Assalamualaikum wwt.
Tuan-tuan saudara pembaca yang dirahmati Allah.
Kita baru sahaja melalui detik peristiwa yang
dinamakan Nuzul Al-Quran. Mudah-mudahan kita berupaya mencerap kebesaran dan
keagungan peristiwa besar ini. Marilah jadikan Al-Quran sebagai pegangan dan
panduan hidup kita. Justeru, marilah kita hayati nuzul
al-Quran ini dan hubungannya dengan lailatul qadar melalui tulisan Dr. Samsu
Adabi Mamat (UKM) yang pernah disiarkan dalam laman web JAKIM.
Al Quran panduan hidup |
Nuzul Al-Quran
Peristiwa nuzul al-Quran menjadi satu
rakaman sejarah dalam kehidupan Nabi SAW hingga
seterusnya berperingkat-peringkat menjadi lengkap sebagaimana kitab
al-Quran yang ada pada kita hari ini. Peristiwa Nuzul al-Quran berlaku pada
malam Jumaat, 17 Ramadan, tahun ke-41 daripada keputeraan Nabi Muhamad SAW.
Perkataan ‘Nuzul’ bererti turun atau berpindah dari atas ke bawah. Bila
disebut bahawa al-Quran adalah mukjizat terbesar Nabi SAW maka ianya memberi
makna terlalu besar kepada umat Islam terutamanya yang serius memikirkan rahsia
al-Quran.
Al-Quran’ bererti
bacaan atau himpunan. Di dalamnya terhimpun ayat yang menjelaskan pelbagai
perkara meliputi soal tauhid, ibadat, jinayat, muamalat, sains, teknologi dan
sebagainya. Kalimah al-Quran, sering dicantumkan dengan rangkai kata ‘al-Quran
mukjizat akhir zaman’ atau ‘al-Quran yang mempunyai mukjizat’. Malah inilah
sebenarnya kelebihan al-Quran tidak ada satu perkara pun yang dicuaikan atau
tertinggal di dalam al-Quran. Dengan lain perkataan segalanya terdapat di dalam
al-Quran. Firman Allah:
Dan tidak seekor pun binatang yang melata di bumi,
dan tidak seekor pun burung yang terbang dengan kedua sayapnya, melainkan
mereka umat-umat seperti kamu. Tiada
Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab Al-Quran ini; kemudian mereka
semuanya akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka (untuk dihisab dan menerima
balasan). (Al-An’am:38)
Al-Quran adalah hidayah,
rahmat, syifa, nur, furqan dan pemberi penjelasan bagi manusia.. Segala isi
kandungan al-Quran itu benar. Al-Quran juga dikenali sebagai Al-Nur
bererti cahaya yang menerangi, al-Furqan bererti yang dapat membezakan
di antara yang hak dan batil dan al-Zikr pula bermaksud yang memberi
peringatan.
Dalam sejarah
kehidupan Nabi SAW ayat al-Quran yang mula-mula diturunkan Allah kepada Nabi
Muhammad SAW melalui perantaraan malaikat Jibrail ialah lima ayat pertama
daripada surah Al-‘Alaq. maksudnya:
”Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhan mu yang
menciptakan (sekalian makhluk), Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku;
Bacalah, dan Tuhan mu Yang Maha Pemurah, -Yang mengajar manusia melalui pena
dan tulisan, -Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.”
(al-‘alaq:1-5)
Hubungan Lailatul Qadar dan Nuzul
al-Quran
Lailatul Qadar pula
ialah suatu malam pada bulan Ramadhan yang begitu istimewa sekali fadilatnya.
Malam al-Qadar adalah suatu malam yang biasanya berlaku pada 10 akhir Ramadhan
dan amalan pada malam itu lebih baik baik dari 1000 bulan.
Apakah kaitannya
malam al-Qadar dengan nuzul al-Quran? Sebenarnya al-Quran
dan malam Lailatulqadar mempunyai hubungan yang rapat antara satu sama lain
sebagaimana yang diterangkan di dalam kitab Allah dan hadis Rasulullah SAW di
antaranya firman Allah SWT
Maksudnya:
Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar,
Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar
itu? Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada Malam itu,
turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala
perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); Sejahteralah
Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar! (al-Qadar:1-5)
Mengikut satu
pandangan, ayat ini diturunkan
berdasarkan satu riwayat dari Ali bin Aurah, pada satu hari Rasulullah
SAW telah menyebut 4 orang Bani Israel yang telah beribadah kepada Allah selama
80 tahun. Mereka sedikit pun tidak derhaka kepada Allah, lalu para sahabat
kagum dengan perbuatan mereka itu. Jibril datang memberitahu kepada Rasulullah
SAW menyatakan bahawa Allah SWT
menurunkan yang lebih baik dari amalan mereka. Jibril pun membaca surah
al-Qadar dan Jibril berkata kepada Rasulullah ayat ini lebih baik daripada apa
yang engkau kagumkan ini menjadikan Rasulullah SAW dan para sahabat amat
gembira.
