Assalamu’alaikum wwt.
Bulan Rajab sudah
berlalu dan kini menyusul pula bulan Sya’ban. Selamat datang bulan
Sya’ban...dan dengan izin Allah mudah-mudahan kita akan bertemu pula dengan
bulan Ramadhan, iaitu bulan yang penuh barkah dan penuh rahmat. InsyaAllah..
Tulisan pada kali ini ialah mengenai sejenis penyakit al-ain
yang mungkin boleh terkena pada diri kita atau pada orang-orang kesayangan
kita. Hal ini bukanlah perkara mustahil kerana kewujudan penyakit ini telahpun
dijelaskan oleh baginda Rasulullah saw sendiri. Tambahan pula, untuk tekena
penyakit ‘ain ini amatlah mudah...lebih-lebih lagi pada zaman internet ini.
Kepada saudara pembaca yang tidak pernah mendengar nama penyakit ini, marilah
kita sama-sama mengambil langkah berjaga-jaga.
Pengenalan
Awas dengan pandangan mata |
Secara umumnya, ‘ain bermaksud “mata”. Hal ini
bermaksud, penyakit ain ialah kesan yang berlaku ke atas seseorang individu
akibat terkena panahan pandangan mata. Bukan sebarang pandangan mata yang boleh
menyebabkan penyakit tetapi pandangan mata seseorang yang memandang dengan
sifat kagum dan disertai dengan sifat dengki atau hasad dalam diri individu
itu.
Dari itu, pandangan seseorang terhadap sesuatu yang
dianggap menakjubkan atau menimbulkan perasaan kagum yang disertai dengan
perasaan hasad dengki boleh menyebabkan berlakunya penyakit ‘ain. Ini berlaku
apabila individu itu mensasarkan pandangannya kepada seseorang yang dikagumi
tersebut dengan niat agar individu tersebut menderita dan sebagainya. Ada juga
pendapat yang mengatakan bahawa penyakit ‘ain boleh berlaku daripada pandangan yang
penuh dengan kekaguman tetapi tidak disertai dengan perasaan hasad dan dengki,
bahkan kemungkinan juga boleh berlaku terhadap orang-orang yang soleh.
Dalil Kewujudan
Penyakit ‘Ain
Kewujudan penyakit ain sememangnya ada dinyatakan
dalam al-Quran dan hadis-hadis Nabi Muhammad saw. Semua ini membuktikan bahawa penyakit ain ini
perlu diambil perhatian yang serius oleh semua orang agar lebih berhati-hati
dalam menempuh kehidupan.
Hadis al-‘Ain,
Sabda Rasulullah SAW:
Al-‘Ain adalah benar.[1]
Benarkah ia boleh
menyebabkan sihir dan penyakit hanya apabila dua orang saling memandang ?
Al-‘Ain adalah tilik mata yang dengannya seseorang itu
boleh menyebabkan orang lain yang dipandang matanya menjadi sakit, lemah atau
disihir.
Al-‘Ain berlaku kerana kejahatan
segelintir manusia yang memiliki tenaga telepati yang tinggi dan juga kerana
kejahatan jin dan syaitan. [2]
Sabda Rasulullah SAW:
Al-‘Ain adalah benar, syaitan dan
manusia yang dengki mengganggu kamu dengannya. [3]
Syaitan mengganggu manusia melalui beberapa cara dan
salah satu daripadanya adalah seperti hadis di atas, iaitu melalui pandangan
mata.
Dalam kes ini mungkin sahaja syaitan menjelma menjadi
sesuatu makhluk dan dengan pandangannya dia berjaya menilik mata seseorang dan
memberi gangguan kepadanya, sama ada gangguan jasmani atau rohani.
Gangguan manusia juga tidak dapat kita nafikan. Ia
lahir dari sifat dengki dan cemburu seseorang kepada seseorang yang lain.
Disebabkan tahap kedengkian dan kecemburuannya yang amat tinggi, mungkin sahaja
ia dapat disalurkan melalui matanya hingga memberi pengaruh buruk kepada mata
orang lain yang dipandangnya.
Kerana itu Rasulullah SAW pernah mengingatkan kita:
Apabila seseorang kamu melihat terhadap
dirinya atau hartanya atau tentang saudaranya apa yang mengkagumkannya, maka
doakanlah baginya keberkatan, kerana sesungguhnya Al-‘Ain adalah sesuatu yang
benar.[4]
Makhluk jin juga boleh mengganggu manusia melalui
al-‘Ain. Ummu Salamah radiallahu ‘anha menerangkan bahawa di satu ketika pernah
seorang budak kerja wanita di rumahnya yang warna mukanya berbeza daripada
kebiasaan. Melihat itu baginda bersabda:
“Jampikanlah untuk dia sebab dia terkena
al-Nazrah”.[5]
Al-Nazrah maksudnya adalah sesuatu yang
berasal daripada jin. Justeru maksudnya ia terkena Al-‘Ain lantaran pandangan
jin yang menusuk dari mata lembing.[6]
Dalam hadis di atas Rasulullah SAW menyuruh pesakit
Al-‘Ain diubati dengan jampi-jampian. Jampi yang dimaksudkan ialah membaca dua
surah terakhir dalam al-Qur’an. Abu Sa‘id al-Khudri RA menerangkan:
Adalah Rasulullah SAW berta‘awuz (berdoa
meminta perlindungan Allah) daripada ‘ain Jin, kemudian ‘ain manusia. Setelah
turunnya surah al-Mu‘awwizatani, baginda mengambil (mengamalkan) keduanya dan
meninggalkan yang selain dari itu.
