Sunday, 25 January 2015

SEDIKIT PETUA DAN AMALAN UNTUK MENGELAK GANGGUAN JIN, SYAITAN DAN SIHIR



Saudara pembaca yang dihormati,

Hidup di dunia ini sebenarnya kita berkongsi alam dengan makhluk-makhluk Allah yang tidak kelihatan dek mata kasar. Justeru, kadang kala ada antara perlakuan kita yang boleh menyebabkan kemudaratan atau kecederaan kepada makhluk-makhluk tersebut. Jika ini berlaku, tidak mustahil makhluk-makhluk halus ini (jin / syaitan) akan bertindak balas.

Maka sejajar dengan hakikat tersebut, kita perlulah sentiasa menjaga adab dan berhati-hati dengan setiap tindak tanduk dan perlakuan kita. Dalam tulisan kali ini saya berpesan kepada diri sendiri dan kepada para pembaca agar mengamalkan petua-petua berikut untuk mengelakkan dari gangguan jin, syaitan dan sihir. Insya Allah..

Petua Berguna

  •  Sentiasa berzikir kepada Allah.
  • Apabila menuang air panas, sebutlah nama Allah atau membaca “Isti’azah” atau membaca “Basmalah”. Dua lafaz ini adalah amat penting dalam kehidupan setiap Muslim lelaki atau wanita. Ia hendaklah diamalkan sepanjang masa walaupun wanita itu dalam keadaan uzur syarie (period). 
  • Jangan menuang air panas dalam tandas kerana tandas adalah tempat jin syaitan. Begitu juga ke dalam lubang. 
  • Apabila masuk ke bilik gelap, sebutlah “Basmalah”. 
  • Apabila membaling sesuatu yang berat ke bumi, sebutlah “Basmalah”. 
  • Apabila terjun dari tempat tinggi, seubutlah “Basmalah”. 
  • Jangan kencing ke dalam lubang, kerana ia tempat tinggal jin 
  • Jangan tidur seorang diri. Jika terpaksa tidur seorang diri, maka hendaklah berwuduk dan membaca zikir tidur. 
  • Jangan menyakiti anjing atau kucing. 
  • Jangan membunuh ular yang berada di rumah. Hendaklah diberi amaran selama tiga hari. 
  • Jangan berjalan seorang diri di padang pasir atau hutan belantara. 
  • Mengamal bacaan surah-surah pilihan seperti surah al-Ikhlas, surah al-Falaq, suran al-Nas dan ayat Kursi. 
  • Hidupkan suasana al_quran di dalam rumah. Menyebut zikir (لا إله إلا الله) seratus kali setiap hari. Dalam hadis diceritakan bahawa sesiapa yang membaca seratus kali: “Tiada tuhan selain Allah. Allah yang esa tiada sekutu bagi-Nya. Bagi-Nya kerajaan dan segala pujian. Dan Dia berkuasa atas tiap-tiap sesuatu”. maka antara fadilatnya ialah dipelihara daripaa syaitan pada hari itu. (Hadis Riwayat Bukhari). 
  • Sentiasa membaca ayat-ayat yang mengandungi makna bagi membatalkan sihir seperti surah al-A’raf (118 – 119) dan surah Taha (69). 
  • Makan ubat tertentu seperti tamar (kurma). Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud: “Sesiapa yang makan setiap pagi buah tamar ‘Ajwah maka tidak akan memudaratkannya oleh racun dan sihir pada hari itu hingga malam hari” (Mafhum hadis riwayat Bukhari). 
  • Sentiasa membenteng diri dengan amalan tiga Qul. Aishah r.a menceritakan bahawa Nabi s.a.w apabila mengadu sakit, baginda s.a.w akan membaca ke atas dirinya surah al-Falaq dan surah al-Nas kemudian membuskannya. (Mafhum hadis riwayat Muslim) 

Friday, 9 January 2015

MAKSIAT MATA



Menonton Blue Film (Video Lucah)

Assalamu’alaikum wwt.

Luahan Rasa

Saya terpanggil untuk membincangkan isu berkenaan dengan maksiat mata  atau zina mata khasnya yang menjurus kepada menonton Blue Film (Video Lucah) yang dilihat semakin berleluasa sejak kebelakangan ini. Perlakuan ini jika dibiarkan akan menghilangkan kemanisan dalam beribadah kepada Allah. Mana mungkin hati akan menjadi khusyu’ dalam beribadah dan mana mungkin mata akan mencucurkan air mata ketaqwaan jika saban hari mata dijamu dengan menononton video lucah.


Saya tidak menafikan bahawa tarikan menonton video lucah amat kuat melanda jiwa dan perasaan manusia. Perasaan nafsu yang berghairah melihat adengan-adengan terlarang akan mengganggu dan menggugat keimanan khasnya bagi golongan remaja. Daripada hanya menonton tidak mustahil akan menumbuhkan maksiat yang lebih berat iaitu berzina. Apabila berzina maka akan lahirlah bayi yang tidak berdosa. Lebih parah lagi jika bayi ini dibuang merata-rata atau ada yang tergamak membunuhnya lantaran ingin menutup malu. Nah...betapa banyak dosa yang timbul akibat menonton video lucah.

Untuk mencantas dan mengikis habis tabiat suka menonton video lucah ini agak mustahil kerana kecanggihan teknologi media kini. Ibarat kata, maksiat seakan-akan berada di hujung jari. Akses untuk menyimpan dan menonton video lucah kini amat mudah dan boleh berlaku pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja dengan adanya telefon pintar. Saya melihat gejala negatif ini ibarat barah yang semakin merebak dan akhirnya akan merosakkan seluruh kekuatan agama Islam ini.

Hukum dan Kesan Menonton Video Lucah

Menonton blue film (video lucah) hukumnya haram, kerana kita melihat secara jelas bentuk tubuh orang lain bahkan melihat mereka sedang melakukan jimak. Melihat aurat orang lain dapat menumpulkan fikiran dan mengeraskan hati. Jika perbuatan ini sering dilakukan maka dikhuatirkan mempercepat seseorang itu menjadi nyanyok atau pelupa. Pernah suatu ketika Imam Syafie membaca ayat Quran namun sampai pada suatu ayat ia terlupa akan sambungannya. Beliaupun memperbanyak istighfar. Melihat keadaan beliau yang demikian sahabatnya pun bertanya. Maka Imam Syafie pun menerangkan bahawa ingatan atau hafalannya terganggu lantaran ia terlihat tumit wanita yang kebetulan terkoyak sarung kakinya sebesar ibu jari. Jika melihat aurat wanita sebesar ibu jari dapat melemahkan daya ingatan dan daya hafalan, tentu akan lebih besar kesannya jika dengan sengaja melihat aurat orang lain secara telanjang bulat seperti dalam blue film.

Jika anda suami isteri terus melakukan pekerjaan yang buruk ini, maka pertama sekali nikmat yang akan hilang daripada kehidupan anda adalah hilangnya kenikmatan hubungan jimak dan kemesraan antara suami isteri. Sebab anda lebih senang bermain dengan khayalan seperti yang anda lihat dalam blue film. Untuk jangka panjang boleh menghilang ghairah seks bagi wanita dan melemahkan kemampuan syahwat bagi lelaki. Sebelum perkara buruk ini menghantui minda anda suami isteri dan menjadi penyebab malapetaka yang paling besar dalam kehidupan berumahtangga, maka hindarkanlah pekerjaan yang dilarang oleh agama ini.

Keharaman menonton video lucah ini tertakluk kepada sesiapa sahaja walaupun ditonton oleh pasangan suami-isteri kerana mempunyai sebab-sebab seperti berikut;

Pertama :
Islam mengharamkan melihat aurat orang lain, terutamanya bahagian sulit.
Nabi SAW bersabda :
Ertinya : "Janganlah seorang lelaki melihat aurat lelaki yang lain, dan janganlah wanita melihat aurat wanita yang lain"
Sudah tentu apabila melihat filem tersebut, akan dilihat aurat si pelakon tadi malah dalam keadaan yang tidak diizinkan oleh Islam pula.

Kedua :
Islam juga tidak berapa menggalakkan si suami melihat kemaluan isteri dan begitu juga sebaliknya.
Hal ini sebagaimana displin seks Islam yang dinyatakan oleh Sayyidatina Aisyah r.a berkenaan hubungannya dengan baginda SAW. ( Hadith ini adalah lemah, bagaimanapun ia dikira sebagai adab sahaja berdasarkan umum dalil-dalil lain). Jika demikian hukumnya, maka sudah tentu melihat kemaluan selain pasangan yang halal di dalam filem lucah lebih lagi ditegah oleh Islam.

Ketiga :
Terdapat cara lain untuk mempelajarinya, iaitu dengan membeli buku panduan seks dalam Islam yang melakarkan gambar-gambar lukisan sahaja.

Keempat :
Filem-filem ini sudah tentu dilakonkan oleh orang bukan Islam serta sudah tentu menjalani hubungan seksual tidak menurut displin Islam dalam hubungan seks. Termasuklah melakukan seks secara yang diharamkan oleh Islam. Justeru, meniru teknik yang diharamkan sudah  tentu diharamkan juga.

Sebagai contoh, Islam tidak menggalakkan suami isteri bersama dalam keadaan telanjang bogel sebagaimana disebutkan sebagai salah satu displin adab melalui hadith yang bermaksud: "Apa seorang kamu 'bersama' isterinya maka janganlah kamu bertelanjang bogel ( bermakna perlu berselimut)"  ( Riwayat Ibn Majah 1/619 no 1921 )
Demikian juga displin dan adab-adab lain seperti berdoa sebelum bersama, tidak mendatangi isteri dari duburnya, tiada oral seks, berwudhu jika ingin bersama kali kedua sebelum mandi dan banyak lagi adab dan hukum Islam yang tidak akan dapat dipelajari dari filem lucah itu. ( Nizom al-Usrah, Dr Md Uqlah, 2/16-17)

Kelima :
Dibimbangi si suami atau isteri akan terbayangkan pasangan pelakon di dalam filem lucah tersebut. Maka perkara ini jatuh ke dalam perkara haram yang lain pula.

Keenam :
Nabi Melarang menceritakan perihal sulit aurat orang lain, apatah lagi melihatnya di dalam video seperti ini.

Nabi SAW bersabda maksudnya: “janganlah seorang wanita melihat aurat wanita lain, lalu menceritakannya kepada suaminya sehingga seperti (suaminya) melihatnya” ( Riwayat Al-Bukhari )  

Kesimpulan:

Langkah untuk menghindari perbuatan buruk ini, buanglah vcd blue film yang anda miliki. Kekanglah nafsu anda daripada memiliki vcd blue film tersebut jika anda benar-benar ingin berubah dari melakukan pekerjaan yang sia-sia ini. Percayalah jika kita sentiasa melakukan perbuatan yang tercela ini, maka Allah akan menutup pintu hati kita dan akhirnya doa kita pun tidak akan bererti apa-apa dan tidak diperkenankan oleh Allah SWT. Malah tidak mustahil anda akan ditimpa penyakit zahir dan batin.

Sumber

Monday, 5 January 2015

KESAN MELAKUKAN MAKSIAT



Assalamu’alaikum wwt.

Hidup di dunia ini merupakan cubaan. Ada dua jalan terbentang di depan mata. Satu jalan kebaikan dan satu lagi jalan kejahatan. Untuk selamat dan berbahagia di negeri akhirat nanti, pilihlah jalan kebaikan. Namun begitu, jalan kejahatan selalu menggoda. Berapa ramai manusia yang tersesat jalan dengan memilih jalan kejahatan.

Maksiat.itu Dosa dan Racun

Cabaran hidup manusia di dunia ini penuh dengan perjuangan. Secara fitrahnya manusia itu suci dan bersih tetapi perbuatan maksiat akan mengotorkan fitrah tersebut. Ada empat cabaran utama manusia iaitu DUNIA, MANUSIA, NAFSU dan SYAITAN. Manusia sering kalah dengan tipu daya dunia yang bersifat sementara ini. Manakala manusia yang lain pula ada kalanya mengajak ke arah berbuat maksiat. Sementara nafsu yang ada di dalam diri sering membisikkan akan indahnya berbuat maksiat dan yang akhirnya ialah campur tangan syaitan yang sentiasa memerangkap manusia untuk berbuat maksiat.

Tanpa kasih sayang Allah, sudah pasti ramai manusia yang kalah dengan perbuatan maksiat. Sifat pengampun dan penyayang Allah membuatkan manusia diberi beberapa peluang untuk membersihkan diri daripada segala dosa maksiat.

Perbuatan maksiat banyak kesannya kepada diri manusia. Menurut Ibnu Qayyim Al Jauzi, antara akibat daripada melakukan maksiat ialah :

1. Maksiat menjauhkan diri daripada Allah.
Pada masa sekarang, ramai manusia mengadu diri mereka menghadapi kesunyian samada mereka Muslim atau tidak. Bagi memecah kesunyian tersebut, mereka mencari pelbagai bentuk hiburan yang hanya membuat hati mereka gembira untuk waktu yang singkat. Seorang Muslim yang mencari hiburan adakala terjerumus ke dalam lembah maksiat. Akibatnya, dia semakin jauh daripada Allah. Hanya hidayah dapat menyelamatkan mereka ini.

