Assalamu’alaikum
wwt.
Salam sejahtera buat pembaca yang saya sayangi.
Sudah agak lama saya tidak menulis dalam ruangan blog ini lantaran
kekangan masa dan kesibukan kerja. Mudah-mudahan kita semua dirahmati Allah
Taala.
Saudara
pembaca,
Tugas mu’alij bukan sekadar merawat pesakit sahaja
tetapi kadang-kala menjangkau lebih daripada itu terutamanya dalam bidang
dakwah. Pada pendapat saya, kerja-kerja dakwah ini bukan sahaja terpikul di
bahu orang-orang agama yang bergelar ustaz atau imam, malah sesiapa sahaja
boleh menjalankan kerja-kerja dakwah ini. Walaupun dengan menyampaikan satu
nasihat yang baik berupa sepotong ayat adalah
lebih berharga daripada tidak berbuat apa-apa. Bukankah makhluk manusia
dan jin dijadikan untuk beribadat kepada Allah? Justeru usaha dakwah ini
boleh menjangkau ke alam jin. Bagaimana
berdakwah kepada jin?
Jin
Bangsa jin adalah merupakan sejenis makhluk ciptaan
Allah yang halus iaitu tidak nampak oleh mata kasar manusia. Jin dicipta daripada
api dan terbahagi kepada beberapa golongan. Kehidupan jin kebanyakkannya hampir
sama dengan manusia. Mereka juga
menganut agama menurut kepercayaan masing-masing iaitu ada yang beragama Islam
dan bukan beragama Islam malah ada juga yang tidak menganut apa-apa agama.
Jin-jin yang merasuk dan mengganggu manusia umumnya bukan beragam Islam kerana
jin Islam jarang sekali mengganggu manusia Islam. Senang cerita, manusia yang
diganggu oleh jin ini terdiri daripada jin-jin kafir atau jin-jin jahat.
Manusia yang diganggu oleh jin umumnya terdiri
daripada dua pihak iaitu pertama terdiri daripada jin saka dan yang kedua
terdiri daripada bukan jin saka (jin sihir, jin asyik dan sebagainya). Jin-jin
yang berada dalam tubuh manusia (pesakit) akan bereaksi jika dibacakan
ayat-ayat ruqyah iaitu dibacakan dengan ayat-ayat suci al-quran. Reaksi jin ini
agak berbeza dan tidak sama dengan semua pesakit. Ada jin-jin yang cepat
bereaksi seperti berteriak kesakitan dan berasa sakit di beberapa tempat
tertentu di badan seperti di kepala dan di kaki. Malah ada juga pesakit yang
bereaksi dengan muntah yang banyak. Ada juga jin yang ‘buat bodoh je’...
Berbalik kepada cerita berdakwah kepada jin...
Jika sedang meruqyah pesakit dan ada reaksi daripada
jin di dalam badan pesakit, maka mu’alij boleh menggunakan kesempatan ini untuk
berdakwah kepada golongan jin. Janganlah mu’alij sepanjang masa menggunakan
kekerasan untuk membelasah jin sehingga hilang pertimbangan yang wajar. Bahkan
ada mu’alij yang terus membunuhnya. Bukan saya katakan tidak boleh membunuh jin
tetapi itu adalah usaha terakhir jika mereka terus berdegil dan mungkir janji.
Jika kita memerintahkan jin itu keluar dari badan pesakit dan jin bersetuju
apalah salahnya kita berdiplomasi dan
menerangkan akan keindahan Islam kepada mereka.
Saya ada satu pengalaman berdakwah kepada jin dan
mengajak mereka memeluk agama Islam. Ada seorang pemuda dari Jerantut, Pahang
telah datang ke rumah saya untuk
mendapatkan rawatan. Pemuda ini telah lama diganggu oleh jin sehingga menjejaskan
aktiviti kehidupan sehariannya. Kali pertama mendapatkan rawatan, banyak muntah
yang keluar dan terasa sakit di kebanyakan bahagian badannya seperti di kepala
dan di perut. Saya memerintahkan jin sihir yang mengganggu pesakit supaya
keluar dan mengambil barang sihir dalam tubuh pemuda tersebut. Perintah saya
diikuti, tetapi jumlah jin yang banyak melambatkan usaha saya. Saya terpaksa
memberhentikan rawatan kerana melihatkan pemuda tersebut terlalu penat. Saya
memberikan air penawar dan amalan untuk diamal secara berterusan.
Selang seminggu,pemuda tersebut kemudiannya menelefon
saya untuk mendapatkan rawatan kali kedua. Kali ini ditemani oleh ibunya.
Rawatan pada kali kedua ini tidak memerlukan bacaan ruqyah yang panjang kerana
pesakit (jin sihir) cepat bereaksi.
Kesempatan ini saya gunakan sepenuhnya untuk berdakwah kepada sejumlah
besar jin yang menetap di bahagian kepala, perut dan di kaki. Saya mengingatkan
jin-jin tersebut agar mengeluarkan barang-barang sihir jika tidak mahu disakiti
dengan bacaan ruqyah. Pesakit menggerakkan tangan dan membuat aksi seolah-olah
menarik objek pada bahagian tertentu di tubuhnya. Saya juga memerintakan agar
jin-jin tersebut keluar dan menawarkan memeluk agama Islam. Alhamdulillah,
dipendekkan cerita, maka satu persatu jin-jin tersebut saya bimbing untuk
mengucapkan Dua Kalimah Syahadah. Saya juga memohon kepada Allah agar
menghantar jin-jin tersebut ke Serambi Madinah agar di sana, jin-jin tersebut
dapat mendalami ajaran Islam yang suci. Saya juga menasihati dan memperingatkan
jin-jin tersebut agar tidak masuk lagi ke dalam badan pesakit dan mana-mana
manusia kerana perbuatan tersebut bertentangan dengan ajaran Islam.
Kesimpulan
:
Marilah kita bersama-sama menyemai sikap bertoleransi
sesama makhluk Allah terutama melibatkan bangsa jin. Jika ada peluang
berdakwah, maka lakukan dengan sebaik mungkin. Manakala jika mereka engkar dan
bersikap zalim lagi sombong, maka mohonlah kepada Allah jalan penyelesaian terbaik termasuklah jika
perlu membunuh mereka. Itupun sebagai ikhtiar terakhir... Kita mesti ingat,
bahawa jin juga ada kehidupan tersendiri dan tidak mustahil kaum kerabatnya
akan menuntut bela jika kita bertindak secara keterlaluan.
Sekian, jumpa lagi..