Wednesday, 26 February 2014

DAKWAH KEPADA JIN


Assalamu’alaikum wwt.

Salam sejahtera buat pembaca yang saya sayangi.

Sudah agak lama saya tidak  menulis dalam ruangan blog ini lantaran kekangan masa dan kesibukan kerja. Mudah-mudahan kita semua dirahmati Allah Taala.

Saudara pembaca,

Tugas mu’alij bukan sekadar merawat pesakit sahaja tetapi kadang-kala menjangkau lebih daripada itu terutamanya dalam bidang dakwah. Pada pendapat saya, kerja-kerja dakwah ini bukan sahaja terpikul di bahu orang-orang agama yang bergelar ustaz atau imam, malah sesiapa sahaja boleh menjalankan kerja-kerja dakwah ini. Walaupun dengan menyampaikan satu nasihat yang baik berupa sepotong ayat adalah  lebih berharga daripada tidak berbuat apa-apa. Bukankah makhluk manusia dan jin dijadikan untuk beribadat kepada Allah? Justeru usaha dakwah ini boleh  menjangkau ke alam jin. Bagaimana berdakwah kepada jin?

Jin

Bangsa jin adalah merupakan sejenis makhluk ciptaan Allah yang halus iaitu tidak nampak oleh mata kasar manusia. Jin dicipta daripada api dan terbahagi kepada beberapa golongan. Kehidupan jin kebanyakkannya hampir sama dengan manusia.  Mereka juga menganut agama menurut kepercayaan masing-masing iaitu ada yang beragama Islam dan bukan beragama Islam malah ada juga yang tidak menganut apa-apa agama. Jin-jin yang merasuk dan mengganggu manusia umumnya bukan beragam Islam kerana jin Islam jarang sekali mengganggu manusia Islam. Senang cerita, manusia yang diganggu oleh jin ini terdiri daripada jin-jin kafir atau jin-jin jahat.

Manusia yang diganggu oleh jin umumnya terdiri daripada dua pihak iaitu pertama terdiri daripada jin saka dan yang kedua terdiri daripada bukan jin saka (jin sihir, jin asyik dan sebagainya). Jin-jin yang berada dalam tubuh manusia (pesakit) akan bereaksi jika dibacakan ayat-ayat ruqyah iaitu dibacakan dengan ayat-ayat suci al-quran. Reaksi jin ini agak berbeza dan tidak sama dengan semua pesakit. Ada jin-jin yang cepat bereaksi seperti berteriak kesakitan dan berasa sakit di beberapa tempat tertentu di badan seperti di kepala dan di kaki. Malah ada juga pesakit yang bereaksi dengan muntah yang banyak. Ada juga jin yang ‘buat bodoh je’...

Berbalik kepada cerita berdakwah kepada jin...

Jika sedang meruqyah pesakit dan ada reaksi daripada jin di dalam badan pesakit, maka mu’alij boleh menggunakan kesempatan ini untuk berdakwah kepada golongan jin. Janganlah mu’alij sepanjang masa menggunakan kekerasan untuk membelasah jin sehingga hilang pertimbangan yang wajar. Bahkan ada mu’alij yang terus membunuhnya. Bukan saya katakan tidak boleh membunuh jin tetapi itu adalah usaha terakhir jika mereka terus berdegil dan mungkir janji. Jika kita memerintahkan jin itu keluar dari badan pesakit dan jin bersetuju apalah  salahnya kita berdiplomasi dan menerangkan akan keindahan Islam kepada mereka.

Saya ada satu pengalaman berdakwah kepada jin dan mengajak mereka memeluk agama Islam. Ada seorang pemuda dari Jerantut, Pahang telah  datang ke rumah saya untuk mendapatkan rawatan. Pemuda ini telah lama diganggu oleh jin sehingga menjejaskan aktiviti kehidupan sehariannya. Kali pertama mendapatkan rawatan, banyak muntah yang keluar dan terasa sakit di kebanyakan bahagian badannya seperti di kepala dan di perut. Saya memerintahkan jin sihir yang mengganggu pesakit supaya keluar dan mengambil barang sihir dalam tubuh pemuda tersebut. Perintah saya diikuti, tetapi jumlah jin yang banyak melambatkan usaha saya. Saya terpaksa memberhentikan rawatan kerana melihatkan pemuda tersebut terlalu penat. Saya memberikan air penawar dan amalan untuk diamal secara berterusan.

Selang seminggu,pemuda tersebut kemudiannya menelefon saya untuk mendapatkan rawatan kali kedua. Kali ini ditemani oleh ibunya. Rawatan pada kali kedua ini tidak memerlukan bacaan ruqyah yang panjang kerana pesakit (jin sihir) cepat bereaksi.  Kesempatan ini saya gunakan sepenuhnya untuk berdakwah kepada sejumlah besar jin yang menetap di bahagian kepala, perut dan di kaki. Saya mengingatkan jin-jin tersebut agar mengeluarkan barang-barang sihir jika tidak mahu disakiti dengan bacaan ruqyah. Pesakit menggerakkan tangan dan membuat aksi seolah-olah menarik objek pada bahagian tertentu di tubuhnya. Saya juga memerintakan agar jin-jin tersebut keluar dan menawarkan memeluk agama Islam. Alhamdulillah, dipendekkan cerita, maka satu persatu jin-jin tersebut saya bimbing untuk mengucapkan Dua Kalimah Syahadah. Saya juga memohon kepada Allah agar menghantar jin-jin tersebut ke Serambi Madinah agar di sana, jin-jin tersebut dapat mendalami ajaran Islam yang suci. Saya juga menasihati dan memperingatkan jin-jin tersebut agar tidak masuk lagi ke dalam badan pesakit dan mana-mana manusia kerana perbuatan tersebut bertentangan dengan ajaran Islam.

Kesimpulan :

Marilah kita bersama-sama menyemai sikap bertoleransi sesama makhluk Allah terutama melibatkan bangsa jin. Jika ada peluang berdakwah, maka lakukan dengan sebaik mungkin. Manakala jika mereka engkar dan bersikap zalim lagi sombong, maka mohonlah kepada Allah  jalan penyelesaian terbaik termasuklah jika perlu membunuh mereka. Itupun sebagai ikhtiar terakhir... Kita mesti ingat, bahawa jin juga ada kehidupan tersendiri dan tidak mustahil kaum kerabatnya akan menuntut bela jika kita bertindak secara keterlaluan.




Sekian, jumpa lagi..

No comments: