Assalamu’alaikum wwt.
Menceburi bidang perniagaan
memang mengundang risiko tersendiri. Hal ini kerana bidang perniagaan ada
pasang dan ada surutnya. Ada masanya perniagaan yang diusahakan itu berjalan
lancar tanpa apa-apa risiko kerugian dan keuntungan yang diperoleh sangat
memberangsangkan. Namun begitu, banyak juga perniagaan yang diusahakan itu
gagal di separuh jalan dan akhirnya mengalami kerugian. Fenomena ini tidak
terkecuali berlaku apabila individu itu mengusahkan kedai makan. Jika kita
perhatikan ada banyak kedai makan yang diusahakan bak cendawan tumbuh selepas
hujan. Kadang-kadang kita tidak tahu yang mana satu kedai makan dapat memenuhi
selera kita. Bagi pengusaha kedai makan, pemilihan tempat yang strategik memang
memainkan peranan apatah lagi layanan yang mesra dan yang paling penting
menunya sedap serta harga yang berpatutan. Namun begitu, jika semua pakej itu
ada dimiliki oleh pengusaha kedai makan tetapi tidak ramai orang berkunjung
untuk menjamu selera, memang merisaukan. Apa sebabnya dan dimana silapnya?
Juadah yang disediakan di kedai makan |
Salah satu faktor penyebab yang
menyebabkan kedai makan yang diusahakan tidak dapat menarik ramai pelangaan
adalah disebabkan penggunaan ilmu hitam atau sihir yang dihantar oleh pesaing
yang dengki. Orang yang dengki sanggup menggunakan apa sahaja cara walaupun
dengan cara yang halus dan kotor. Sepatutnya, gunakan cara yang elok dan tolong
menolong dalam mencari rezeki. Janganlah menggunakan sihir yang menjadikan jin
sebagai perantara untuk menjatuhkan pesaing dalam perniagaan kedai makan.
Nampak sangat lemahnya iman kita. Tidak adakah perasaan kasihankah di hati
orang yang mengenakan sihir ini? Sanggup mereka melihat orang yang mereka
sasarkan itu jatuh dan menutup kedai. Perkara inilah yang saya cuba kongsikan
dalam catatan kali ini.
Tanda-tanda Kedai Makan disihir
Bagaimana kita hendak mengetahui bahawa kedai makan
kita dikenakan sihir? Sebenarnya ada beberapa tanda yang boleh dikenal pasti
sesuatu premis perniagaan dikenakan ilmu sihir. Berikut adalah beberapa tanda
yang ketara. Antaranya;
Nampak kedai tutup
Pelanggan mengadu tidak nampak kedai
makannya dibuka. Apabila diajukan kepada tuan punya kedai mengapa kedainya ditutup, tuan punya kedai
kehairanan kerana kedainya pada waktu yang dinyatakan itu sentiasa dibuka. Ada kalanya
pelanggan nampak kedai tetapi kerusi diletakkan di atas meja. Malah ada juga
yang nampak tiada kerusi dan meja di dalam kedai makan tersebut.
Pelanggan
tiada keinginan untuk masuk ke dalam
kedai
Pelanggan seolah-olah tiada keinginan
untuk masuk ke dalam kedai. Walaupun ada pelanggan yang berhenti di depan kedai
tetapi berpatah semula ke arah lain. Ada juga pelanggan yang sudah turun
daripada kenderaan tetapi masuk semula ke dalam kenderaan dan berlalu pergi. Sayu
hati tuan kedai makan melihat situasi ini.
Sering sakit
Pengusaha kedai makan sering sakit
dan menyampah untuk datang ke kedai. Badan terasa panas dan rimas apabila
berada di dalam kedai sebaliknya rasa selesa apabila keluar dari kedai. Ada
juga badan terasa gata-gatal hingga menyukarkan pekerjaan.
Sering
bergaduh
Pengusaha kedai makan dalam keadaan
mood tertekan dan sering marah-marah atas sebab-sebab yang kecil. Selain itu
pekerja juga selalu bergaduh sesama mereka. Akibatnya ada pekerja yang berhenti
dan mencari kerja di kedai lain.
Juada cepat
basi
Ada juga kes yang pelik iaitu makanan
yang disediakan seperti nasi yang di masak cepat basi. Walhal, makanan tersebut
baru beberapa jam dimasak dan terpaksa dibuang. Ini akan merugikan tuan punya
kedai makan.
Nampak kelibat
menakutkan
Kemuncak gangguan ini ialah pengusaha
kedai makan atau pekerjanya sering terlihat kelibat makhluk yang menakutkan. Akibatnya
ada pekerja yang takut untuk berada lama di dalam kedai.
