Assalamu’alaikum wwt.
Bertemu kembali pembaca yang budiman...
Banyak rahsianya mengapa penyakit yang dideritai
lambat sembuh atau tidak sembuh. Kadang kala penyakit tersebut merupakan satu peringatan buat kita agar kembali tunduk kepada
Allah. Ataupun penyakit tersebut merupakan satu kifarah
(penebus) terhadap dosa-dosa kita yang lalu.. bukankah Allah itu Maha
Pengasih dan Maha Penyayang terhadap hamba-hambanya..
Gambar Hiasan : Perawat sedang merawat pesakit |
Ada pesakit mengharapkan sekali berubat terus
mengharapkan kesembuhan. Apabila mendatangi perawat Islam untuk mendapatkan
penawar kesembuhan terutamanya yang
melibatkan penyakit gangguan jin (saka atau sihir),
mereka meletakkan harapan yang tinggi kononnya perawat tersebut akan dapat
mengeluarkan jin yang mengganggunya. Hakikatnya, bukanlah semudah itu anggapan
mereka. Perawat bukanlah orang “sakti” yang dapat menyembuhkan penyakit kerana
perawat juga berdoa kepada Allah agar dipermudahkan usaha penyembuhan. Dalam
hal ini, perawat cuma membantu sekadar yang diizinkan oleh Allah sahaja..
selebihnya, pesakit sendiri harus merawat dirinya sendiri.
Usaha mengeluarkan jin (saka atau sihir) dari badan
pesakit memerlukan masa terutamanya jika jin
tersebut menetap terlalu lama dalam badan. Bukankah jin atau syaitan itu dapat
berjalan dalam badan manusia melalui salur darah? Keadaan akan menjadi lebih
sukar jika jin tersebut sudah membiak dan beranak pinak
dalam badan kita. Tentunya proses mengeluarkan jin tersebut mengambil
masa.
Ini belum lagi kes yang melibatkan jin sihir. Jin sihir yang dihantar oleh penyihir akan
tetap patuh menjalankan tugasnya. Walaupan jin sihir itu diazab dengan
ayat-ayat suci al-Quran namun jin itu tetap berkeras tidak mahu keluar, malah
ada yang sanggup mati demi melaksanakan misinya.
Ada kes, jin sihir ini dalam “dilema” kerana jika dia keluar maka keluarganya
menjadi taruhan akan dibunuh. Perawat juga terpaksa mencari
barang sihir yang menjadi punca penyakit tersebut. Kadang-kala barang
sihir itu ada dalam pesakit sendiri dan kadang-kala barang sihir itu berada di
luar badan pesakit seperti di tanam di halaman rumah, di tempat kerja dan
sebagainya. Kadang kala, perawat terpaksa bertempur dengan penyihir secara
batin.
Dalam kes jin saka, proses mengeluarkannya akan mudah
jika kena dengan caranya. Jin saka ialah
jin yang terikat dengan perjanjian datuk atau
nenek yang terdahulu yang akan terus mencari waris keturunan untuk berkhidmat. Hal
ini tidaklah menghairankan kerana usia jin sangat panjang berbanding dengan
manusia. Perawat perlu mengeluarkan jin saka ini dan pesakit perlu melafazkan ikrar pemutus saka dan mengamalkan amalan khusus untuk
membenteng diri. Ada kalanya satu keluarga perlu dirawat kerana simpton
gangguan jin saka ini yang hampir sama. Bukankah usaha merawatnya memakan masa?
Tidak dapat dinafikan, tugas perawat sangat berisiko untuk menjadi mangsa serangan balas jin (saka
atau sihir). Jika perawat takut berhadapan dengan ujian dan risiko, maka siapa
lagi yang akan diharapkan? Dalam hal ini perawat perlulah ada ilmu dan
meletakkan pergantuangan kepada Allah semata-mata. Sesungguhnya tipu daya jin dan syaitan sangatlah lemah. Sifat ikhlas,
yakin dan redha kepada Allah amat ditekankan untuk menjadi perawat sejati.
Kepada pesakit yang menjadi mangsa jin (saka atau
sihir), janganlah cepat berputus asa dalam
berubat. Janganlah sekali berubat terus mengharapkan kesembuhan.. hal ini
rasanya tidak logik kerana jika kita mendapatkan rawatan di hospital sekalipun,
maka akan ada proses temu janji atau ulangan susulan. Begitu juga dengan
rawatan berkaitan gangguan jin (saka atau sihir) perlu kepada rawatan susulan
atau ulangan. Janganlah cepat berputus asa.
Usaha perawat katakanlah sekadar 40% sahaja, manakala
selebihnya 60% adalah atas daya usaha dan ikhtiar berterusan daripada pesakit
sendiri. Ada saya berjumpa kes, pesakit malas untuk beramal dengan amalan yang
diberikan dan mengharapkan perawat sahaja berdoa untuk dirinya...bolehkah
begitu? Tentu bunyinya agak mustahil.
Kata orang tua-tua “ Penyakit
datang macam ribut dan hendak baik / pulih macam semut”
Sekian, perkongsian pada kali ini. Jumpa lagi.
No comments:
Post a Comment