayub,ketika dia berdoa merayu kepada Tuhannya dengan berkata: «Sesungguhnya aku ditimpa penyakit, sedang Engkaulah sahaja yang lebih mengasihani daripada segala (yang lain) yang mengasihani”.(Surah al-Anbiya’ 21 :83)

Sumber:

No comments: