Tuesday, 30 September 2014

MEROYAN ATAU KEMURUNGAN



Assalamu’alaikum wwt.

Pada jam 1 pagi baru-baru ini saya dikejutkan dengan panggilan telefon daripada seseorang yang tidak saya kenali. Selepas memperkenalkan diri, si pemanggil meminta pertolongan saya untuk membantunya merawat seorang pesakit yang tidak sedarkan diri akibat ‘gangguan’. Untuk tidak menghampakan permintaannya, saya bersetuju membantu tetapi dengan syarat perlu ada orang menjemput saya. Maka, beliau sanggup mengambil saya untuk ke rumah pesakit di Jengka 15. Sesampainya saya di rumah pesakit, keadaan pesakit agak krikital kerana meronta-ronta tidak sedarkan diri dan perlu dipegang oleh ramai lelaki. Pesakit itu seorang perempuan yang baru habis berpantang selepas bersalin. Saya terus meruqyahnya dan akhirnya keadaan stabil dan kembali tenang.

Kesempatan yang ada, saya mengajaknya untuk berbual-bual dan meluahkan apa yang terbuku di hati. Hal ini demikian kerana saya merasakan si pesakit dalam keadaan kemurungan dan keletihan. Si pesakit mengatakan dirinya banyak dosa dan merasakan Tuhan tidak akan mengampunkan dosa-dosanya. Saya mendapati si pesakit mengalami krisis keyakinan dan kesedihan yang melampau. Hal ini ditambah lagi dengan suaminya yang bekerja jauh di Selangor sedangkan dia bertugas di Pahang. Saya berpendapat si pesakit mengalami simpton meroyan selepas bersalin.
------------------------------------------------------------------------------------------------------
 
Gambar hiasan: Meroyan atau kemurungan selepas bersalin
Meroyan atau Kemurungan Selepas Bersalin

MEROYAN atau kemurungan posnatum ialah satu masalah yang biasa yang dihadapi wanita selepas bersalin. Gila meroyan adalah gangguan perasaan atau jiwa yang serius. Penyakit ini sering dikaitkan dengan masalah yang dialami oleh wanita sewaktu atau selepas pantang.

Pada tahap ini wanita yang mengalaminya mampu melakukan perkara-perkara yang boleh mencederakan dirinya, bayi serta orang di sekelilingnya. Ramai yang beranggapan masalah ini banyak terjadi kepada wanita Melayu, tetapi hakikatnya meroyan atau turut dikenali ‘pos-natal blues’ lebih banyak menyerang wanita di Barat. Masalah ini juga dilihat sering kali dihidapi oleh wanita biasa tetapi  sebenarnya  ia turut menimpa wanita profesional.

Pakar mendapati masyarakat Malaysia khusus orang Melayu lebih prihatin dengan penjagaan selepas bersalin, wanita selepas bersalin selalunya akan mendapat lebih perhatian daripada ahli keluarga, sedangkan perkara seperti itu kurang berlaku di Barat.

Siapa yang diserang?

Tiada kajian khusus kenapa setengah wanita menjadi murung dan yang lain tidak. Bagaimanapun pakar mendapati antara puncanya adalah kekurangan hormon selepas bersalin serta perubahan yang berlaku kepada badan mereka dan kebiasaanya terjadi pada hari kelima selepas bersalin.

Selain itu wanita terbabit juga merasa tertekan dengan keadaan baru mereka apabila melihat bayi yang sering menangis atau berasa letih untuk berdepan dengan tugas baru mereka. Sejarah kemurungan atau masalah sakit mental terdahulu atau kemurungan semasa hamil juga boleh menjadi penyebab perkara itu berulang di samping kurangnya sokongan suami serta ahli keluarga terdekat.

Simptom Awal Meroyan

Tanda dan simptom adalah berbeza bagi setiap ibu, tetapi anda akan merasa:

-perasaan putus asa
-bersalah
-amat letih
-muram
-sering menangis
-sunyi
-gelisah
-terperangkap.

Semua ibu merasakan satu atau lebih dari perasaan ini pada masa-masa tertentu. Tapi, jika anda merasa tidak berdaya langsung dan perasaan ini tidak reda-reda walaupun masa terus berlalu, anda mungkin menghidap meroyan atau kemurungan posnatum.

Bahaya Jika Tidak Dikawal

Walaupun meroyan atau kemurungan posnatum ini satu perkara biasa, namun jika tidak dirawat boleh menjadi serius sehingga mencederakan diri dan bayi. Perhatian daripada ahli keluarga sangat penting ketika ini, mereka perlu peka dengan perubahan yang berlaku. Jika didapati kemurungan itu tidak terkawal, adalah lebih baik membawa wanita terbabit ke hospital untuk mendapatkan rawatan susulan.

Kaedah Rawatan

Kebiasaannya masalah pos-natal blues ini tidak perlu dirawat kerana ia boleh pulih dengan sendiri selepas dua ke tiga minggu. Namun, jika didapati berada dalam keadaan tidak terkawal rawatan berbentuk ubat-ubatan diperlukan bagi mengimbangi hormon pesakit.
Jika didapati keadaan semakin serius pesakit juga akan dirujuk kepada pakar psikiatri.
 
Suami atau Ahli Keluarga Main Peranan

Pada hari-hari terawal selepas bersalin, keberadaan suami dan ahli keluarga terdekat sedikit sebanyak mampu melegakan wanita terbabit kerana mereka merasakan seperti disayangi dan dihargai. Sokongan dan perhatian daripada suami amat diperlukan, bantuan daripada ahli keluarga juga mampu mengurangkan tekanan wanita selepas bersalin. Wanita juga jangan rasa segan silu untuk memberitahu pasangan atau ahli keluarga mereka jika berhadapan dengan keadaan sukar supaya orang sekeliling anda boleh membantu mengurangkan tekanan yang dihadapi.

Pengakuan

Sejak hamil lagi perasaan saya mulai sensitif. Ramai yang mengatakan itu hanya ‘bawakan budak’, namun keadaan itu seakan melampau apabila apabila saya sering kali menangis kerana perkara kecil. Selepas dua hari melahirkan anak pertama saya, saya menjalani ‘pantang’ di rumah ibu saya.

Pada awalnya perasaan saya cukup teruja dengan kehadiran cahaya mata, namun perasaan itu mulai berubah apabila anak saya sering kali menangis dan saya perlu belajar menguruskan anak sendiri kerana suami sudah mula bekerja. Dengan keadaan tidak cukup tidur badan saya semakin lemah ditambah pula saya merasa sakit di ‘ari-ari’, seperti sakit ingin bersalin. Ibu memberitahu bahawa itu perkara biasa kerana ada darah kotor yang tidak keluar habis, dan ibu memanggil tukang urut untuk mengurangkan sakit saya. Walaupun sakit itu telah hilang, perasaan saya semakin sensitif sehinggakan apabila anak saya menangis saya merasa amat rimas dan turut menangis.

Bukan itu sahaja, saya seolah-olah tiada perasaan sehingga membiarkan anak menangis teresak-esak. Bimbang dengan keadaan seperti itu, suami saya terpaksa mengambil cuti semula untuk menemani saya dalam tempoh berpantang. Ahli keluarga sering kali memberi kata-kata semangat bahawa anak itu kurnia ALLAH yang amat bernilai dan mereka turut mengingatkan saya untuk rajin berzikir. Setelah dua minggu perasaan itu mulai hilang, perasaan saya semakin tenang.

ALHAMDULILLAH, atas sokongan keluarga dan suami saya sudah pulih. Sebelum ini, saya fikir saya sudah cukup bersedia untuk menjadi isteri dan ibu, sesungguhnya persediaan mental, fizikal dan ilmu diperlukan untuk kita berdepan dengan cabaran baru. - Nur Lisa, 29, Hulu Langat.

Sumber;
Dr. Mohamed Rafi Mohammed Feizal
Pengarah Perubatan, Pakar Perunding Obstetrik & Ginekologi. Hospital Umra, Shah Alam MBBS (Mang), FAGE (Man), M.Med O&G (UM), Dip Aest. Med (USA), FRSPH (UK)

Saturday, 20 September 2014

KAEDAH DOA UNTUK MERAWAT ANAK NAKAL


Dalam tulisan terdahulu,  saya ada menyentuh tentang permasalahan anak yang nakal atau degil atau keras hati. Mengapakah hal ini berlaku? Sudah tentu ada banyak sebab yang boleh kita andaikan. Saya percaya semua ibu bapa tidak mahu anaknya menjadi nakal dan degil tidak bertempat sehingga agak sukar untuk mendidiknya ke arah kebaikan. Pernahkah kita terfikir apakah puncanya berlaku kenakalan tersebut? 

Jangan kita memandang remeh akan masalah anak nakal dan tidak mendengar kata. Banyak aduan dan rintihan ibu bapa yang kecewa dengan kerenah perangai anak-anak ini. Dalam hal ini banyak aspek yang perlu kita selidiki selain daripada berdoa. Sebelum memulakan rawatan untuk anak ini, saya nasihatkan ibubapa supaya mengenalpasti dulu punca masalah tersebut. Cari sebab kenapa anak-anak kita menjadi  nakal, degil, nakal atau tidak mahu mendengar nasihat.

Menyelami Punca

Cuba lihat pada nama anak itu. Cari maksud nama tersebut. Adakah ia bersesuaian dengan karektor anak. Ada ibu bapa yang memberikan nama anak yang membawa makna yang buruk asalkan sedap didengar.

Kemudian fikirkan sejenak cara kita mendidik dan melayan anak. Adakah sangat ketat, sangat garang, sangat manja atau terbiar sahaja. Kesemua ini memberi kesan terhadap perangai anak. Cubalah selami jiwa dan kemahuan anak-anak. Barangkali ada pertentangan antara cara kita dan kehendak anak-anak. Mungkin juga disebabkan oleh "jurang generasi".

Fikirkan juga punca rezeki yang kita perolehi. Dari sumber mana dan adakah ia halal, syubhah atau haram. Kesemua ini ada kesan kepada jiwa anak-anak. Anak-anak yang diberi makan daripada punca syubhah atau haram, hatinya akan menjadi gelap dan sukar menerima kebaikan.

Seterusnya , bagaimana pula dengan didikan agama mereka? Berapa kali kita solat berjemaah bersama keluarga. Berapa kali kita membaca Quran bersama-sama. Nah, tepuk dada tanya selera...

Sebagai ibubapa, kita perlu ambil tahu siapakah teman-teman anak kita dan apakah aktiviti mereka dan kemana mereka selalu pergi. Seharusnya, ibubapa perlu sentiasa memantau dengan siapa anak-anak kita berkawan. 

Sekiranya ada kekurangan berkaitan cara kita, silalah perbaiki diri. Berubahlah supaya kita menjadi ilham anak-anak. Rapatkan hubungan dengan ank-anak.

Pencegahan Awal

Pada pandangan saya, langkah awal melahirkan anak-anak yang baik dan tidak nakal ialah bermula ketika suami isteri melakukan hubungan badan yang intim (berjimak). Justeru, sebelum berjimak, kita seharusnya memohon perlindungan kepada Allah daripada kejahatan syaitan dengan doa khusus yang diajar oleh Baginda Rasulullah saw. Berapa ramaikah antara pasangan yang menghafal dan mempraktikkan amalan ini?

Doa sebelum Berjimak

Doa yang tersebut di atas adalah dipetik daripada hadis nabi seperti berikut;
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud;
“Jika seseorang di antara kamu akan berjimak dengan isterinya kemudian membaca doa ini;

 
  
Maka jika Allah SWT mentakdirkan untuk dua orang suami isteri itu memperolehi anak, maka anak itu tidak dapat dimudaratkan atau diganggu oleh syaitan.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim.

Doa ini diajarkan oleh Rasulullah SAW kepada umatnya sebagai pencegahan awal bagi mengelakkan zuriat keturunan kita daripada diganggu dengan mudah oleh syaitan.

Sudah menjadi keazaman syaitan untuk menyesatkan umat Islam kepada kekufuran. Syaitan sentiasa bersungguh-sungguh mencari peluang yang ada untuk menggoda dan menghasut keturunan umat Islam supaya melakukan maksiat.

Maksud daripada hadis di atas jelas menunjukkan bahawa ketika pasangan suami-isteri sedang berjimak, syaitan ada bersama-sama untuk masuk ke dalam percantuman benih suami isteri yang akan terjadinya anak kelak.

Sekiranya doa yang tersebut di atas tidak dibaca ketika sedang berjimak, dengan mudah syaitan menjalankan pekerjaannya tanpa ada sebarang halangan. Syaitan akan duduk di benih yang akan terjadinya anak itu sejak dari awal lagi sehinggalah anak tersebut membesar.

