Monday, 29 December 2014

ADAKAH SAMA SAKA DENGAN QARIN?



Assalamu’alaikum wwt.

Info pada kali ini mengajak kita menyorot sedikit sebanyak tentang permasalahan SAKA dan QARIN. Seringkali kita agak terkeliru tentang dua istilah ini. Info ini sebenarnya dipetik daripada ruangan soal jawab “Koleksi Jawapan Kemusykilan Agama Bersama Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din” (http://www.darussyifa.org)

Mudah-mudahan maklumat daripada info ini berguna kepada kita.

Soalan
Saya banyak mendengar perkataan saka yang dirujuk kepada gangguan makhluk harus atas seseorang yang berpunca daripada keturunan seseorang yang mendampinginya sentiasa meminta berbagai permintaan atau mengenakan berbagai keburukan. Adakah ini sama dengan istilah qareen yang pernah Dato' sentuh dalam jawapan terdahulu. Samakah antara saka dengan qarin? Bagaimana hendak mengatasi hal ini apabila ianya berlaku?
SAMIHAH MANSOR
Batu Gajah

Jawapan

Saka adalah suatu istilah yang biasanya digunakan oleh tukang ubat atau bomoh tradisional yang merujuk kepada suatu fenomena gangguan spiritual yang berlaku ke atas manusia kebanyakannya kaum wanita dan ada juga lelaki, yang mengaitkannnya dengan makhluk yang kononnya diamanahkan menjaga seseorang. Bagi tujuan menjaga tersebut maka berbagai-bagai gangguan spiritual berlaku. Gangguan seperti ini dikenali sebagai gangguan makhluk halus.

Saka dikaitkan dengan kononnya ada makhluk yang berdampingan dengan keturunan bapa, ibu, datuk atau nenek seseorang yang menjaga atau bersahabat dengan makhluk ini dan dipesan kepada makhluk tersebut selepas kematiannya untuk menjaga dan mengawal anak cucu mereka.Hasil daripada itu maka berlaku kawalan, sebenarnya gangguan ke atas orang berkenaan sehingga menimbulkan masalah yang diistilahkan sebagai saka.

Saya tidak dapat menentukan apa sebenarnya saka. Betul atau tidak ia makhluk yang mendampingi manusia dan keturunan mereka diganggu sehingga mendatangkan kemudaratan kepada mereka. Jika benar ianya (makhluk halus) sebagai sahabat, kawan atau dampingan orang-orang terdahulu, maka sepatutnya ia tidak berubah sekadar hanya menjaga dan melindungi anak cucu seseorang, tiba-tiba berlaku sebaliknya sehingga menyakiti dan menganggu sampai menjadi separuh gila atau separuh sedar.

Saya tidak nampak hal ini sebagai saka yang digunakan untuk menjaga dan mengawal seseorang untuk kebaikan. Jika berlaku begini, maka tidaklah menimbulkan masalah walaupun hukum asalnya bersahabat, berbuat baik, berdampingan dengan makhluk halus dilarang oleh syariat Islam.

Banyak ayat al-Quran yang menggesa manusia menjauhi dan berlindung diri daripada syaitan. Malah manusia wajib menjadikan syaitan sebagai musuh dan sebagainya.

Berbalik kepada seseorang yang diganggu oleh makhluk halus, maka jelas ia adalah musuh kerana makhluk halus ini menyakiti manusia, menganggu manusia dan melakukan perkara yang tidak dingini oleh manusia, ianya memberikan kesan negatif.

Kita mesti menjauhi mereka, benda yang dinamakan saka ini tidak menjadi sesuatu yang baik kepada manusia. Dirawatlah dengan cara-cara yang diharuskan oleh syarak bagi mengelakkan saka ini terus menerus menganggu manusia.

Adapun Qarin adalah istilah al-Quranul karim yang jelas Allah S.W.T menyebut dalam beberapa ayat seperti dalam Surah Qaf (ayat 23), Surah al-Fussilat (ayat 25) dan lain-lain.
Di antara makna-maknanya, Allah menyebut (mafhumnya), "Dan kami tetapkan bagi mereka, teman-teman yang menjadikan mereka memandang bagus apa yang ada di hadapan dan di belakang mereka. Dan tetaplah atas mereka keputusan azab pada umat yang terdahulu dari jin dan manusia. Sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang meragui."

