Assalamu’alaikum wwt.
Saudara pembaca yang dihormati,
Tujuan diciptakan
makhluk bernama MANUSIA dan JIN ialah
untuk menyembah Allah dan mengabdi kepada-NYA.
Perkara pokok yang perlu dijalankan oleh Manusia dan Jin ialah untuk BERIBADAH kepada Allah. Tunjang bagi
semua ibadah tersebut ialah IKHLAS.
Tanpa keikhlasan dalam ibadah, maka sia-sia sahaja ibadah tersebut. Walaupun ibadah tersebut dilaksanakan dalam kuantiti yang banyak namun tanpa ikhlas,
apalah ertinya...ibadah tersebut hancur lebur laksana debu-debu berterbangan di
angin lalu..KOSONG.
Beribadah kepada Allah |
Kesepaduan Ibadah
Menyedari akan pentingnya ikhlas dalam beribadah, maka
terlebih dahulu kita perlu membetulkan NIAT. Niat yang betul dan diiringi
dengan ILMU yang benar maka laksankanlah
amal ibadah dengan ikhlas, maka insya-Allah...ibadah kita akan diterima
oleh Allah.
Kesepaduan antara NIAT, ILMU dan IKHLAS
dalam beribadah akan menyebabkan turun bantuan Allah kepada kita.
Bantuan tersebut datang dalam pelbagai
bentuk sama ada zahir mahupun batin. Malah bantuan ini tidak terhenti di dunia
sahaja malah akan berlanjutan hingga ke akhirat nanti. Bantuan inilah yang
dikatakan WARID daripada Allah. Warid tidak
akan tercapai tanpa kesepaduan TIGA elemen utama tadi (NIAT-ILMU-IKHLAS).
Dalam hal amal ibadah ini yang perlu dijaga ialah KUALITI
(mutu) dan bukannya KUANTITI (sedikit atau banyak).
Apa gunanya beribadah dengan banyak tanpa kualiti ibadah yang tinggi. Sebagai
contoh; SOLAT yang didirikan dengan
banyak dengan tujuan untuk menunjuk-nunjuk bahawa dia seorang yang kuat bersolat
atau SEDEKAH yang dihulurkan untuk mempamerkan bahawa dia seorang yang dermawan
dan disebut-sebut orang. Dan pelbagai contoh lagi dalam segenap segi ibadah.
Dalam hal ini saya teringat akan satu hadis Nabi Muhammad SAW yang mengatakan
bahawa ibadah orang yang tidak menjaga kualiti, maka ibadah tersebut akan
dicampakkan kembali ke muka orang tersebut.
Apalah gunanya ibadah yang dilaksanakan dalam kuantiti
yang banyak tetapi akhirnya kosong dan tidak diterima oleh Allah. Lebih baik ibadah yang sedikit tetapi nilai
kualiti yang bermutu tinggi di sisi Allah. Malah ibadah yang sedikit tetapi
dilakukan secara ISTIQAMAH (tetap) dan berkualiti pula, maka ibadah tersebut
pasti akan diterima oleh Allah.
Saudaraku,
Sempena bulan Ramadan 1435 Hijrah yang mulia ini,
marilah kita bersama-sama menjaga kualiti ibadah kita. Jangan
dikejar akan banyaknya amal ibadah tetapi kejarlah kualiti ibadah. Allah
tidak memandang banyaknya ibadah kita tetapi memandang kepada HATI
kita.
Apabila kualiti ibadah sudah dijaga, maka tidak salah
melaksanakan ibadah dengan kuantiti yang banyak. Berbuatlah sebanyak mana pun
ibadah kita, maka insya-Allah pasti
ibadah kita akan diterima oleh Allah.
Kesan daripada ibadah yang diterima oleh Allah akan terpancar
cahayanya kepada kita. Hati kita berasa tenang, tidak keluh kesah,
selalu redha dengan ketentuan Allah, sentiasa bertawakkal kepada Allah dan
sebagainya daripada sifat-sifat MAHMUDAH (baik) dan terjauh daripada
sifat-sifat MAZMUMAH
(jahat).
Kesimpulan
Mudah-mudahan nukilan ringkas yang dijana daripada
hati saya ini akan bermanfaat kepada semua. Marilah kita sama-sama menjaga
kuantiti dan kualiti ibadah kita. Amal ibadah yang kita lakukan di dunia ini
ibarat kita berladang atau menanam benih. Benih tersebut akan kita jaga, kita
siram dengan air, dibubuh baja dan sebagainya agar subur. Kita berharap satu
hari nanti hasil tanaman ini akan berbuah atau mengeluarkan hasil yang dapat
kita nikmati. Bila masanya hasil amal ibadah ini akan dituai atau diambil? Ya, kita akan merasa akan hasil benih yang
kita tanam tadi di akhirat nanti. Sudah pasti kita mengharapkan hasil ibadah
tersebut berbaloi dan menguntungkan. Alangkan ruginya jika hasil amal ibadah
yang kita usahakan di dunia dahulu hancur lebur dan rosak binasa..
Wallahu’aklam
Sekian, jumpa lagi.
No comments:
Post a Comment