Assalamu’alaikum wwt
Berhadapan dengan penyakit yang berkaitan dengan
campurtangan jin memang ada risikonya. Tidak kiralah sama ada berhadapan dengan
gangguan jin-jin saka atau bukan jin-jin saka. Jin saka merupakan suatu kontrak
perjanjian di antara manusia dan segolongan jin tertentu yang dipusakai secara
turun temurun yang kononnya untuk menjaga dan menolong manusia tersebut.
Manakala jin bukan jin saka pula merujuk kepada segolongan jin yang tidak
terikat dengan kontrak perjanjian tetapi mungkin dihantar melalui ilmu sihir
(jin sihir), jin yang mencintai manusia (jin asyik), jin yang membalas dendam
kepada manusia (mungkin kerana manusia pernah menyakitinya) dan sebagainya.
Antara skop tugas perawat pengubatan Islam ialah
berusaha mengeluarkan gangguan jin-jin tersebut daripada badan manusia. Jikalau
perawat tersebut tidak mantap ilmu dan amalannya, maka mudahlah perawat
tersebut terkena serangan balas jin-jin tersebut. Kita kena ingat bahawa
jin-jin ini ada pelbagai peringkat kepandaiannya. Kalau berhadapan dengan
jin-jin peringkat rendah, maka cara mengatasinya agak mudah, tetapi jika
berhadapan dengan jin-jin peringat tinggi, maka agak sukar untuk mengatasinya.
Dalam hal ini, perawat Islam perlu faham selok-belok alam jin dan mempunyai
banyak pengalaman dalam berhadapan dengan jin-jin tersebut.
Siapa kata tugas perawat itu
mudah?
Tugas perawat Islam tidak semudah yang disangka.
Cubalah anda menjadi perawat? Hendak merawat diri sendiri pun sukar, apatah
lagi untuk merawat orang lain. Dalam diri sendiri pun ada gangguan jin,
bagaimana pula untuk mengeluarkan gangguan jin di dalam diri orang lain?
Oleh itu, jangan mudah mendabik dada, bahawa akulah
perawat yang hebat atau akulah perawat yang ada nama. Selagi sifat keakuan itu masih tebal di dalam diri
perawat, jangan haraplah untuk bergelar perawat. Lebih baik perawat itu
muhasabah diri terlebih dahulu. Janganlah bila sudah habis belajar ilmu
perubatan Islam, maka terus mendabik dada. Rawatlah diri sendiri terlebih
dahulu.
Perawat perlu bersikap ikhlas dalam merawat. Setiap
pesakit yang datang mendapatkan khidmat rawatan daripada perawat sebenarnya
digerakkan oleh Allah. Perawat yang merawat pesakit pun digerakkan oleh Allah.
Dalam hal ini, hakikatnya Allah jua yang merawat. Aku (diri perawat) bukan
merawat tetapi Allah yang merawat. Hendak mencapai maqam ini bukannya senang.
Namun apabila hal ini dapat dipraktikkan, maka akan timbullah sifat ikhlas
dalam merawat. Jin-jin sebenarnya takut kepada perawat yang ikhlas kerana
Allah. Jika sifat ikhlas ini tiada dalam diri perawat, maka mudah baginya
diserang oleh jin-jin jahat. Sebab apa? Sebab ada kepentingan lain dalam
niatnya.
Selain itu, perawat juga perlu yakin akan usahanya
dalam merawat penyakit. Ilmu yang banyak tinggi menggunung belum tentu berhasil
untuk merawat jika tidak yakin dengan kuasa Allah. Biarlah ilmu sedikit tetapi yakin dengan kuasa
Allah, pasti Allah beserta dengan perawat tersebut. jin-jin tidak takut kepada
perawat yang kurang keyakinan dalam usaha perawatan. Oleh sebab itu, mudah bagi
perawat terkena serangan balas. Ayat-ayat ruqyah hanya pemangkin sahaja agar
usaha kita tidak sia-sia. Ruqyah disertai dengan keyakinan yang teguh kepada
kekuasaan Allah pasti mendatangkan hasil yang hebat. Sebenarnya jin-jin takut kepada perawat yang
mempunyai keyakinan yang tinggi kepada Allah.
Sebagai hamba Allah yang lemah, sebenarnya kita tiada
satu pun kuasa walau sebesar zarah sekalipun untuk menyembuhkan penyakit. Dalam
hal ini, perawat perlu redha diatas apa jua ketentuan Allah sama ada Allah hendak
menyembuhkan penyakit atau sebaliknya. Perawat buatlah kerja merawat dengan
ilmu yang dipelajari dan selebihnya mohonlah redha Allah diatas usaha kita itu.
Jika Allah redha dengan usaha yang kita lakukan maka sembuhlah penyakit
tersebut, manakala jika Allah tidak mengizinkan penyakit tersebut untuk sembuh,
maka redhalah bahawa kesembuhan sesuatu penyakit itu belum tiba masanya.
Jin-jin jahat sebenarnya tidak dapat berbuat apa-apa jika perawat ada sifat
redha kepada Allah.
Ada masanya perawat pun lalai dan terleka juga,
walaupun sentiasa beringat dan berjaga-jaga. Jin-jin jahat sentiasa menanti
peluang dan mencari titik kelemahan perawat. Sebab itulah, ada ketikanya
perawat berasa tidak sedap badan, lemah-lemah badan, sakit yang tidak diketahui
sebabnya dan pelbagai petanda lagi. Oleh itu, perawat harus berehat dahulu dan
mengumpul kembali kekuatan rohani dan jasmani. Perawat juga perlu meminta
pertolongan rakan-rakan perawat yang lain untuk merawat dirinya. Biarlah
perawat melaksanakan tugasnya dengan hati yang lapang dan kesihatan yang
sempurna.
Sekian sahaja coretan daripada hamba yang fakir...
No comments:
Post a Comment