Tuesday, 15 July 2014

NUZUL AL-QURAN DAN LAILATUL QADAR



Assalamualaikum wwt.
Tuan-tuan saudara pembaca yang dirahmati Allah.

Kita baru sahaja melalui detik peristiwa yang dinamakan Nuzul Al-Quran. Mudah-mudahan kita berupaya mencerap kebesaran dan keagungan peristiwa besar ini. Marilah jadikan Al-Quran sebagai pegangan dan panduan hidup kita. Justeru, marilah kita hayati  nuzul  al-Quran ini dan hubungannya dengan lailatul qadar melalui tulisan Dr. Samsu Adabi Mamat (UKM) yang pernah disiarkan dalam laman web JAKIM.

Al Quran panduan hidup

 Nuzul Al-Quran

Peristiwa nuzul al-Quran menjadi satu rakaman sejarah dalam kehidupan Nabi SAW hingga  seterusnya berperingkat-peringkat menjadi lengkap sebagaimana kitab al-Quran yang ada pada kita hari ini. Peristiwa Nuzul al-Quran berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan, tahun ke-41 daripada keputeraan Nabi Muhamad SAW. Perkataan ‘Nuzul’ bererti turun atau berpindah dari atas ke bawah. Bila disebut bahawa al-Quran adalah mukjizat terbesar Nabi SAW maka ianya memberi makna terlalu besar kepada umat Islam terutamanya yang serius memikirkan rahsia al-Quran.

Al-Quran’ bererti bacaan atau himpunan. Di dalamnya terhimpun ayat yang menjelaskan pelbagai perkara meliputi soal tauhid, ibadat, jinayat, muamalat, sains, teknologi dan sebagainya. Kalimah al-Quran, sering dicantumkan dengan rangkai kata ‘al-Quran mukjizat akhir zaman’ atau ‘al-Quran yang mempunyai mukjizat’. Malah inilah sebenarnya kelebihan al-Quran tidak ada satu perkara pun yang dicuaikan atau tertinggal di dalam al-Quran. Dengan lain perkataan segalanya terdapat di dalam al-Quran. Firman Allah:
Dan tidak seekor pun binatang yang melata di bumi, dan tidak seekor pun burung yang terbang dengan kedua sayapnya, melainkan mereka umat-umat seperti kamu. Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab Al-Quran ini; kemudian mereka semuanya akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka (untuk dihisab dan menerima balasan). (Al-An’am:38)

Al-Quran adalah hidayah, rahmat, syifa, nur, furqan dan pemberi penjelasan bagi manusia.. Segala isi kandungan al-Quran itu benar. Al-Quran juga dikenali sebagai Al-Nur bererti cahaya yang menerangi, al-Furqan bererti yang dapat membezakan di antara yang hak dan batil dan al-Zikr pula bermaksud yang memberi peringatan.
Dalam sejarah kehidupan Nabi SAW ayat al-Quran yang mula-mula diturunkan Allah kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan malaikat Jibrail ialah lima ayat pertama daripada surah Al-‘Alaq. maksudnya:
”Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhan mu yang menciptakan (sekalian makhluk), Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhan mu Yang Maha Pemurah, -Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, -Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.” (al-‘alaq:1-5)

Hubungan Lailatul Qadar dan Nuzul al-Quran

Lailatul Qadar pula ialah suatu malam pada bulan Ramadhan yang begitu istimewa sekali fadilatnya. Malam al-Qadar adalah suatu malam yang biasanya berlaku pada 10 akhir Ramadhan dan amalan pada malam itu lebih baik baik dari 1000 bulan.

Apakah kaitannya malam al-Qadar dengan nuzul al-Quran? Sebenarnya al-Quran dan malam Lailatulqadar mempunyai hubungan yang rapat antara satu sama lain sebagaimana yang diterangkan di dalam kitab Allah dan hadis Rasulullah SAW di antaranya firman Allah  SWT
Maksudnya: Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar, Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu? Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar! (al-Qadar:1-5)

Mengikut satu pandangan, ayat ini diturunkan  berdasarkan satu riwayat dari Ali bin Aurah, pada satu hari Rasulullah SAW telah menyebut 4 orang Bani Israel yang telah beribadah kepada Allah selama 80 tahun. Mereka sedikit pun tidak derhaka kepada Allah, lalu para sahabat kagum dengan perbuatan mereka itu. Jibril datang memberitahu kepada Rasulullah SAW menyatakan  bahawa Allah SWT menurunkan yang lebih baik dari amalan mereka. Jibril pun membaca surah al-Qadar dan Jibril berkata kepada Rasulullah ayat ini lebih baik daripada apa yang engkau kagumkan ini menjadikan Rasulullah SAW dan para sahabat amat gembira.

Dalam hadis yang lain Aishah juga meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda bersedialah dengan bersungguh-sungguh untuk menemui malam Lailatul qadar pada malam-malam yang ganjil dalam 10 malam yang akhir daripada bulan Ramadhan.

Panduan

Dari maklumat serba sedikit di atas tadi sebenarnya banyak boleh dijadikan panduan kepada umat Islam seluruhnya. Antara panduan berkenaan ialah seperti:

  1. Tidak ada perkara yang tidak terdapat dalam al-Quran
  2. Ayat pertama diturunkan ialah ‘iqra’ iaitu ‘baca’ dan Tuhan mengajarkan manusia melalui perantaraan Pena dan Tulisan.
  3. Kelemahan umat Nabi Muhammad beribadat maka dianugerahkan satu masa yang apabila kita mendapatkannya kita akan digandakan pahala melebihi seribu bulan.
Apabila disebutkan bahawa tidak ada perkara yang tidak terdapat di dalam al-Quran itu maka ianya memberikan makna bahawa segala ilmu pengetahuan yang merangkumi fardu ‘ain dan fardu kifayah dalam segenap aspek kehidupan merangkumi ekonomi, sosial, perundangan, pendidikan, sains dan teknologi dan lain-lain, segalanya terdapat dalam al-Quran. Tafsiran, kupasan analisa dan penyelidikan membolehkan umat Islam maju mendahului umat-umat lain di dunia ini.

Manakala penurunan al-Quran pula didahului dengan suatu kalimah ‘iqra’’ iaitu ‘baca’ di mana membaca adalah kunci kepada penerokaan ilmu. Selepas itu pula Allah mengiringi dengan ayat yang bermaksud; Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, -Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.” Keadaan ini menguatkan lagi bahawa pembacaan dan penulisan itu menjadi antara perkara yang paling penting dalam penguasaan ilmu pengetahuan. Di mana sebagaimana diketahui umum melalui satu ungkapan bahawa: “ilmu pengetahuan dan teknologi itu adalah kuasa”. 

Perkara ketiga ialah hikmah dari anugerah malam al-qadar kepada umat Nabi Muhammad SAW sebagai umat akhir zaman. Mengetahui kelemahan umat Islam akhir zaman ini dalam beribadah maka dianugerahkan satu peluang di mana ibadah yang dilaksanakan pada malam itu digandakan sehingga 1000 bulan. Bermakna kiranya kita dapat melaksanakan ibadah dengan penuh keimanan di 10 akhir Ramadhan, kita akan berpeluang mendapat malam al-Qadar. Ini akan menjadikan kita seolah-olah beramal ibadah selama 1000 bulan iaitu sekitar 83 tahun. Menjadikan kita seolah-olahnya menghabiskan seluruh hidup kita dan usia kita dalam ibadah.