Sebab itu anak-anak yang membesar ini sukar di bentuk ke arah membuat perkara-perkara ibadah dan kebaikan. Mereka lebih cenderung melakukan perkara-perkara maksiat.

Bagaimanapun jika doa yang tersebut tidak dibaca ketika berjimak mungkin kerana jahil atau lupa, masih ada lagi ikhtiar iaitu dengan memberikan didikan agama yang sempurna kepada anak-anak agar syaitan yang mengganggu menyerah kalah. Tidak kurang pentingnya ialah berdoa kepada Allah.

Rawatan Anak Nakal dan Degil

Sebenarnya ada banyak doa yang bersesuaian untuk merawat permasalahan anak nakal atau degil ini. Apa yang penting ialah niat yang ikhlas, keyakinan dan tinggi dan redha dengan ketentuan Allah.

Untuk memulakan rawatan untuk anak yang nakal dan degil, mulakan dengan bacaan Surah Al Fatihah, Ayatul Qursi Selawat Syifa sebanyak tujuh kali. Kemudian usaplah ubun-ubun anak itu dengan penuh kasih sayang. Pasang niat di dalam hati. Bacalah doa rawatan anak yang degil sebanyak tujuh kali. Tiuplah di ubun-ubun anak itu setiap kali selesai membaca doa dibawah. Lakukan rawatan ini ketika anak sedang tidur. Ini kerana ketika tidur, jiwa anak anak ini tenang. Ulangilah rawatan ini beberapa hari sehingga ada perubahan pada sikap anak-anak. Jika keadaan agak kritikal, lakukan solat sunat hajat.

Surah Toha (Ayat 1-5)

Antara doa yang kerap digunakan untuk melembutkan hati anak-anak yang naka dan degil ialah dengan mengamalkan Surah Toha (ayat 1-5).  Surah Toha adalah surah yang ke 20, juzuk 16. Surah yang baik untuk melembut hati yang keras terutama sekali dibacakan kepada ahli keluarga yang keras hati, malas dan degil untuk beribadat kepada Allah SWT. Boleh diamalkan sebagai ayat pendinding diri.

 
Surah Toha (Ayat 1-5)


Ayat 1 hingga 5 yang dibaca oleh Saidina Umar Al-Khattab r.a yang pada masa dan ketika itu belum lagi memeluk Agama Islam, tersentuh hatinya dan beliau terus memeluk agama Islam pada hari itu juga dihadapan Nabi Muhammad SAW.

Beliau seorang yang berani semasa kafir dan bertambah berani sesudah beriman. Sifat berani dan garang sehingga iblis atau syaitan pun tidak berani melintas dihadapan beliau lari lintang pukang jika bersua dengan Saidina Umar, inikan pula kita yang lemah semangat. Semasa Nabi Muhammad s.a.w. mula menyebarkan Islam secara terang-terangan, Saidina Umar mempertahankan ajaran tradisi masyarakat Quraisy. Saidina Umar ialah antara orang yang paling kuat menentang Islam pada masa itu.

Menurut ahli sejarah Islam, semasa Saidina Umar dalam perjalanan untuk membunuh Rasulullah s.a.w., beliau bertembung dengan seseorang yang mengatakan bahawa beliau haruslah membunuh adik perempuannya dahulu memandangkan adiknya telah memeluk Islam. Saidina Umar pergi ke rumah adiknya dan mendapati adiknya sedang membaca Al-Quran. Dalam keadaan yang marah dan kecewa beliau memukul adiknya. Apabila melihat adiknya berdarah, beliau meminta maaf dan meminta melihat ayat yang telah dicacakan oleh adiknya tadi. Beliau berasa terharu apabila membaca dan mendengar ayat-ayat Al Quran yang begitu indah sehinggakan beliau memeluk Islam pada hari itu juga. Itulah kelebihan Surah Toha yang dibaca oleh beliau.

Kita bermohon kepada Allah dengan keberkatan Surah Toha (Ayat 1-5) ini, mudah-mudahan anak yang keras hati, nakal dan degil akan berubah menjadi lembut dan mendengar kata. Kita berharap anak tersebut akan menjadi baik dan berakhlak mulia. InsyaAllah.

Caranya :
Boleh dibacakan pada air lalu ditiup dengan niat pengharapan agar Allah melembutkan hati anak-anak yang nakal atau keras hati. Boleh juga dibacakan dan dihembus pada anak tersebut. Apabila dirasakan ada perubahan, kurangkan atau berhentilah mengamalkannya. Nanti anak-anak terlebih lembut pula, susah juga nantinya..

Sekian sahaja nukilan daripada hamba yang fakir ini, mudah-mudahan dapat membantu.
Wassalam..

Friday, 19 September 2014

CARA UNTUK MENANGANI ANAK YANG NAKAL



Apa akan kita buat apabila kita pulang ke rumah selepas penat bekerja, anak kita akan terus membuat semak rumah dengan mainan dan peralatan lain yang boleh dianggap sebagai mainan ataupun semasa kita sedang memandu, anak kita mengganggu kita atau apa sahaja perbuatan yang boleh membuatkan kita marah dan terus menengking mereka. Jawapannya mungkin kita akan marah dan tengking anak kita. Jika kita kata “JANGAN” mereka lagi akan buat perkara yang sama. Perkataan JANGAN ini seperti tidak “makan” pada diri mereka. Contoh : Jangan main gunting nanti luka jari!, Jangan lompat nanti jatuh!

 
Anak nakal sering dimarahi

Saya amat menyokong fakta yang mengatakan sifat anak-anak pada usia bawah 6 tahun sangat-sangat dipengaruhi oleh apa yang dilihat dan didengar pada setiap hari. Ini kerana, apa sahaja yang dilihat dan didengar setiap hari ia seperti suatu pembelajaran bagi anak tersebut dan ia tersemat ke otak. Contohnya : Mereka suka menyebut perkataan “bodoh” tapi tidak tahu maknanya. Mereka juga suka meludah atau menjelirkan lidah seperti mengejek kita tapi tidak tahu sebabnya.

Ini bermaksud, seorang anak itu boleh menjadi baik kerana dia meniru dan mencontohi, perlakuan dan pertuturan daripada orang-orang yang baik yang dijumpainya pada setiap hari.

Begitu juga sebaliknya, seorang anak itu boleh menjadi nakal kerana dia meniru dan mencontohi, perlakuan dan pertuturan daripada orang-orang yang ‘kurang’ baik yang dijumpainya pada setiap hari.

Oleh itu, satu cara untuk menangani anak-anak yang nakal ialah dengan menjauhkan anak ini daripada individu-individu yang memberikan pengaruh negatif kepada sifatnya. Semakin lama anak nakal ini bersama dengan individu tersebut, maka semakin banyaklah sifat negatif orang itu yang akan diserap ke dalam dirinya.

Mungkin juga fakta yang mengatakan setiap sifat yang terbentuk dalam diri anak-anak pada usia 0-6 tahun akan dibawa seumur hidupnya adalah benar. Fakta ini bukan sahaja kajian daripada Barat. Malah ia turut diakui dalam Islam. Sebab itu, pendidikan yang betul di peringkat umur ini sangat penting dan tidak harus diabaikan sama sekali.

Jadi, apakah tindakan yang harus dilakukan?

Langkah 1:
Periksa siapakah orang-orang yang biasanya dijumpai oleh anak-anak ini pada setiap hari.

Sekiranya anda menghantarnya ke rumah pengasuh, periksa setiap individu dalam rumah tersebut (pengasuh, ahli keluarga pengasuh dan kanak-kanak lain yang diasuh), adakah terdapat orang-orang yang membawa unsur negatif ini.

Jika ada, seboleh-bolehnya usahakan untuk mencari tempat pengasuhan yang lain kerana perkara ini tidak boleh dibiarkan begitu sahaja. Biar bersusah hari ini untuk mencari pengasuh yang baik, daripada kita menangis di kemudian hari kerana anak tidak mahu menjadi baik.

Langkah 2:
Ubah cara pendekatan anda dengan anak-anak ini.

Asasnya, anak-anak banyak sekali mencontohi dan meniru sifat ibubapa. Sekiranya ibubapa telah memberikan sifat negatif (secara sedar atau pun tidak), maka ibubapa tidak ada pilihan lain melainkan membuat sedikit inisiatif untuk BERUBAH.

Apabila kita memarahi anak pada usia ini dengan nada menengking, menjerit, memaki, mengejek, merotan, mencubit, menjentik dan seumpamanya, hati anak yang asalnya lembut akan menjadi semakin keras. Dia akan menunjukkan pelbagai cara pemberontakan kerana kesakitan yang dialami di dalam hati dan secara fizikal. Semakin kerap ibubapa memarahi mereka, maka semakin kuat lah pemberontakan mereka.

Anak-anak pada usia ini tidak “makan” dengan cara seperti ini. Ia mungkin hanya berkesan untuk beberapa ketika sahaja. Tetapi cara ini tidak berkesan untuk mendidik sifat baik yang berpanjangan di dalam diri mereka.

Untuk anak-anak yang nakal, jika mereka melakukan kesalahan, dekati anak, dakap anak, peluk anak, cium anak, sayang anak, dudukkan anak di atas pangkuan, dan berilah nasihat secara HIKMAH. Ceritakan pada mereka apa yang mereka buat tadi adalah salah dan apa yang mereka boleh lakukan untuk membetulkan kesilapan tadi.

Apabila mereka lakukan kebaikan, walaupun tidak sempurna, (contohnya: anak mahu lap air yang tumpah, tetapi cara lap nya menyebabkan air semakin berselerak), ibubapa MESTI tunjukkan penghargaan. Apabila pujian diberikan, pasti anak akan gembira untuk melakukan perkara yang baik lagi di masa akan datang.

Ibubapa bukan sahaja perlu mendekati anak-anak sewaktu mereka melakukan kesalahan sahaja, sebaliknya, carilah peluang untuk membuat pelbagai aktiviti bersama anak-anak. Seperti bermain, membaca, mewarna dan sebagainya. Anak-anak pada usia ini sangat suka apabila ada orang dewasa menyertai aktiviti mereka, kerana mereka mempunyai keinginan yang sangat tinggi untuk belajar apa sahaja perkara baru daripada orang dewasa.

Apabila ibubapa rapat dengan anak-anak, maka kerja untuk mendidik akhlak dan sifat yang terpuji di dalam diri anak-anak menjadi lebih mudah. Anak pada usia ini akan taat dan hormat kepada orang yang banyak menunjukkan keprihatinan kepada mereka.

Untuk menghasilkan sifat yang terpuji dalam diri anak-anak, ibubapa perlu sentiasa menunjukkan sifat yang terpuji di hadapan mereka.


  • Jika mahu anak mematuhi perintah Allah, ibubapa perlu patuhi perintah Allah terlebih dahulu. 
  • Jika mahu anak taat kepada ibubapa, ibu perlu taat pada perintah bapa dahulu. 
  • Jika mahu anak pandai ucap terima kasih, ibu dan bapa perlu selalu ucap terima kasih kepada mereka dan sesiapa sahaja. 
  • Jika mahu anak mengeluarkan kata-kata yang sopan, ibu dan bapa perlu berkata perkataan yang baik sahaja di hadapan mereka atau sesiapa sahaja. 
  • Jika mahu anak-anak meminta maaf selepas melakukan kesalahan, ibu dan bapa perlu selalu saling meminta maaf  sesama mereka dan tidak salah jika ibubapa meminta maaf kepada anak-anak juga.


Bila ibubapa mula menunjukkan sifat yang baik, sedikit demi sedikit anak akan menirunya dan sifatnya akan mula berubah. Kalau bukan hari ini, mungkin esok.Kalau bukan esok, mungkin lusa.Dan kalau bukan lusa, mungkin minggu depan atau bulan depan atau tahun depan.

Yang penting, terus lakukannya dengan istiqamah dan terus panjatkan doa kepada Allah swt dengan keyakinan yang kuat bahawa suatu hari nanti pasti anak ku akan berubah.

Yakinlah wahai ibubapa, setiap ciuman yang diberikan kepada anak dan sekelumit kesabaran dalam mendidik mereka, mempunyai NILAI yang sangat besar di sisi Allah swt.

Saya juga bukan sahaja mengingatkan anda malah diri saya sendiri terutamanya, mendidik anak-anak memerlukan kesabaran yang amat tinggi dan kenakalan mereka menggugat kesabaran kita pada setiap tikanya. Oleh itu, kita sebagai ibubapa haruslah bersabar dari menahan kemarahan terhadap anak kita.


Dipetik dan disunting daripada artikel :
CARA UNTUK MENANGANI ANAK YANG NAKAL
Sumber :http://anakkusoleh.com

oleh :
Azaharin bin Roslan
Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri
Perak Darul Ridzuan