Friday, 9 January 2015

MAKSIAT MATA



Menonton Blue Film (Video Lucah)

Assalamu’alaikum wwt.

Luahan Rasa

Saya terpanggil untuk membincangkan isu berkenaan dengan maksiat mata  atau zina mata khasnya yang menjurus kepada menonton Blue Film (Video Lucah) yang dilihat semakin berleluasa sejak kebelakangan ini. Perlakuan ini jika dibiarkan akan menghilangkan kemanisan dalam beribadah kepada Allah. Mana mungkin hati akan menjadi khusyu’ dalam beribadah dan mana mungkin mata akan mencucurkan air mata ketaqwaan jika saban hari mata dijamu dengan menononton video lucah.


Saya tidak menafikan bahawa tarikan menonton video lucah amat kuat melanda jiwa dan perasaan manusia. Perasaan nafsu yang berghairah melihat adengan-adengan terlarang akan mengganggu dan menggugat keimanan khasnya bagi golongan remaja. Daripada hanya menonton tidak mustahil akan menumbuhkan maksiat yang lebih berat iaitu berzina. Apabila berzina maka akan lahirlah bayi yang tidak berdosa. Lebih parah lagi jika bayi ini dibuang merata-rata atau ada yang tergamak membunuhnya lantaran ingin menutup malu. Nah...betapa banyak dosa yang timbul akibat menonton video lucah.

Untuk mencantas dan mengikis habis tabiat suka menonton video lucah ini agak mustahil kerana kecanggihan teknologi media kini. Ibarat kata, maksiat seakan-akan berada di hujung jari. Akses untuk menyimpan dan menonton video lucah kini amat mudah dan boleh berlaku pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja dengan adanya telefon pintar. Saya melihat gejala negatif ini ibarat barah yang semakin merebak dan akhirnya akan merosakkan seluruh kekuatan agama Islam ini.

Hukum dan Kesan Menonton Video Lucah

Menonton blue film (video lucah) hukumnya haram, kerana kita melihat secara jelas bentuk tubuh orang lain bahkan melihat mereka sedang melakukan jimak. Melihat aurat orang lain dapat menumpulkan fikiran dan mengeraskan hati. Jika perbuatan ini sering dilakukan maka dikhuatirkan mempercepat seseorang itu menjadi nyanyok atau pelupa. Pernah suatu ketika Imam Syafie membaca ayat Quran namun sampai pada suatu ayat ia terlupa akan sambungannya. Beliaupun memperbanyak istighfar. Melihat keadaan beliau yang demikian sahabatnya pun bertanya. Maka Imam Syafie pun menerangkan bahawa ingatan atau hafalannya terganggu lantaran ia terlihat tumit wanita yang kebetulan terkoyak sarung kakinya sebesar ibu jari. Jika melihat aurat wanita sebesar ibu jari dapat melemahkan daya ingatan dan daya hafalan, tentu akan lebih besar kesannya jika dengan sengaja melihat aurat orang lain secara telanjang bulat seperti dalam blue film.

Jika anda suami isteri terus melakukan pekerjaan yang buruk ini, maka pertama sekali nikmat yang akan hilang daripada kehidupan anda adalah hilangnya kenikmatan hubungan jimak dan kemesraan antara suami isteri. Sebab anda lebih senang bermain dengan khayalan seperti yang anda lihat dalam blue film. Untuk jangka panjang boleh menghilang ghairah seks bagi wanita dan melemahkan kemampuan syahwat bagi lelaki. Sebelum perkara buruk ini menghantui minda anda suami isteri dan menjadi penyebab malapetaka yang paling besar dalam kehidupan berumahtangga, maka hindarkanlah pekerjaan yang dilarang oleh agama ini.

Keharaman menonton video lucah ini tertakluk kepada sesiapa sahaja walaupun ditonton oleh pasangan suami-isteri kerana mempunyai sebab-sebab seperti berikut;

Pertama :
Islam mengharamkan melihat aurat orang lain, terutamanya bahagian sulit.
Nabi SAW bersabda :
Ertinya : "Janganlah seorang lelaki melihat aurat lelaki yang lain, dan janganlah wanita melihat aurat wanita yang lain"
Sudah tentu apabila melihat filem tersebut, akan dilihat aurat si pelakon tadi malah dalam keadaan yang tidak diizinkan oleh Islam pula.

Kedua :
Islam juga tidak berapa menggalakkan si suami melihat kemaluan isteri dan begitu juga sebaliknya.
Hal ini sebagaimana displin seks Islam yang dinyatakan oleh Sayyidatina Aisyah r.a berkenaan hubungannya dengan baginda SAW. ( Hadith ini adalah lemah, bagaimanapun ia dikira sebagai adab sahaja berdasarkan umum dalil-dalil lain). Jika demikian hukumnya, maka sudah tentu melihat kemaluan selain pasangan yang halal di dalam filem lucah lebih lagi ditegah oleh Islam.

Ketiga :
Terdapat cara lain untuk mempelajarinya, iaitu dengan membeli buku panduan seks dalam Islam yang melakarkan gambar-gambar lukisan sahaja.

Keempat :
Filem-filem ini sudah tentu dilakonkan oleh orang bukan Islam serta sudah tentu menjalani hubungan seksual tidak menurut displin Islam dalam hubungan seks. Termasuklah melakukan seks secara yang diharamkan oleh Islam. Justeru, meniru teknik yang diharamkan sudah  tentu diharamkan juga.

Sebagai contoh, Islam tidak menggalakkan suami isteri bersama dalam keadaan telanjang bogel sebagaimana disebutkan sebagai salah satu displin adab melalui hadith yang bermaksud: "Apa seorang kamu 'bersama' isterinya maka janganlah kamu bertelanjang bogel ( bermakna perlu berselimut)"  ( Riwayat Ibn Majah 1/619 no 1921 )
Demikian juga displin dan adab-adab lain seperti berdoa sebelum bersama, tidak mendatangi isteri dari duburnya, tiada oral seks, berwudhu jika ingin bersama kali kedua sebelum mandi dan banyak lagi adab dan hukum Islam yang tidak akan dapat dipelajari dari filem lucah itu. ( Nizom al-Usrah, Dr Md Uqlah, 2/16-17)

Kelima :
Dibimbangi si suami atau isteri akan terbayangkan pasangan pelakon di dalam filem lucah tersebut. Maka perkara ini jatuh ke dalam perkara haram yang lain pula.

Keenam :
Nabi Melarang menceritakan perihal sulit aurat orang lain, apatah lagi melihatnya di dalam video seperti ini.

Nabi SAW bersabda maksudnya: “janganlah seorang wanita melihat aurat wanita lain, lalu menceritakannya kepada suaminya sehingga seperti (suaminya) melihatnya” ( Riwayat Al-Bukhari )  

Kesimpulan:

Langkah untuk menghindari perbuatan buruk ini, buanglah vcd blue film yang anda miliki. Kekanglah nafsu anda daripada memiliki vcd blue film tersebut jika anda benar-benar ingin berubah dari melakukan pekerjaan yang sia-sia ini. Percayalah jika kita sentiasa melakukan perbuatan yang tercela ini, maka Allah akan menutup pintu hati kita dan akhirnya doa kita pun tidak akan bererti apa-apa dan tidak diperkenankan oleh Allah SWT. Malah tidak mustahil anda akan ditimpa penyakit zahir dan batin.

Sumber

No comments: