Monday, 14 September 2015

SIHIR KEDAI MAKAN

Assalamu’alaikum wwt.

Menceburi bidang perniagaan memang mengundang risiko tersendiri. Hal ini kerana bidang perniagaan ada pasang dan ada surutnya. Ada masanya perniagaan yang diusahakan itu berjalan lancar tanpa apa-apa risiko kerugian dan keuntungan yang diperoleh sangat memberangsangkan. Namun begitu, banyak juga perniagaan yang diusahakan itu gagal di separuh jalan dan akhirnya mengalami kerugian. Fenomena ini tidak terkecuali berlaku apabila individu itu mengusahkan kedai makan. Jika kita perhatikan ada banyak kedai makan yang diusahakan bak cendawan tumbuh selepas hujan. Kadang-kadang kita tidak tahu yang mana satu kedai makan dapat memenuhi selera kita. Bagi pengusaha kedai makan, pemilihan tempat yang strategik memang memainkan peranan apatah lagi layanan yang mesra dan yang paling penting menunya sedap serta harga yang berpatutan. Namun begitu, jika semua pakej itu ada dimiliki oleh pengusaha kedai makan tetapi tidak ramai orang berkunjung untuk menjamu selera, memang merisaukan. Apa sebabnya dan dimana silapnya?

Juadah yang disediakan di kedai makan

Salah satu faktor penyebab yang menyebabkan kedai makan yang diusahakan tidak dapat menarik ramai pelangaan adalah disebabkan penggunaan ilmu hitam atau sihir yang dihantar oleh pesaing yang dengki. Orang yang dengki sanggup menggunakan apa sahaja cara walaupun dengan cara yang halus dan kotor. Sepatutnya, gunakan cara yang elok dan tolong menolong dalam mencari rezeki. Janganlah menggunakan sihir yang menjadikan jin sebagai perantara untuk menjatuhkan pesaing dalam perniagaan kedai makan. Nampak sangat lemahnya iman kita. Tidak adakah perasaan kasihankah di hati orang yang mengenakan sihir ini? Sanggup mereka melihat orang yang mereka sasarkan itu jatuh dan menutup kedai. Perkara inilah yang saya cuba kongsikan dalam catatan kali ini. 


Tanda-tanda  Kedai Makan disihir

Bagaimana kita hendak mengetahui bahawa kedai makan kita dikenakan sihir? Sebenarnya ada beberapa tanda yang boleh dikenal pasti sesuatu premis perniagaan dikenakan ilmu sihir. Berikut adalah beberapa tanda yang ketara. Antaranya;

Nampak kedai tutup
Pelanggan mengadu tidak nampak kedai makannya dibuka. Apabila diajukan kepada tuan punya kedai  mengapa kedainya ditutup, tuan punya kedai kehairanan kerana kedainya pada waktu yang dinyatakan itu sentiasa dibuka. Ada kalanya pelanggan nampak kedai tetapi kerusi diletakkan di atas meja. Malah ada juga yang nampak tiada kerusi dan meja di dalam kedai makan tersebut.

Pelanggan tiada keinginan untuk masuk ke dalam  kedai
Pelanggan seolah-olah tiada keinginan untuk masuk ke dalam kedai. Walaupun ada pelanggan yang berhenti di depan kedai tetapi berpatah semula ke arah lain. Ada juga pelanggan yang sudah turun daripada kenderaan tetapi masuk semula ke dalam kenderaan dan berlalu pergi. Sayu hati tuan kedai makan melihat situasi ini.

Sering sakit
Pengusaha kedai makan sering sakit dan menyampah untuk datang ke kedai. Badan terasa panas dan rimas apabila berada di dalam kedai sebaliknya rasa selesa apabila keluar dari kedai. Ada juga badan terasa gata-gatal hingga menyukarkan pekerjaan.

Sering bergaduh
Pengusaha kedai makan dalam keadaan mood tertekan dan sering marah-marah atas sebab-sebab yang kecil. Selain itu pekerja juga selalu bergaduh sesama mereka. Akibatnya ada pekerja yang berhenti dan mencari kerja di kedai lain.

Juada cepat basi
Ada juga kes yang pelik iaitu makanan yang disediakan seperti nasi yang di masak cepat basi. Walhal, makanan tersebut baru beberapa jam dimasak dan terpaksa dibuang. Ini akan merugikan tuan punya kedai makan.

Nampak kelibat menakutkan
Kemuncak gangguan ini ialah pengusaha kedai makan atau pekerjanya sering terlihat kelibat makhluk yang menakutkan. Akibatnya ada pekerja yang takut untuk berada lama di dalam kedai.

Demikianlah antara beberapa tanda yang ketara yang dialami oleh pengusaha kedai makan yang dikhianati oleh orang yang berhati busuk. Sihir perniagaan biasanya digunakan pada dua perkara atau salah satu daripadanya iaitu pada tempat perniagaan atau pada pemilik perniagaan. jadi, sentiasalah berhati-hati jika anda seorang peniaga. Diri sendiri mesti kuat dan sentiasalah memerhati tempat perniagaan anda.

Kaedah Pencegahan

Secara umumnya, kaedah pencegahan yang paling utama datangnya dari diri tuan punya kedai makan sendiri. Dengan izin Allah, jika tuan punya kedai makan istiqamah beramal dengan amalan yang soleh, maka kebarangkalian serangan sihir akan dapat dihalang. Namun jika berlaku juga, terpaksalah mencari orang yang ahli dalam memagar dan memulihkan semula bahana sihir tersebut. Orang yang ahli di sini merujuk kepada pengamal pengubatan Islam yang bersandar kepada kekuasaan Allah.

Mencegah dengan Solat dan Sabar
Cegah dan ubatilah dengan solat lima waktu. Bagi peniaga, walau bagaimana sibuk sekalipun, solat jangan diabaikan. Barangsiapa yang mengabaikan solatnya, bagaimana keberkatan dapat diraih? Jangan kita hanya solat ikut waktu. Waktu senang, kita tinggalkan atau abaikan, waktu susah, baru kita mencari tikar sejadah yang telah lama ditinggalkan. Walaupun anda peniaga, tetapi jangan jadikan SOLAT sebagai bahan niaga antara anda dan Tuhan. Anda pasti menyesal jika melakukannya.
Firman Allah SWT. "Dan mintalah oleh kamu akan  pertolongan (kepada Allah) melalui jalan solat dan sabar. Sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar."

Rajinlah Bersedekah
Orang yang rajin bersedekah dengan keuntungan yang didapatinya, insyaallah akan dijauhkan dari segala perkara buruk yang tidak diingininya. Nabi menjanjikan bahawa tiada bala yang dapat turun kepada orang yang rajin bersedekah kerana Allah. Memberilah kepada anak yatim dan orang-orang susah, nescaya Allah lepaskan anda dari kesusahan di dunia ini lagi.
Sabda Nabi SAW,"Barangsiapa yang membantu saudaranya keluar dari kesusahan dan keluh-kesah, nescaya Allah akan mengeluarkannya dari kesusahan dan keluh-kesahnya di Hari Akhirat".

Ikhtiar Rawatan

Kepada peniaga kedai makan, seandainya kedai anda terkena juga sihir, maka cepat-cepatlah berikhtiar merawatnya. Janganlah cepat berputus asa dan mengalah kerana jika anda cepat berputus asa dan mengalah maka tercapailah misi orang yang menyihir anda. Jika sekiranya anda pandai, maka buatlah sendiri kaedah menawar gangguan sihir ini. Pergilah berguru dengan guru yang arif dan dapatkan petua atau kaedah memagar kedai anda. Cara ini lebih mudah dan praktikal kerana biasanya serangan sihir kedai makan ini akan sentiasa berulang atau ditambah.

Ada satu pasangan pengusaha kedai makan yang meminta saya membantunya merawat kedainya yang kononnya dikatakan disihir. Sebahagian besar tanda-tanda sihir perniagaan dialami olehnya. Kasihan saya mendengar luahan hatinya kerana modalnya telah banyak dihabiskan untuk memajukan kedai makannya itu. Selepas maghrib, saya dibawa ke kedainya untuk ikhtiar perawatan. Saya perhatikan lokasi kedainya sangat strategik dan mudah dilihat oleh orang ramai tetapi mengapa terjadi hal sedemikian. Saya tidaklah percaya sepenuhnya dakwaan kedainya disihir. Mungkin ada sebab lain yang menjadi punca kedainya jarang dikunjungi.

Saya mulakan rawatan dengan solat hajat dua rakaat memohon kepada Allah agar memperkenankan hajat yang dipinta. Saya tergerak untuk membaca Hizib Bahar bagi tujuan tersebut. Amalan ini saya terima daripada guru saya iaitu Ustaz Mohamad Rajab suatu ketika dahulu. Tidak lupa juga medium yang biasa digunakan untuk perawatan iaitu air, garam kasar dan lada hitam. Ada hikmah disebalik penggunaan bahan-bahan tersebut. Mengakhiri rawatan, saya rejam garam bercampur lada hitam di luar kedai dan lada hitam di dalam kedai. Kaedah  rejaman ini elok dibuat selama tiga hari berturut-turut.

Keberhasilan ikhtiar rawatan ini saya serahkan kepada Allah Taala. Kita hanya berusaha, Allah jua yang menentukan. Segala itu terjadi dengan izin Allah.


Sekian. Jumpa lagi

Friday, 11 September 2015

TIDAK TIDUR SEKIAN LAMA

Assalamu’alaikum wwt.

Tidur merupakan fitrah semulajadi bagi setiap manusia. Bukan manusia sahaja yang memerlukan tidur, tetapi sebahagian besar makhluk yang bernyawa di atas muka bumi ini juga akan tidur untuk berehat dan mengembalikan tenaga. Manusia yang tidak boleh tidur untuk jangka masa yang lama memang menyimpang daripada fitrah asal apatah lagi tidak boleh tidur lena bertahun-tahun lamanya. Tidak dapat kita bayangkan bagaimana manusia ini menjalani kehidupan seharian. Bagi manusia yang normal, tidak dapat tidur sehari pun sudah cukup membuatkan diri merana. Tulisan pada kali ini berkisar tentang  seorang wanita yang tidak dapat tidur selama 11 tahun lamanya. Masya-Allah..

Kasihan

Saya ada menerima mesej dan panggilan daripada seorang wanita pertengahan umur yang ingin mendapatkan rawatan bagi penyakit yang dialami selama ini. Setelah menetapkan tarikh, beliau datang ke rumah saya bersama seorang cucu lelakinya. Cucu lelakinya itu memang diharapkan untuk menolongnya dalam pelbagai perkara. Saya lihat dari segi fizikal, memang tidak ada apa-apa tanda beliau mengidap penyakit. Wajahnya bersih dan tenang tetapi tersembunyi duka kerana tidak dapat tidur sejak 11 tahun lamanya.

Beliau bercerita bahawa sudah jemu dengan fenomena seperti ini. Yalah, siapa yang tidak jemu apabila terpaksa menghabiskan waktu malamnya dengan berjaga sedangkan orang lain tidur dengan lena.  Sunyi memanglah sunyi tetapi hendak buat macam mana. Wanita ini yang membahasakan dirinya Mak Teh terpaksa memakan ubat tidur untuk membantunya tidur. Jikalau tidak makan ubat ini, nescaya kelopak matanya sukat untuk tidur. Selain daripada mendapatkan rawatan di hospital, katanya Mak Teh pernah mendapatkan rawatan secara Islam, namun masih belum berhasil untuk beliau tidur lena.

Gambar hiasan : Tidur yang lena 

Cuba kita yang berada di tempat beliau, bagaimana? Apa aktiviti yang kita dapat lakukan pada waktu malam sementara menanti fajar menyingsing. Kasihan. Itulah perkataan yang paling tepat untuk beliau. Mungkin ada yang berkata, baguslah tak dapat tidur malam, bolehlah masa tersebut diisi dengan amal ibadah. Boleh bersembahyang sunat, membaca al-Quran, berzikir dan sebagainya.

Rawatan

Saya pun agak buntu juga untuk membantu menyelesaikan masalah wanita ini. Namun saya tidak berputus asa dan mencuba berikhtiar merawatnya dengan ilmu yang terbatas ini. Saya teringat akan satu doa yang pernah saya pelajari suatu ketika dahulu di Darussyifa di bawah bimbingan Ustaz Haron Din. Doa tersebut khusus bagi merawat orang yang sukar tidur malam. Saya mulai dengan bacaan ruqyah asas yang terdiri daripda Ummul Kitab Al Fatihah dan diikuti dengan Ayatul Qursi, Al-Ikhlas, Al-Falak dan An-nas. Saya sambung pula dengan kombinasi Ayat Pemecah iaitu akhir surah Al-Hasy (ayat 23 – 24) dan akhir Surah Al Mukminun (ayat 115-118). Saya lanjutkan lagi dengan doa khusus untuk memudahkan tidur. Saya tiupkan pada air untuk minum dan mandian bagi pesakit.

Selang beberapa hari Mak Teh datang semula untuk mendapatkan rawatan ulangan. Saya berdoa agar beliau segera sembuh. Insya Allah...

Sekian coretan pada kali ini..


Tuesday, 8 September 2015

SEDIH TIDAK TERTAHAN

Asalamu’alaikum wwt

Memang sudah menjadi lumrah kehidupan bahawa akan ada suatu ketika perasaan sedih menerpa di dalam hati, lebih-lebih lagi melibatkan sebuah perpisahan buat selama-lamanya. Air mata mengalir bercucuran dikelopak mata dan gelora jiwa meruntun sayu. Perasaan sedih tidak dapat ditahan-tahan. Fenomena sedih yang sedemikian ini boleh berlaku antara pesakit dengan jin-jin saka yang diwarisi apabila ikatan ini diputuskan.

Ikrar Pemutus

Apabila Ikrar Pemutus dilafazkan dengan suara yang jelas dan keinginan yang padu untuk memutuskan pertalian dengan jin-jin saka yang diwarisi daripada keturunan sebelah ibu atau bapa maka biasanya perjanjian yang termeterai sekian lama ini akan berakhir. Perhubungan antara jin saka dan manusia yang sungguh erat bagai isi dengan kuku ini perlu dipisahkan dalam kehidupan manusia. Buat apa bersekongkol dengan jin saka dalam urusan seharian kita kerana lebih banyak keburukan daripada kebaikan. Lagipun, jin-jin saka ini ada kehidupannya yang tersendiri. Biarlah mereka bebas menjalani kehidupan mereka tanpa terikat dengan suatu perjanjian dengan nenek moyang kita yang terdahulu. Biasanya ikatan ini berlangsung dalam masa yang cukup lama bahkan dikatakan sehingga tujuh keturunan. Kasihan makhluk jin saka ini. Mungkin mereka menunggu masa untuk bebas daripada perjanjian mistik ini. Sebagai contoh, jika orang itu boleh mengubat dengan tanpa belajar, maka kemahiran tersebut mungkin dengan bantuan jin saka mengubat. Begitu juga, jika orang itu boleh bersilat tanpa belajar, maka berkemungkinan dengan bantuan jin saka pahlawan. Wallahu’aklam..

Walaupun begitu, harus diingat bahawa misi jin bertaraf syaitan adalah untuk menyesatkan manusia. Kebaikan yang diberikan hanya sedikit sahaja berbanding dengan keburukan yang bakal diperolehi. Kalau anda ada mempunyai simpton gangguan jin saka, maka cepat-cepatlah membuangnya atau memisahkannya.