2. Maksiat menghalang momentum kita untuk terus taat kepada Allah.
Orang yang melakukan maksiat lebih cenderung melakukan perkara-perkara yang tidak baik. Teman atau penasihat yang paling rapat dengan mereka adalah syaitan. Syaitan menghasut manusia supaya derhaka kepada Allah. Tidak mustahil adakala seorang yang kuat taatnya kepada Allah terjerumus dengan hanya maksiat yang dilakukan.

3. Maksiat menghalang ilmu pengetahuan memasuki diri.
Ilmu diumpamakan cahaya. Hati akan menjadi hitam dan gelap apabila kita banyak membuat maksiat. Maka, cahaya tidak akan masuk ke dalam hati yang gelap.

4. Maksiat menghalang rezeki.
Maksiat mengikis ketakwaan dalam diri seseorang. Kesulitan dalam mencari rezeki adalah disebabkan kekurangan takwa. Rasulullah bersabda; "Seseorang hamba dicegah daripada rezeki akibat dosa yang dibuatnya." ( HR Ahmad )

5. Maksiat mendatangkan kesulitan dalam urusan hidup kita.
Sekiranya kita melihat diri kita dan orang-orang lain, kita mendapati rasa keluh kesah dan sentiasa berasa sulit terdapat pada diri kita. Oleh itu, kita seharusnya sedar perkara ini berpunca daripada maksiat yang dilakukan samada sedar ataupun tidaka sedar. Ibnu Abbas r.a berkata, "Sesungguhnya perbuatan baik itu mendatangkan kecerahan pada wajah dan cahaya pada hati, kekuatan badan dan kecintaan. Sebaliknya, perbuatan buruk mengundang ketidakceriaan pada raut muka, kegelapan di dalam kubur dan di hati, kelemahan badan, susutnya rezeki dan kebencian makhluk."

6. Maksiat melemahkan hati dan badan.
Niat datang daripada hati. Perbuatan anggota badan berpunca daripada niat. Kekuatan perbuatan adalah bergantung kepada kekuatan yang ada pada hati. Hati boleh diumapamakan sebagai generator elektrik. Sekiranya generator itu kuat, maka tenaga yang dihasilkan juga kuat. Walaubagaimanapun, maksiat menyebabkan kekuatan yang ada melemah untuk melakukan perkara yang baik dan amalan yang soleh. Sabda Rasulullah s.a.w : "..Ketahuilah bahawa dalam setiap jasad itu ada seketul daging yang apabila ia baik maka baiklah seluruh jasad dan apabila ia rosak, maka rosaklah seluruh jasad. Ketahuilah ia adalah hati."

7. Maksiat memendekkan umur dan keberkatan hidup.
Orang yang menjauhi maksiat seperti para Salafus Soleh dilimpahi keberkatan hidup. Mereka mengetahui bahawa maksiat menyebabkan diri mereka jauh daripada keberkatan. Keberkatan hidup amat penting bagi setiap manusia kerana panjangnya umur pada hakikat bukan pada jumlah bilangan usia tetapi pada keberkatannya. Ini kerana keberkatan menjadikan manusia terus hidup walaupun ajal sudah menjemput. Contohnya, Imam Nawawi yang dilimpahi keberkatan terus hidup melalui sumbangan ilmiah yang dilakukannya.

8. Maksiat menumbuhkan maksiat lain.
Dosa kecil yang muncul daripada maksiat seperti virus atau bakteria yang menyerang badan manusia. Sekecil-kecil virus merebak ke seluruh badan dan akhirnya menyebabkan kematian. Samalah sifat maksiat. Sekecil-kecil maksiat sekalipun, ia akan menjadi pemetik bagi api maksiat yang lebih besar. Contohnya disebabkan seseorang tidak menjaga pandangannya, akhirnya dia terjerumus ke dalam maksiat zina.

9. Maksiat mematikan bisikan hati nurani.
Maksiat melemahkan hati daripada kebaikan dan menguatkan kehendak hawa nafsu melakukan maksiat lain. Jika seseorang itu sudah terbiasa melakukan maksiat, perasaan malu akan tercabut daripada dirinya dan tidak memandang apa yang dilakukannya adalah sesuatu yang buruk. Malah, dia akan bangga melakukannya dan menceritakan kepada orang lain.

Moga-moga pada tahun baru 2015 ini kita sematkan azam yang padu untuk berusaha menjauhkan perbuatan maksiat semampu mungkin. Insya ALLAH.

http://fikrahislamik.blogspot.com/2010/11/kesan-melakukan-maksiat.html
Sumber : Akhbar majalah iluvislam bil 36