Istilah teman-teman dalam al-Quran adalah pada asal perkataan Qurana atau kawan-kawan setia. Maksudnya adalah dari suku sakat syaitan atau iblis ini menjadikan manusia sebagai teman mereka.

Firman Allah (mafhumnya), "Dan berkatalah Qarinnya, inilah catatan amalan yang tersedia pada sisiku." (Surah Qaf, ayat 23).

Dan Surah Qaf, ayat 27 bermaksud, "Yang menyertai dia, Qarinnya berkata pula,"Wahai Tuhan kami, aku tidak menyesatkannya, tapi dialah yang berada dalam kesesatan yang jauh."

Ini merujuk kepada perkataan Qarin. Allah S.W.T menyifatkannya sebagai kawan rapat bukan kerana manusia hendak sangat berkawan dengan mereka, tetapi pada pandangan sesetengah ulama, sejak manusia dilahirkan ada makhluk halus yang mendampinginya, mengajak, memandu serta mempengaruhinya melakukan kejahatan. Itulah yang dimaksudkan sebagai Qarin.

Dalam hadis daripada Ibnu Mas'ud r.a, bahawasanya Nabi Muhammad s.a.w bersabda (maksudnya), "Setiap orang daripada kamu, ada bersama dengannya qarin (syaitan) daripada jin. Sahabat bertanya, apakah Rasulullah juga mempunyai qarin, baginda menjawab, ya, saya pun ada qarin itu, cuma Allah S.W.T membantu saya, dapat mempengaruhi qarin itu sehingga dia telahpun Islam dan dia berdamping dengan saya, dia tidak mendorong saya membuat sesuatu melainkan semuanya untuk kebaikan." (Riwayat Muslim).


Hiasan: Gambaran jin Qarin manusia

Hadis daripada Ai'shah r.ha berkata,"Suatu ketika Rasulullah s.a.w berada bersama dengan saya, lalu keluar meninggalkan saya kerana ada suatu urusan pada malam hari, tiba-tiba timbul cemburu dalam diri saya, apabila Rasulullah s.a.w kembali menemui saya, baginda mengetahui perasaan saya itu, maka baginda bertanya, apakah gerangan mu wahai Ai'shah? apakah kamu cemburu? Maka saya menjawab, manalah orang seperti saya ini tidak cemburu ke atas mu wahai Rasulullah s.a.w. Maka Nabi menyebut kepada saya, apakah kamu telah dikuasai oleh syaitanmu wahai Ai'shah. Maka saya menjawab, ya Rasulullah, apakah bersama saya ada syaitan? Rasulullah menjawab, ya, malah pada tiap-tiap insan ada syaitannya. Saya bertanya kepada Rasulullah, apakah kamu juga ada syaitan? Jawab baginda, ya, tetapi Allah S.W.T telah membantuku, aku Islamkan dia dan tidak menyuruhku melainkan untuk kebaikan."

Hadis-hadis sebegini adalah hadis sahih, ia menunjukkan memang berlaku bahawa qarin, ia adalah syaitan, mendampingi semua manusia. Kalau Rasulullah s.a.w pun didampingi oleh qarin ini, inikan pula insan biasa.

Oleh yang demikian, jelas bahawa qarin ini ada pada setiap orang dan bergantung kepada seseorang insan itu, jika ia belum boleh menguasai dirinya dengan kerja-kerja ketaatan sehingga tidak ada ruang untuk melakukan kemaksiatan maka qarin ini seolah-olahnya putus asa untuk mengajaknya melakukan kejahatan, melainkan sekali sekala sahaja.

Adapun orang-orang yang mudah mendedahkan dirinya kepada melakukan perkara yang tidak baik, khasnya melakukan kemaksiatan, maka qarin inilah yang menjadi pendorong utama. Pada pandangan saya qarn adalah makhluk halus yang jahat.

Jika hendak dikatakan saka, hanya sekadar mengatakan ianya wujud ada, maka tidak salah mengatakan kita semuanya ada saka, tetapi saka yang saya maksudkan adalah saya yang sedia ada, bukan kerana dipelihara oleh keturunan, bukan disuruh oleh seseorang melakukannya tetapi kerana tabiat makhluk ini memang sentiasa berusaha menjerumuskan manusia kepada kejahatan. Wallahua'lam.

Friday, 12 December 2014

SANTAU : SATU PERBUATAN KEJI (2)



Assala’mualaikum wwt.

Bicara pada kali ini merupakan sambungan daripada tulisan terdahulu yang mengisahkan tentang ilmu santau. Kasihan kepada mangsa yang terkena ilmu santau. Kadang kala orang yang tidak bersalah menjadi mangsa. Benteng yang ampuh untuk menghindari santau ialah dengan memperkuat amalan pembenteng diri. Dengan pertolongan Allah sahaja kita mampu selamat daripada terkena ilmu santau ini.

Ikuti selanjutnya info berkenaan dengan santau ini...

RAMUAN SANTAU

Bukanlah satu usaha yang mudah untuk menyediakan ramuan santau. Apa yang pasti, setiap ramuan yang diadun mempunyai kesan yang bisa kepada mangsanya. Antara bahan yang selalu digunakan untuk menyediakan ramuan santau ialah seperti berikut;

  • Air ulat sintuk (ulat gonggok yg berwarna kehitam-hitaman) 
  • Segala jenis miang seperti miang buluh, miang jagung 
  • Sumbu pelita minyak tanah (habuknya), 
  • Hempedu katak puru (biasanya digunakan di kedah atau perlis - katak puru yang diambil dari atas pokok daun keladi yang layu yang terletak di sawah padi) 
  • Kaca dari botol-botol kaca atau kaca lampu (ditumbuk dan diayak dan diambil serbuk kaca yang halus) 
  • Kuku (dari manusia atau haiwan, dan sebagainya) 
  • Rambut 
  • Tali sabut (direndam selama 44 hari kemudian diracik halus-halus) 
  • Kacang babi (Wallahu alam tak tau rupa bentuknya tapi org Asli - Aborigines people - yang tahu sebab mereka cari dalam hutan


Bahan ini kalau terkena pada kulit maka kulit akan menjadi tersangat gatal bahkan ada yang sampai terpaksa kena potong salah satu anggota badan tersebut.

BAGAIMANA SANTAU DIBUAT  DAN DIPROSES

Pembuat santau akan mengumpulkan segala bahan-bahan yang hendak dibuat santau  kemudian bila semua ramuan sudah cukup, pembuat santau akan mencari suatu hari dalam bulan gelap betul-betul gelap (merujuk hijrah). Seterusnya mereka akan membawa bahan santau ini ke simpang tiga yang tidak ada orang lalu lalang  (simpang yang menuju ke hutan) di tengah malam seorang diri. Kemudian mereka akan memulakan bacaan mentera jampi serapah mengikut bahasa masing-masing sambil menutup bekas santau itu dengan sehelai kain. 

Cara bahan santau itu aktif ketika mana pembuat santau itu membaca mentera kain yang menutup bekas santau tu naik ke udara kemudian keluar suara (jin, syaitan, iblis laknatullah) bercakap 'aku ikut perintah kamu'. Itu bermakna ramuan santau itu sudah menjadi.  Apabila bahan santau  'menjadi', ramuan itu  membiak macam yeast - cepat membiak walau kalau sudah masuk ke dalam tubuh mangsa pun cepat membiak macam virus). Tapi sekiranya bahan santau itu tidak menjadi, maka pembuat santau  ini akan menunggu hari gelap yang lain untuk mengulangi ritual yang sama sampai menjadi.

Apabila bahan santau ini diaktifkan,  bahan ini akan disimpan dalam bekas tabung.  Contohnya zaman dahulu bahan ini disimpan dalam batang buluh kecil dan digantung pada para di dapur. Kalau zaman sekarang, mungkin disimpan di dalam balang atau sebagainya. 

Jadi, dalam 3 atau 4 bulan sekali, pembuat santau ini akan memeriksa bekas santau itu sama ada penuh atau tidak. Jika sudah penuh dan melimpah, terpaksalah pembuat santau ini membuang santau ini dengan cara yang diterangkan sebelum ini sama ada pada khalayak ramai atau sebagainya. Jika tiada pilihan dan tidak sempat untuk di buang, ramuan santau ini akan memakan tuannya sendiri (samada pembuat terpaksa memberi makan atau minum pada ahli keluarga atau memakan diri sendiri). Boleh tak santau ini dibuang? Jawapannya boleh.

TANDA TERKENA SANTAU

Terdapat beberapa tanda seseorang itu terkena santau. Antara tanda-tanda tersebut adalah seperti berikut;


  • Batuk yang berterusan  walaupun sudah memakan ubat hospital tetapi masih belum sembuh. Malah gejala batuk terjadi pada waktu-waktu tertentu seperti maghrib, pagi, tengah malam dan waktu hampir subuh. Bahkan ada yang batuk berterusan selama 24 jam (macam batuk anjing) 
  • Muntah darah 
  • Rasa tercucuk-cucuk dalam badan seperti ada jarum (di bahagian dada, sendi-sendi badan, peha, dan kaki),  
  • Demam panas 
  • Sakit kepala 
  • Lenguh atau lemah sendi dan anggota badan 
  • Tiada selera makan (kesannya badan menjadi susut dan bila cuba hendak makan terasa hendak muntah) 
  • Susah tidur pada waktu malam 
  • Kerap mengantuk pada waktu siang hari 
  • Gatal-gatal badan 
  • Pemarah (sifat yang dibangkitkan oleh jin, syaitan, iblis) 
  • Pelupa 
  • Resdung 
  • Barah 
  • Kayap 
  • Lumpuh ( yang menyerang buah pinggang) dan ada yang sampai buat putus urat jantung, serta jadi gila 
  • Lemah tenaga batin 
  • Kudis (biasanya ramuan santau ini boleh didapati dari kepulauan Borneo),  
  • Penyedih 
  • Penakut 
  • Pembenci 
  • Pemalas 
  • Fikiran tidak tenteram (sehingga tidak boleh membuat keputusan dengan tepat dan hilang keyakinan diri 
  • Suka bersendirian (tidak suka bergaul dengan orang ramai) 
  • Sakit perut dan sakit belakang.


KESAN DARl TERKENA SANTAU:

Apabila santau terkena kepada mangsa, maka tidak lain tujuannya untuk memastikan kesihatan mangsa merana kerana santau akan;

  • Merosakkan rohani dan jasmani (rasa tidak tenteram), 
  • Merosakkan rumah tangga,  
  • Merosakkan organ dalaman,  
  • Merosakkan fikiran dan maut. 

Tanda fizikal mangsa santau: warna kebiru-biruan (biru kundang) di kuku tangan dan kaki, bibir, kelopak mata dan ada yang tahap kritikal menjadikan paru-paru dan jantung bermasalah dan berlubang.  

Tidak ada perawat dapat memastikan dengan tepat berapa lama tahap santau sudah berada dalam badan pesakit tetapi berdasarkan pengalaman perawat santau, jika hanya bahagian dada saja berkemungkinan santau tersebut baru masuk mungkin tidak kurang dari satu atau dua minggu, kalau sudah sampai ke pinggang berkemungkinan sudah masuk dalam sebulan atau beberapa bulan, kerana bila bahan santau dapat dikeluarkan dari badan pesakit dapat dilihat bahan tersebut masih baru dan bila sudah sampai ke kaki berkemungkinan sudah beberapa tahun. Kalau yang sudah lama bertapak, apabila keluar mungkin santau itu sudah menjadi hitam. Wallahu'alam.

Jika pesakit santau menggunakan X-ray, biasanya  tidak dapat dikesan tetapi jika pesakit itu terkena santau, biasanya hasil filem x-ray tersebut di bahagian paru-paru akan menjadi gelap dan doktor gagal mengesan puncanya. Santau ini bila sudah masuk ke dalam tubuh mangsa melalui mulut atau sebagainya, seperti yang diterangkan sebelumnya, santau ini akan menjadi racun masuk ke pembuluh darah seperti bagaimana masuknya gangguan jin dan syaitan termasuk sihir dan menyerap ke seluruh badan dan terus ke otak dan ada kesan santau  menjadikan anggota badan seperti lidah menjadi pendek membuatkan mangsa tidak boleh bercakap, mulut menjadi herot, dan tangan menjadi merengkot.

KAEDAH PELINDUNG (pendinding diri)

Marilah kita sentiasa menjaga solat dan amalan fardhu yang wajib dan melakukan yang sunat seperti solat sunat malam. Juga sentiasa berzikir, membaca Al Quran, dan sebagainya

Setiap amalan hendaklah membaca al-quran dan surah-surah yang dibaca dan berzikir hendaklah diniatkan memohon kepada Allah Ta'ala supaya dilindungi diri dan ahli keluarga dari segala bentuk kejahatan makhluk syaitan, jin, iblis, manusia dan sebagainya. 

Senantiasa mengamalkan dalam doa harian atau setiap lepas solat membaca surah Al fatihah, 3 Qul ( Al Ikhlas, Al Falaq, An Nas), Ayatul Kursi, Doa Penggerak dan sebagainya.
Doa Penggerak : Elok dijadikan amalan harian untuk mengelak mara bahaya termasuk santau

Melazimkan diri membaca ketika doa sebelum makan dan minum, sebelum  keluar rumah , lazimkan juga membaca 2 ayat terakhir dari surah at taubah (ayat 128 dan 129) iaitu laqod ja'akum .... sampai habis., dan doa-doa yang lain.

CARA HENDAK MENGETAHUI TERKENA SANTAU

Apabila hendak tidur, perahkan air limau nipis sedikit (tanpa ditambah dengan air) ke dalam mulut. Jika tiada masalah seperti batuk, gelisah samada semasa tidur atau tidak, berkemungkinan besar 90% masalah yang dialami ada bersangkut paut dengan santau. Jadi, segeralah mendapatkan rawatan yang sewajarnya.
Kalau tiada masalah, syukur kepada Allah. Santau biasanya bersangkut paut dengan penyakit fizikal juga seperti sakit, gatal-gatal pada anggota badan, kanser, sakit jantung, paru-paru, buah pinggang dan sebagainya, kecuali gout dan kencing manis. Wallahu'alam.

PERKARA YANG DILARANG APABILA PESAKIT SEDANG MENJALANl RAWATAN SANTAU

Larangan ini bergantung kepada cara rawatan perawat-perawat lslam yang mempunyai pelbagai kaedah untuk merawat. Ada perawat melarang pesakit memakan ikan yang bersengat, dan jika perawat yang menggunakan kaedah rawatan tepuk daun nangka seperti Ustaz Mokhtar Kasan (DARUSSYIFA), adalah ditegah pesakit apabila sedang menjalani proses rawatan memakan limau ( semua jenis limau terutama limau nipis, limau kasturi walau kordial sunquick tu pun tidak boleh, apa-apa perasa limau tidak dibenarkan), cuka, buah yang masam dan jeruk(pickles), nenas, dan rebung yang boleh diklasifikasikan  berunsur tajam.

Kurangkan juga memakan makanan yang pedas, berminyak dan air batu. Tidak boleh melakukan kerja kuat atau aktiviti yang lasak seperti bermain bola dan sebagainya, serta tidak boleh mengangkat barang berat. Dikhuatiri jika pesakit tidak mengendahkan segala larangan-larangan tersebut akan membawa kesan buruk dan padah terhadap pesakit itu sendiri kerana luka-luka dalaman masih belum sembuh sepenuhnya.  

Di samping mendapatkan rawatan dari perawat lslam adalah digalakkan pesakit itu sendiri berusaha untuk menguatkan daya ketahanan diri rohani dan jasmani melalui membaca Al Quran, berzikir dan sebagainya, secara istiqomah dan berterusan untuk mendapatkan ketenangan fikiran disamping berdoa kepada Allah Ta'ala semoga sembuh,insya Allah.

Sekian.
Nasihat saya...berhati-hatilah.
Ingat sebelum terkena.
Bersiaplah dengan Amalan Pembenteng Diri.
Berubat segera bila ada tanda-tanda terkena santau

Sumber :
Disediakan oleh: Shahila Tahir.
Koleksi dari ceramah rawatan santau oleh 
Tuan Haji Mokhtar Kasan (Perawat Darussyifa Bandar Baru Bangi)

Thursday, 11 December 2014

SANTAU : SATU PERBUATAN KEJI (1)



Assalamu’alaikum wwt..
Saudara pembaca yang dikasihi sekalian.

Tentu anda pernah mendengar berkenaan dengan SANTAU. Permainan santau amat terkenal sedikit waktu dahulu. Apa yang dapat saya katakan, orang yang menggunakan santau untuk mengenakan orang lain amatlah keji perbuatannya. Hal ini kerana mangsa yang terkena santau akan merana seumur hidup. Ibarat kata seperti bangkai bernyawa. Saya tidak faham setakat mana kepuasan yang dapat dikecapai oleh orang yang meminta pertolongan daripada tukang santau ATAU penyantau itu sendiri.  Tunggulah balasan di akhirat kelak...