Tidak Sedar Ada Jin Saka

Ada satu pasangan dari Daerah Pekan, Pahang datang berkunjung ke rumah saya untuk berikhtiar mengubati anak gadisnya yang sakit. Saya perhatikan anak gadisnya yang cantik itu sihat sahaja fizikalnya. Senyumnya menawan tetapi dikatakan sakit. Sebenarnya bukan sakit fizikal yang dimaksudkan tetapi sakit lain.  Anak gadisnya itu mempunyai masalah dalam percintaan. Setiap kali perhubungan cinta dengan seseorang lelaki maka perhubungan tersebut pasti berakhir dengan perpisahan. Entah dimana silapnya? Apa yang pasti jika si jejaka mengutarakan untuk melamar gadis tersebut, maka hati gadis tersebut menjadi tawar dan meminta hubungan cinta tersebut diputuskan.  Entah berapa ramai jejaka malang yang menerima nasib sedemikian. Ibu gadis tersebut bimbang akan nasib anaknya itu, seolah-olah ada satu kuasa misteri yang menghalang hubungan cinta hingga ke jinjang pelamin.

Saya mohon izin kepada Allah untuk merawat gadis tersebut kerana tanpa izin dari-Nya apalah daya saya. Saya mohon melafazkan kalam suci-Nya untuk digunakan dalam rawatan untuk memulihkan sakit misteri gadis tersebut.  Saya juga memohon berkat syafaat Baginda Rasulullah a.aw untuk memudahkan usaha perawatan tersebut. Sebenarnya inilah adab yang perlu kita amalkan dalam apa jua urusan lebih-lebih lagi dalam rawatan Islam. Sebelum ruqyah syariah dimulakan, saya meminta pesakit membaca ikrar pemutus jin saka dan jin sihir. Biarlah jin-jin yang menghuni di dalam badan pesakit tahu bahawa mereka sudah tidak diperlukan lagi. Seterusnya saya mula membacakan ruqyah syariah dengan suara yang jelas sambil tangan kanan saya menyentuh kepala si pesakit.

Mengakhiri proses rawatan, saya memerintahkan agar sekiranya penyakit itu berpunca daripada gangguan jin maka hendaklah turun dan berkumpul di kaki. Agar memudahkan pengecaman, saya bahagikan kepada dua kelompok jin. Jika sekiranya berpunca daripada gangguan jin saka, hendaklah turun dan berkumpul di kaki kanan dan sekiranya bukan gangguann jin saka, hendaklah turun dan berkumpul di kaki kiri. Ketika proses ini berjalan, bahagian kaki kanan gadis tresebut bergetar hebat. Perasaan gadis tersebut saya lihat sangat sedih dan dia sebak secara tiba-tiba. Air mata bergenang dipelupuk matanya. Saya tanya mengapa? Dia hanya menggelengkan kepala dan tidak tahu apa sebabnya.

Gambar hiasan : Sedih hingga mengalir air mata

Secara berseloroh saya mengatakan bahawa bukan dia yang sedih tetapi jin saka yang mendampingi dirinya yang sedih.  Sedih kerana terpaksa keluar dan berpisah buat selama-lamanya dengan si gadis atau waris. Biasanya saya memohon kepada Allah agar jin-jin saka ini dipindahkan ke satu penempatan yang dinamakan Darul Islah. Dimana Darul Islah? Saya pun tidak tahu dengan tepat. Saya hanya menurut saranan guru saya iaitu Ustaz Majid dari Akrine, Kuang untuk menempatkan jin-jin saka di situ.

Ibu gadis itu saya lihat tersenyum kerana selama ini dia tidak menyangka anaknya itu ada gangguan jin saka. Mengikut perkiraanya, jika sekiranya kedua-dua orang tuanya sudah meninggal dunia, maka tiadalah gangguan jin-jin saka tersebut. Nampaknya perkiraan itu tersilap. Hal ini kerana jin-jin saka akan mencari waris baru dalam kalangan keluarga tersebut. Hal yang sebenarnya hanyalah Allah jua yang mengetahui.. Allahhu Akbar.


Sekian sahaja coretan daripada saya..