Demikianlah antara beberapa tanda
yang ketara yang dialami oleh pengusaha kedai makan yang dikhianati oleh orang
yang berhati busuk. Sihir perniagaan
biasanya digunakan pada dua perkara atau salah satu daripadanya iaitu pada
tempat perniagaan atau pada pemilik perniagaan. jadi, sentiasalah berhati-hati
jika anda seorang peniaga. Diri sendiri mesti kuat dan sentiasalah memerhati
tempat perniagaan anda.
Kaedah Pencegahan
Secara umumnya, kaedah pencegahan yang paling utama
datangnya dari diri tuan punya kedai makan sendiri. Dengan izin Allah, jika
tuan punya kedai makan istiqamah beramal dengan amalan yang soleh, maka
kebarangkalian serangan sihir akan dapat dihalang. Namun jika berlaku juga,
terpaksalah mencari orang yang ahli dalam memagar dan memulihkan semula bahana
sihir tersebut. Orang yang ahli di sini merujuk kepada pengamal pengubatan
Islam yang bersandar kepada kekuasaan Allah.
Mencegah dengan Solat dan Sabar
Cegah dan ubatilah dengan solat lima waktu. Bagi
peniaga, walau bagaimana sibuk sekalipun, solat jangan diabaikan. Barangsiapa
yang mengabaikan solatnya, bagaimana keberkatan dapat diraih? Jangan kita hanya
solat ikut waktu. Waktu senang, kita tinggalkan atau abaikan, waktu susah, baru
kita mencari tikar sejadah yang telah lama ditinggalkan. Walaupun anda peniaga,
tetapi jangan jadikan SOLAT sebagai bahan niaga antara anda dan Tuhan. Anda
pasti menyesal jika melakukannya.
Firman Allah SWT. "Dan mintalah oleh kamu akan pertolongan (kepada Allah) melalui
jalan solat dan sabar. Sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar."
Rajinlah Bersedekah
Orang yang rajin bersedekah dengan keuntungan yang
didapatinya, insyaallah akan dijauhkan dari segala perkara buruk yang tidak
diingininya. Nabi menjanjikan bahawa tiada bala yang dapat turun kepada orang
yang rajin bersedekah kerana Allah. Memberilah kepada anak yatim dan
orang-orang susah, nescaya Allah lepaskan anda dari kesusahan di dunia ini
lagi.
Sabda Nabi SAW,"Barangsiapa
yang membantu saudaranya keluar dari kesusahan dan keluh-kesah, nescaya Allah
akan mengeluarkannya dari kesusahan dan keluh-kesahnya di Hari Akhirat".
Ikhtiar Rawatan
Kepada peniaga kedai makan, seandainya kedai anda terkena
juga sihir, maka cepat-cepatlah berikhtiar merawatnya. Janganlah cepat berputus
asa dan mengalah kerana jika anda cepat berputus asa dan mengalah maka
tercapailah misi orang yang menyihir anda. Jika sekiranya anda pandai, maka
buatlah sendiri kaedah menawar gangguan sihir ini. Pergilah berguru dengan guru
yang arif dan dapatkan petua atau kaedah memagar kedai anda. Cara ini lebih
mudah dan praktikal kerana biasanya serangan sihir kedai makan ini akan
sentiasa berulang atau ditambah.
Ada satu pasangan pengusaha kedai makan yang meminta
saya membantunya merawat kedainya yang kononnya dikatakan disihir. Sebahagian besar
tanda-tanda sihir perniagaan dialami olehnya. Kasihan saya mendengar luahan
hatinya kerana modalnya telah banyak dihabiskan untuk memajukan kedai makannya
itu. Selepas maghrib, saya dibawa ke kedainya untuk ikhtiar perawatan. Saya perhatikan
lokasi kedainya sangat strategik dan mudah dilihat oleh orang ramai tetapi
mengapa terjadi hal sedemikian. Saya tidaklah percaya sepenuhnya dakwaan
kedainya disihir. Mungkin ada sebab lain yang menjadi punca kedainya jarang
dikunjungi.
Saya mulakan rawatan dengan solat hajat dua rakaat
memohon kepada Allah agar memperkenankan hajat yang dipinta. Saya tergerak untuk
membaca Hizib Bahar bagi tujuan tersebut. Amalan ini saya terima daripada guru
saya iaitu Ustaz Mohamad Rajab suatu ketika dahulu. Tidak lupa juga medium yang
biasa digunakan untuk perawatan iaitu air, garam kasar dan lada hitam. Ada hikmah
disebalik penggunaan bahan-bahan tersebut. Mengakhiri rawatan, saya rejam garam
bercampur lada hitam di luar kedai dan lada hitam di dalam kedai. Kaedah rejaman ini elok dibuat selama tiga hari
berturut-turut.
Keberhasilan ikhtiar rawatan ini saya serahkan kepada
Allah Taala. Kita hanya berusaha, Allah jua yang menentukan. Segala itu terjadi
dengan izin Allah.
Sekian. Jumpa lagi
No comments:
Post a Comment