Info pada kali ini akan mengupas sedikit sebanyak mengenai santau. Hati-hatilah dan berwaspada sentiasa.

DEFINISI SANTAU

SANTAU merupakan rangkaian dari TIGA perkara: Ramuan, Sihir dan Makhluk halus. Menurut penceritaan secara lisan, santau biasa berlaku di bahagian negara-negara Asia Tenggara seperti Indonesia, Malaysia, Filipina dan lain-lain. Termasuk juga di bahagian selatan negara China. Amat jarang kedengaran santau dalam kalangan masyarakat Arab, Timur tengah, Afrika dan lain-lain. Masyarakat dinegara sedemikian lebih menggunakan kaedah sihir yang lain.

Santau agak popular di bahagian daerah Sumatra, Indonesia. Santau biasa digunakan seperti alat permainan masyarakat di sana. Di mana dalam sesebuah kampung jika ada seorang yang gagah perkasa atau yang mempunyai sesuatu bidang ilmu yang tinggi seperti ilmu agama dan lain-lain, para penyantau suka mencuba atau hendak menguji sejauh mana kehandalan atau kebolehan mangsa-mangsa. Bagi orang yang mempunyai ilmu kebal (yang dikatakan gagah perkasa)  seperti pahlawan dan sukar untuk ditandingi oleh orang biasa, lazimnya tubuh badan mereka atau kekebalan mereka akan kalah dengan santau. Wallahu alam.

 
Antara pelbagai jenis santau yang dikenakan kepada mangsa
 
JENIS-JENIS SANTAU

Ada beberapa jenis santau mengikut kategori pembuatannya. Antaranya seperti santau angin, santau tuju,  santau makan & minum dan santau langkah.

Santau Angin
Santau jenis ini agak berbahaya dan tidak mengenal mangsa. Cara santau ini disebarkan ialah melalui angin. Pembawa santau ini akan membawa santau mereka berjalan di khalayak ramai, santau ini akan mengikut arus angin dari pembawa (arus angin dari belakang ke hadapan pembawa) dan mengenakan mangsa yang berdiri berhadapan (face to face) dengan pembawa. Sekiranya mangsa membelakangi pembawa santau, insyAllah tidak akan terkena santau tersebut. Untuk santau angin biasanya, amat bahaya jika ramai orang yang berhadapan (face directly ) dengan pembawa santau ini kebanyakannya semua akan terkena termasuklah haiwan. Nauzubillah. Hanya insan yang beramal soleh dan mengamalkan doa pelindung diri, yang mana Allah hendak melindunginya,lnsyAllah akan dilindungi oleh Allah Ta'ala.

Bagaimana santau ini dibawa? Pembawa santau ini akan membawa santau ini melalui celah kuku tangan mereka. Di kediaman, pembuat santau akan memasukkan dahulu jejari tangan mereka ke dalam bekas simpan santau untuk memasukkan santau ke dalam celah-celah kuku mereka sebelum mereka membuangnya di khalayak ramai. Kapasiti bagi jentikan 1 Jari : 20 mangsa, kalau 10 jari sudah ada 200 mangsa. Nauzubillah.

Dengan melalui arus angin dan memasukkan santau ke dalam jejari tangan, biasanya pembawa santau ini akan menyebarkan atau membuang santau mereka ini dengan kaedah menjentik-jentik jejari mereka di kawasan umum atau bila mereka ketawa, mereka akan membuka seluas-luasnya mulut mereka sampai boleh terlihat lelangit dan bahagian tekak mereka, itu juga adalah salah satu cara mereka mengenakan santau. Tempat biasa untuk sebaran atau dibuang santau seperti di pasar tani, pasar malam, restoran, majlis kenduri dan sebagainya. Berhati-hatilah...

Santau Tuju
Santau jenis ini biasanya sasaran telah dikenalpasti untuk ditujukan kepada seseorang. Biasanya jika terkena pada orang yang dituju memang akan terkena (dengan izin Allah). InsyaAllah jika dapat dielak, santau ini  akan terkena pada orang yang rapat dengan mangsa. Wallahu'alam. 