Bagi mencari malam-malam yang berkemungkinan sebagai malam al-qadar, maka kalangan ulama ada menyatakan bahawa, malam-malam yang ganjil yang tersebut ialah malam 21, 23, 25, 27 & 29 dari bulan Ramadhan. Dalam pada itu terdapat juga beberapa hadis yang menyatakan bahawa malam al-qadar itu pernah ditemui dalam zaman Rasulullah SAW pada malam 21 Ramadhan. Pernah juga ditemui pada malam 23 Ramadhan. Terdapat juga hadis yang mengatakan bahawa baginda Rasulullah SAW. menjawab pertanyaan seorang sahabat yang bertanya mengenai masa Lailatulqadar supaya ianya bersedia dan menghayatinya. Baginda menjelaskan malam Lailatulqadar itu adalah malam 27 Ramadhan. Dari keterangan-keterangan di atas dapatlah kita membuat kesimpulan bahawa malam Lailatulqadar itu berpindah dari satu tahun ke satu tahun yang lain di dalam lingkungan 10 malam yang akhir dari bulan Ramadhan. 

Kesimpulan   

Sebagai kesimpulannya marilah kita sama-sama menghayati nuzul al-Quran ini sebagai suatu peristiwa besar yang penuh makna dan hikmah. Kita seharusnya melihat al-Quran itu sebagai ‘kitab induk’ panduan Ilmu pengetahuan untuk memajukan manusia seluruhnya. Memajukan manusia yang lebih penting adalah memajukan umat Islam terlebih dahulu melalui penguasaan ilmu pengetahuan dan teknologi. Membaca al-Quran itu adalah suatu ibadah. Sekarang bolehlah kita panjangkan ‘membaca’ al-Quran itu kepada menganalisa, mengkaji, menyelidiki dan mencari rahsia ilmu pengetahuan di dalam al-Quran dan seterusnya menghasilkan penulisan-penulisan yang akhirnya memajukan dunia ini dan khasnya memajukan umat Islam dan seterusnya mengeluarkan umat Islam dari belenggu kelemahan dan penghinaan.


Sumber:

Friday, 11 July 2014

PENYAKIT AIN – RISIKO KEPADA BAYI DAN KANAK-KANAK



Assalamu’alaikum wwt.
Saudara pembaca yang dirahmati Allah..

Berkenaan dengan penyakit ain, telahpun saya paparkan dalam post terdahulu di bawah tajuk Penyakit Ain.

Tujuan saya menulis berkenaan penyakit ain (mata) ini adalah kerana masih terdapat lagi insan yang suka mengirimkan gambar anak-anak kecil mereka selepas lahir dalam laman sosial seperti ‘facebook’. MasyaAllah, janganlah kita berbuat begitu kerana usia bayi yang baru lahir itu sangat berisiko untuk terkena penyakit ain. Manakan tidak, keadaan fizikal dan jiwa bayi tersebut amatlah lemah. Sudahlah lemah, dipertontonkan pula kepada khalayak umum, maka dikhuatiri akan ada mata yang jahat dan niat yang dengki ataupun kekaguman yang tidak disebut nama Allah terhadap bayi tersebut.

Gambar hiasan : Bayi sedang tidur

Memanglah tujuan ibu bapa mengirimkan gambar bayi tersebut adalah sekadar untuk memberitahu kepada umum akan kehadiran cahaya matanya tetapi bimbang akan terkena pula penyakit ain. Risiko penyakit ain ialah mungkin kesihatan bayi akan terganggu, sakit yang susah untuk sembuh, sentiasa menangis tanpa henti dan sebagainya. Jadi sebelum mengirimkan gambar bayi anda, fikir-fikirkanlah....

Permasalahan dengan Al Ain ini, ada dua cara dalam menghadapinya, sama ada MENGELAK darinya atau MERAWAT.

Kaedah Mengelakkan Al Ain

Setiap kali anak menerima pujian dari sesiapa sahaja, letakkan tangan kanan di atas kepalanya, dan ucapkan Taawudz (di dalam hati, kemudian mohon perlindungan ALLAH dari segala mara bahaya).

Pada malam hari sebelum ibubapa tidur, bacakan Al Ikhlas 3x, dan tiupkan di ubun-ubun bayi perlahan-lahan(sambil dalam hati berdoa mohon perlindungan ALLAH) sehingga habis nafas, nafas yang akhir ditiup sehingga ke kaki dengan kadar menghembus.