[7]
Kesimpulan:
Demikian penjelasan tentang al-‘Ain. Tentang benar
atau tidak al-‘Ain, memang sukar untuk diukur dengan daya nalar kerana ia
adalah sesuatu yang berada di luar jangkauannya. Kerana itu Rasulullah SAW
bersabda: Al-‘Ain adalah benar – bertujuan untuk menyedarkan umatnya tentang
kebenaran perkara ini dan bahayanya yang tinggi.
Melihat kepada senario semasa kehidupan masa kini,
saya percaya penularan penyakit ‘ain amat mudah berlaku. Cuba kita perhatikan, ibu bapa moden kini amat
mudah memuat naik gambar anak-anak mereka yang masih kecil untuk tatapan umum. Maka
akan banyaklah mata yang memandang dan tidak terkecuali ada mata yang memandang
dengan penuh kekaguman dan bercampur dengan rasa iri hati.
Oleh itu hendaklah setiap orang berwaspada tentangnya
kerana ia termasuk dalam bab perkara ghaib sepertimana gangguan syaitan, jin
dan sihir yang semuanya sukar dikesan oleh mata kasar. Jika kita memandang
sesuatu (terutama kepada anak kecil) dahulukan dengan memuji Allah dahulu
kemudian barulah memuji seseorang. Jika memandang dengan penuh kekaguman
iringilah dengan doa “Ya Allah,
berkatilah dia”
Hendaklah selalu
membaca dua surah terakhir al-Qur’an (Al-Falaq Dan An-Nas) , iaitu surah yang
dikenali sebagai al-Mu‘awwizatan sebagai pelindung daripada al-‘Ain.
Nota Kaki :
[1] Sahih: Sebahagian hadis daripada Abu Hurairah
radiallahu ‘anhu, dikeluarkan oleh Ahmad, al-Bukhari, Muslim dan lain-lain,
lihat Sahih al-Bukhari – no: 5740 (Kitab Tibb, Bab Al-‘Ain adalah benar).
[2] Lihat penjelasan Ibn al-Qayyim dalam Zaad
al-Ma‘ad, jld 6, ms 244-247.
[3] Sahih: Hadis daripada Abu Hurairah radiallahu
‘anhu, dikeluarkan oleh Ahmad dan dinilai sahih oleh Hamzah Ahmad Zain dalam
Musnad Ahmad – no: 9631 (Musnad Abu Hurairah, hadathana Ibn
Numair...............).
[4] Hasan: Hadis daripada ‘Amr bin Rabi‘ah radiallahu
‘anhu, dikeluarkan oleh Abu Ya’la, al-Hakim dan al-Thabarani, isnadnya dinilai
baik (jayyid) oleh Husain Salim Asad dalam Musnad Abu Ya’la – no: 7195 (Musnad
hadis ‘Amr bin Rabi‘ah, hadathana Abu Bakar bin Abi Syaibah.............).
al-Suyuti menukilnya dalam al-Jamii’ al-Sagheir – no: 622 dan beliau
mensahihkannya dan ini dipersetujui oleh Nasr al-Din al-Albani dalam Sahih
al-Jamii’ al-Sagheir – no: 556.
[5] Sahih: Sebahagian hadis yang dikeluarkan oleh
Ahmad, al-Bukhari, Muslim dan lain-lain, di atas dengan lafaz al-Bukhari, lihat
Sahih al-Bukhari – no: 5739 (Kitab Tibb, Bab Ruqyah al-‘Ain).
[6] Al-Baghawi – Syarah al-Sunnah (tahqiq &
takhrij Syu‘aib al-Arna’uth, Maktabah Islami, Beirut 1983), jld 12, ms 163.
[7] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Tirmizi, al-Nasa’i (Sunan
& Kabir), Ibn Majah, al-Baihaqi (al-Kubra & al-Iman) dan lain-lain,
dinilai sahih oleh Nasr al-Din al-Albani dalam Sahih Sunan al-Nasa’i (Maktabah
al-Ma‘arif, Riyadh 1998) – no: 5509 (Kitab Memohon perlindungan, Bab
Perlindungan dari ‘ain jin).
Kredit kepada
: http://www.hafizfirdaus.com/ebook/HadisMusykil/tajuk25.htm