Penyantau tujukan santau tersebut dengan mengambil pakaian mangsa iaitu dengan mengetahui tarikh lahir mangsa. Contohnya, dari situ penyantau akan membuat kira-kira di mana mereka akan mencari kelemahan mangsa dalam 1 minggu ada 7 hari, jadi dalam 7 hari salah satu hari akan ada kelemahan berdasarkan dari tarikh lahir. Bila penyantau sudah dapat mengesan kelemahan mereka, penyantau akan menggunakan hari kelemahan mangsa tersebut untuk menyerang.

Santau Makan & Minum
Santau jenis ini caranya dimasukkan ke dalam makanan dan minuman. Biasanya jika mangsa selalu mengamalkan amalan pendinding diri dengan izin Allah Ta'ala, dapat mengesan santau tersebut contohnya apabila mangsa hendak memegang cawan atau gelas yang berisi air sejuk dan sebagainya, air tersebut jadi macam menggelegak, gelas yang dipegang meletup atau pecah dan boleh dilihat dalam makanan tersebut mempunyai rambut-rambut yang halus (seperti rambut orang lelaki yang baru gunting rambut), serpihan-serpihan kaca berkilat dalam pinggan. Biasanya tempat santau ini dikenakan di dalam jamuan kenduri kendara atau kedai makan dan sebagainya.

Santau Langkah
Santau jenis ini biasa berlaku di tempat kerja (office). Biasanya orang yang mempunyai hasad dengki dan sebagainya akan menaburkan bahan-bahan santau ini di pintu sambil menyebut untuk menujukan santau tersebut kepada mangsa yang hendak dituju. Ada juga santau yang dimasukkan ke dalam perigi dan lain-lain.

JUAL BELI SANTAU

Santau ini boleh dijual beli. Contohnya pembuat santau ini akan menternak santau ini secara komersial dan akan menjual kepada sesiapa yang berminat untuk mendapatkannya atau pembeli boleh mengupah penyantau untuk menyantau mangsa. Pembeli juga boleh hanya membeli santau saja dan belajar dari penternak bagaimana nak menyantau orang, walau budak umur 12 tahun pun boleh belajar. Nauzubillah.

Santau ini ada gred tersendiri. Jika gred yang tinggi, kesan pada mangsa seperti muntah darah yang banyak dan kritikal dan berkemungkinan membawa maut, manakala bagi gred rendah tapi kesan untuk jangka panjang ialah mangsa akan mempunyai masalah kesihatan seperti sakit asma, kanser, gatal-gatal yang sukar diubati, dan sebagainya.

Apa yang lebih teruk santau ini akan  menyebabkan terjadinya SAKA. Hal ini kerana jin-jin dan syaitan-syaitan yang berada dalam santau masuk ke dalam badan mangsa akan cepat membiak. Nisbah bagi manusia melahirkan anak 1 orang : 1 bayi, tetapi jin dan syaitan: seekor jin = 9 anak jin dan syaitan. 

TUJUAN SANTAU DIBUAT

Ada beberapa tujuan santau dibuat. Ini kerana banyak orang banyak ragamnya. Apabila nafsu jahat telah menguasai diri, pertimbangan baik dan buruk ditolak ketepi. Antara tujuan santau dibuat adalah seperti berikut;

Amalan diri
Pembuat atau penyebar santau biasanya hendak mengetahui sejauh mana kehebatan ilmu santau mereka lalu membuat praktikal.

Pertahankan diri
Pada zaman zaman dahulu, kalau sesebuah negeri kalah dalam peperangan jadi cara untuk balas balik mreka akan gunakan santau. Begitu juga kalau sekarang ada segelintir dari kalangan wanita dan lelaki yang jahil  akan menggunakan santau untuk mempertahankan hak-hak kepentingan diri sendiri.

Membalas dendam
Santau digunakan untuk membalas dendam. Jika secara berdepan mungkin mereka takut atau tidak dapat menandingi kehebatan lawan, maka tindakan secara halus digunakan. Ini perbuatan pengecut namanya.

Kebanggaan supaya dihormati atau ditakuti.
Santau juga digunakan untuk tujuan kebanggan agar dihormati atau ditakuti oleh orang lain. Apabila orang lain tahu dia pandai menyantau, maka seboleh-bolehnya orang lain tidak mahu mencari pasal dengannya.

Bersambung dalam post akan datang. InsyaAllah.
Ingat...santau memang satu perbuatan keji. Tersangat keji..