Kepada ibubapa, terpulang di atas perkiraan kalian untuk ikhtiar perlindungan anak-anak kalian, terutama yang memperolehi bayi yang baru lahir atau yang anak mereka sedang sakit, pertimbangkanlah keputusan untuk upload gambar anak-anak anda.

Kaedah Merawat Al Ain

Antara kaedah yang mudah dan ringkas untuk merawat bayi yang terkena penyakit ain ialah dengan memandikannya  dengan air bekas wudhuk ibu kepada bayi tersebut (bertabaruk)
Bersabit dengan hadith. Maksudnya;

Dari Abu Umamah bin Sahl bin Hunaif, dia berkata bahawa Amir bin Robi’ah melihat Sahl bin Hunaif sedang mandi, lalu berkatalah Amir : “Aku tidak pernah melihat (pemandangan) seperti hari ini, dan tidak pernah kulihat kulit yang tersimpan sebagus ini” Maka terpelantinglah Sahl(pengsan). Kemudian RasulULLAH sallALLAHu Alaihi Wasallam mendatangi Amir. Dengan tegas Baginda bersabda :”Atas sebab apa kamu hendak membunuh saudaranya? Mengapa kamu tidak memohonkan keberkahan (kepada hal yang kamu lihat)? Mandilah untuknya!Maka Amir mandi dengan menggunakan suatu bekas air, dia mencuci wajahnya, dua tangan, kedua siku, kedua lutut,hujung-hujung kakinya, dan bahagian dalam sarungnya. Kemudian air bekas mandinya itu dituangkan kepada Sahl, lantas dia (Sahl) sedar dan berlalulah bersama manusia.

(HR Malik dalam Al-Muwaththo 2/938, Ibnu Majah 3509, disohihkan oleh Ibnu Hibban 1424. Sanadnya sohih, para perawinya tsiqah : Zadul Ma’ad tahqiq Syu’aib al-Arnauth dan Abdul Qodir al-Arnauth 4/150 cetakan tahun 1424 H).

Merujuk kepada hadith tersebut, tentu menjadi kesukaran untuk mencari siapa yang memberi Ain, malahan jika tahu siapa yang mengAinkan anak kita, bagaimana mungkin untuk kita jelaskan kepadanya, maka diqiaskan dengan tabaruk air wudhuk ibu (berserta doa), ditadahkan di dalam bekas atau besen, seterusnya, diberi mandi kepada bayi atau anak yang terkena ain. Untuk kaedah ini, tidak tertakluk kepada Ain sahaja, boleh juga ikhtiar bagi permasalahan anak yang degil atau bermasalah dengan pelajaran.


Semoga perlindungan ALLAH beserta sekalian yang ikhlas dan faham dengan setiap amal perbuatan mereka.

Wassalam.

Saturday, 5 July 2014

IBADAH : KUANTITI ATAU KUALITI



Assalamu’alaikum wwt.

Saudara pembaca yang dihormati,

Tujuan diciptakan makhluk bernama MANUSIA dan JIN  ialah untuk menyembah Allah dan mengabdi kepada-NYA.  Perkara pokok yang perlu dijalankan oleh Manusia dan Jin ialah untuk BERIBADAH kepada Allah. Tunjang bagi semua ibadah tersebut ialah IKHLAS. Tanpa keikhlasan dalam ibadah, maka sia-sia sahaja ibadah tersebut. Walaupun  ibadah tersebut dilaksanakan dalam  kuantiti yang banyak namun tanpa ikhlas, apalah ertinya...ibadah tersebut hancur lebur laksana debu-debu berterbangan di angin lalu..KOSONG.

Beribadah kepada Allah

Kesepaduan Ibadah

Menyedari akan pentingnya ikhlas dalam beribadah, maka terlebih dahulu kita perlu membetulkan NIAT. Niat yang betul dan diiringi dengan ILMU yang benar maka laksankanlah  amal ibadah dengan ikhlas, maka insya-Allah...ibadah kita akan diterima oleh Allah.

Kesepaduan antara NIAT, ILMU dan IKHLAS dalam beribadah akan menyebabkan turun bantuan Allah kepada kita. Bantuan  tersebut datang dalam pelbagai bentuk sama ada zahir mahupun batin. Malah bantuan ini tidak terhenti di dunia sahaja malah akan berlanjutan hingga ke akhirat nanti. Bantuan inilah yang dikatakan WARID daripada Allah. Warid tidak akan tercapai tanpa kesepaduan TIGA elemen utama tadi (NIAT-ILMU-IKHLAS).

Dalam hal amal ibadah ini yang perlu dijaga ialah KUALITI (mutu) dan  bukannya KUANTITI (sedikit atau banyak). Apa gunanya beribadah dengan banyak tanpa kualiti ibadah yang tinggi. Sebagai contoh;  SOLAT yang didirikan dengan banyak dengan tujuan untuk menunjuk-nunjuk bahawa dia seorang yang kuat bersolat atau SEDEKAH yang dihulurkan untuk mempamerkan bahawa dia seorang yang dermawan dan disebut-sebut orang. Dan pelbagai contoh lagi dalam segenap segi ibadah. Dalam hal ini saya teringat akan satu hadis Nabi Muhammad SAW yang mengatakan bahawa ibadah orang yang tidak menjaga kualiti, maka ibadah tersebut akan dicampakkan kembali ke muka orang tersebut.

Apalah gunanya ibadah yang dilaksanakan dalam kuantiti yang banyak tetapi akhirnya kosong dan tidak diterima oleh Allah.  Lebih baik ibadah yang sedikit tetapi nilai kualiti yang bermutu tinggi di sisi Allah. Malah ibadah yang sedikit tetapi dilakukan secara ISTIQAMAH (tetap) dan berkualiti pula, maka ibadah tersebut pasti akan diterima oleh Allah.

Saudaraku,

Sempena bulan Ramadan 1435 Hijrah yang mulia ini, marilah kita bersama-sama menjaga kualiti ibadah kita. Jangan dikejar akan banyaknya amal ibadah tetapi kejarlah kualiti ibadah. Allah tidak memandang banyaknya ibadah kita tetapi memandang kepada HATI kita.

Apabila kualiti ibadah sudah dijaga, maka tidak salah melaksanakan ibadah dengan kuantiti yang banyak. Berbuatlah sebanyak mana pun ibadah kita,  maka insya-Allah pasti ibadah kita akan diterima oleh Allah.

Kesan daripada ibadah yang diterima oleh Allah akan terpancar cahayanya kepada kita. Hati kita berasa tenang, tidak keluh kesah, selalu redha dengan ketentuan Allah, sentiasa bertawakkal kepada Allah dan sebagainya daripada sifat-sifat MAHMUDAH (baik) dan terjauh daripada sifat-sifat MAZMUMAH (jahat).

Kesimpulan

Mudah-mudahan nukilan ringkas yang dijana daripada hati saya ini akan bermanfaat kepada semua. Marilah kita sama-sama menjaga kuantiti dan kualiti ibadah kita. Amal ibadah yang kita lakukan di dunia ini ibarat kita berladang atau menanam benih. Benih tersebut akan kita jaga, kita siram dengan air, dibubuh baja dan sebagainya agar subur. Kita berharap satu hari nanti hasil tanaman ini akan berbuah atau mengeluarkan hasil yang dapat kita nikmati. Bila masanya hasil amal ibadah ini akan dituai atau diambil?  Ya, kita akan merasa akan hasil benih yang kita tanam tadi di akhirat nanti. Sudah pasti kita mengharapkan hasil ibadah tersebut berbaloi dan menguntungkan. Alangkan ruginya jika hasil amal ibadah yang kita usahakan di dunia dahulu hancur lebur dan rosak binasa..

Wallahu’aklam

Sekian, jumpa lagi.