Dalam hadis yang lain
Aishah juga meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda bersedialah dengan
bersungguh-sungguh untuk menemui malam Lailatul qadar pada malam-malam yang
ganjil dalam 10 malam yang akhir daripada bulan Ramadhan.
Panduan
Dari maklumat serba
sedikit di atas tadi sebenarnya banyak boleh dijadikan panduan kepada umat
Islam seluruhnya. Antara panduan berkenaan ialah seperti:
- Tidak ada perkara yang tidak terdapat dalam al-Quran
- Ayat pertama diturunkan ialah ‘iqra’ iaitu ‘baca’ dan Tuhan mengajarkan manusia melalui perantaraan Pena dan Tulisan.
- Kelemahan umat Nabi Muhammad beribadat maka dianugerahkan satu masa yang apabila kita mendapatkannya kita akan digandakan pahala melebihi seribu bulan.
Apabila disebutkan
bahawa tidak ada perkara yang tidak terdapat di dalam al-Quran itu maka ianya
memberikan makna bahawa segala ilmu pengetahuan yang merangkumi fardu ‘ain dan
fardu kifayah dalam segenap aspek kehidupan merangkumi ekonomi, sosial,
perundangan, pendidikan, sains dan teknologi dan lain-lain, segalanya terdapat
dalam al-Quran. Tafsiran, kupasan analisa dan penyelidikan membolehkan umat
Islam maju mendahului umat-umat lain di dunia ini.
Manakala penurunan
al-Quran pula didahului dengan suatu kalimah ‘iqra’’ iaitu ‘baca’ di mana
membaca adalah kunci kepada penerokaan ilmu. Selepas itu pula Allah mengiringi
dengan ayat yang bermaksud; Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, -Ia
mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.” Keadaan ini menguatkan lagi
bahawa pembacaan dan penulisan itu menjadi antara perkara yang paling penting
dalam penguasaan ilmu pengetahuan. Di mana sebagaimana diketahui umum melalui
satu ungkapan bahawa: “ilmu pengetahuan dan teknologi itu adalah kuasa”.
Perkara ketiga ialah
hikmah dari anugerah malam al-qadar kepada umat Nabi Muhammad SAW sebagai umat
akhir zaman. Mengetahui kelemahan umat Islam akhir zaman ini dalam beribadah
maka dianugerahkan satu peluang di mana ibadah yang dilaksanakan pada malam itu
digandakan sehingga 1000 bulan. Bermakna kiranya kita dapat melaksanakan ibadah
dengan penuh keimanan di 10 akhir Ramadhan, kita akan berpeluang mendapat malam
al-Qadar. Ini akan menjadikan kita seolah-olah beramal ibadah selama 1000 bulan
iaitu sekitar 83 tahun. Menjadikan kita seolah-olahnya menghabiskan seluruh
hidup kita dan usia kita dalam ibadah.
Bagi mencari
malam-malam yang berkemungkinan sebagai malam al-qadar, maka kalangan ulama ada
menyatakan bahawa, malam-malam yang ganjil yang tersebut ialah malam 21, 23, 25,
27 & 29 dari bulan Ramadhan. Dalam pada itu terdapat juga beberapa hadis
yang menyatakan bahawa malam al-qadar itu pernah ditemui dalam zaman Rasulullah
SAW pada malam 21 Ramadhan. Pernah juga ditemui pada malam 23 Ramadhan.
Terdapat juga hadis yang mengatakan bahawa baginda Rasulullah SAW. menjawab
pertanyaan seorang sahabat yang bertanya mengenai masa Lailatulqadar supaya
ianya bersedia dan menghayatinya. Baginda menjelaskan malam Lailatulqadar itu
adalah malam 27 Ramadhan. Dari keterangan-keterangan di atas dapatlah kita
membuat kesimpulan bahawa malam Lailatulqadar itu berpindah dari satu tahun ke
satu tahun yang lain di dalam lingkungan 10 malam yang akhir dari bulan
Ramadhan.
Kesimpulan
Sebagai kesimpulannya marilah kita sama-sama
menghayati nuzul al-Quran ini sebagai suatu peristiwa besar yang penuh makna
dan hikmah. Kita seharusnya melihat al-Quran itu sebagai ‘kitab induk’ panduan
Ilmu pengetahuan untuk memajukan manusia seluruhnya. Memajukan manusia yang
lebih penting adalah memajukan umat Islam terlebih dahulu melalui penguasaan
ilmu pengetahuan dan teknologi. Membaca al-Quran itu adalah suatu ibadah.
Sekarang bolehlah kita panjangkan ‘membaca’ al-Quran itu kepada menganalisa,
mengkaji, menyelidiki dan mencari rahsia ilmu pengetahuan di dalam al-Quran dan
seterusnya menghasilkan penulisan-penulisan yang akhirnya memajukan dunia ini
dan khasnya memajukan umat Islam dan seterusnya mengeluarkan umat Islam dari
belenggu kelemahan dan penghinaan.
Sumber:
No comments:
Post a Comment